Pengikut

Ahad, Oktober 23, 2011

IMAM Syafie sebagai pengikut sunah nabi s.a.w.


SUDAH nyata bahawa kebanyakan muslim Nusantara berpegang kepada mazhab  Syafi’i dalam fikah agama. Hal ini pula bukanlah menjadi satu kesalahan kerana menjadi kebiasaan mana-mana muslim beragama dengan mengambil pendapat (huraian mengenai hukum agama) seseorang imam atau ilmuan yang dikira paling kuat hujahannya. Imam al-Syafi’i (150H-204H) seorang ilmuan besar dan sedar pendiriannya dalam hal agama akan diikuti oleh orang banyak.  Oleh kerna beliau pun sedar bahawa orang awam mengikuti pendapat seseorang ilmuan, maka beliau telah menyatakan pendiriannya sejajar dengan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. agar orang tidak menganggap beliau membawa ajaran yang baru.  Malah, beliau memberi syarat bahawa hujah atau pendapatnya masih boleh dikeluarkan sekiranya terdapat perbedaan daripada hadis-hadis sahih nabi s.a.w..

Berikut saya cuplik beberapa pendirian al-Imam al-Syafi’i, yang diusahakan oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Mazhab al-Imam al-Syafi’i Terhadap Sunnah dan Hadis’.  Moga-moga kenyataan imam besar kita akan menjelaskan lagi pemahaman kita bahawa al-Syafi’i merupakan pengamal dan pembela sunah nabi s.a.w.  Maka tidak timbul andaian mazhab al-Syafi’i berlawanan dengan al-Quran dan sunah nabi s.a.w.

"Apabila hadis itu sahih, maka dia adalah mazhabku." (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, 58)

“Setiap apa yang aku katakan, sedangkan dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terdapat hadis sahih yang bertentangan dengan perkataanku, maka hadis nabi adalah lebih utama. Oleh itu, janganlah kamu mengikutiku (bertaqlid padaku)." (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, 59)

"Kaum muslimin telah sepakat bahwa barang siapa yang telah terang baginya Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengikuti perkataan seseorang." (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, 58)

Seorang lelaki berkata kepada al-Imam al-Syafi`i: “Apakah engkau akan berpegang dengan hadis ini, wahai Abu ‘Abd Allah?”. Jawab beliau: “Apabila diriwayatkan daripada Rasulullah sesuatu hadis yang sahih dan aku tidak mengambilnya, maka ketahuilah bahawa akalku telah hilang”. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/34)

Kata al-Humaidi: Suatu hari al-Syafi`i meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?”. Dia (al-Syafi’i menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasululah shallallahu 'alaihi wasallam lalu aku tidak berpegang dengannya. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/34)

“Langit manakah yang akan memayungiku, bumi manakah yang akan menanggungku, jika aku meriwayatkan hadis daripada RasululLah shallallahu 'alaihi wasallam lalu aku tidak berpegang kepadanya?” (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/34)
“Setiap hadis daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku” (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/35)

“Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku. Jika sahihnya sesuatu hadis maka campakkan pendapatku ke dinding”. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/35)

“Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedang ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, 'Ilam al-Muwaqqi'iin, 2/263)

Khamis, Oktober 20, 2011

HIMPUNAN antimurtad tetapi akidah perlu dipelajari


UNTUK apa berhimpun sehingga sejuta muslim di sebuah stadium? Kita hanya hendak memberitahu bahawa semua muslim bersatu menentang usaha-usaha melemahkan akidah saudara muslim.  Perhimpunan ini bukan cara untuk menguatkan akidah muslim.  Semua yang hadir pada perhimpunan anti murtad itu, tetap perlu mencari ilmu berdasarkan al-Quran dan Sunah untuk menguatkan akidah dirinya.

Ada orang mengajarkan akidah dengan menerangkan sifat-sifat Allah yang wajib dan mustahil.  Ada orang pula mengajarkan akidah dengan menjelaskan penerimaan Allah sebagai Tuhan dan melakukan pengabdian kepada-Nya.  Sama ada mempelajari Sifat 20 atau Tauhid Tiga Serangkai (Rububiyah, Uluhiyah dan Asma sifat), semua itu merupakan cara atau kaedah mempelajari tauhid.  Tujuannya untuk menjadikan seseorang muslim kuat imannya dalam kehidupan.  Seterusnya, jika berlaku cabaran-cabaran semasa, seseorang dapat mengatasi cabaran itu untuk kekal dalam agama Islam.

Jika kaedah mempelajari tauhid yang lebih baik dengan Tauhid Tiga Serangkai kerana dikatakan mudah dan menyeluruh, maka gunakan saja sistem berkenaan.  Apa yang berlaku sekarang kepada sesetengah pihak ialah menyalahkan kaedah pembelajaran akidah dan memuji-muji satu kaedah yang sering digunakannya.  Lebih dahsyat, ada tuduhan ke tahap ‘kafir’ kerna belajar tauhid dengan cara yang tidak biasa digunakan oleh nenek-moyang!

Lihatlah sekarang yang ada ahli masyarakat muslim yang tidak tahu garis pemisah antara iman dan kufur.  Atas nama persahabatan dan keakraban rakyat berbilang budaya, ada muslim yang meraikan, merayakan malah mengambil bahagian dalam upacara keagamaan agama selain Islam.  Hal ini sebenarnya isu dasar agama yang telah dijelaskan dalam al-Quran dalam surah al-Kafirun. Allah mengajar kepada muslim supaya memisahkan diri daripada amalan agama kaum yang ingkar atau syirik kepada Allah. Hal ini ada sejarahnya, iaitu tawaran pemimpin Arab (musyrik – penyembah berhala) pada zaman Rasulullah di Makkah.  Mereka mahu bertoleransi atau kompromi antara Islam dan kesesatan berakidah.  Tawarannya ialah kaum Arab musyrik bersedia meraikan atau mengamalkan mana-mana ibadah Islam, sebaliknya kaum muslim juga patut melakukan sembahan syirik mereka.  Semua ini untuk mengutuhkan perpaduan masyarakat dan mewujudkan suasana harmoni!  Allah mengajar kita mengatakan: Bagimu agama kamu dan bagiku agama aku!

Ada pula yang memahami bahawa urusan hidup atau perlakuan tidak ada kaitan denga akidah.  Bagi mereka yang berfahaman seperti ini asalkan mereka masih tidak goyah dengan Rukun Iman yang enam perkara itu (percaya kepada Allah, Malaikat, Rasul-rasul, kitab-kitab, hari kiamat serta qada dan qadar), apa pun perlakuan mereka sama ada halal atau haram, tauhidnya dikira masih benar!

Penerimaan tauhid Islam sewajibnya terus membedakan diri seseorang muslim dengan orang-orang bukan muslim yang ada di sekitarnya.  Apabila seseorang menerima Allah sebagai satu-satunya Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai rasul, maka semua urusan ibadah khususnya selesai.  Urusan kehidupannya berekonomi, bermasyarakat, beradat budaya dan berpolitik semuanya selesai dalam rangka al-Quran dan sunah nabi.  Tidak masuk akal pun seseorang muslim yang tidak solat dan berjudi masih utuh akidahnya sedangkan Allah mengharamkan perbuatan itu.  Bagaimana pula yang mengaku muslim tetapi sentaiasa ingkar solat?

Sungguh, sekiranya akidah itu hanya meminta seseorang percaya mengenai keesaan Allah tanpa dituntut untuk membuktikan dengan perlakuan ibadah kepada-Nya, maka mudah saja seseorang menjadi muslim.  Jika akidah cukup sekadar menghafal 20 sifat Allah, tetapi akidah tidak terjejas dengan keingkaran perintah Allah, tidak perlulah ada gerakan dakwah mengajak muslim melakukan amal-amal salih dan menghindari maksiat.

Kesimpulannya, tauhid yang disandarkan kepada al-Quran dan sunah mestilah penerimaan Allah sebagai Tuhan dan membuktikan dengan amalan dalam kehidupan.  Amalan itu sama ada berupa melakukan perintah atau menghindari larangan Allah.

Ahad, Oktober 16, 2011

RENUNGAN untuk pendengar lagu dan musik


Salam,

1- Anda menghabiskan masa yang banyak dengan mendengar lagu dan muzik, jadi bilakah anda mendengar Al-Qur’an?

2- Allah berkata dalam Al-Qur’an:
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
«Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan untuk Jahannam itu banyak daripada jin dan manusia. Mereka mempunyaï hati-hati yang mereka tidak memahami dengannya, dan mereka mempunyaï mata-mata yang mereka tidak melihat dengannya, dan mereka mempunyaï telinga-telinga yang mereka tidak mendengar dengannya. Mereka itulah seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat. Mereka itulah orang-orang yang lalai» [Al-A`raf: 179]

3- At-Tabariy menyebut ta’wil ayat ini sebagai:
وكذلك قوله:(ولهم آذان لا يسمعون بها)، آيات كتاب الله، فيعتبروها ويتفكروا فيها، ولكنهم يعرضون عنها
Dan demikian kata-Nya: «Dan mereka mempunyaï telinga-telinga yang mereka tidak mendengar dengannya» ayat-ayat Kitabu Llah, dan mengambil pengajarannya dan berfikir tentangnya, tetapi mereka menjauhi daripadanya.

4- Anda menghabiskan usia anda untuk menghafal dan berhibur dengan lagu dan muzik, tetapi tidakkah anda membaca ayat berikut?
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
«Orang-orang yang beriman dan yang tenang hati-hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuïlah bahawa dengan mengingati Allah ia akan menenangkan hati-hati» [Ar-Ra`d: 28]

5- Anda berhujah bahawa ia dibenarkan selagi tidak melalaikan. Tetapi tidakkah anda terlalai daripada ayat Allah di bawah ini?
أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ * أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
«Mereka itulah orang-orang yang Allah melaknat mereka, dan Dia memekakkan mereka dan membutakan penglihatan mereka. Tidakkah mereka meneliti Al-Qur’an? Atau terdapat di atas hati-hati mereka kunci-kuncinya?» [Muhammad: 23-24]

6- Tidakkah lagu dan muzik itu melalaikan anda daripada meneliti dan memahami Al-Qur’an? Sedangkan Allah menyuruh mengingati-Nya? Kata Allah:
وَاذْكُر رَّبَّكَ كَثِيرًا وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالإِبْكَارِ
«Dan ingatlah Tuan kamu banyak-banyak, dan bertasbihlah ketika petang dan pagi» [Ali `Imran: 41]

7- Jika anda hanya mendengar satu atau dua lagu sehari, yang mungkin memakan hanya lima hingga sepuluh minit, maka itu tidaklah menjadi suatu kesalahan.

8- Namun, jika earphone anda sentiasa di telinga, dengan iPod atau mp3 player anda sentiasa di sisi, tidakkah itu melalaikan anda daripada-Nya?

9- Kata Allah:
إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
«Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan dan hati, setiap itu – terhadapnya – akan disoal» [Al-Isra’: 36]

10- Maka apakah jawaban anda terhadap soalan itu nanti?

WaLlahu a`lam.

Ditulis oleh Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin
17/05/2011 23:30H ad-diyari.com/

Khamis, Oktober 13, 2011

MENGANUT Islam bukan pilihan, tapi kemestian


ENTAH berapa kerap kita mendengar hujah bahawa seseorang tidak dipaksa memeluk Islam.  Sekalipun sesebuah negara menjalankan dasar-dasar Islam yang diambil sepenuhnya daripada al-Quran dan Sunah Nabi, namun rakyat bukan Islamnya tetap dijamin tidak dipaksa memeluk Islam.  Ungkapan tidak ada paksaan memeluk Islam sebenarnya merupakan kenyataan Allah yang terkandung dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 246 (maksudnya) “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah.  Kerna itu sesiapa yang ingkar kepada taghut (syaitan dan apa yang disembah selain Allah)  dan beriman kepada Allah sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali Allah yang amat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Daripada ungkapan ‘tiada paksaan memeluk Islam’ kadang-kadang difahami sebagai pengiktirafan Islam terhadap akidah-akidah selain Islam.  Adakah ini bermakna jika seseorang tidak mahu memeluk Islam masih dalam pengiktirafan hidup beragama?  Ada yang memahami ayat tidak dipaksa seseorang memeluk Islam sebagai persamaan agama Islam dengan agama-agama lain, yang Allah tidak mengenakan hukuman di dunia apabila seseorang tidak mahu memeluk Islam.

Jika diperhatikan maksud ayat di atas, ada frasa ayat ‘sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dan jalan yang salah’.  Seseorang tidak dipaksa memeluk Islam kerana Allah telah menghamparkan semua bukti mengenai kebenaran system hidup Islam dan kepalsuan agama selain Islam.  Prinsip yang terdapat dalam banyak ayat al-Quran ialah Allah mengalu-alukan orang yang beriman (hidup di atas jalan Islam) dan memberi amaran keras terhadap orang yang mengingkari seruan untuk beriman kepada-Nya.  Berapa banyak ayat al-Quran yang Allah menggambarkan kesudahan baik kepada orang yang menerima Islam dan nasib buruk kepada orang yang ingkar untuk beriman kepada-Nya.

Ini salah satu ayat dalam al-Quran yang memberi pengiktirafan dan balasan baik di akhirat kepada yang memilih jalan beriman, jalan Islam yang diseru oleh Nabi Muhammad.   Maksud ayat surah al-A’raf:42  ”Dan orang-orang yang beriman serta mengerjkan amal-amal salih -  Kami tidak memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni syurga dan kekal di dalamnya.

Ini pula salah satu ayat dalam al-Quran yang menjelaskan balasan buruk kepada manusia yang tidak mahu beriman atau memeluk Islam sebaliknya mempertahankan pegangan agama lain yang salah.  Maksud ayat dalam surah al-An’am:37 “Dan jika kamu (Muhammad) melihat mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata ‘kiranya kami dikembalikan (ke dunia) dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang yang beriman, (tetulah kamu melihat peristiwa yang sangat mengharukan).”

Di akhirat, ada satu kumpulan manusia yang tidak dimasukkan dalam syurga dan neraka.  Mereka dalam ketentuan Allah di antara syurga dan neraka.  Sekalipun mereka tidak disiksa seperti penduduk neraka namun mereka tetap begitu ingin memasuki syurga seperti orang-orang yang beriman kepada Allah.  Allah rakamkan kehidupan mereka di akhirat sebagai peringatan kepada manusia agar tidak berbelah bagi memilih Islam.  Maksud surah al-A’raf ayat 46-47 “Dan di antara kedua-dua (penghuni syurga dan neraka) ada batas. Dan di atas al-A’raf itu ada orang yang mengenal masing-masing dari dua golongan itu dengan tanda-tanda mereka.  Dan mereka menyeru penduduk syurga ‘Salamun alaykum’.  Mereka belum lagi memasukinya, sedang mereka ingin  segera (memasukinya).  Dan apabila mereka dialihkan ke arah penghuni neraka, mereka berkata ‘Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menempatkan kami bersama-sama orang yang zalim itu.”

Kesimpulannya, menjadi muslim (dan meningkatkan  kualiti diri sebagai muslim) bukanlah pilihan dalam kehidupan di dunia ini.  Sama ada seseorang itu suka atau tidak, dia mesti menerima Islam sebagai pegangan agamanya.  Penerimaan Islam memberi jaminan selamat hidup di dunia dan akhirat kelak.  Jika ada orang yang mengatakan pemaksaan menerima Islam dan beriman kepada Allah sebagai satu kezaliman, dia hanya perlu memberi hujah atau bukti bahawa dirinya bukanlah manusia yang diciptakan Allah (serta diberi segala kenikmatan oleh Allah di dunia ini).

Isnin, Oktober 10, 2011

KEDUDUKAN doa minta rezeki (solat Dhuha)


Soalan:
Assalamualaikum ustaz, ana nak tanya pendapat ustaz tentang doa di bawah.
“Ya Allah, sekiranya rezeki kami berada di langit, maka turunkanlah ia. Jika ia ada di bumi, keluarkanlah ia. Jika ia berada di dalam lautan, munculkanlah. Sekiranya rezeki kami di tempat yang jauh, dekatkanlah ia. Jika ia sedikit, banyakkanlah ia.. Dan jika caranya sukar untuk sampai kepada kami, mudahkanlah ia, serta pindahkanlah rezeki tersebut kepada kami dengan kemuliaan."

Jawapan (Ustaz Abdul Kadir Sahak)

Doa ini tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadis Nabi SAW, tidak juga diriwayatkan dari perkataan salah seorang sahabat baginda RA mahupun dari para tabi’ien. Cuma ia merupakan satu doa yang dibaca oleh seorang wanita Arab Badwi di ‘Arafah. Hal ini berdasarkan riwayat daripada al-Dainoori di dalam al-Majalisah wa Jauhar al-‘Ilmi dengan sanadnya (Hal: 727) dari al-Asma’ie yang berkata:

سمعت أعرابية بعرفات وهي تقول : اللهم إن كان رزقي في السماء فأنزله ، وإن كان في الأرض فأخرجه ، وإن كان نائيا فقربه ، وإن كان قريباً فيسره

Maksudnya: “Saya telah mendengar seorang wanita badwi ketika berada di Arafah berdoa: Ya Allah sekiranya rezeki saya berada di langit, maka turunkanlah ia, jika ia berada di bumi, maka keluarkanlah ia, jika ia berada di tempat yang jauh, dekatkanlah ia, jika ia dekat, permudahkanlah ia.”

Inilah yang dinukilkan oleh al-Hafidz di dalam al-Bayan wa al-Tabyin (517), demikian juga al-Zamakhsariy di dalam Rabi’ al-Abrar (178) dan selain mereka berdua. Doa ini secara keseluruhan merupakan permohonan memperolehi rezeki dan dipermudahkan, ia termasuk dalam perkara yang tidak ada masalah.

Sekalipun begitu, di dalam doa ini terdapat unsur takalluf (memberat-beratkan) dan al-Tasyqiq (mereka-reka ibarat ayat) dalam permintaan. Perkara ini menyalahi petunjuk yang paling sempurna dari Nabi SAW dan para sahabat baginda di dalam berdoa. ‘Aisyah RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنْ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ

Mafhumnya: “Adalah Rasulullah SAW menyukai doa yang al-Jawami’ dan baginda meninggalkan doa yang lainnya.” (HR Ahmad 27649, dan Abu Daud 1482. Hadis ini dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Yang dimaksudkan dengan doa yang al-Jawami’ iaitulah doa yang menghimpunkan kebaikan di dunia dan di akhirat, ia merupakan doa yang lafaznya pendek tetapi memiliki makna yang luas, seperti doa di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة وَفِي الْآخِرَة حَسَنَة وَقِنَا عَذَاب النَّار

Mafhumnya: “Wahai tuhan kami kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhilah kami dari azab api neraka.” Demikian juga doa lain yang memohon keselamatan di dunia dan di akhirat.

‘Ali al-Qari berkata:
وَهِيَ الَّتِي تَجْمَعُ الْأَغْرَاض الصَّالِحَة ، أَوْ تَجْمَعُ الثَّنَاء عَلَى اللَّه تَعَالَى وَآدَاب الْمَسْأَلَة
Maksudnya: “(Doa yang al-Jawami’) iaitulah doa yang menghimpunkan permintaan-permintaan (hajat-hajat) yang baik atau yang menghimpunkan pemujaan kepada Allah dan adab-adab dalam permohonan.” (‘Aun al-Ma’bud 4/249)

Daripada Anak Sa’ad bin Abi Waqqas katanya:

سَمِعَنِي أَبِي وَأَنَا أَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَنَعِيمَهَا وَبَهْجَتَهَا وَكَذَا وَكَذَا ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ النَّارِ وَسَلَاسِلِهَا وَأَغْلَالِهَا وَكَذَا وَكَذَا ، فَقَالَ : يَا بُنَيَّ ، إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : ( سَيَكُونُ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الدُّعَاءِ ) ؛ فَإِيَّاكَ أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ ؛ إِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَ الْجَنَّةَ أُعْطِيتَهَا وَمَا فِيهَا مِنْ الْخَيْرِ ، وَإِنْ أُعِذْتَ مِنْ النَّارِ أُعِذْتَ مِنْهَا وَمَا فِيهَا مِنْ الشَّرِّ !!

Mafhumnya: “Bapaku mendengar doa daripadaku: Ya Allah aku memohon kepadaMu syurga, nikmat-nikmat dan kegembiraannya sedemikian dan demikian, aku juga memohon perlindungan dengan Engkau dari neraka, rantai-rantai dan belenggu-belenggunya sedemikian dan demikian. Mendengar doa aku ini, Sa’ad berkata: Wahai anakku, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Akan ada satu kumpulan yang melampau-lampau di dalam berdoa.” Oleh kerana itu, jaga-jagalah kamu (jauhilah) dari termasuk dalam kalangan mereka. sesungguhnya, sekiranya engkau dikurniakan syurga, engkau juga telah dikurniakan semua kebaikan yang ada di dalamnya, dan sekiranya engkau dijauhkan dari neraka, maka engkau juga telah dijauhkan dari apa-apa keburukan yang ada di dalamnya.” (HR Ahmad 1486 dan Abu Daud 1480. Dinilai Sahih oleh al-Albani)

Contoh doa baginda Nabi SAW pula yang dimulai dengan memuji, memuja Allah dituriti dengan permintaan, seperti:

اللَّهُمَّ أَنْتَ الْأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنْ الْفَقْرِ

Mafhumnya: “Ya Allah Engkaulah yang terawal dan tiada sesuatupun sebelum daripadaMu, Engkaulah yang Akhir, tiada sesuatupun selepasMu, Engkaulah yang Zahir (yang maha tinggi dan teratas), tiada sesuatupun yang lebih tinggi dan atas daripadaMu, Engkaulah yang Batin (yang Maha hampir), tiada sesuatupun yang lebih hampir daripadaMu. (Ya Allah) selesaikanlah hutang kami dan selamatkan kami dari kefakiran.” (HR Muslim 2713)

Daripada ‘Ali RA pula:

أَنَّ مُكَاتَبًا جَاءَهُ فَقَالَ : إِنِّي قَدْ عَجَزْتُ عَنْ كِتَابَتِي فَأَعِنِّي ؟! قَالَ : أَلَا أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ عَلَّمَنِيهِنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، لَوْ كَانَ عَلَيْكَ مِثْلُ جَبَلِ صِيرٍ دَيْنًا أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْكَ ؟! ، قَالَ : قُلْ : ( اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Mafhumnya: “Bahawa seorang hamba Mukatib (Hamba yang diletakkan syarat oleh tuannya untuk bebas dengan sesuatu bayaran) datang kepadanya dan berkata: Sesungguhnya aku telah tidak mampu untuk memenuhi bayaran yang ditetapkan oleh tuanku (الكتابة), bantulah aku! Jawab ‘Ali RA: Mahukah kamu aku mengajarkan kepadamu beberapa kalimat yang diajar kepadaku oleh Rasulullah SAW? Sekalipun kamu memiliki hutang seumpama bukit yang besar, Allah akan melangsaikannya darimu. ‘Ali berkata: Bacalah: Ya Allah cukupkanlah daku dengan perkara-perkara halal dari yang haram, dan kayakan daku dengan kelebihanMu berbanding dari selainMu.” (HR al-Tirmizi 3563. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi. Sila lihat Tashih al-Doa oleh al-Syeikh Bakr Abu Zaid, Hal: 61-63)

Jelas dari contoh doa-doa Nabi SAW ini tiada ciri-ciri melampau atau memberat-beratkan dan mereka-reka ibarat yang tidak perlu di dalam berdoa. Oleh yang demikian kita mencadangkan kepada semua orang untuk memilih doa-doa Nabi SAW dan petunjuk dari baginda dalam berdoa dengan menjauhi doa yang melampau-lampau dan ibarat bahasa yang tidak ada keperluan.

Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan doa yang ditanya di dalam soalan ada dicadangkan oleh sebahagian ulama RH terutama dari fuqaha yang terkemudian dari mazhab al-Syafie. sebahagian mereka mengkhususkan doa ini untuk dibaca selepas solat Dhuha. Namun perbuatan mengkhususkan sesuatu doa untuk dibaca di tempat tertentu memerlukan dalil dan petunjuk dari Nabi SAW. Malangnya pengkhususan itu tidak ada, tambahan pula doa ini memiliki ragkapan ayat-ayat yang melampaui dari adab berdoa yang diajar oleh Baginda SAW.

Wallahu a’lam.
Nukilan jawapan dari laman Islam-qa.com. terjemahan beserta olahan dari Bin Sahak.

Selasa, Oktober 04, 2011

ZINA tidak malu, beranak baru malu


SEORANG gadis berumur 19 tahun hamil tetapi semua saudara-mara dan jirannya tidak perasan hal berkenaan.  Dia tinggal di tingkat dua sebuah apartment, dan melahirkan seorang bayi yang sempurna.  Kemudian dia mencampakkan saja bayi yang baru dilahirkannya dari tempat dia bersalin.  Bayi berkenaan dijumpai mati oleh orang ramai!


Apa lagi hendak digambarkan atau diceritakan.  Semua bagai klise atau biasa.  Dalam bahasa undang-undang, modus operandinya sama. 

Gadis hamil tanpa suami, menyembunyikan kehamilannya daripada orang ramai dan kemudian membuang bayinya.  Sudah banyak gadis yang ditangkap kerna perbuatan ini dan ada yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan,  atas tuduhan membunuh dan jika sabit kesalahan dia akan dihukum mati mandatori.  Hal ini satu tragedi besar kepada bangsa Melayu atau umat Islam di Malaysia.

Tidak susah untuk mencari sebab mereka membuang bayi yang dikandungnya.  Puncanya dia hamil tanpa suami, hasil perzinaan dengan teman lelakinya.  Dalam masyarakat Melayu  dulu pun berlaku kehamilan luar nikah, tetapi keluarga menutup malu si gadis dengan menikahkan dengan teman lelakinya atau dicarikan seorang ‘Pak Sanggup’ untuk bernikah dengan gadis itu.  Apa cerita pun, yang penting dalam tempoh beberapa bulan berbaki, si gadis hamil di sisi seorang suami.  Dia tidak perlu memikirkan bagaimana dan di mana bayinya hendak dibuang!  Sekarang jarang keluarga mencarikan ‘Pak Sanggup’ untuk menutup malu.  Agaknya itu juga punca bayi dibuang bagai kain buruk.

Apakah tragedi ini hanya berlaku dalam kalangan bangsa Melayu atau umat Islam? Tragedi membuang bayi memang hanya berlaku dalam masyarakat Melayu kerana sikap masyarakatnya yang hanya malu akibat anak gadisnya hamil tanpa suami.  Masyakarat Melayu tidak malu anak-anak mudanya berpacaran, keluyuran tanpa pengetahuan dan tidur di mana-mana.  Hal ini ini seolah-olah “kau bebas berpacaran dan berbuat apa saja, asalkan jangan hamil!”  Malangnya tanpa dikehendaki, janin membesar dalam perut.

Masyarakat bukan Islam lebih bebas memberi peluang anak-anak muda perpacaran.  Mereka tidak ada had-had dalam pergaulan.  Lihat saja pakaian seksi anak-anak muda mereka (pada saat masih ada lagi anak-anak muda  muslim yang menjaga auratnya).  Dalam kes kematian kontroversi seorang setiausaha politik seorang Adun DAP, dia telah menghamili seorang gadis dan keluarga mendiang menerima kehamilan itu tanpa rasa malu atau bersalah.  Pemimpin-pemimpin Melayu Islam yang dituduh berzina tidak akan mengakuinya secara terbuka, tetapi seorang pemimpin bukan Islam mengakui dengan terbuka bahawa dia memang berzina sebagaimana yang tergambar dalam sebuah video.  Kerna pemikiran mereka yang menerima pergaulan bebas, percintaan tanpa batasan, bersekedudukan dan zina, maka jika berlaku kehamilan  hal itu ditangani sebagaimana kehamilan perempuan yang bersuami.

Masyarakat Melayu Islam tidak jujur dalam pemikiran terbukanya.  Sebagian besar mereka mengakui peredaran zaman dan menerima pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, malangnya mereka masih kolot untuk menerima kehamilan luar nikah.  Inilah punca utama berlakunya pembuangan atau pembunuhan bayi-bayi yang baru dilahirkan.

Dari sudut agama apa?  Haram atau dosa ialah pada punca-punca zina seperti pandangan liar lelaki dan perempuan serta pendedahan aurat wanita (maka Allah melarangnya dalam surah an-Nur:30-31),  sehingga terdapat hukum had atau sebat terhadap penzina (surah an-Nur:2 ).  Allah haramkan hal-hal yang boleh menjadikan zina termasuk zina itu sendiri (surah al-Isra’:32). Tidak ada dosa atau pengharaman hamil tanpa nikah apa lagi berdosa besar ketika bersalin atau memiliki anak luar nikah.  Hamil, melahirkan bayi dan mempunyai anak merupakan kesan zina.  Sebab itu Islam mengharamkan semua hal yang membawa zina dan perbuatan zina.  Malangnya masyarakat Melayu terbalik memahami di mana dosa dan malu.  Sepatutnya mereka merasa haram dan malu dengan perbuatan yang memulakan zina dan amalan zina.  Kini mereka malu hanya pada kesan zina.

Apa hendak dibuat lagi? Tidak ada ada hal yang lewat dalam perjuangan.  Keadaan ini juga memberi peluang sesiapa membuat pahala besar di samping menempah nikmat Allah di akhirat kelak.  Apabila terlihat anak-anak muda lelaki dan perempuan berdua-duaan, kepada yang mahu mendapat pahala tentulah perlakuan anak-anak muda ini akan ditegur.  Tegur dari secara hikmah atau berlembut agar mereka sedar atau pilihan lain seperti memarahi sehingga peringkat berkeras terhadap perbuatan buruk prazina itu.  Tujuannya ialah melaksanakan amal makruf nahi mungkar.  Sikap sentiasa berlembut dan berlapang dada dalam perbuatan prazina inilah yang menyebabkan anak-anak muda tidak segan silu berpegangan tangan, bergurau senda dan berpelukan di hadapan orang berkopiah pun!

Sudah, jangan perduli dengan “nanti apa orang lain kata?”.  Kita berpindah kepada kata-kata hikmat “nanti apa Allah kata?”.  Kita bukan hendak memalukan mereka dengan menegur pergaulan bebas dan pendedahan aurat, tetapi kita sebenarnya hendak menolongnya.  Sekurang-kurangnya kita menolong anak-anak muda tidak perlu berfikir “bagaimana dan di mana hendak membuang bayi”.

Selasa, September 27, 2011

APAKAH kita tidak membuat Rasulullah marah?


ADA kalanya orang berceramah cuba membayangkan sekiranya Rasulullah berada di hadapan kita dan memerhatikan perilaku kita, apa agaknya yang akan diperkatakan oleh Nabi Akhir Zaman itu? Adakah jika berlaku perbedaan pendapat dengan Rasulullah, maka kita akan segera mengikutinya atau bermuka-muka di hadapan baginda atau membantah sebagaimana kita membantah kata-kata rakan kita?

Pada zaman baginda dahulu pun menjadi perkara yang lumrah orang memaki-hamun baginda.  Keadaan ini pun dirakam dalam al-Quran.  Manusia yang mereka gelar al-Amin sudah diubah gelarannya kepada ‘orang gila’ atau ‘ahli sihir’. Bahkan ada yag sudah menjadi muslim, hidup bersama Rasulullah juga masih bersikap kasar kepada baginda Rasulullah.  Apabila membaca kisah baginda zaman itu, apakah kita tidak akan berlaku kasar apabila ditegur oleh Rasulullah?  Ya, andaikan kita berhadapan dengan baginda Rasul itu.

Dalam satu hadis, seorang sahabat bernama Abdullah bin Zubair menjelaskan, bahawa berlaku perselisihan antara ayahnya, iaitu Zubair bin Awam dengan seorang sahabat Ansar mengenai pengairan kebun di Harah, Madinah. Atas perkara ini Rasulullah bersabda “Wahai Zubair, siramilah dahulu kebunmu kemudian alirkan ke tetanggamu”.  Sahabat Ansar itu tidak dapat menerima keputusan Rasulullah dan berkata, “Wahai Rasulullah, apakah kerna dia (Zubair) itu anak bibik (ibu saudara) mu, sehingga kau memutuskan begitu?”  Mendengar hal itu wajah Rasulullah menjadi berubah dan berkata, “Wahai Zubair, sirami kebunmu hingga penuh ke pinggir-pinggir kebun kurmamu.  Setelah itu alirkan ke tetanggamu.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasa’I dan Ibnu Majah)

Peristiwa di atas menjadi sebab turunnya ayat 65 surah an-Nisa yang bermaksud, “Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”

Hari ini antara kita sama ada secara sengaja atau tidak, juga mempunyai sikap seperti sahabat Ansar  membantah keputusan yang dibuat oleh Rasulullah.  Perbedaan yang ada cuma kita tidak berhadapan dengan peribadi Rasulullah, kita berhadapan dengan hadis-hadis yang juga sabdaan baginda Rasul.

Cuba perhatikan apabila orang membawakan hadis seperti di bawah.

Maksud sabda Rasulullah, “Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah, taat dan patuh (kepada pemimpin), walaupun pemimpin kamu seorang hamba abdi berkulit hitam.  Sesiapa antara kamu yang masih hidup setelah ketiadaanku, dia akan melihat banyak perselisihan.  Oleh itu, kamu hendaklah berpegang teguh kepada sunahku dan sunah khulafa al-Rasyidin yang mendapat petunjuk.  Gigitlah ia dengan geraham (iaitu berpeganglah dengan kuat).  Kamu hendaklah menjauhi perkara-perkara yang baru, kerna setiap perkara baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.” (Riwayat Abu Dawud)

Berapa banyak pula orang berdebat mengenai ayat akhir Rasulullah  “…setiap bid’ah itu sesat.” dengan membawa maksud perbuatan agamanya itu bukanlah termasuk dalam perkara bid’ah sekalipun mengakui amalan itu perkara baru yang tidak diajarkan oleh baginda Rasulullah.

Sebagaimana dalam hadis yang diceritakan oleh Abdullah bin Zubair, Rasulullah mengulang ayatnya dengan nada marah, agaknya Rasulullah juga akan mengulang sabda baginda itu sekali atau dua kali lagi.

“Kamu hendaklah menjauhi perkara-perkara yang baru, kerna setiap perkara baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.”

“Kamu hendaklah menjauhi perkara-perkara yang baru, kerna setiap perkara baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.”

Apa tandanya apabila Rasulullah berubah wajah dan mengulang kali kedua sabdanya?

Selasa, September 20, 2011

UNDANG-undang Syariah ganti Kanun Keseksaan


TIDAK ada lagi antara umat Islam yang berpendidikan di Malaysia yang mengatakan Islam hanya berkaitan dengan ibadah khusus seperti solat dan puasa.  Menjadi kefahaman biasa bahawa Islam merupakan satu sistem hidup untuk manusia, bukan hanya untuk yang beragama Islam.  Lihatlah prinsip-prinsip Islam diamalkan dengan baik dalam sistem perbankan sehingga semua bank konvensional telah membuka satu sistem perbankan Islam sebagai satu tawaran dalam perniagaannya.  Jika tiada permintaan, selalunya syarikat (bank) tidak sudi menawarkan apa-apa.  Lihat saja soal halal dan haram yang sebagian daripada sistem hidup dalam Islam, maka peniaga yang bukan Islam juga terpaksa menepati prinsip halal dan haram barangan makanan yang dikeluarkan.


Yang masih menjadi perjuangan dan belum dilaksanakan ialah undang-undang Islam.  Di Malaysia, jika berlaku jenayah siasatan dan penghakiman berdasarkan Kanun Kesiksaan.  Biarpun dalam undang-undang berkenaan juga memberikan hukuman yang berat sehingga hukuman mati kepada pembunuh, namun prinsip Kanun Kesiksaan bukanlah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran.

Oleh itu apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat mendesak Kerajaan Persekutuan di Putrajaya memberi peluang kepada negeri Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah (Enakmen Kanun Jenayah Syariah II, 1992) atau Hukum Hudud, menjadi kewajiban kepada semua umat Islam menyokong gesaan itu.  Jika dipandang dari sudut rasional sahaja pun, sudah jelas bahawa Malaysia memang sangat memerlukan undang-undang yang dapat mengurangkan jenayah berat dengan banyaknya.  Mungkin jenayah berat seperti bunuh tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, namun jika dapat dikurangkan sehingga 80 peratus, cukup memberi keselesaan besar kepada rakyat.  Hanya Undang-undang Syariah saja yang mampu memberikan penyelesaian ini.

Dari sudut kewajiban melaksanakan hukum Islam (Hudud)  ayat yang menyatakan Allah mewajibkan ada dalam ayat 178 surah al-Baqarah. Maksud ayat itu ialah, Hai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas berkenaan orang yang dibunuh: Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, serta wanita dengan wanita.  Maka sesiapa yang mendapat suatu kemaafan daripada saudaranya hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik dan hendaklah (yang dimaafkan) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik.  Yang demikian itu satu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat.  Sesiapa yang melampau batas sesudah itu, maka baginya siksaan yang pedih.

Maksud ayat 179 al-Baqarah, Dan dalam qisas itu ada (jaminan) hidup bagi kamu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.

Kita buat perbandingan untuk membuktikan jaminan Allah dalam ayat 179 itu.  Berdasarkan undang-undang sedia ada, katakan X membunuh Y.  Mahkamah Tinggi memutuskan X bersalah dan dijatuhi hukuman mati.  X berhak membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.  Jika rayuannya gagal, X dibenarkan membuat rayuan kepada Raja agar hukuman itu dikurangkan atau dilepaskan daripada hukuman mati itu.  Soalnya, X yang membunuh Y, dan Raja bukanlah waris kepada mangsa (Y), mengapa Raja diberi hak membuat pengampunan kepada X?  prosedur ini jauh tersasar daripada arahan Allah dalam ayat 178!

Berdasarkan hukum qisas itu, X diberi peluang membuat rayuan sama ada diringankan hukuman matinya kepada membayar denda (diat) atau minta maaf begitu saja kepada waris yang dibunuh (Y).  Waris Y pula mempunyai tiga pilihan iaitu pertama, mengekalkan hukuman mati, kedua menerima ganti rugi atau diat dan ketiga memaafkan tanpa apa-apa syarat.

Berdasarkan perbandingan antara Undang-undang Syariah dan Kanun kesiksaan, orang yang berakal pasti menyatakan keadilan jauh lebih terserlah dalam Undang-undang Syariah.  Dalam undang-undang biasa pula sangat jelas merampas hak keluarga mangsa.  Perhatikan, sekalipun mahkamah sivil mendenda RM500 ribu kepada X kerana membunuh Y (sebagai ganti hukuman mati), wang itu bukan diberikan kepada waris Y sebaliknya dimasukkan perbendaharaan negara.  Apa yang waris Y dapat daripada pengakiman itu?

Rasanya cukuplah (setakat ini dulu) pihak yang menolak pelaksanaan Undang-undang Syariah menjelaskan di mana zalimnya kes di atas dalam perbandingan antara Undang-undang Syariah  dengan undang-undang Barat yang diagung-agungkan!

Selasa, September 13, 2011

SELAIN Solat Hajat, ada pilihan lain dalam berdoa


AGAKNYA di mana-mana, pihak sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru-guru (PIBG) dalam proses melaksanakan program Solat Hajat kerana anak-anak mereka tidak lama lagi akan menduduki peperiksaan awam.  Di balik keghairahan bersolat hajat yang meriah itu, saya tawarkan rencana pendek untuk diberikan kepada sesiapa juga khasnya murid atau pelajar yang mengharapkan hasil peperiksaannya cemerlang.


KITA manusia yang lemah.  Apabila kita mengaku lemah, kita mengakui ada pihak yang kuat, yang gagah perkasa dan mampu memberi pertolongan kepada kita yang lemah.  Oleh kerna kita lemah, maka kita hanya mampu meminta dan tidak boleh mendesak-desak supaya apa yang kita pinta ditunaikan.

Dalam musim menghadapi peperiksaan semua murid dan pelajar sudah belajar atau berusaha untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.  Ibu bapa, guru-guru dan murid telah berusaha lama belajar, mengkaji bentuk soalan, mempelajari teknik menjawab soalan, melatih diri menjawab mengikut format peperiksaan dan pelbagai kaedah ikhtiar sebagai manusia yang diperintahkan supaya berusaha mencapai sesuatu tujuan.  Dalam kita berusaha, kita tidak melupakan kuasa yang agung iaitu Allah.  Hanya Dialah yang dapat menunaikan kehendak atau impian kita dalam peperiksaan.  Maka kita sebagai manusia atau hamba yang sangat lemah, tidak dapat mengharap kepada yang lain, selain Allah yang Maha perkasa.  Dia juga maha penyayang dan pemberi.

Maksud firman Allah dalam surah al-Ghafir 40:60, “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadah (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

Oleh kerana doa adalah permohonan, maka afdal kita meminta kepada Allah pada waktu yang Allah sendiri sangat bersedia untuk menunaikan apa yang dipinta.  Dalam kehidupan antara sesama manusia pun, kalau kita hendak meminta sesuatu daripada ayah dan ibu ada waktu yang sangat sesuai, mungkin pada waktu malam selepas makan bersama.

Waktu yang paling baik berdoa adalah waktu malam. Rasulullah memberitahu kita, bahawa satu pertiga malam akhir atau kira-kira pukul 2.00 hingga 6.00 pagi (sebelum masuk waktu subuh). Maksud sabda Rasulullah: “Allah tabaraka wa ta’ala akan turun setiap malam ke langit dunia hingga tersisa sepertiga malam terakhir. Maka Dia berkata: “Barangsiapa  yang berdo’a kepada-Ku akan Aku kabulkan doanya; barangsiapa yang meminta kepada-Ku, akan Aku beri permintaanya; dan barangsiapa yang meminta ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni dia”. (HR. al-Bukhari dan Muslim)

Bilakah pula saat atau detik paling Allah suka dan dikira ‘seakan-akan pasti’ menunaikan apa yang kita pinta?  Hal ini pun diberitahu oleh Rasulullah, iaitu dalam solat ketika bersujud.  Alangkah baiknya permintaan kita supaya lulus cemerlang dalam peperiksaan dinyatakan ketika sujud dalam solat sunat tahajud itu. Maksud sabda Rasulullah, “Paling dekat hamba dengan Tuhannya ialah ketika sujud, maka banyakkanlah doa ketika sujud.” (Riwayat Muslim)

Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kita sedar dan faham apa yang dipinta.  Dalam kehidupan sehari-hari pun tidak pernah kita meminta sesuatu atau pertolongan dalam keadaan kita tidak sedar atau tidak faham apa yang diminta! Tidak pelik di sisi Allah berdoa dalam bahasa Melayu, tetapi bukan dalam solat.  Jika dalam solat berdoalah dalam bahasa Arab atau menyatakan dalam hati jika menggunakan bahasa Melayu.

Maksud sabda Rasulullah, “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai dan alpa.” (Riwayat at-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani)

Janganlah berdoa dengan suara yang kuat atau lantang.  Kita bukan berdoa kepada Tuhan yang pekak. Tetapi kepada Yang Maha Mendengar.  Bersuara lembut dan perlahanlah, serta merayu-rayu penuh harapan agar ditunaikan permintaan.  Penuh yakin semua permintaan kita ditujukan kepada Allah, kerna tidak ada sesiapa juga yang dapat menunaikan hajat atau harapan kita dalam peperiksaan selain Allah Yang Maha Kaya.  Ini diajarkan oleh Allah dalam al-Quran.

Maksud firman Allah dalam surah al-A’raf 7:55-56, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut.  Sungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang melampau batas.  Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah (diciptakan) dengan baik.  Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap.  Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan.”

Begitulah konsep dan peraturan berdoa kepada Allah.  Berdoa merupakan ibadah yang sudah diatur oleh Allah dan diterangkan oleh rasul-Nya.  Jika kita benar-benar merasa lemah, kerdil dan hina di sisi Allah, terima sajalah apa saja garis panduan berdoa yang Allah dan rasul-Nya tunjukkan kepada kita.

Wallahu’aklam


APA yang British paksakan kepada kita?


BIAR sejauh mana negara bergerak maju dan lama mencapai kemerdekaan, jangan  dilupa erti penjajahan.  Kebanyakan negara di dunia pernah melalui sejarah dijajah oleh kuasa-kuasa besar zaman dahulu. Jangan lupa juga bahawa negara besar dan kuat seperti Amerika Syarikat juga dahulu asalnya tanah jajahan British.

Apa erti penjajahan.  Maksud yang paling mudah ialah ‘proses pemaksaan suatu sistem dan nilai asing terhadap sesuatu bangsa manusia’.  Sebagai contoh apabila British mula berkuasa di negeri Perak dan menegakkan sistem Residen, banyaklah perubahan berlaku terutama dalam politik dan pentadbiran.  Paling ketara Sultan Abdullah dipaksa mengakui bahawa baginda bukan lagi raja berkuasa penuh seperti sultan-sultan Perak sebelumnya.  Para pembesar kehilangan kuasa ‘pegangan wilayah’ yang asalnya menyebabkan mereka berpengaruh dan kaya raya.  British telah memaksa sistem baru dalam pentadbiran Perak. 


Reaksi Sultan dan pembesar Melayu terhadap pemaksaan sistem dan nilai baru ialah, mereka marah. Inilah yang dinamakan penjajahan.  Maka orang-orang yang tidak mahu menerima sistem dan nilai itu melawan terhadap British yang memaksakan sistem baru itu. Terbunuhlah Residen Birch (1875) tetapi akibatnya Sultan Abdullah dibuang jauh dari Perak, para pembantunya yang menjayakan pembunuhan itu dihukum mati. 

Masyarakat hari ini (dan masa depan) mesti melihat perjuangan melawan British di Perak dan beberapa negeri lain semasa permulaan penjajahan British berdasarkan kaca mata zaman itu.  Jika masyarakat hari ini menilai perjuangan orang yang menentang British berdasarkan kaca mata zaman sekarang, pasti pejuang-pejuang itu dianggap melakukan kerja bodoh.

Hari ini sudah 54 tahun Malaysia merdeka, dan sebagian besar sistem dan nilai penjajah British diguna pakai dengan aman.  Konsep Raja Berperlembagaan yang dilaksanakan hari ini sebenarnya dirintis oleh penjajah British melalui Perjanjian Pangkor 1874.  Jika kita hari ini mempertahankan amalan Raja Berperlembagaan, Sultan Abdullah, Datuk Maharaja Lela dan pembesar-pembesar Melayu Perak dahulu menentang konsep Raja Berperlembagaan.  Rakyat hari ini mempertahankan konsep Raja Berlembagaan kerana tidak mungkin mahu menerima konsep raja Berkuasa Mutlak yang mahu ditegakkan semula oleh Sultan Abdullah dahulu.

Birch dibenci dan dibunuh kerana menentang perhambaan dalam adat pentadbiran Melayu.  Dalam budaya feudal Melayu (ken abaca itulah tamadun Melayu), terdapat sistem kerah dan serah.  Rakyat akan bekerja untuk raja tanpa diberi apa-apa ganjaran atau upah.  Mereka melakukan pekerjaan itu termasuk menjadi tentara raja sebagai tanda taat setia kepada raja.  Sistem kerah ini dianggap melanggar hak-hak asasi oleh British (baca Residen Birch).  Sebab itulah Birch memberi perlindungan kepada ‘hamba-hamba’ Melayu yang tidak mahu lagi mengamalkan Sistem Kerah ini. Maknanya sudah wujud pemikiran ‘hak-hak asasi’ dalam masyarakat Melayu feudal Perak itu.

Saya yakin jika ada usaha untuk mewujudkan semula Sistem Kerah seperti zaman feudal Melayu dahulu, mereka akan dikecam hebat.  Tetapi tidakkah penghapusan sistem Kerah itu merupakan agenda British dalam penjajahannya dahulu.

Hari ini kita mewarisi sekian banyak sistem British atau Barat hasil penjajahan kuasa-kuasa Barat dahulu.  Yang jauh lebih menakjubkan, slogan-slogan anti penjajahan Barat kerap dilaungkan sewaktu bulan merdeka (15 Ogos-16 September) sedangkan semua warisan politik, pentadbiran, budaya-sosial dan ekonomi cara British-Barat cukup kemas dipertahankan.

Lihat saja orang sanggup berdemontrasi semata-mata mahu menggunakan sistem pengundian British dengan tepat, walhal cara memilih pemimpin melalui pilihan raya bukanlah dari tamadun Melayu atau pun Islam.  Lihat pula kerapnya rakyat diasuh supaya menjunjung Perlembagaan negara ketika berlaku perselisihan mengenai pembinaan negara, walhal asas Perlembagaan negara memang disediakan oleh British (melalui Suruhan jaya Lord reid 1956) yang berasaskan tamadun Barat.

Jika kita boleh menghidupkan semula pejuang-pejuang yang bermati-matian melawan British dahulu, dan mereka melihat betapa gembiranya rakyat Malaysia menggunakan sistem dan nilai British pasti mereka bingung.  Bingung kerana pada satu masa membakar emosi (retorik saja) anti-British tetapi semua yang ditinggalkan oleh British diguna dan dipertahankan.

Oleh itu jika hari ini ada pandangan yang mengatakan bahawa negara kita tidak dijajah oleh British, janganlah ada yang pura-pura pelik.  Pada zaman Datuk Mahajaraja Lela dan Mat Kilau memang mereka merasakan ada pemaksaan sistem dan nilai British.  Waktu itu benar-benar British melakukan penjajahan.  Hari ini penerimaan penuh rela terhadap semua sistem dan nilai British menyebabkan kalangan mereka berasa enak dan berterima kasih atas kehadiran British memberikan sistem dan nilai baru.

Soalnya sampai bila kita masih beretorik mengatakan British sebagai penjajah yang menyusahkan kehidupan rakyat dengan pelbagai cukai sedangkan hari ini cukai-cukai yang dilawan oleh orang dahulu menjadi sumber pendapatan negara?

Apakah ada parti politik yang menawarkan perubahan sistem dan nilai kepada rakyat untuk benar-benar melepaskan diri daripada ‘penjajahan British’ dan membawa sistem serta nilai baru?

Khamis, September 08, 2011

AKIDAH orang mati kemalangan jalan raya


SETIAP kali musim perayaan pihak kerajaan melalui Jabatan Polis melaksanakan Ops Sikap.  Operasi yang terkini ialah siri ke-24.  Ops Sikap sempena Hari Raya tahun 2011 ini berakhir pada 9 September 2011, namun pada hari ini (8 september) sudah ada rekod 280 kematian akibat kemalangan di jalan raya.  Ertinya, untuk sehari terakhir pasti akan ada lagi pengguna jalan raya yang bakal menjadi arwah. Siapa? Mungkin kita antaranya, cuma menunggu masa yang akan tiba! 

Begitulah rekod setiap kali Ops Sikap dengan purata kematian selama 15 hari itu ialah 250 kematian.  Pihak kerajaan atau NGO sudah tahu sangat punca kemalangan maut yang sudah menjadi berita biasa di Malaysia. Punca utamanya ialah sikap pengguna. Teras sikap pengguna yang teruk itu ialah melanggar peraturan jalan raya.  Jika peraturan hanya membenarkan pemanduan maksimum 80 km/jam, maka pemandu memandu lebih daripada hadnya.  Jika lampu trafik merah tanda semua wajib berhenti, ada pemandu yang terus memandu tanpa menghirau apa warna pun.  Jika dilarang memintas di garisan kembar, di situlah pemandu menunjukkan kehandalan melanggar undang-undang. Yang mengantuk masih terus memandu kenderaan.  Yang menunggang motorsikal kerap menunggang  dengan cara yang membahayakan diri dan orang lain, tetapi kepada mereka itulah kepuasan menunggang motorsikal sekalipun melanggar undang-undang jalan raya!


Polis Trafik telah mengeluarkan  statistik kematian akibat kemalangan di jalan raya, iaitu purata 18 orang mati (segera) kerana kemalangan kenderaan.  Oleh itu dalam sebulan mesti 540 orang mati di atas jalan, dan setahun jumlahnya menjadi 6480 orang.  Jika 10 tahun, jumlah yang mati kemalangan di jalan sebanyak 64, 800 orang.  Dengan jumlah itu, hampir semua keluarga di Malaysia mempunyai wakil kematian akibat kemalangan jalan raya.  Jika bukan ayah dan ibu, mungkin adik-beradiknya. Jika bukan saudara kandung, mungkin saja sepupu atau anak saudaranya.

Persoalannya, bolehkah masalah ini diatasi oleh sistem Islam?  Sistem Islam ialah berasaskan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi.  Ada yang memberi senyum sinis apabila persoalan akidah dikaitkan dengan cara pemanduan kenderaan di jalaan raya.  Jangan lupa, akidah adalah pintu masuk seseorang dalam Islam dan akidah yang sejahtera pasti membentuk peribadi seseorang termasuk ketika menggunakan jalan raya.

Ada yang sudah ‘bosan’ dengan kes langgar undang-undang jalan raya sehingga mereka mengatakan “undang-undang Allah pun dilanggar, inikan pula undang-undang manusia”.  Adakah melanggar undang-undang jalan raya seperti yang terkandung dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 merupakan perbuatan harus atau haram di sisi Allah?  Memang kandungan akta berkenaan langsung tidak tercatat dalam al-Quran mahupun hadis sahih nabi.

Asasnya ada pada surah An-Nisa ayat 59 (maksudnya): Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah, Rasul (Muhammad) dan Ulil Amri (pemerintah) di antara kamu……”

Berdasarkan al-Quran, orang-orang beriman wajib mentaati pemerintah dalam negara.  Pemerintah diberi amanah mengurus negara dan rakyat, maka dikeluarkan peraturan atau undang-undang termasuk undang-undang jalan raya untuk menjaga keselamatan dan kebajikan pengguna-penggunanya.  Sebagai rakyat muslim yang beriman, wajib patuh undang-undang jalan raya kerana itulah arahan Allah.  Arahan Allah ialah ‘taatilah Ulil Amri’ atau pemerintah.

Mengingkari undang-undang dalam akta berkenaan bererti ingkar terhadap seruan Allah supaya kita patuh kepada undang-undang dibuat oleh pemerintah.  Bukankah ingkar arahan Allah bererti rosak akidahnya?  Sebab itulah, mereka yang akidahnya sejahtera pasti terpancar pada keindahan perilaku kehidupannya termasuk cara mereka menggunakan jalan raya.

Sengaja-sengaja melanggar undang-undang jalan raya (yang dibuat oleh pemerintah) merupakan satu pemberontakan terhadap arahan Allah dalam ayat di atas.  Kes masyarakat kita tidak begitu faham dosa melanggar arahan Allah sama juga seperti tidak berapa kisah ingkar arahan supaya solat.  Namun, arahan Allah yang paling ditaati ialah ‘tidak memakan babi’.  Oleh itu, jika masyarakat dapat diubah kepada memahami penggunaan jalan raya termasuk perkara antara halal dan haram, sikap yang ‘sombong’ terhadap undang-undang jalan raya dapat dikikis sedikit demi sedikit.  Tambahan pula dengan data setiap hari 18 orang mati di jalan, wajiblah bimbang saat akhir hidup seseorang itu benar dalam kebaikan atau keburukan.  Jika kita bimbang mati pada saat ingkar terhadap arahan Allah, wajiblah kita berjaga-jaga agar kematian di jalan raya bukan kerana ingkar arahan Allah.

Wallahu’aklam