Cikgu Sa Farid bersama Nuraisyah |
SELIBRITI murid sekolah Nuraisyah binti Syahrin, 13
tahun, orang Sabak Bernam. Ada beberapa
sebab dia ngetop satu Malaysia. Pertama dia cedera parah akibat kecelakaan
jalan raya ketika pulang dari sekolah. Kedua, dia insan kecil tergilis oleh
lori tanah yang agam. Ketiga, dia baru
minggu keempat bersekolah menengah Tingkatan Satu. Tapi yang menyebabkan seluruh orang merasa
hiba terhadapnya ialah dia cacat seumur hidup, tanpa kedua-dua kaki.
Lalu semua pihak meladeninya. Syukur kepada Tuhan.
Saya juga menggunakan jalan yang dilalui Nuraisyah.
Sejak jalan itu dirajai lori-lori tanah, minda saya berfikir ‘siapakah yang
bakal menjadi mangsa lori-lori ini’. Dan
yang saya fikirkan sudah berlaku. Pastinya Nuraisyah bukan lagi satu nama murid
sekolah yang ditimpa malang. Nuraisyah menjadi satu tanda nama kajian dan
tindakan pelbagai pihak. Pihak yang
terkesan dan mahu mengatasinya adalah Jabatan Pengangkutan Jalan. Kes ini
merembet ke situasi lain pula. Pastinya menjadi rumit dan mungkin akan hilang
begitu saja. Sebabnya Nuraisyah hanya muncul di Parit 17 Sungai Panjang Sabak
Bernam, bukan Subang Jaya atau Putrajaya!
Nuraisyah dan kakaknya berusia 13 dan 15 tahun
menunggang motorsikal ke sekolah, tanpa lesen memandu. Mengapa? Khidmat bas sekolah sudah lama ditutup kerna
tiada pelanggan. Kos bayaran bulanan yang tinggi menyebabkan ibu bapa
mencarikan sebuah motorsikal untuk diguna dua anaknya, sehingga mereka tamat
bersekolah. Motorsikal tentu kenderaan
lain ketika tidak bersekolah.
Mengapa bapanya tidak menghantar anak ke sekolah?
Ini masalah ekonomi pula. Orang desa menjana pendapatan sesuai dengan masa
kerjanya. Jarak antara rumah Nuraisyah ke sekolahnya ialah 20 kilometer dengan
masa 30 minit. Ini bermakna sehari selama dua jam diguna bapa untuk menguruskan
persekolahan anak. Tidak bekerja selama dua jam sehari bermakna pengurangan
pendapatan.
Pihak sekolah tidak memberi kesedaran keselamatan
di jalan raya? Perlu diketahui hal-hal
di luar pagar sekolah tidak menjadi tanggung jawab pihak sekolah. Namun Jawatan Kuasa Keselamatan di sekolah
memberi maklumat dari masa ke semasa termasuk membawa pihak polis memberikan
maklumat berkenaan. Ini standard keselamatan semua sekolah.
Apakah selepas Nuraisyah, keadaan telah berubah.
Lori tanah tidak laju-laju mengejar trip, bapa menghantar anak-anaknya ke
sekolah, murid memilih basikal sebagai ganti motorsikal dan jalan raya sentiasa
dipantau kerosakannya? Jangan terlalu ideal dalam harapan, apatah lagi
Nuraisyah hanya di Sungai Panjang bukannya Subang Jaya atau Purtajaya!
Kita tidak berapa sedar, gerakan membangunkan
ekonomi desa supaya tidak jauh dengan ekonomi kota membentuk pula budaya hidup
baru di desa. Kawasan rumah Nuraisyah asalnya kawasan paling sunyi di negeri
Selangor. Dengan pembangunan asas seperti jalan raya, air, elektrik dan sistem
komunikasi, masyarakat membina perkampungan di sana. Tidak ada kenderaan awam,
maka motorsikal menjadi pilihan. Selain faktor risiko tinggi berbasikal, tidak
mampu mengejar masa, sebuah keluarga bisa mampu memiliki dua atau tiga buah motorsikal. Bermotorsikal budaya. Maka terjadilah Nuraisyah.
Jika pihak polis mahu kempen keselamatan
diperhebat, kita juga wajib mengubah suasana dan sistem yang mewujudkan tragedi
Nuraisyah. Jika sistem itu kekal, tidak ada apa yang boleh diubah. Siapa yang
mahu mengundur sistem ekonomi yang menggerakkan wang ke dalam poket?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan