Pengikut

Rabu, Disember 30, 2015

BAWALAH kerusi roda untuk berumrah


TAKDIR dan dalam jadual Tuhan. Sejak ayah dan ibu menunaikan haji 14 tahun yang lalu dengan faktor usia mereka, tidak terfikir bahawa saya akan membawa mereka ke dua tanah haram. Namun takdir Tuhan menentukan saya membawa mereka melakukan umrah pada 13-24 Disember 2015. Terima kasih kepada Haji Hisyam selaku amir umrah yang meladeni kami sekeluarga dengan baik sekali.

Ayah masih mampu berjalan tetapi tidak upaya bergerak jauh.  Pilihan yang ada membawa sebuah kerusi roda untuk kegunaan sepanjang kembara umrah ini.  Ayah telah berusia 80 tahun dan sebagai warga desa tentulah fisikalnya tampak kepayahannya bergerak sebagaimana orang dewasa atau muda. Ibu telah 73 tahun dan masih mampu berjalan bersama saya.

Catatan ini sebagai perkongsian kepada pembaca yang mungkin punya persamaan: membawa dua orang tua yang agak uzur.  Jika seseorang masih mampu berjalan tetapi tidak upaya bertahan lama, bagus membawa sebuah kerusi roda dari tanah air.  Sesampai di kaunter pengesahan tiket, saya khabarkan kepada pihak pengurusan di sana keperluan sebuah kerusi roda untuk ayah. Pihak lapangan terbang menyediakan sebuah kerusi roda khas bersama seorang pengiring. Pengiring membawa ayah dengan ‘boarding pass’ melepasi semua urusan sehingga pintu masuk pesawat. Saya terus mengiringi ayah yang dibawa khas.  Sementara itu kerusi roda yang dibawa dimasukkan bersama bagasi lain.

Setibanya di Dubai, pihak lapangan terbang di sana telah mendapat maklumat berkenaan ayah saya. Di pintu pesawat sudah tersedia kerusi roda untuk ayah. Saya dan ibu mengikuti sahaja pengiring ayah membawa kami melepasi urusan emigresen di Dubai.  Begitu juga tatkala di Jeddah, semua tersusun baik. Tidak ada masalah ketiadaan kerusi roda di semua lapangan terbang. Keadaan ini sama ketika pulang ke tanah air.

Sama ada di Madinah atau Makkah, tidak ada masalah membawa sebuah kerusi roda melewati jalan atau lorong sehingga memasuki masjid. Saya menolak kerusi roda ke mana kawasan masjid yang dikehendaki oleh ayah.  Saat melewati Babus Salam di Masjid Nabawi pun, semua pihak memberi hormat dan kerjasama terhadap ayah di atas kerusi roda.

Malah, dengan kedudukan ayah berkerusi roda, saya bersamanya berpeluang mudah memasuki Raudhah di Masjid Nabawi sebanyak tiga kali dalam tempoh empat hari di Madinah!

Sewaktu di tanah air, terfikir di manakah mahu diletakkan keruso roda tatkala ayah shalat? Ternyata, ada ruang-ruang yang tidak menjadi tempat shalat jamaah seperti di bucu tempat, tepi rak kasut atau tepi dinding.  Saya tidak mengunci kerusi roda. Tidak ada jemaah atau petugas masjid yang mengalihkannya ke tempat lain.  Sungguh indah layanan semua di sana, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram Makkah.


Keputusan membawa kerusi roda dari tanah air,(sekalipun bisa menyewa di sana…), adalah tepat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan