Pengikut

Sabtu, Mac 12, 2016

GAME OVER pembuat bid'ah hasanah

MEMERIMA bid’ah sebagai rekaan baru dalam agama dan mengatakan ada bid’ah hasanah dan bid’ah dolalah sudah biasa didengar.  Maknanya mereka mengakui bahawa terdapat ibadah yang sebenarnya rekaan, atau bukannya tulen daripada ajaran Rasulullah s.a.w.. Namun mereka mendakwa jika ‘perkara itu baik adalah agama’ dan ‘tidak mungkin membaca al-Quran masuk neraka’…. Itulah asasnya bid’ah yang baik atau hasanah.

Kalimah bid’ah dan takrifan sebagai perkara baru dalam agama datang daripada sabda Nabi s.a.w.  Menurut ‘Irbadh bin Sariyah, “Rasulullah mengimami kami shalat subuh, kemudian baginda  berpaling ke belakang menghadap kami, lalu baginda menasihati kami dengan wasiat yang mendalam sehingga menitiskan air mata dan menusuk hati.  Kami berkata, ‘Wahai Rasulullah, nampaknya ini seperti nasihat perpisahan, berwasiatlah kepada kami’.

Baginda s.a.w. bersabda, “Aku berwasiat kepada kamu agar bertakwa kepada Allah, taat dan patuh (kepada pemimpin), walaupun pemimpin kamu seorang hamba abdi berkulit hitam.  Sesiapa antara kamu masih hidup setelah ketiadaanku, dia akan melihat banyak perselisihan.  Oleh itu, kamu hendaklah berpegang teguh kepada sunahku dan sunah khulafa al rasyidin yang mendapat petunjuk.  Gigitlah ia (sunah) dengan geraham (iaitu berpegang teguh).  Kamu hendaklah menjauhi perkara-perkara baru, kerna setiap perkara baru itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.” (HR Abu Dawud)

Oleh kerna telah didapati banyak juga amalan ibadah baru, tidak berasal daripada ajaran Nabi s.a.w. maka orang-orang agama pun berhujah bid’ah yang dilakukan adalah perkara baik atau bid’ah hasanah. “asalkan perkara baik adalah agama dan tidak mungkin membaca al Quran masuk neraka.”  Antara ibadah atau amalan yang digazetkan dalam bid’ah hasanah (bukannya bid’ah yang buruk yang sesat) adalah kenduri arwah, bertahlil arwah, membaca al Quran di atas kubur, merayu-rayu di kubur dan beberapa yang lain.

Namun, tidak mudah orang  yang mendukung bid’ah hasanah dapat memberi contoh bid’ah dolalah dalam amalan atau ibadah. Mereka mendiamkan diri, sama ada tidak mengetahuinya atau menyembunyikannya.

Tidak mengapalah mereka menerima bid’ah hasanah dan yakin itu adalah ibadah tambahan yang diyakini sebagai amalan sunah.  Mereka tidak menafikan itu adalah ibadah atau amalan baru yang bukan daripada Nabi s.a.w.

Mereka akan terdiam apa bila dikatakan sebaik mana pun bid’ah hasanah itu, hanyalah amalan sia-sia, tidak berguna di sisi Allah dan rasulnya.

Menurut A’isyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya) “Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami (agama) perkara yang tidak terdapat padanya, maka amalan itu tertolak.” (HR al Bukhari)

“Sesiapa yang melakukan amalan yang bukan daripada suruhan kami (urusan agama) maka ia (amalan itu) tertolak.” (HR Muslim)

Akhirnya mereka berkata, “kita buat juga…terpulanglah kepada Allah memilih mana yang betul dan membuang mana yang salah.”  Demikianlah agama Islam kepada pembuat bid’ah, agama masih dalam kesamaran. Islam bagi mereka masih kabur, tiada kepastian dan dalam sangkaan belaka.


Semoga kita terjauh daripada berfikiran pembuat bid’ah kerna di sisi mana pun mereka kehilangan hujah, kecuali hawa nafsu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan