Komentar oleh Ramdan Kari.
Salam bahagia kepada semua, sekadar berkongsi information dengan sahabat kita, walaupun saya bukan (berilmu seperti-ed) Ust Zahruddin.
Soalan yang pernah saya kemukakan kepada salah seorang anggota ahli fatwa Eropah yang berada di UK , namanya Syeikh Abdullah Judai (ulama dari Basrah , Iraq ) kebetulan hadir ke kelasnya. Dia jawab: untuk mengenali ahli kitab, kita boleh tentukan melalui beberapa ciri. Antaranya ialah kita melihat dari segi umum iaitu hari perayaan mereka. kesimpulanya di Britain majoriti rakyat Britain meraikan perayaan krismas. Oleh itu mereka boleh digelar ahli kitab meskipun mereka kurang berpegang pada agama mereka (tapi jawapan yg diberikan kurang memuaskan, kerana ianya terlalu umum). Meskipun begitu, berdasarkan pengamatan saya, ada beberapa hujah yang boleh kita pertimbangkan dari sudut berikut
1- Ahli kitab masih wujud pada zaman kita
1.1 Nas al-Quran telah menjelaskan perkara tersebut dalam banyak bab seperti perkahwinan dan makanan, oleh itu jika kita nafikan akan kepupusan ahli kitab seolah-olah ayat al-Quran yang berkaitan dengan ahli kitab tidak sesuai hingga akhir zaman. Keadaan ini bertentangan dengan ciri-ciri al-Quran yang berkekalan sehingga hari Qiamat.
1.2 Allah mengetahui apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Sebagai contoh di beberapa negara Eropah yang padanya terdapat penganut agama Islam, jika mereka ingin berkahwin seakan-akan mustahil untuk mendapatkan calon muslim atau muslimah. Justeru itu mereka diberi kelonggaran untuk berkahwin dengan ahli kitab. Jika kita nafikan akan kewujudan ahli kitab, maka apakah jalan penyelasaian terhadap mereka ini? Manakah lebih baik berkahwin dengan ahli kitab yang tidak mengamalkan amalan mereka dengan sepenuhnya atau berzina. (dar`ul mafsadah, jalbul maslahah) tolak keburukan, bawa kebaikan.
2- Ahli kitab tidak wujud lagi
2.1- Mereka (yang mendakwa penganut Kristian - ed) tidak mengamalkan ajaran mereka. Jika mereka masih mengamalkan agama, sememangnya ajaran mereka sudah terpesong. Kita pernah terbaca mengenai pengumpulan kitab mereka, (ada perubahan-ed) dari 400 hingga 4 biji. Kita sudah boleh memahami hakikat sebenar ajaran mereka.
Sekadar pandangan ringkas daripada saya. Insya Allah Ustaz Zahruddin boleh bagi ulasan lagi.
JAWAPAN UST ZAHARUDDIN
Assalamualaikum,
Ulama semasa berbeza pandangan dalam menentukan status ahli kitab ini pada zaman ini.
1) AHLI KITAB WUJUD HARI INI
Ia adalah pandangan kumpulan majoriti ulama semasa termasuk Yusuf al-Qaradawi (diambil dalam fatwa beliau berkenaan boleh makan daging di negara yang majoriti Kristian dan Yahudi, bagaimanapun dalam fatwa beliau berkenaan kahwin dengan ahli kitab, beliau meletakkan syarat agar disemak terlebih dahulu sama ada wanita itu betul-betul Kristian dan Yahudi atau hakikatnya athies), Syeikh Ramadan al-Buti, Dr Wahbah Az-Zuhayli dan lain-lain menyatakan bahawa mereka dianggap ahli kitab selagi mana mereka percaya kepada Allah SWT.
2) STATUS AHLI KITAB HARI INI DIPERTIKAI
Manakala kumpulan minoriti menolak pandangan di atas. Menurut mereka, untuk digelar ahli kitab, sesorang Yahudi dan Nasrani (Kristian) itu mestilah berpegang teguh dengan ajaran agama samawi masing-masing. Jika mereka berpegang dengan ajaran palsu hari ini dicampur pula dengan tidak mengendahkan hal ehwal hukum agama mereka, tidaklah layak digelar Ahli KItab lagi.
Kumpulan ini berpegang kepada athar dari Sayyidina Ali yang menyebut tentang Yahudi Bani Taghlib dengan katanya :
إنهم لم يأخذوا من النصرانية إلا شرب الخمر وأكل الخنزير
Ertinya: "Mereka tidak mengambil apa-apa dari ajaran Nasrani kecuali untuk minum arak dan memakan babi" ( Rujuk : Al-Majmu' oleh Imam An-Nawawi, 9/74)
Hal ini bermakna Sayyidina Ali r.a seolah-olah tidak setuju dengan pengiktirafan ahli kitab kepada mereka yang tidak berpegang dgn sepenuhnya.
Ia juga berdasarkan athar,
عن نافع مولى ابن عمر: أنه كان إذا سُئِل عن نكاح النصرانية واليهودية، قال: إن الله حرم المشركات على المؤمنات، ولا أعلم من الإشراك شيئًا أكبر من أن تقول المرأة: ربها عيسى، وهو عبد من عباد الله (انظر: البخاري مع الفتح "9/416" حديث "5285" باب قول الله تعالى: (ولا تُنْكِحُوا المشركاتِ حتى يُؤْمِنَّ..) من كتاب الطلاق، وانظر: تفسير ابن كثير "1/258"، ط الحلبي. وتفسير القرطبي "3/68" ط. دار الكتب).
Ertinya: Ibn Umar ditanya berkenaan hukum berkahwin dengan ahli kitab Nasrani dan Yahudi, maka dia berkata : "Sesungguhnya Allah mengharamkan berkahwin dengan kaum wanita musyrik, dan tidak kuketahui syirik yang terbesar daripada seorang wanita berkata: ‘Tuhannya Isa, dan dia pula hamba dari hambar Allah’” ( Rujuk Fath al-Bari, haditth no 5285).
Justeru, ini menunjukkan bahawa kristian yang mempercayai triniti seolah-olah telah terkeluar dari ajaran kelas ahli Kitab iaitu nasrani kerana kekarutan mereka. Tambahan pula penganut Kristian pada zaman ini yang kebanyakkan adalah atheis yang hanya nama sahaja Kristian tetapi tiada berpegang dengan ajarannnya.
Kesimpulan saya
Jika berpegang penuh dengan segala ajaran agama Yahudi dan Nasrani itu dianggap syarat untuk digelar ahli kitab, maka ramai pula nanti umat Islam yang tidak layak digelar ‘Muslim', kerana pegangan mereka yang amat longgar. Kerana inilah majoriti ulama berpendapat, syarat utamanya untuk diterima sebagai ahli kitab dan terpakai semua hukum ahli kitab di dalam quran adalah PERCAYA kepada kewujudan Allah (sebagaimana Al-Qaradawi yang meletakkan syarat, asalkan jangan atheis atau komunis - iaitu yang tidak percaya tuhan).
Justeru ahli kitab yang percaya triniti dan lain-lain itu tetap dianggap ahli kitab berdasarkan firman Allah yang menggelarkan mereka dengan nama AHLI KITAB walaupun mereka telah menyeleweng dalam aqidah mereka iaitu:
يا أهل الكتاب لا تغلوا في دينكم ولا تقولوا على الله إلا الحق، إنما المسيح عيسى بن مريم رسول الله وكلمته ألقاها إلى مريم وروح منه، فآمنوا بالله ورسله، ولا تقولوا: ثلاثة، انتهوا خيرا لكم إنما الله إله واحد، سبحانه أن يكون له ولد، له ما في السموات وما في الأرض، وكفى بالله وكيلا}النساء:171
Ertinya: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agamamu, dan janganlah mengatakan tetang Allah kecuali yang benar, Sesungguhnya Al-Masih Isa anak Maryam itu adalah rasulullah, dan ia diletakkan kepada Maryam dan ruhnya datang dari Allah, maka berimanlah dengan Allah dan rasul-rasul-Nya, janganlah kamu mengatakan "tiga", tamatkanlah dakwaan itu lebih baik bagimu, sesungguhnya Allah itu esa, maha suci Allah dari mempunyai anak....( An-Nisa : 171)
Wallahu a'lam.
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
19 Ramadhan 1427 H (12 Oktober 2006)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan