SAMPAI waktunya seseorang mesti berani mengisytiharkan mengapa dirinya menjadi seorang muslim! Ya, memang apabila ditanya oleh sesiapa, dengan mudah kita menjawab sebagai muslim, penganut Islam. Dengan ilmu dan kekuatan hujah, seseorang muslim dapat menjelaskan mengapa dirinya seorang muslim.
Apa ertinya kita menegaskan sebagai seorang muslim? Hal ini bermakna kita telah dapat membuat perbandingan antara beberapa agama yang sangat hampir dengan diri dan kehidupan, akhirnya kita mampu menyatakan bahawa tidak lain Islam adalah pilihan terbaik. Ini bukanlah bererti mahu menyinggung perasaan penganut agama lain, tetapi atas prinsip ilmu dan hujah maka keputusan menetapkan diri sebagai muslim dipilih kerana kekuatan ilmu dan hujah tadi. Islam tidak tertegak kerana emosi, paksaan dan ikut-ikutan membabi buta. Sebab itu sangat jelas al-Quran surah 2:256 menyatakan Allah tidak memaksa seseorang memeluk Islam, kerana kebenaran dan kepalsuan sudah terbentang di hadapan. Nah, apa lagi pilihlah!
Pada saya agama yang paling hampir akidahnya terhadap akidah Islam ialah Kristian. Sebenarnya setiap kali membaca al-Quran akan ditemui banyak ayat yang menerangkan perihal Ahli Kitab iaitu penganut agama Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Mahu tidak mahu, sebagai pembaca al-Quran kian diruntun keinginan untuk mengetahui mengenai Kristian yang banyak dicatat dalam al-Quran.
Banyak sumber mengenai agama Kristian sama ada hasil tulisan seseorang muslim dan penganut Kristian sendiri. Saya pun punya rakan rapat seorang aktivis kristian yang telah ‘mewakafkan kehidupannya’ untuk agama Kristian. Hak dia untuk menerangkan aktiviti keagamaannya dan mendakwah saya. Takkan saya tidak dapat mengesan laras bahasanya sama ada sekadar memberi informasi atau satu gaya pujukan. Tetapi beberapa lama sebelumnya saya sudah memiliki dan membaca kitab Kristian yang disebut ‘Alkitab Berita Baik’. Itulah Bible yang mengandungi Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru.
Pengalaman saya, mendengar ucapan atau membaca info keagamaan Kristian memang menarik hati. Tidak ada kupasan mubalighnya yang mengajak kita melakukan kerja jahat, semuanya indah. Namun pada saya lain sekali jika mentelaah Alkitab Berita Baik itu. Saya mengambil prinsip bahawa Al-Kitab Berita Baik adalah kitab suci! Sebuah kitab suci yang didakwa wahyu Allah tentulah tidak akan terdapat kalimah atau ayat-ayat yang menyentak pembacanya.
Saya meminta maaf kepada pembaca Kristian bahawa dalam Alkitab Berita Baik saya dikejutkan dengan cerita porno Nabi Lut berzina dengan dua anak gadisnya (Kejadian 19: 30-38). Kemudian jika dalam al-Quran dicatat mengenai lelaki Yahudi bernama Samiri yang menghasut kaum Yahudi untuk menyembah patung anak lembu, dalam Bible Alkitab Berita Baik yang dicatat sebagai penyeru kaum Yahudi menyembah patung anak lembu ialah Nabi Harun, sepupunya Nabi Musa itu! (Keluaran 32:2-25)
Saya masih meneruskan pembacaan Alkitab Berita Baik semata-mata untuk mengetahui kandungannya dan mencari keabsahan ayat al-Quran yang menerangkan bahawa tangan manusia mencemar kandungan Taurat dan Injil! (al-Quran surah 2:79)
Maka, saya berani membaca Bible Alkitab Berita Baik itu sebagai menambah jurang antara kebenaran al-Quran dan kesamaran Bible Alkitab Berita Baik. Untuk beriman pada ayat Allah yang memberitahu hanya Islam agama yang diredai Allah (al-Quran surah 2:19), kita wajib membuat bandingan dengan yang lain.
penulis pernah diberitahu oleh kawan seorang paderi tentang kisah nabi Lut yang berzina dengan anaknya kerana 'terdesak'. Penulis menjawab bagaimana kamu boleh menerimanya kisah itu sedangkan kamu ketahui nabi Lut melarang homoseks.Bagaimana kamu boleh mencampuri perkara yang baik dan buruk untuk diamalkan oleh sorang yang mulia dipanggil nabi.
BalasPadam