SIFAT manusia ada
yang kikir atau kedekut. Lawannya tamak.
Menjadi kesukaan jika hartanya bertambah-tambah dan kurang senang dengan
berkurangnya harta. Kerna itu ada orang yang mencari helah untuk mengelak
pembayaran cukai. Sama ada memberikan
angka salah bagi pemilikan hartanya atau memberikan maklumat palsu mengenai
barang yang dibeli. Matlamatnya satu:
Tidak mahu membayar cukai. Kepada orang
seperti ini, membayar cukai bererti satu pembayaran yang tidak membawa pulangan
kepada peribadinya.
foto hiasan |
Cukai sudah diperkenalkan pada zaman Khalifah Umar
r.a. kerna perubahan zaman dan keadaan. Sejak itu cukai menjadi sebagian
pendapatan pemerintah Islam, termasuklah negara moden. Di Malaysia, muslim yang membayar zakat mendapat
potongan cukai pendapatan. Misalnya jika
keseluruhan cukai pendapatannya ialah RM1000.00 dan dia telah membayar zakat
sebanyak RM500.00, maka cukai pendapatan yang wajib dibayar ialah RM500.00.
Dalam hidup beragama, muslim wajib mentaati
pemerintah. Oleh kerna pemerintah telah mewajibkan adanya cukai pendapatan,
cukai pembelian barangan dan cukai import, maka membayar cukai kepada
pemerintah menjadi kewajiban sebagai tanda orang beriman. Bisa dirujuk ayat
59 surah an-Nisa, antara lain Allah menyatakan orang-orang beriman itu
mentaati Allah, rasul dan pemerintah.
Bagaimana mengelak membayar cukai? Jawabnya dia
mencuri wang negara. Apabila cukai sudah ditetapkan pemerintah dan wajib
membayarnya, menipu agar terlepas membayar cukai bererti mengambil wang
negara. Sengaja menipu untuk tidak
membayar cukai atau diam-diam memasuki rumah orang orang dan mengambil wangnya,
sama arti: Mencuri wang. Wang pihak lain
yang diambil secara salah.
Mencuri itu haram dan berdosa.. Dalam surah
al-Maidah ayat 38 (Bermaksud): “ Pencuri,
lelaki dan perempuan hendaklah kamu potong tangan kedua-duanya sebagai balasan dari apa
yang kedua-duanya lakukan dan sebagai seksa dari Allah. Allah adalah Maha
Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Kemudian ada antara mereka memberi hujah begini,
“Kami ambil wang negara RM50 ringgit sahaja, itu pemimpin ambil sampai RM100
juta!” Hujah itu bertujuan menghalalkan
perbuatan korupsinya kerna ada korupsi lain yang sangat besar, yang baginya
tidak dikenakan apa-apa hukuman. Sungguh
agama tidak dimaksudkan begitu. Jika
kita mencuri atau korupsi, kita menanggung dosanya sebagaimana orang lain
melakukan kezaliman yang dilakukan. “Mereka
tidak dibalas melainkan seperti apa yang dikerjakan.” Maksud surah
As-Saba’ ayat 33.
Maksud surah Ibrahim ayat 21 pula, “Dan mereka semuanya (di padang mahsyar) akan berkumpul menghadap kehadiran Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong: ‘Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan dari pada kami azab Allah (walaupun) sedikit saja?’ Mereka menjawab: ‘Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami, niscaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. Sama saja bagi kita apakah kita mengeluh atau bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri”.
Allahu aklam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan