Pengikut

Jumaat, Januari 15, 2010

APABILA Islam dijadikan adat resam


(foto masjid hanya hiasan)
BENARLAH kata orang, kalau masjid dirobohkan, orang yang tidak solat pun akan menyingsing lengan! Maka apabila kalimah Allah hendak digunakan oleh penganut Kristian, yang selama ini tidak perduli apa seruan Allah dalam al-Quran pun marah besar. Orang bukan Islam pun faham perangai orang Islam ini, sebab itu apabila majalah Al Islam membuat tinjauan mengenai sebuah masjid yang dikatakan tidak menyenangkan penduduk bukan Islam, mereka sangat keberatan untuk bersuara. Mereka tahu orang Islam sangat sensitif dalam bab agama, tambahan jika orang bukan Islam turut bercakap hal Islam.

Tidak ada ayat al-Quran atau Sunah nabi yang mengajar muslim menjadi begitu sensitif dan bersifat pekak badak. Teruklah jika Islam mengajar umatnya supaya cakapnya sahaja yang mesti didengar oleh orang bukan Islam, sementara orang bukan Islam akan diherdik dan dikutuk jika meluahkan sesuatu yang menjadi masalahnya kerana aktiviti orang Islam.
Berapa banyak masjid dan surau sudah tidak perduli hak kerehatan dan ketenangan kawasan kejiranan dengan melaungkan bacaan al-Quran dan ceramah selain azan. Tahun lepas saya menjaga pelajar menduduki peperiksaan, terasa malu dengan pelajar-pelajar bukan Islam apabila masjid sebelah sekolah mula menguatkan suara bacaan al-Quran 15 minit sebelum azan Asar. Ada yang memandang muka saya tanda tidak puas hati, tetapi apa saya boleh buat. Sekarang pun hari-hari ada masjid yang menguatkan bacaan al-Quran 20 minit sebelum azan Zuhur sedangkan ratusan murid dua buah sekolah sedang belajar.
Satu ketika dahulu akhbar harian menyiarkan rintihan orang Islam sendiri mengenai isu ini. Kebanyakan yang menyuarakan terasa sangat bimbang pihak pengurusan masjid akan mengecop atau menganggap yang tidak setuju ceramah dan bacaan al-Quran dipancarkan secara terbuka, sebagai anti-Islam. Tidak suka bacaan al-Quran? Tidak mahu dengar ceramah agama? Itulah ayat yang kerap disimpulkan sampai dari corong radio.
Mengapa hal-hal ini terjadi? Jawabnya kerana kejahilan masyarakat untuk membedakan antara ajaran agama dengan adat beragama. Penghormatan masyarakat awam terhadap institusi Islam seperti masjid dan sekolah agama, serta pengurus-pengurusnya menjadikan cara mengurus agama seperti ajaran agama sendiri. Asal saja yang berkaitan agama, anggapannya itulah agama. Maka yang selama ini tidak perduli siapakan Allah, apakah maksud wahyu-wahyu Allah, fungsi masjid dan maksud ibadah, menjadi marah-marah jika kaedah pengurusan agama dikritik.
Islam sudah dilembagakan sebagai adat, dan tidak boleh diusik sekalipun yang adat itu menyalahi ajaran al-Quran dan sunah. Islam menjadi hak mutlak bangsa Melayu sehingga orang bukan Islam tidak dibenarkan beraktiviti dalam masjid dan dikecam kerana membaca al-Quran. Yang daripada adat kuno seperti bertahlil arwah pun telah diadatkan sebagai ajaran Islam. Semua itu termasuk menguatkan ceramah agama satu kilometer dari masjid dianggap ajaran Islam dan wajib dipertahankan. Sebagian besar muslim di Malaysia menjadi sensitif jika bab ini dikritik. Golongan ini gagal membedakan antara ajaran Islam dengan pengurusan agama yang sudah menjadi adat resam Melayu.
Tidak keget wujud manusia menggunakan agama untuk kepentingan kewangan, mencari status sosial yang tinggi atau untuk melindungi kebejatan akhlak sendiri. Orang biasa payah menyedari hal ini berlaku kerana selama ini kita diajar berbaik sangka atas apa saja jika dikaitkan dengan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan