Pengikut

Khamis, April 09, 2009

APAKAH keraguan itu Islah? (Bahagian 5 - Akhir)

Oleh: Saiful Islam

ISU GERAKAN ISLAM

Sebahagian daripada saranan gerakan Salafi itu memang benar. Ahli-ahli gerakan Islam sepatutnya mengambil serius terhadap bentuk kefahaman mereka terhadap beberapa nas penting yang mendasari perjuangan mereka. Kesilapan memahami perbezaan maksud Jamaatul Muslimin dan Jamaah min al-Muslimin, mempunyai implikasi yang serius.

Akan tetapi ada di antara saranan yang dikemukakan, menimbulkan tanda tanya. Golongan ultra Salafi bermati-matian memaksa gerakan Islam agar memberhentikan serangan mereka terhadap pemerintah dengan alasan tidak syar'ie untuk menegur pemimpin secara terbuka. Saya kira, bukan sahaja gerakan Islam yang tersentak, malah pemerintah juga jadi terkejut. Tidak sangka, selama ini mereka tidak boleh ditegur oleh pembangkang secara terbuka. Mereka perlu ditegur di dalam majlis yang hanya disaksikan oleh Allah dan Malaikat. Rakyat tidak perlu tahu apa yang ditegur, dan di manakah kepincangan pemerintah.

Apakah rasionalnya pemikiran seperti ini?

Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, tokoh gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Jordan, dan amat teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah di dalam pemikiran, penulisan dan tindakannya, pernah menulis sebuah buku bertajuk "Pembetulan Kefahaman Terhadap Beberapa Ayat al-Quran". Di dalam buku tersebut, beliau telah mengulas tentang kefahaman umat Islam tentang ayat 44-47 surah al-Maidah iaitu:

"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang kufur" (Al-Maidah: 44)

"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang zalim" (Al-Maidah: 45)

"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang fasiq" (Al-Maidah: 47)

Pandangan pertama terhadap ayat ini, ditolak sepenuhnya oleh Sheikh Solah. Golongan pertama ini beranggapan bahawa ayat ini khusus diturunkan untuk orang Yahudi dan tidak teraplikasi ke atas umat Islam. Kefahaman ini bertentangan dengan kaedah tafsir yang utama iaitu "Pengiktibaran ayat adalah berasaskan umumnya lafaz, dan bukan khususnya sebab (turun ayat itu)".

Tetapi Sheikh Solah amat skeptik dengan pandangan kedua. Pendukung pandangan kedua ini membezakan hukum pemerintah yang tidak melaksanakan Syariat Allah. Sama ada mereka tidak melaksanakannya kerana takut, tidak faham, lemah semangat, sedang berusaha, atau sememangnya menolak hukum itu. Kata Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, "siapakah pendakwah yang berani dan mampu bertanya kepada pemerintah secara aman, mengapa beliau tidak melaksanakan hukum Allah? Dan jika ada yang berani bertanya, jujur pulakah jawapan pemerintah itu?"

"Sesungguhnya perbuatan pemerintah, adalah lebih benar dalam menunjukkan maksud mereka berbanding dengan kata-kata pengakuan (pemerintah)", ujar Sheikh Solah.

Inilah pendirian seorang tokoh Salafi yang digeruni King Hussein dan kerabatnya. Harapan rakyat kepada Islam berputik apabila adanya gerakan yang memantau secara telus tindak tanduk pemerintah yang absolute.

Jika isu "jangan lawan pemerintah" seperti ini diwar-warkan oleh pendukung Salafi untuk meluruskan gerakan Islam, jika menang di medan debat sekali pun, apakah kesannya kepada masyarakat?

Jika isunya adalah isu teguran yang tidak berakhlak, maka yang perlu diperbetulkan adalah akhlak ahli gerakan Islam, dan bukannya memberikan cadangan yang diketawakan pemerintah.

USAHA PEMURNIAN GERAKAN ISLAM

Gerakan Islam yang keahliannya bersifat terbuka, menerima kemasukan ahli yang pelbagai. Dari pemanjat pokok kelapa, suri rumah yang buta huruf, hinggalah kepada profesor di IPT, kesemuanya memerlukan kepada hikmah kebijaksanaan di dalam membentuk mereka ini. Ada yang masuk melalui pintu politik, ada juga yang masuk melalui pintu Tarbiah. Tokoh-tokoh gerakan Islam seawal Hasan al-Banna di Mesir, hingga kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Malaysia, mempunyai pendekatan yang mengambil kira realiti ini.

Selama ini, gerakan-gerakan Islam berlapang dada. Mereka boleh menerima konsep Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah di dalam diskusi perkaderan mereka, walaupun di kalangan anggota gerakan itu, bukan kecil jumlah yang datang dari aliran Khalaf. Hasan al-Banna, ketika mensyarahkan Usul 20 kepada rukun bai’ah yang pertama iaitu al-Fahm, secara jelas mengambil manhaj Salafi tetapi ia dikemukakan selepas bersungguh-sungguh mengenengahkan persamaan yang boleh dikongsi di antara Salaf dan Khalaf. Di dalam gerakan Islam, ada pimpinannya yang Salafi, ada yang Khalafi. Mereka menggunakan manhaj masing-masing secara harmoni dalam menyusun saf perjuangan.

Sebelum aliran pembaharuan Salafi semasa ini popular, tokoh-tokoh Salafi boleh berada di dalam pelbagai organisasi. Ia tidak berhasrat menjadi satu kelompok yang berasingan kerana Dakwah Salafiah adalah gerakan pembetulan proses yang boleh dan perlu ada di mana-mana. Ia perlu ada dalam parti-parti politik, NGO, institusi pengajian tinggi, surau dan masjid. Tetapi apabila kesabaran generasi matang tidak dapat dicontohi oleh kegopohan anak muda, satu demi satu ahli yang Salafi itu menarik diri dan pergi kepada pembentukan entiti yang berasingan.

Menyeru ahli gerakan Islam agar lebih ilmiah dan sahih sandaran, bukanlah suatu kerja yang boleh berlaku sekelip mata. Ia soal paradigma dan cara berfikir. Saya berpandangan, ahli-ahli gerakan Islam yang meninggalkan kumpulannya kerana tidak sabar terhadap islah dalaman, adalah berjiwa sempit dan kurang mahu memikul tanggungjawab secara yang berwibawa. Melontar batu dari luar pagar, memang mudah kerana kesan lontaran itu boleh dilupakan. Tidak perlu peduli kepada akibat lontaran itu.

Kesan lontaran itu telah mengakibatkan segelintir ahli gerakan Islam dibelenggu keraguan. Keraguan itu telah membocorkan masa dan tenaga untuk tujuan yang tidak turun ke alam nyata.

Cabaran terus menerus berlaku di dalam masyarakat. Kelompok yang menarik jauh manusia dari agama semakin aktif. Tetapi ahli-ahli dakwah dan islah hilang momentum dan terdorong kepada mencari kemenangan di medan debat, bukannya jihad.

Akhirnya, sebagaimana Eropah menyesali over confident mereka kepada tradisi Enlightenment, kita juga mula dijangkiti kekhuatiran yang sama.

“REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION”
- Pendalilan (yang keterlaluan) mempromosikan keraguan, melemahkan tekad, memperlahankan tindak balas spontan dan agresif -


Keraguan. Adakah ia jalan Islah?
Saya masih memikirkannya...

1 ulasan:

  1. Islam adalah agama yang sempurna. Tak perlu ambil cara yahudi untuk mendapatkan kuasa pemerintahan negara. Keyakinan ummat Islam terhadap agamanya semakin menipis. Mereka tak mahu ikut cara nabi s.a.w. yang menguasai pemerintahan dengan cara menyebarkan agama tanpa menumpukan perhatian kepada kedudukan dalam politik. Bahkan nabi s.a.w. selalu mengancam orang yang ingin menjadi pemimpin dengan penghisaban yang berat di nakhirat. Namun nafsu selalu memberi alasan untuk membolehkan apa yang dikehendakinya... Tak faham betul aku...

    BalasPadam