Pengikut

Ahad, April 03, 2016

SAMBUTAN Maulud Fatimah buka pintu untuk Syiah


MAULUD Fatimah az Zahra binti Muhammad Rasulullah? Baru sekarang ada segelintir ahli agama merayakan Maulud Fatimah.  Tidak ada salahnya dari sudut sosial sebagaimana orang menyambut Maulud Nabi atau hari ulang tahun Hang Tuah atau Parameswara!

Fatimah adalah anak perempuan Nabi s.a.w.  Dan orang yang mencintai Nabi s.a.w. juga mencintai keluarga baginda. Namun tidak ada wasiat untuk umat Islam merayakan kelahiran atau kematian Nabi dan keluarganya. Maulud Nabi, Maulud Fatimah dan Hari Karbala adalah bikinan manusia sesudah kewafatan Nabi s.a.w.


Ratusan tahun orang Melayu Nusantara hanya mengenal Maulud Nabi s.a.w. Tidak ada maulud para sahabat kanan atau anak-anak baginda Nabi s.a.w.  Hanya penganut Syiah yang sudah lama merayakan Maulud Fatimah.  Kepada ahlus sunnah, syiah bukanlah mengikuti al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.  Kerna itu para ulama Ahlus Sunah memfatwakan tidak boleh umat Islam memilih akidah Syiah.  Jika tidak murtad, pastinya dalam kesesatan yang jelas.

Oleh itu sedaya upaya, unsur-unsur Syiah mahu dihindari supaya ajaran dan budaya Syiah tidak memasuki ruang keagamaan Ahlus Sunnah.  Namun telah berlaku orang-orang Melayu daripada Ahlus Sunnah menyeberang kepada akidah dan budaya Syiah.  Pada 30 Mac, Syiah merayakan Hari Bunda atau Maulud Fatimah as Zahra.  Dalam Syiah, merayakan hari kelahiran Fatimah sama hebatnya seperti masyarakat Melayu merayakan Maulud Nabi. Tidak wajib dalam agama, tapi mesti buat!

Apabila ada orang Melayu yang mengaku Ahlus Sunnah dan menafikan cenderung Syiah merayakan hari kelahiran Fatimah, artinya mereka sedang menerima unsur Syiah.  Kepada Syiah Melayu yang dikatakan sejuta orang, jika ada kumpulan Melayu yang bukan Syiah ini merayakan Maulud Fatimah… itu sudah cukup menggembirakan.  Bagi mereka ini signal Syiah yang mula diterima. Selepas masyarakat Melayu menerima budaya Maulud Fatimah, langkah seterusnya tentulah syiar karbala! Isunya cantik, iaitu mencintai ahlul bait atau keluarga Nabi. Siapa mahu menafikan!

Ketahuilah, hanya kumpulan Melayu yang ada semangat syiah saja yang merayakan Maulud Fatimah. Bagi yang membenci Syiah, lebih baik tidak mengadakan Maulud Fatimah sekalipun mereka sayangkan keluarga Nabi s.a.w.  Dalam keadaan jarum Syiah sedang dicucuk di mana-mana, Ahlus Sunnah tidak akan melakukan Maulud Fatimah.


Untuk apa membuka pintu kepada Syiah?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan