DUA SAHABAT saya seorang Imam dan Pengerusi di masjid sedang berkerut dahi memikirkan cara-cara yang dikira munasabah untuk mengajak golongan remaja (anak muda) belajar agama di masjid. Antara cara yang akan dicuba ialah membawa ustaz yang dapat menerangkan ilmu mengikut laras budaya orang muda. Saya pun tidak dapat membayangkan caranya. Satu lagi ialah ilmu yang hendak disampaikan iaitu bab perkahwinan.
Usaha ini bagus sebab sekarang ini di masjid kampung kami seolah-olah menjadi kelab orang-orang tua. Dahulu ada seorang ustaz yang membacakan tafsir (termasuk membuat huraian berdasarkan hal semasa) selama lebih 26 tahun. Beliau dikira berjaya mengumpulkan banyak khalayak termasuk dari kariah luar untuk setiap minggu kelas tafsirnya. Sejak kematian beliau setahun yang lalu, seakan satu kekosongan yang belum terisi, dan pengurusan masjid sedang berkerut dahi. Moga-moga dimudahkan Allah.
Di mana anak muda belajar agama? Saya salut terhadap Ketua Pemuda Pas Pusat yang membuat video ‘Oley’ di Youtube sebagai cara memberi ilmu agama kepada anak muda. Beliau mengatakan yang dia terpaksa membuat ‘demontrasi’ di alam internet kerana kebayakan anak muda mencari maklumat di sana. Ya, sambutannya cukup baik.
Buat semantara masih ada pandangan yang tebal mengatakan belajar agama melalui internet ‘bagai tidak sah’. Bagi pendapat ini, belajar agama hendaklah berhadapan dengan guru. Murid mendengar ucapan tuan guru yang membacakan kitab dari mula sehingga akhir. Belajar agama mesti secara talaqi, tidak boleh secara ‘dengar cakap’. Inilah metod yang selalu diamalkan di masjid-masjid. Tidak dinafikan baiknya metod ini di samping memastikan khalayaknya setia dengan amalan solat fardu berjamaah.
Internet telah menawarkan pengajian agama yang tidak dapat diberikan oleh masjid! Itulah hakikat dan kerana itu anak muda menghadap skrin computer berjam-jam berbanding menghadap wajah Tuan Guru di masjid.
Jika mahu mendengar ceramah agama seperti di masjid, maka Youtube telah menyediakan senarai lengkap isu dan ustaz-ustaznya. Jika mahu berdiskusi dengan Tuan Guru seperti di masjid, maka hampir semua laman web agama menyediakan ruangan forum yang dikendalikan oleh moderator berilmu dan pengalaman. Jelasnya, ustaz-ustaz pun sudah beralih ke alam internet dari masjid. Sebenarnya ruang diskusi di masjid amat terhad dan dibelenggu pula oleh budaya segan dengan khalayak, namun di internet tidak ada segan menyampaikan pendapat sendiri dan bertanya kepada ustaz-ustaz.
Kemudian, jika seseorang menghadapi masalah tidak pasti hukum sesuatu agama, seseorang boleh terus membuka beberapa laman web. Dia boleh bertanya kepada sekian banyak pengendali laman atau moderator. Kebanyakan moderator masa kini pula cukup terlatih memberi status sesuatu hadis, sama ada sahih, daif, palsu atau sebagainya. Inilah yang tidak dapat disediakan oleh ustaz-ustaz di masjid.
Begtulah masjid yang sejarahnya sebagai pusat ilmu seakan-akan hilang keupayaanya bersama peredaran zaman. Namun suatu yang tidak boleh ditukar ganti ialah solat berjamaah itu mesti di masjid. Sebanyak mana pun maklumat dari internet, sunah solat berjamaah mesti di rumah Allah. Tidak ada ijtihad baru untuk mengubah hukum ini.
Rasanya elok para pengurus masjid tidak terlalu pening kepala untuk menarik anak muda dari skrin computer ke ruang masjid untuk menghadap Tuan Guru kita. Yang munasabah ialah berfikir cara untuk menghentikan seketika di skrin computer pada setiap waktu solat, agar mereka pantas ke masjid yang berhampiran. Nampaknya imam-imam dan pengerusi masjid wajib mempunyai akaun facebook dan memastikan semua anak muda dalam kariah masjisnya menjadi fakan FBnya. Nampaknya imam muda di kampung saya pun tidak mempunyai akaun FB. Itulah masalahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan