Pengikut

Sabtu, Disember 05, 2015

KENDURI Arwah: Satu terapi hadapi kematian


SETELAH didedahkan dalil al Quran dan Sunah serta kalam ulama besar bahawa amalan kenduri arwah masyarakat Nusantara itu bukanlah ajaran Islam, mengapakan para pengamalnya masih tidak mahu menghentikannya?

Walaupun kenduri arwah itu merupakan adat kematian, namun sebagian orang agama memahaminya sebagai ibadah sunat, malah ada yang yakin kenduri sebegitu merupakan sunah Nabi. Oleh kerna amalan itu sudah sebati diaktifkan oleh orang-orang agama, mereka pun percaya bahawa Nabi s.a.w. dan para sahabatnya juga melakukan kenduri-kenduri arwah, sama dengan apa yang dilakukan oleh masyarakat di sini.  Inna lillahi wa inna ilaihi ra ji’uun.

Kepada masyarakat Nusantara, kematian adalah perpisahan abadi.  Oleh itu rasa sedih perlukan satu terapi untuk dihilangkan.  Pemikiran mereka menanggapi kematian seseorang sebagai permulaan satu kembara jauh, yang sentiasa diperhatikan atau dikenang pemergiannya.  Orang yang pergi mesti diberikan bekalan. Maka itu orang-orang yang hidup mengadakan majlis tahlil atau kenduri arwah.  Kebiasaannya dimulai hari-hari awal kematian seperti setiap malam hingga malam ketujuh, malam ke-40, malam ke-100, malam ke-1000 dan seterusnya pada malam-malam tertentu khamis malam Jumaat.  Keadaan ini sudah menjadi adat, darah daging sejak masyarakat beragama Hindu-Buddha. Apabila mereka menganut Islam, mentera bahasa sanskrit yang dilafaz ketika mengingati si mati diganti dengan ayat-ayat al-Quran terpilih.  Dengan amalan ini berterusan, orang-orang yang ditinggal si mati akan tenang jiwanya kerna yakin perjalanan si mati di alam barzakh menjadi mudah.

Walaupun ustaz dan kiyai-kiyai mempertahankan kenduri arwah itu bukan kewajiban dalam agama, tetapi tidak ada orang miskin atau daif dibiarkan memilih tidak melakukan kenduri arwah terutama sebaik saja berlaku kematian.  Kata mudahnya, kenduri arwah satu kewajiban dalam adat kematian.  Maka ditubuhkan khairat kematian sebagai satu cara mengatasi masalah kewangan keluarga menghadapi kematian.  Wang bantuan khairat kematian, selain untuk urusan penguburan jenazah, juga adalah kos melaksanakan kenduri arwah sekurang-kurangnya tiga malam berturut-turut.

Apakah para pengamal kenduri arwah merupakan pencinta sunah nabi yang tegar? Jawabnya tidak!  Sebagian mereka tidak perduli amalan sunah shalat berjamaah di masjid, namun tidak bisa melepaskan hadir kenduri arwah. Ada yang hadir dari jauh atas alasan hubungan kekeluargaan, atau bimbang dikata tidak bersosial dengan masyarakat.  Kata mudahnya, sebagian besar melakukan hanya kerna masyarakat, bukan sebagai ibadah kepada Allah.

Apabila orang-orang yang berilmu agama dan mendominasi masjid mengatakan kenduri arwah sebagai amalan sunah, itu sangat mendukacitakan.  Apabila sebagian ustaz yang cuba menyedarkan masyarakat mengenai kedudukan kenduri arwah sebagai adat, iaitu bukan ibadah… pihak berkuasa agama membela kenduri arwah dengan fatwa ‘bahawa sesuatu amalan turun-temurun yang dilakukan oleh para ulama tidak boleh dikategorikan sebagabai bid’ah’.  Untuk rekod, maksud bid’ah ialah satu rekaan ibadah yang konsepnya menyamai ibadah sebenar bertujuan untuk menjadikan seseorang pengamal bid’ah lebih mendekatkan diri kepada Allah.


Allahu aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan