Pengikut

Isnin, Mei 04, 2009

ALLAH mengajar kita berhujah

AL-QURAN dengan jelas mengajar kepada pembaca supaya memberikan hujah dan bukti apabila sesuatu perkara disampaikan. Sekalipun Allah selaku Tuhan yang Maha dalam segala-galanya boleh saja menempelak, mengutuk, menyalahkan seseorang yang masih tidak mahu menerima mesej wahyu, namun Allah mengajarkan kepada manusia supaya memberikan hujah dan bukti.


Secara fitrahnya, manusia juga tidak akan menerima apa-apa ilmu atau pengajaran jika tidak disertakan kekuatan hujah dan bukti. Kerana fitrah inilah ilmu sains berkembang. Sains tidak akan diterima secara taklid atau pengajaran secara pemaksaan. Misalnya seorang guru sains ditanya bagaimana hujan terjadi, dia akan menerangkan bagaimana hujan itu terhasil daripada percantuman hydrogen dan oksigen. Tidak ada guru sains yang akan memberi jawaban berhelah dengan kata-kata ‘tak perlu tanya sangat, yang penting kita percaya air hujan bersih, siapa tidak minum akan mati.’


Lihat bagaimana Allah melayan manusia dengan hujah dan dalil dalam surah al-Baqarah ayat 259, “Atau apakah (kamu tidak memerhatikan) seorang lelaki yang melalui sebuah negeri yang temboknya sudah roboh menutupi atap-atapnya. Dia berkata, ‘bagaimanakah Allah akan menghidupkan negeri ini yang sudah hancur?’ Maka Allah mematikannya (lelaki) selama 100 tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya, ‘Berapa lama kamu tinggal di sini?’ Lelaki ini menjawab. ‘satu atau setengah hari sahaja.’ Allah berkata, ‘Lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah. Lihatlah juga kepada keldaimu (yang mati, tinggal tulang), dan Kami jadikan kamu sebagai tanda kekuasaan Kami bagi manusia. Lihatlah kepada tulang-belulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali dan membalutinya dengan daging’. Selepas jelas baginya (perihal Allah menghidupkan orang mati), dia pun berkata, ‘sesungguhnya aku yakin Allah Maha berkuasa terhadap sesuatu’.”


Hari ini ada pula orang-orang menjual air yang dibotolkan yang kononnya sudah dibacakan sekian banyak ayat al-quran. Penjual dengan mudah memperdaya orang ramai dengan mitos kekuasaan air berkenaan bukan dengan hujah dan bukti, tetapi menekankan penting ayat al-Quran. Jelas dua dimensi yang berbeda. Jualannya laku kerana dia berjaya memutarkan fakta dan sikap taklid orang awam atas nama agama. Mujur penjual ini tidak memaksa membelinya.


Ada juga mendakwa sebagai pendakwah mempromosikan ‘Allah wujud tanpa tempat’ sebagai akidah para nabi, sejak nabi Adam hingga nabi Muhammad. Namun apabila diminta memberikan dalil ayat-ayat al-Quran mengenai frasa ayat itu, misalnya siapakah nabi-nabi yang menekankan tema ‘Allah wujud tanpa tempat’ sebagai keutamaan pengajaran tauhid kepada kaumnya, si pendakwah mencari helah. Kerana sedar gagal memberikan jawaban, untuk terus menguasai minda orang awam, maka dia berkata itu akidah yang benar. Tanpa hujah dan bukti, namun kerana kejahilan umah, si pendakyah masih mendapat tempat di masjid dan surau.


Kelemahan kita sebagai orang Melayu ialah menyerah secara multak seperti kepatuhan kepada raja zaman feudal terhadap orang-orang yang mengaku berilmu agama. Sebagaimana rakyat dahulu tidak mempersoal rajanya kerana menganggap raja sentiasa betul (takut dituduh menderhaka), maka orang-orang belajar agama juga bersikap demikian sekalipun di hadapannya ada al-quran yang mudah saja difahami ertinya kerana sudah ada terjemahannya. Oh ya, si pendakyah juga cekap memperdaya orang ramai dengan mengatakan orang yang bertanya itu mempunyai niat buruk dan cuba menimbul kekeliruan. Akhirnya, tiada siapa sanggup dituduh menderhaka kepada si pendakyah, dan terus-terus begitulah.


Manakah hujah dan bukti seperti yang diajarkan oleh Allah dalam al-Quran?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan