PERHIMPUNAN
yang dinamakan TURUN tamat sudah. Mereka
berdemo mendesak kerajaan menurunkan semua kos sara hidup rakyat. Tidak tahulah
sama ada kerajaan akan melayan semua atau beberapa perkara yang diminta. Saya yakin, jika semua desakan mereka
dipenuhi oleh kerajaan yg berkuasa di Putrajaya pun, para pemimpin dan semua pendemo
masih tidak puas hati. Ini keyakinan
saya lebih 100 peratus. Nafsu tidak
pernah puas!
Sejak
tahun 1988, Malaysia kerap sangat diwarnai dengan demontrasi, dan yang paling
terlibat dalam semua demontrasi ini adalah orang Melayu yang berakidah
Islam. Mungkin benar, apa yang dituntut
dalam siri demontrasi itu terhasil, tetapi apakah hasil yang diterima oleh
Islam sebagai agama yang sejahtera?
Demontrasi
adalah antara siri kemuncak pertelagahan antara dua pihak (seterusnya ialah
peperangan atau pembunuhan). Oleh kerana
yang melakukan demontrasi kebanyakannya adalah muslim, malah antara yang
menjadi kepala demontrasi adalah orang yang dikenali sebagai ulama atau ustaz,
maka patut ditanya dan dijawab dengan jujur oleh semua muslim mengenai kesan
siri demontrasi di negara kita.
Apakah
dengan demontrasi, telah meningkatkan imej Islam sebagai agama yang sejahtara
dan menawarkan keamanan?
Apakah
dengan demontrasi telah meningkatkan tahap pemahaman muslim bahawa Islam adalah Islam adalah agama
yang toleran dan mementingkan musyawarah dalam
urusan umah?
Apakah
dengan demontrasi telah berjaya menguatkan kesatuan umah yang didakwa bahawa
Islam merupakan penyatu manusia, apa lagi kepada orang Melayu?
Cukuplah
kepada tiga persoalan itu, hakikatnya Islam sebagai agama yang sejahtara,
mengutamakan musyawarah dan perpaduan terjejas teruk. Memang tidak ada statistik sebagai satu
indeks ‘terjejasnya’ imej Islam, tetapi indikator-indikator yang ditunjukkan
oleh segelintir penentang Islam adalah antara
yang terserlah. Tanpa merujuk wahyu Allah pun, akal manusia dapat
membuat kesimpulan: Apabila tahap pertelagahan antara sesama muslim semakin
teruk, maka musuh Islam semakin garang terhadap Islam!
Pemerintah
adalah muslim, mengapa sebagian muslim menjadi penentang kepada pemerintah
muslim? Jika penentang mahu menjadi pemerintah juga, janganlah keluar daripada
kelompok pemerintah. Duduklah dalam kelompok pemerintah, berpakat sesama pemimpin
bagaimana memerintah negara. Jika keluar
daripada kelompok pemerintah, maka peluang memberi sumbang-saran dengan lebih
berkesan semakin kecil. Mudah cakap,
siapa hendak dengar cakap musuh!
Allah
telah merakamkan kewajiban taat kepada pemerintah dalam ayat 59 surah
An-Nisa. Di Malaysia, pemerintah sebenar
adalah eksekutif, sementara Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang
menerima nasihat daripada ketua eksekutif.
Jika banyak tidak setuju dengan pemerintah pun, Islam tidak membenarkan
menentang pemerintah, memperolok-olok, menghina atau membuat kekacauan dengan
maksud menyusahkan pemerintah muslim.
Antara
hadis nabi berkenaan rasa benci terhadap pemerintah dan sikap yang sepatutnya
dalam kalangan umah ialah:
عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم
الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم
ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول الله أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال (
لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا تكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا
تنزعوا يدا من طاعة )
Maksudnya:
Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik
pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan
mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu
benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat
kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi
mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan
kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka
bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.
(HR Muslim dan Ahmad)
Kemudian
kepada pemimpin organisasi massa atau orang yang bijak dalam kalangan umah
hendak menasihati pemimpin, bukanlah dengan membuat ‘nasihat’ di hadapan
khalayak sebagaimana sekarang. Mereka hendaklah melakukan secara tertutup,
supaya maruah pemimpin terhadap rakyat terjaga.
Nabi
sudah bersabda:
من أراد أن ينصح لذى سلطان بأمر فلا يبدله علانية ولكن ليأخذ بيده
فيخلو به فان قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه
Maksudnya:
“sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia
melakukannya terang-terangan tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah
dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah
yang dikehendaki, jika tidak maka dia (penasihat) telah melaksanakan
tanggungjawabnya”. (HR Ahmad)
Ambil
iktibar terhadap kedudukan Raja-raja Melayu yang tidak boleh dikritik secara
terbuka, walhal semua baginda adalah manusia, keturunan Nabi Adam sebagaimana
rakyat lain. Sebagai manusia seperti
rakyat, tugasnya sebagai Ketua Negeri
dan peribadinya juga terdedah kepada kesalahan. Undang-undang yang
menghalang rakyat daripada mempersoalkan apa juga berkaitan baginda Raja-raja
supaya maruahnya tidak tercemar di mata rakyat.
Sesiapa yang hendak menasihati baginda Raja-raja, mestilah secara tertutup
atau istilah dalam hadis ‘peganglah tangannya’.
Ambil
iktibar juga peraturan dalam semua parti politik yang tidak membenarkan
ahli-ahlinya mengkritik kesalahan pemimpin-pemimpin parti berkenaan secara
terbuka. Pemimpin kecil atau ahli masih
boleh mengkritik atau menasihati pemimpin besar mereka, tetapi mestilah secara
dalaman atau istilah dalam hadis ‘pegang tangannya’. Tujuan peraturan dalam parti sebegitu rupa, supaya
maruah pemimpin besar mereka tidak tercemar dan menjadi bahan ejek ahli-ahli
lain.
Mengapa
pemimpin-pemimpin negara yang nyata muslim tidak diberikan hak itu oleh
sebagian pemimpin di luar kerajaan?