Pengikut

Selasa, Julai 12, 2011

NASIONALISME Melayu: Ada titik temu Pas dan Umno

PARTI Islam se-Malaysia (Pas) menolak sepenuhnya fahaman kebangsaan Melayu atau nasionalisme Melayu.  Semua faham, kerana pertentangan politik dan hendak menjelaskan perbedaan antara Pas dan Umno, maka pas mengatakan nasionalisme melayu itu salah, sementara Umno mempertahankan fahaman itu.

Di manakah asas nasionalisme Melayu?  Pengkaji mengatakan budaya Melayu agak unik kerana masyarakat Melayu sejak sekian lama tidak membedakan antara Islam dan Melayu.  Malahan, pengkaji Timur (orientalis) dari Barat menyedarinya sehingga pihak British boleh mencampuri segala urusan politik dan ekonomi, tetapi tidak bagi agama Islam dan adat resam Melayu.

Setelah negara merdeka pun hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu kekal menjadi satu unsur  di bawah kuasa raja-raja Melayu.  Dalam perlembagaan, Perkara 160 (1) menjelaskan bahawa yang dinamakan orang Melayu ialah yang beragama Islam.  Sebenarnya, sejak sekian lama hal-hal agama (lebih tepat difahami hal ibadah khusus) telah diterima juga sebagai adat resam Melayu.  Hal-hal adat resam Melayu seperti pakaian Melayu iaitu sut baju Melayu, membaca berzanji, kenduri kematian, adat mencukur jambul dan pencak silat sudah dianggap sebagai ritual agama Islam.  Tidak sedikit mereka memahami semua adat Melayu itu sudah dianggap sebagai sunnah, atau perintah mulia dalam agama.

Orang Melayu tanpa mengira fahaman politik apa pun menerima percampuran adat resam melayu dalam ibadah agama. Cara-cara belajar agama seperti memahami ilmu tauhid dengan cara Sifat 20 juga termasuk dalam adat resam, sehingga sesiapa yang belajar  ilmu tauhid tetapi tidak menggunakan Sifat 20 itu sebagai sangat pelik.  Kalau melakukan solat di masjid pada waktu malam dengan berseluar panjang pun kelihatan janggal kerana berkain pelikat, jubah arab dan baju Melayu sudah dianggap sebagai pakaian paling afdal untuk bersolat.  Pada hari Jumaat pula  orang lelaki Melayu akan berpakian sut Melayu.

Itulah yang dianggap asas bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu.  Kepada orang-orang Umno, semua orang Melayu mestilah bersatu dalam partinya kerana di situlah perpaduan Melayu sebenar.  Bagi mereka perpaduan Melayu sama juga perpaduan Islam kerana tidak dibedakan antara Melayu dan Islam.

Kepada orang-orang Pas, perpaduan Melayu samalah seperti seruan perpaduan Arab.  Dalam kamus politik Pas, tidak ada perpaduan Melayu, yang ada ialah perpaduan Islam dan Pas adalah wadah yang paling afdal. Persoalannya ialah, jika atas alasan perpaduan kebangsaan Melayu dalam politik tidak ada kepada pejuang-pejuang Islam dalam Pas, mengapa mereka masih tegar mengamalkan konsep kebangsaan Melayu dalam ritual beragama? 

Jika Umno, memanglah mereka tidak isytiharkan sebagai parti yang berteraskan al-Quran dan sunnah yang tidak perduli sangat hal percampuran adat dan ibadah. Pas yang bersikap keras atas alasan ‘tuntutan Islam’ memisahkan politik Islam dan Melayu, sepatutnya juga dalam beragama memisahkan ibadah dengan adat!

Kesimpulannya, pengikut-pengikut tegar Pas pun masih pekat mengamalkan kebangsaan Melayu yang mencampur-adukkan hal ibadah dengan adat sehingga orang yang hendak memurnikan ibadah supaya menepati sunah Rasulullah tidak diperdulikan oleh orang-orang Pas.  Dalam hal beragama secara Melayu, apa bedanya antara orang-orang Pas dan Umno?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan