SAYA ingin mencatatkan perihal besar atau tingginya
pengaruh para ustaz atau ulama dalam masyarakat. Ini merupakan pengalaman biasa saya sebagai
ahli masyarakat yang diasuh memandang mulia para ulama, mendengar nasihatnya
serta menerima apa sarannya dalam agama. Seperti masjid lain, di Masjid
al-Abrar Kampung Sepintas banyaklah ustaz atau ulama mengajarkan agama sama ada
yang rutin mingguan atau yang bersempena sesuatu majlis khas.
Saya ambil contoh kami menerima tanpa soal ajaran
antara ustaz yang megajar di sini mengenai tidak perlu mengangkat tangan
mengaminkan doa yang dibaca oleh khatib pada khutbahnya. Apa yang disampaikan kepada kami cukup mudah,
iaitu “tidak ada seruan untuk mengaminkan doa yang dibaca khatib, maka diamkan
saja”. Walhal kalau antara kami bersolat
Jumaat di tempat lain, kebanyakan ahli Jumaat mengaminkan doa khatib. Dan kerna
itu, jika dalam sidang Jumaat di masjid kami ada yang mengaminkan doa khatib
pastinya dia merupakan orang luar atau anak kariah desa yang pulang dari
perantauan.
Begitu juga dengan pembinaan kubur. Selama berpuluh-puluh tahun tanah perkuburan
yang bersebelahan dengan masjid desa kami tidak ada binaan batu kecuali
nisan-nisan kecil. Semua ini kerna
kepatuhan kepada ajaran ustaz atau ulama yang membawakan hadis nabi s.a.w. bahawa
baginda nabi melarang membuat binaan di atas kuburan. Dahulu pernah ada satu keluarga membina
pondok khas untuk beberapa kubur satu keluarga, namun setelah hancur dimamah
usia, tidak berani lagi ahli warisnya mendirikan pondok baru. Namun sekarang jika orang melihat tanah
kuburan yang dinamakan ‘Darul Barzah’ sudah mula ada beberapa kubur yang
ditinggikan dengan batu simen. Seorang
ahli jawatan kuasa masjid mengeluh mengenai waris si arwah yang pulang
sekali-sekala itulah yang membinakan batu-batu simen untuk kubur keluarganya.
Dalam bab kenduri walimatul urus, dahulu orang akan
hadir ke kenduri tanpa memerlukan kartu undangan sebagaimana sekarang. Cukup dengan mendengar khabar di simpang
jalan dan menunggu harinya maka orang pun datang ke majlis berkenaan. Kecuali jika yang mengadakan kenduri kahwin
itu secara besar-besaran barulah diadakan undangan kepada orang-orang yang
dikehendakinya. Orang yang berilmu agama
mula mentajdid pemikiran ahli desa dengan membawakan hadis nabi bab kewajiban
menghadiri kenduri walinah jika diundang.
Perkataan ‘jika diundang’ itu diperjelaskan. Maka orang pun mematuhinya. Dan sekarang
tidak lagi orang akan ‘main serbu datang’ jika tidak mendapat undangan daripada
tuan rumah.
Demikianlah.
Moral catatan saya ini ialah masyarakat desa sangat memuliakan ustaz
atau ulama dengan menerima pengajarannya.
Maka sangat diharap untuk seterusnya
dan seterusnya lagi ulama dan ustaz lebih mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu
semasa kerana desa juga sudah menerima maklumat seperti di kota. Pemikiran anak desa tidak jauh bedanya dengan
anak kota. Malah anak desa kian banyak belajar di pusat pengajian tinggi,
memiliki sekurang-kurangnya diploma sebagai tanda disiplin ilmu. Jika ulama dan ustaz berjaya mensetarakan
kedudukan ilmunya dengan puluhan anak desa dan kota (si perantau itu), maka
dengan izin Allah penghormatan dan pengajarannya tetap diterima dengan mudah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan