Pengikut

Jumaat, Ogos 31, 2012

MANA perang kemerdekaan Tanah Melayu?


HARI ini tanggal 31 ogos 2012 hari sambutan kemerdekaan negara kali ke-55. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah mula dijajah oleh kuasa Barat pada tahun 1511 oleh Portugal di Melaka.  Antara penjajah yang menjajah negara kita ialah Siam, Portugal, Belanda, Jepun dan British. 


Semakin lama negara meninggalkan zaman penjajahan semakin banyak warga negaranya yang merasai zaman penjajahan kian surut.  Semakin lama usia negara merdeka, semakin banyak warga negara yang kian tipis pengetahuan sejarah negara yang dijajah.  Semakin banyak juga yang tidak memahami apa arti negara yang dijajah dan kemerdekaan.

Bagi negara yang mencapai kemerdekaan dengan jalan peperangan seperti Indonesia, jauh lebih mudah mengekalkan semangat kemerdekaan dan kecintaan kepada negara kerana sejarah darah yang tumpah ke bumi.  Revolusi kemerdekaan Indonesia dirasai jerih payahnya oleh setiap rakyat.  Berapa banyak ibu kehilangan anak lelakinya, berapa banyak anak-anak kehilangan ayah, berapa banyak isteri kehilangan suami dan berapa banyak kerosakan harta benda serta kegawatan ekonomi kerna jalan perang melawan Belanda.

Sejarah jalan kemerdekaan Tanah Melayu (kemudian menjadi Malaysia) juga berdarah. Jangan hanya membaca sejarah Perang Perak oleh Dato Maharaja Lela melawan British, Tok Janggut dan Mat Salleh yang terbunuh di Kelantan dan Sabah.  Mat Kilau pun menumpahkan darah di Pahang, tetapi itu siri peperangan melawan penjajah pada zaman British yang awal,  yang selepas  peperangan itu seluruh negara dalam genggaman penjajah. Yang mengangkat senjata melawan British ialah Partai Kumunis Malaya. Malanglah, sebab PKM itu komunisme, maka gerakan itu ditolak sebagai perang kemerdekaan.

Perang kemerdekaan lebih kepada detik-detik akhir melawan penjajah sehingga si penjajah berambus keluar dengan terpaksa dan malu dari tanah yang dijajahnya.  Pada saat itu anak pribumi akan melaungkan kemerdekaan dengan bangga dan bergaya!  Apa juga yang selama ini dimiliki penjajah diambil kembali untuk negara merdeka. Mengapa sebelum tanggal 31 Ogos 1957 bukanlah zaman perang kemerdekaan  di Tanah Melayu?

Seorang penulis buku sejarah, Muslimin Fadzil mengatakan bahawa Tunku Abdul Rahman Putra telah mempertimbangkan antara gerakan merdeka secara perang atau secara rundingan.  Menurutnya, perang kemerdekaan ternyata memakan korban nyawa dan harta benda. Semakin panjang zaman perang itu semakin banyak pula kerugian fizikal, walaupun jika berjaya dalam perang bermakna segala harta yang selama ini dikuasai penjajah akan diambil semula.  Bagaimana pula jika kalah perang? Merdeka secara rundingan bermakna penjajah mengenakan syarat-syarat penting yang selalunya menguntungkan pihak penjajah juga.

Tunku Abdul Rahman Putra telah memilih jalan rundingan sebagai jalan merdeka.  Memang perjanjian London 1956 antara Parti Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra dengan kerajaan British memihak kepada penjajah itu.  Hanya kuasa politik pemerintahan yang diserah kepada anak watan sedangkan semua milikan ekonomi British dalam negara yang nilainya berbilion ringgit tidak boleh diusik. Pertimbangannya adalah masih lebih baik tidak kehilangan ribuan nyawa dengan terpaksa kehilangan sebagian besar ekonomi!

Adakah jalan merdeka secara rundingan itu tidak bermaruah?

Ahad, Ogos 26, 2012

FOTO-foto solat eid di lapangan terbuka

DI Malaysia masih belum menjadikan agenda solat eid di lapangan terbuka, tetapi di negara-negara lain mereka sudah membiasakan sebagai menuruti sunah nabi.

di Filipina

di Kenya

di Thailand

di Pakistan

di Surinam Amerika Selatan (keturunan Melayu)

di Bosnia, negara yang dulu menderita perang etnik

di Maldives, negara pulau di Lautan Hindi

di Taiwan dalam masyarakat majoriti bukan Islam

di kota Chicago, USA

di England

di kota Jeddah, Arab Saudi

Selasa, Ogos 21, 2012

NAH, apabila MCA dan DAP menentang syariah Islam...


MARI kita hayati maksud firman Allah ayat 57 surah al-Ma’idah: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan pemimpinmu orang-orang yang membuat agamu  jadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) antara orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum kamu dan orang-orang yang kafir (orang musyrik atau penyembah berhala).  Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu orang-orang yang beriman.”


Ayat di atas ada menyebut ‘pemimpin’ iaitu orang yang menjadi ketua untuk melakukan kerja-kerja kepimpinan dalam hal kenegaraan.  Pemimpin selalu dikaitkan dengan orang politik sebab politik itu berkaitan dengan kuasa, maka pemimpin adalah orang yang berkuasa.  Kuasa sangat penting untuk melakukan apa-apa perubahan dalam masyarakat.

Dalam negara demokrasi kita, semua warga negara diberi hak sama rata untuk memilih pemimpin atau mahu menjadi pemimpin tak kira sama ada seseorang itu muslim atau sebaliknya.  Kerna sistem demokrasi ini juga, sesiapa juga boleh menjual dirinya sebagai pemimpin yang menjanjikan apa-apa saja kepada masyarakat.  Maka terpulanglah kepada masyarakat sama ada hendak menerima  seseorang (dengan tagnya) atau menolaknya.


Amaran Allah kepada muslim ialah jangan membentuk sikap pemimpin yang menjadikan agama (Islam) sebagai bahan lelongan.  Atau jangan sesekali memilih pemimpin yang menjadikan Islam sebagai tunggangan untuk mempopularkan diri terutama dengan memberi wajah kotor terhadap agama Allah ini.  Dalam negara kita, untuk mempopularkan diri sebagai pemimpin mereka cenderung membuat ucapan atau sikap yang ‘menyentak atau mengejutkan’ kedamaian masyarakat.  Tujuan orang seperti ini hanyalah untuk dilihat sebagai hero atau pejuang paling hebat.  Dia mahu idea dan dirinya menjadi buah bicara umum, kemudian berharap banyak orang akan menjadi penyokongnya!

Debat subjek Islam bukan hanya dalam kalangan para pemimpin Islam, malah pemimpin bukan Islam juga sudah masuk dengan jauh menyatakan sikap terhadap Islam. Pada saat umat Islam sudah faham bahawa dalam negara yang dihuni oleh umat Islam, undang-undang syariah merupakan paksi undang-undang negara….,  jelas pula pemimpin bukan Islam yang menyatakan penentangan terbuka terhadap pelaksanaan syariah Islam dalama negara!  Ertinya ialah mereka memang memusuhi sistem Islam sebagai satu sistem hidup manusia.

Pemimpin bukan Islam tidak anti Islam? Ya benar, jika Islam itu hanya difahami sebagai ibadah ritual sebagaimana mereka memahami agama Kristian, Hindu dan Buddha. Ini merupakan fahaman sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan.  Jika ada pemimpin Islam menyatakan negara kita sebagai negara Islam dengan Islam difahami sebagai agama ritual (hanya ibadah kepada Allah), pemimpin bukan Islam sangat bersetuju , malah mempertahankan pendirian seperti ini.

Perhatikan pendirian MCA (parti orang Cina yang bukan Islam) mengenai negara Islam.  Dahulu (tahun 2000), di dalam majlis MCA PM Dr Mahathir telah mengisytiharkan Malaysia sebuah Negara Islam.  Sebenarnya ini usaha PM untuk mengekang pengaruh Pas yang mahu melaksanakan undang-undang Syariah menggantikan undang-undang sivil dalam negara.  Puak bukan Islam tidak mahu dinaungi undang-undang Islam atas  alasannya mereka bukan Islam.  Tambahan pula dalam sistem demokrasi, mereka pun berteriak menyatakan penentangan terhadap undang-undang Islam. Yang terbaru MCA Selangor menolak sekeras-kerasnya usaha menjadikan Syariah Islam sebagai asas pentadbiran.  Mereka memberi contoh terbaru kes Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengeluarkan notis supaya tempat duduk lelaki dan perempuan dalam pawagam diasingkan!  Bagi MCA (sebenarnya DAP juga), itulah permulaan pelaksanaan Syariah Islam.

DAP memang sudah lama dan terbuka menentang apa juga isu idea dan pelaksanaan undang-undang Syariah.  Tag Pengerusi DAP “Langkah mayat saya dahulu untuk tegakkan Negara Islam’ merupakan ayat yang tidak boleh dipisahkan dengan DAP.  Sikap mereka terus disuburkan dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Jangan lupa, bahawa para pemimpin DAP pernah membuat bantahan terbuka di hadapan pejabat DBKL sebagai protes DBKL melaksanakan ‘pengawalan moral’ terhadap masyarakat awam.  Isu asalnya ialah dua orang lelaki dan perempuan muda bukan Islam melakukan aksi erotic (lucah) di tempat terbuka.  Oleh kerna ada undang-undang kecil DBKL yang membolehkan mereka didakwa, maka surat saman dikeluarkan. Jadi sikap DAP sama dengan MCA atau mana-mana parti politik atau NGO orang bukan Islam.

Kebimbangan besar orang bukan Islam sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) ialah jika semua parti politik orang Islam (termasuk semua NGO Islam) bersatu untuk melaksanakan pentadbiran secara Islam, iaitu melaksanakan Syariah Islam.  Sebab itulah jika ada idea untuk Pas dan Umno ditemukan walaupun bukan untuk tujuan pelaksanaan undang-undang Syariah Islam, maka pasti kedengaran ugutan daripada perti sekutu Umno dan Pas.  Sebabnya  mudah, iaitu jika orang Melayu dan Islam bersatu, jumlah mereka kembali menjadi majoriti yang menyebabkan apa kehendak Melayu Islam sebagai majoriti akan mudah dilaksanakan.  Sekarang dengan pecahnya Pas dan Umno, orang bukan Islam sedang menikmati kekuatan politik secara majoriti.  Maka jangan hairan jika MCA dan DAP akan berteriak kuat menyatakan sikap penentangan terhadap apa saja idea atau isu syariah Islam.

Kembali kepada ayat al-Quran di atas, adakah orang Islam akan memilih orang yang menjadikan Islam sebagai bahan kecaman?  Adakah umat Islam akan terus bermusuhan sedangkan musuhnya sudah nyata di hadapan mana dan bersedia untuk menindas Islam dan umatnya?


Ahad, Ogos 19, 2012

EID..eid...termaafkah pengkhianatan masa lalu?


TAQABBALLAHU minna wa minkum…, salam eid. Salam Lebaran maaf zahir batin.  Ini adalah hari kemenangan, hari kegembiraan.  Budaya dan kebiasaannya ialah umat saling bermaaf-maafan, meredai ahlinya yang lain dengan harapan dirinya juga akan diredai oleh ahli-ahlinya yang lain.  Dengan itu diharap Hari Raya menjadi satu ruang saling memberi maaf dan mengapuskan dosa sesama manusia.


Semua orang atau komuniti melalui jalan kehidupan yang bermuamalah dengan manusia yang lain.  Itulah sejarah kehidupan yang adakalanya menempuh zaman yang baik dan buruk.  Ada yang pernah dikhianati dan dirugikan bertahun-tahun.  Ada yang merasa aman tanpa kesusahan dalam sejarahnya.  Sejarah umah pada zaman nabi juga bukan luar biasa malah menjadi satu pengajaran kepada generasi kemudian, termasuk zaman kita ini.  Lihat sahaja sejarah perpecahan, perbalahan dan peperangan antara dua kaum Arab iaitu Aus dan Khazraj  di Yastrib (Madinah) sebelum mereka menerima Islam.  Namun dengan Islam yang terasnya ajaran al-Quran dan Sunah nabi s.a.w. permusuhan berbuyutan dapat dilenyapkan dan diganti persaudaraan yang luar biasa indahnya.

Bangsa Melayu juga telah melalui zaman jahiliyah sebelum Islam yang dirakam penuh perpecahan dan permusuhan.  Kemudian Allah memberi petunjuk atau hidayah iman, maka sebagian besar bangsa Melayu menerima iman dan Islam.  Maka masyhurlah bahawa Melayu Islam itu bersaudara.  Kemudian kerana kepentingan yang bukan daripada ajaran al-Quran dan Sunah nabi, maka berlaku juga permusuhan sesama Melayu yang muslim.

Apakah sikap kita sesama bangsa yang sama-sama mengaku muslim dan beriman pada hari akhirat.  Adakah kita hendak meneruskan perbalahan dan perpecahan yang memang menjadi agenda kaum yang tidak beriman atau memulakan buku hidup baru yang menguatkan persaudaraan, persefahaman serta mengurangkan perbedaan.  Apakah Hari Raya hanya ruang memberi kemaafan sesama muslim dalam hal-hal yang kecil seperti terambil wang RM10.00 atau termakan dan terminum?  Apakah Hari Raya bukan ruang memberi kemaafan kepada saudara muslim kerna kesalahan dan perkhianatan yang dilakukan pada zaman jahiliyah dahulu?

Perhatikan maksud firman Allah ayat 37 surah as-Syura: “…..dan apabila mereka marah segera memberi maaf….”

Ayat 40 surah yang sama pula bermaksud: “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik (kepada yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah.  Sungguh, Dia tidak menyukai orang yang zalim.”

Sungguh, Islam bukan hanya memberi ruang kejayaan di dunia, malah sampai ke akhirat.  Ada perkara yang tidak ditunaikan di dunia, maka Allah akan memberi balasan di akhirat kelak.  Itulah keistimewaan Islam yang membuat orang berasa aman  dengan jaminan keadilan dan keselamatan dari dunia hingga akhirat.  Sedangkan semua ajaran hidup selain Islam, hanya terhenti di dunia ini, maka seolah-olah apa yang berlaku di dunia hendak dilunasi sehabis-habisnya di dunia ini saja.

Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.

Khamis, Ogos 16, 2012

ORANG Minang atau Melayu beradat Hari Raya?


Mudah orang memberi contoh adat Minangkabau jika mahu memberi bukti orang mengutamakan adat berbanding agama.  Di tempat saya pun …, sejak kecil sering mendengar ungkapan yang orang Minangkabau lebih mengutamakan adat berbanding agama.  Kalau di sekolah guru menyebut ‘Biar mati anak jangan mati adat’ maka tergambarlah orang Minangkabau!

bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan
mahram juga adat bukan ajaran agama.

Fakta yang salah! Kita bicara orang Melayu di Malaysia saja.  Sejak dahulu kala, adat dan agama susah dipisahkan.  Kepada orang Melayu adat itu seperti agama dan begitulah sebaliknya.  Berbaju Melayu dan bersongkok pada hari Jumaat itu adat Melayu, tapi sudah digazetkan sebagai pakaian agama pula.  Susah juga hendak meyakinkan orang bukan Melayu bahawa adat-adat Melayu bukan agama Islam.  Susah…!

Lihat kebijakan British dahulu mengambil hati Sultan dengan memberi baginda hak kekuasaan ke atas agama Islam dan adat resam Melayu.  Lalu orang Melayu pun reda apa juga tindakan British asalkan Raja-raja Melayu masih ada kuasa.  Sampai sekarang sudah termaktub dalam semua perlembagaan negeri bahawa Raja atau Sultan berkuasa dalam hal agama dan adat resam Melayu.

Rakan-rakan dalam Facebook yang memperjuangkan ketepatan agama mengeluh mengenai adat orang Melayu melayan bulan Ramadan dan Hari Raya.  Berpuasa siang hari sepanjang Ramadan itu ibadah dalam agama, jadi mana yang adat Melayunya?  Adat Melayunya ialah berduyun-duyun ke masjid kerna keseronokan bersama jiran dan teman.  Bab seronok memang tidak lama.  Begitulah saban tahun dalam Ramadan, orang Melayu memenuhi masjid pada awal Ramadan dan menghilang pada penghujungnya.  Itulah adat.  Susah nak hilangkan adat ini sebab seakan itulah kehendak agama.

Hari raya pun ibadah, sehari saja.  Yang sehari itulah umat digesa solat sunat eid, memakai pakaian baru, bertakbir, menziarahi rumah jiran dalam suasana gembira.  Hari kedua apa? Hari kedua sebenarnya sudah balik seperti hari-hari biasa, tetapi orang Melayu masih panas berhari raya: Ziarah dan makan di sana sini.  Itu adat saja, bukan lagi dalam ibadah.  Oleh kerna adat Melayu ini besar, maka persiapan melaksanakan adat hari raya juga mestilah memakan masa dan kos yang agak tinggi. Itu yang dua minggu sebelum hari raya sudah terperap di rumah hendak menghias rumah, menjahit baju dan membakar kuih-muih.  Jika hari raya betul-betul hanya sehari, pasti tidak ada jualan mega atau promosi sejuta barangan seluruh kota.  Apa mahu pakai dan makan untuk sehari? Tak perlu persiapan dua minggu.

Kerna kita orang Melayu mengutamakan adat hari raya itulah maka dikorbankan masa solat jamaah Isyak  dan tarawih.  Harap-harap betul mereka tarawih atau solat malam sendiri di rumah.  Jika tidak solat malam juga, sahlah mereka utamakan adat berbanding agama.  Betul kata peribahasa: Biar mati anak jangan mati adat. Boleh ubah sedikit, tapi agak kasar: Biar mati agama asal jangan mati adat!

Gembira Hari Raya itu apa? Ketawa, main bunga api dan ketawa di depan peti TV?  Itu semua adat melayu dalam bergembira.  Gembira dalam agama bersyukurlah, senyum kepada orang lain dan berceritalah yang indah-indah ketika bertemu supaya suasana tidak bersedih atau pilu.

Boleh diubahkah adat-adat ini? Susah… Oleh itu janganlah mudah mengatakan yang lebih mengutamakan adat berbanding agama hanya orang Minangkabau!  Betulkan tanggapan anda.

Jumaat, Ogos 10, 2012

IBADAH: ada yang bermusim dan meriah


SAYA tidak ingat apakah istilah yang digunakan oleh mantan Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid mengenai kecenderungan orang Melayu yang sukakan perkara bermusim.  Beliau memberi contoh kecenderungan orang Melayu menjadi nelayan atau petani disebabkan kerja-kerja yang bermusim.  Musim menanam kemudian berehat sementara menunggu padi masak.  Begitu juga kepada nelayan di pantai Timur yang ada masa berehat kerna musim tengkujuh.   Di Pantai Barat Semenanjung tidak ada musim tengkujuh, maka orang Melayu tidak berapa banyak menjadi nelayan.  Hal ini ada kaitan dengan keupayaan bekerja dan meraih keuntungan ekonomi berbanding mana-mana kaum yang sanggup bekerja tanpa musim.

foto hiasan

Hemat saya, bukan sahaja dalam ekonomi ada kecenderungan bermusim malah dalam bidang sosial juga ketara kecenderungan bermusim, malah bersifat ‘suka-suka dan beramai-ramai’.  Mungkin itu dianggap lumrah kehidupan manusia, tetapi dalam beragama juga jelas kecenderungan bermusim yang ada ‘suka-suka dan beramai-ramai’.  Berbuihlah mulut orang-orang alim kita mengajak berubah supaya agama jangan dijadikan musiman yang ‘suka-suka dan beramai-ramai’ kerana agama ada faktanya yang sedia ada dalam al-Quran dan hadis sahih nabi s.a.w., bukan senang minda masyarakat Melayu hendak melepaskan ‘suka-suka dan beramai-ramai’.

Contoh terbaik ialah semasa dalam bulan Ramadan ini.  Berapa banyak orang alim memberi maklumat atau ilmu dan menerangkan mengenai solat tarawih yang sepatutnya berpanjangan sepanjang malam Ramadan, bukan hanya ‘suka-suka dan beramai-ramai’ dalam tempoh 10 malam pertama Ramadan.  Setiap kali pertengahan Ramadan pastilah orang-orang alim agama kita mula mengingatkan agar tidak seperti Ramadan tahun-tahun sebelumnya, iaitu orang kita lebih banyak memenuhi pasar raya, bazaar atau ekspo berbanding masjid dan surau.  Maksudnya ialah orang Melayu semacam terbalik dalam mengimarahkan bulan Ramadan: sepatutnya semakin menghampiri akhir Ramadan semakin banyak melakukan amal ibadah, tetapi sebaliknya berlaku.  Inilah contoh amal ibadah orang Melayu yang cenderung kepada ‘suka-suka dan beramai-ramai’.

Contoh lain pun ada juga.  Lihat budaya kenduri arwah orang Melayu mesti ada unsur ‘suka-suka dan beramai-ramai’ walaupun tujuan kenduri itu mengingati si mati.  Si mati itu adalah orang yang dikasihi dan kehilangannya sepatutnya dirasakan hiba.  Sangguplah adik-beradik yang jauh pulang ke kampung untuk memeriahkan kenduri arwah, walhal orang-orang alim kita mengajarkan bahawa di mana-mana saja boleh mendoakan arwah orang yang dikasihi itu supaya sejahtera dan diampuni Allah. Seperti tidak yakin seorang anak boleh mendoakan kesejahteraan roh ibu bapanya, maka dibuat juga kenduri dan makan-makan.  Seperti tidak sempurna doa kepada Allah jika tidak ada hal-hal yang meriah.

Begitu juga doa murid yang akan menduduki peperiksaan.  Walaupun diajarkan supaya murid-murid dan ibu bapanya berdoa setiap selesai solat sejak awal lagi, namun mesti hendak diadakan juga majlis solat hajat: Solat sebagai permohonan kepada Allah agar murid-murid menjawab soalan dengan tenang dan betul!

Begitulah sebagian daripada hidup beragama orang Melayu pun perlukan musim.  Solat berjamaah pun ikut musim: Hari Jumaat atau malam Jumaat, itulah yang meriah.  Hari-hari lain, hanya orang yang benar-benar berpegang kepada ilmu bahawa tuntutan beragama bukan bersandarkan ‘suka-suka dan beramai-ramai’.

Jangan marah……..

Ahad, Ogos 05, 2012

SAAT teringatnya nuzulul Qur'an


SABAN tahun umat Islam mengingati hari pertama turunnya wahyu (al-Quran) kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.  Turunnya wahyu kepada manusia pada kurun ketujuh Masehi dahulu merupakan satu titik tolak penting tamadun manusia. Bahasa mudahnya, setelah turunnya wahyu manusia menjadi manusia yang menepati fitrahnya iaitu menyerahkan diri kepada yang menciptanya.  Itu hanya kepada sesiapa yang mengakui ‘Tidak ada tuhan melainkan Allah’.  Yang terus menafikan Allah sebagai Tuhan atau mengakui juga Allah sebagai Tuhan tetapi percaya juga hal-hal lain punya kuasa seperti Tuhan, mereka tidak termasuk manusia yang menepati fitrah kejadiannya.


Sebab itulah wahyu sangat penting dan utama dalam kehidupan orang yang percayakan Allah.  Al-Quran sebagai wahyu telah mengubah pemikiran dan cara hidup manusia.  Al-Quran mengajar bahawa kebenaran bukan diukur dengan keputusan-keputusan secara majoriti, melainkan benar kerana ada faktanya!  Maksud ayat 116 surah al-An’am: “Dan jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di bumi ini nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.  Yang mereka ikuti hanyalah sangkaan belaka dan mereka hanya membuat kebohongan.”  Ayat ini benar-benar satu seruan untuk manusia mencari agama daripada sumbernya yang sah, bukan menjadi pembonceng kepada orang yang disangka benar agamanya.  Ayat itu bukan sahaja ditujukan kepada manusia yang terang-terang menolak jalan Islam sebagai agama dan sistem hidup, malah yang memilih Islam pun tetap dipertanggungjawabkan mencari maklumat agama yang sah. Beragama bukan dengan cara mengikuti secara borong atau beramai-ramai seperti satu pesta suka-sukaan.

Memang dalam beragama banyak perselisihan dan debat, yang masing-masing mendakwa agamanya yang benar.  Yang tidak dipegang itu adalah salah.  Jadi Allah menjelaskan tujuan al-Quran juga untuk menjelaskan mana yang betul dan salah. Lihat maksud ayat 64 surah an-Nahl: “Dan Kami tidak menurunkan kitab (al-Quran) ini kepadamu (Muhammad) melainkan agar engkau menjelaskan kepada mereka apa yang diperselisihkan itu, menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Orang beragama selalunya disandarkan kepada agama nenek-moyangnya.  Begitulah kebanyakan orang di mana-mana juga, sehingga para muslim juga tidak malu mengakui dirinya menjadi muslim kerna mengikuti nenek-moyangnya.  Sekalipun begitu, al-Quran mengajarkan manusia supaya beragama berdasarkan petunjuk Allah.  Lihat penjelasan Allah pada ayat 104 surah al-Ma’idah: “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘marilah (mengikuti) apa yang diturunkan Allah dan (mengikuti) rasul’. Mereka menjawab, ‘cukuplah bagi kami dapati daripada nenek-moyang kami’.  Apakah (mereka akan mengikuti) juga nenek-moyang mereka walaupun nenek-moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa  dan tidak (pula) mendapat petunjuk?”  Maka sebagai muslim beragama dengan alasan nenek-moyang bukan juga caranya, melainkan beragama kerna petunjuk al-Quran dan mengikuti penjelasannya oleh rasul, Muhammad s.a.w.

Ada amaran lain daripada Allah mengenai pembohongan manusia atas nama Allah yang disandarkan kepada kitab wahyu!  Hal ini terjadi disebabkan orang beriman percayakan kitab Allah (al-Quran). Untuk memesongkan agama para muslim, si pendusta juga berkata-kata bagaikan sumbernya wahyu atau kitab Allah. Maksud ayat 78 surah Ali Imran: “Dan sungguh di antara mereka nescaya ada segolongan yang memutarbelit lidahnya membaca kitab, agar kamu menyangka (yang mereka baca) itu sebagian daripada kitab, padahal itu bukan daripada kitab.  Dan mereka berkata ‘itu daripada Allah’ padahal itu bukan daripada Allah.  Mereka mengatakan hal yang dusta terhadap Allah padahal mereka mengetahui.”

Oleh itu para muslim atau yang beriman kepada Allah tidak ada pilihan lain, mestilah merujuk sepenuhnya al-Quran dan sunah nabi s.a.w. sebagai jalan menetapkan benarnya agama yang dilalui.  Teliti dan waspadalah kepada orang yang berkata hal-hal agama tetapi tidak menyandarkan ajarannya kepada wahyu sedangkan agama yang diketahui itu bermula daripada wahyu Allah.  Kelak apabila kita mengetahui apa yang diajarkan itu berlawanan pula dengan wahyu Allah, maka tinggalkanlah.  Itulah jalan yang benar.  Tidak ada persekutuan antara agama yang benar dengan yang direka-reka oleh si pendusta, yang berkata atas nama Allah.

Wallahu aklam.


Sabtu, Ogos 04, 2012

CATATAN di Masjid al-Abrar desa kami


SAYA ingin mencatatkan perihal besar atau tingginya pengaruh para ustaz atau ulama dalam masyarakat.  Ini merupakan pengalaman biasa saya sebagai ahli masyarakat yang diasuh memandang mulia para ulama, mendengar nasihatnya serta menerima apa sarannya dalam agama. Seperti masjid lain, di Masjid al-Abrar Kampung Sepintas banyaklah ustaz atau ulama mengajarkan agama sama ada yang rutin mingguan atau yang bersempena sesuatu majlis khas.


Saya ambil contoh kami menerima tanpa soal ajaran antara ustaz yang megajar di sini mengenai tidak perlu mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh khatib pada khutbahnya.  Apa yang disampaikan kepada kami cukup mudah, iaitu “tidak ada seruan untuk mengaminkan doa yang dibaca khatib, maka diamkan saja”.  Walhal kalau antara kami bersolat Jumaat di tempat lain, kebanyakan ahli Jumaat mengaminkan doa khatib. Dan kerna itu, jika dalam sidang Jumaat di masjid kami ada yang mengaminkan doa khatib pastinya dia merupakan orang luar atau anak kariah desa yang pulang dari perantauan.

Begitu juga dengan pembinaan kubur.  Selama berpuluh-puluh tahun tanah perkuburan yang bersebelahan dengan masjid desa kami tidak ada binaan batu kecuali nisan-nisan kecil.  Semua ini kerna kepatuhan kepada ajaran ustaz atau ulama yang membawakan hadis nabi s.a.w. bahawa baginda nabi melarang membuat binaan di atas kuburan.  Dahulu pernah ada satu keluarga membina pondok khas untuk beberapa kubur satu keluarga, namun setelah hancur dimamah usia, tidak berani lagi ahli warisnya mendirikan pondok baru.  Namun sekarang jika orang melihat tanah kuburan yang dinamakan ‘Darul Barzah’ sudah mula ada beberapa kubur yang ditinggikan dengan batu simen.  Seorang ahli jawatan kuasa masjid mengeluh mengenai waris si arwah yang pulang sekali-sekala itulah yang membinakan batu-batu simen untuk kubur keluarganya.

Dalam bab kenduri walimatul urus, dahulu orang akan hadir ke kenduri tanpa memerlukan kartu undangan sebagaimana sekarang.  Cukup dengan mendengar khabar di simpang jalan dan menunggu harinya maka orang pun datang ke majlis berkenaan.  Kecuali jika yang mengadakan kenduri kahwin itu secara besar-besaran barulah diadakan undangan kepada orang-orang yang dikehendakinya.  Orang yang berilmu agama mula mentajdid pemikiran ahli desa dengan membawakan hadis nabi bab kewajiban menghadiri kenduri walinah jika diundang.  Perkataan ‘jika diundang’ itu diperjelaskan.  Maka orang pun mematuhinya. Dan sekarang tidak lagi orang akan ‘main serbu datang’ jika tidak mendapat undangan daripada tuan rumah.

Demikianlah.  Moral catatan saya ini ialah masyarakat desa sangat memuliakan ustaz atau ulama dengan menerima pengajarannya.  Maka sangat diharap untuk seterusnya  dan seterusnya lagi ulama dan ustaz lebih mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu semasa kerana desa juga sudah menerima maklumat seperti di kota.  Pemikiran anak desa tidak jauh bedanya dengan anak kota. Malah anak desa kian banyak belajar di pusat pengajian tinggi, memiliki sekurang-kurangnya diploma sebagai tanda disiplin ilmu.  Jika ulama dan ustaz berjaya mensetarakan kedudukan ilmunya dengan puluhan anak desa dan kota (si perantau itu), maka dengan izin Allah penghormatan dan pengajarannya tetap diterima dengan mudah.