AGAKNYA di mana-mana, pihak sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru-guru (PIBG) dalam proses melaksanakan program Solat Hajat kerana anak-anak mereka tidak lama lagi akan menduduki peperiksaan awam. Di balik keghairahan bersolat hajat yang meriah itu, saya tawarkan rencana pendek untuk diberikan kepada sesiapa juga khasnya murid atau pelajar yang mengharapkan hasil peperiksaannya cemerlang.
KITA manusia yang lemah. Apabila kita mengaku lemah, kita mengakui ada pihak yang kuat, yang gagah perkasa dan mampu memberi pertolongan kepada kita yang lemah. Oleh kerna kita lemah, maka kita hanya mampu meminta dan tidak boleh mendesak-desak supaya apa yang kita pinta ditunaikan.
Dalam musim menghadapi peperiksaan semua murid dan pelajar sudah belajar atau berusaha untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Ibu bapa, guru-guru dan murid telah berusaha lama belajar, mengkaji bentuk soalan, mempelajari teknik menjawab soalan, melatih diri menjawab mengikut format peperiksaan dan pelbagai kaedah ikhtiar sebagai manusia yang diperintahkan supaya berusaha mencapai sesuatu tujuan. Dalam kita berusaha, kita tidak melupakan kuasa yang agung iaitu Allah. Hanya Dialah yang dapat menunaikan kehendak atau impian kita dalam peperiksaan. Maka kita sebagai manusia atau hamba yang sangat lemah, tidak dapat mengharap kepada yang lain, selain Allah yang Maha perkasa. Dia juga maha penyayang dan pemberi.
Maksud firman Allah dalam surah al-Ghafir 40:60, “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadah (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
Oleh kerana doa adalah permohonan, maka afdal kita meminta kepada Allah pada waktu yang Allah sendiri sangat bersedia untuk menunaikan apa yang dipinta. Dalam kehidupan antara sesama manusia pun, kalau kita hendak meminta sesuatu daripada ayah dan ibu ada waktu yang sangat sesuai, mungkin pada waktu malam selepas makan bersama.
Waktu yang paling baik berdoa adalah waktu malam. Rasulullah memberitahu kita, bahawa satu pertiga malam akhir atau kira-kira pukul 2.00 hingga 6.00 pagi (sebelum masuk waktu subuh). Maksud sabda Rasulullah: “Allah tabaraka wa ta’ala akan turun setiap malam ke langit dunia hingga tersisa sepertiga malam terakhir. Maka Dia berkata: “Barangsiapa yang berdo’a kepada-Ku akan Aku kabulkan doanya; barangsiapa yang meminta kepada-Ku, akan Aku beri permintaanya; dan barangsiapa yang meminta ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni dia”. (HR. al-Bukhari dan Muslim)
Bilakah pula saat atau detik paling Allah suka dan dikira ‘seakan-akan pasti’ menunaikan apa yang kita pinta? Hal ini pun diberitahu oleh Rasulullah, iaitu dalam solat ketika bersujud. Alangkah baiknya permintaan kita supaya lulus cemerlang dalam peperiksaan dinyatakan ketika sujud dalam solat sunat tahajud itu. Maksud sabda Rasulullah, “Paling dekat hamba dengan Tuhannya ialah ketika sujud, maka banyakkanlah doa ketika sujud.” (Riwayat Muslim)
Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kita sedar dan faham apa yang dipinta. Dalam kehidupan sehari-hari pun tidak pernah kita meminta sesuatu atau pertolongan dalam keadaan kita tidak sedar atau tidak faham apa yang diminta! Tidak pelik di sisi Allah berdoa dalam bahasa Melayu, tetapi bukan dalam solat. Jika dalam solat berdoalah dalam bahasa Arab atau menyatakan dalam hati jika menggunakan bahasa Melayu.
Maksud sabda Rasulullah, “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai dan alpa.” (Riwayat at-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani)
Janganlah berdoa dengan suara yang kuat atau lantang. Kita bukan berdoa kepada Tuhan yang pekak. Tetapi kepada Yang Maha Mendengar. Bersuara lembut dan perlahanlah, serta merayu-rayu penuh harapan agar ditunaikan permintaan. Penuh yakin semua permintaan kita ditujukan kepada Allah, kerna tidak ada sesiapa juga yang dapat menunaikan hajat atau harapan kita dalam peperiksaan selain Allah Yang Maha Kaya. Ini diajarkan oleh Allah dalam al-Quran.
Maksud firman Allah dalam surah al-A’raf 7:55-56, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang melampau batas. Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan.”
Begitulah konsep dan peraturan berdoa kepada Allah. Berdoa merupakan ibadah yang sudah diatur oleh Allah dan diterangkan oleh rasul-Nya. Jika kita benar-benar merasa lemah, kerdil dan hina di sisi Allah, terima sajalah apa saja garis panduan berdoa yang Allah dan rasul-Nya tunjukkan kepada kita.
Wallahu’aklam
Catatan yang bgus....
BalasPadambantu saya klik URL ini..
http://www.churpchurp.com/ElynLeen/share/churpchurp-invite