Pengikut

Rabu, Januari 04, 2012

DILEMA: Mahu solat berjamaah atau di rumah saja


SEJAUH manakah kita benar-benar mengambil hukum yang solat berjamaah di masjid itu hukumnya sunat (atau sunat yang sangat dituntut), dan tidak merasa apa-apa kesalahan kerna meninggalkannya dengan saja-saja?  Bagi kita terutama orang awam, biasa menerima hukum yang solat berjamaah bukan wajib. Mereka mengatakan ‘bukan wajib’  atau ‘hanya sunat’ sebagai satu pendirian agar tidak dipersalah kerna hanya berjamaah di masjid pada hari Jumaat!

Adakah rasa keimanan kepada Allah dan semangat cintakan rasul tidak terusik dengan beberapa hadis nabi berkaitan dengan solat berjamaah di masjid?  Cuba kita lihat beberapa hadis junjungan s.a.w.

Maksud sabda nabi s.a.w. “Barang siapa mendengar seruan (azan) serta tidak ada uzur yang menghalangi ia memenuhi seruan itu, tidaklah diterima daripada solat yang ia kerjakan (solat sendirian)”.  Sahabat bertanya, ‘Apakah maksud uzur  itu?’  Jawab nabi s.a.w. ‘takut atau sakit’. (Riwayat Abu Dawud, Abu Hatim dan Ibnu Hibban daripada Ibnu Abas)

Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa pada suatu ketika nabi s.a.w. telah mendapati beberapa orang tidak ada ketika solat hendak didirikan, maka baginda bersabda yang maksudnya, “Sungguh aku mahu menyuruh dikumpulkan berkas-berkas kayu api, kemudian aku menyuruh mendirikan solat, lalu dikumandangkan azan.  Kemudian aku menyuruh seseorang menjadi imam (buat mengganti nabi).  Sesudah itu aku pergi kepada mereka yang tidak menghadiri jemaah, lalu aku bakar rumahnya bersama-sama  dengan mereka di dalamnya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim)

Bagaimana dengan sahabat nabi bernama Ummi Makhtum r.a. yang buta?  Beliau bertemu baginda nabi s.a.w. dan berkata (maksudnya) “Ya Rasulullah, saya seorang yang kabur mata lagi jauh rumah dari masjid dan  mempunyai seorang penuntun yang tidak cocok dengan saya.  Adakah ada kelapangan untuk saya bersolat di rumah saya?  Nabi s.a.w. bertanya, “Apakah engkau mendengar azan?”  Aku menjawab, “Ya, saya mendengarnya.”  Nabi s.a.w. bersabda, “Saya tidak mendapat kelapangan untuk engkau buat solat di rumah.”  (Riwayat Ahmad, Abu Dawud daripada Ummi Makhtum. Diriwayatkan juga oleh Muslim dan An-Nasa’i)

Orang lelaki muda kalau merasa cinta terhadap seorang wanita akan sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan cinta wanita itu.  Begitulah gemuruh cinta.  Tidakkah ada gemuruh cinta kepada junjungan nabi s.a.w. dalam hal ini dengan berusaha sebaik mungkin mengamalkan apa yang nabi kita ucapkan?  Solat berjamaah di masjid itu sunah nabi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan