Pengikut

Sabtu, Februari 07, 2009

RAKAN saya disamun?

SEORANG rakan saya juga adalah seorang pembayar cukai kepada pemerintah nampaknya sedang marah dengan perkembangan politik sekarang. Sekalipun dia wanita, suara nurani politiknya tidak dapat dibendung lagi. Dan apabila membaca berita atau khabar wang 50 juta diapung-apung dan diagih-agih untuk permainan politik, maka hatinya bertambah marah. Ini persepsinya mengenai wang 50 juta itu, betul atau tidak Tuhan saja yang tahu!

Rakan saya kata wang itu bukan datang dari mana-mana negara luar. Itu wang rakyat, para pembayar cukai. Dia kata dirinya pun bayar cukai kepada pemerintah, sebab itu apabila terdengar wang pembaya cukai dijadikan modal permainan politik, dia jadi amarah sangat. OK, terimalah hujahnya sebagai pembayar cukai yang prihatin. Juga semua orang kena terima dia seorang warga negara yang berguna kepada negara. Saya kenal dia, manusia yang baik, rajin bekerja dan patuh undang-undang. Kalau melanggar undang-undang jalan raya pun itu sajalah, macam mana-mana manusia juga. Tuan Imam dan para ulama juga mesti pernah melanggar undang-undang jalan raya. Dah undang-undang itu banyak sangat.

Kerana dia rajin dan tidak melakukan jenayah, maka negara beruntung mempunyai rakyat sepertinya. Kementerian Dalam Negeri tidak perlu mengerah polis untuk mengawasi kehidupannya, kerana dia bukan ancaman kepada sesiapa pun dalam negara ini, malah kerja hariannya memastikan manusia yang di sekelilingnya patuh undang-undang. Dan negara (baca semua jenis pemerintah) untung kerana dia berpendapatan besar, maka cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dibayar juga besar. Saya yakin sekurang-kurangnya ada sejuta warga Malaysia yang seperti rakan saya itu. Lihat berapa untungnya negara dengan memiliki sejuta warga seperti rakan saya itu. Oleh itu dengarlah apa yang terbuku dalam hatinya (dan mereka yang lain).

Apa dia kata? Katanya, “saya tidak reda wang yang saya bayar sebagai cukai dipergunakan untuk kerja-kerja tidak bermoral!”

Inilah suara hati rakyat bawahan yang taat kepada negara. Pemimpin datang supaya mengundinya dalam pilihan raya, dia patuh. Pemimpin membuat undang-undang supaya rakyat membayar cukai, dia bayar. Pemimpin datang dan berucap panjang, dia bertepuk tangan juga.

Kalaulah para pemimpin sudah tidak perduli dengan suara soksek-soksek rakyat mengenai kewajiban dicukai dan perbelanjaan wang cukai itu, betul kawan saya sedang dirompak atau disamun. Mana ada penyamun perduli dan tanya orang yang hartanya disamun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan