SAYA mulakan dengan
mencatat satu hadis daripada baginda Nabi s.a.w. mengenai ramalan pada masa
depan berkaitan umatnya. Dalam kalangan umatnya banyak berlaku perselisihan
pendapat, namun baginda Nabi s.a.w. telah memberi peringatan bahawa biar pun banyak
perselisihan pendapat dalam agama,
umatnya diminta berpegang kepada sunahnya dan para khulafa yang mendapat petunjuk.
Maksud sabda nabi
s.a.w. “Sesungguhnya sesiapa yang hidup (selepas daripadaku) dia akan melihat
perselisihan yang banyak. Maka untuk dia ada sunahku dan sunah para khulafa
yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia (sunah) dengan geraham dan berhati-hatilah
kamu daripada perkara-perkara rekaan, kerna setiap bid’ah itu adalah sesat.”
(Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, ibn Majah, Ibn Hibban dalam sahihnya dan
Ahmad.)
Lihat misalnya satu
hadis berkenaan kesunyian di kubur dan bandingannya di rumah-rumah para
muslim. Baginda s.a.w.
bersabda Maksudnya): "jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu
sebagai kuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang
dibaca di dalamnya surah al-Baqarah" (Dikeluarkan Muslim dalam
Sahihnya dari Abu Hurairah)
Semua mengakui
maksud hadis itu ialah rumah-rumah muslim tidak boleh disunyikan seperti
sunyinya kubur daripada ibadah. Ini
berarti rumah para muslim adalah tempat melakukan ibadah membaca al-Quran.
Oleh kerna hadis
ini satu bandingan yang berlawanan antara rumah dan kubur, maka persoalannya
ialah adakah jika Baginda Nabi menggesa jangan menjadikan rumah itu sunyi seperti
kubur maka tidak boleh beribadah atau membaca al-Quran di atas kuburan? Ada dua pendapat di sini. Inilah yang saya maksudkan antara banyak
perselisihan pendapat dalam agama.
Pendapat pertama
saya kutip daripada institusi agama yang bertanggung jawab dalam bidang
dakwah. Dalam ruangan soal jawab itu
antara lain dihamparkan jawaban seperti ini: Maksud tidak membaca al-Quran
di kubur itu ialah orang-orang yang mati tidak lagi dapat membaca
al-Quran. Oleh itu kita yang masih hidup
jangan menjadi seperti orang mati yang terhenti ibadah membaca al-Quran, tetapi
hendaklah memeriahkan rumah dengan bacaan al-Quran. Ini bermakna orang masih dibenarkan membaca
al-Quran di atas kubur kerna yang dimaksudkan hadis ialah orang mati yang tidak
membaca al-Quran.
Pendapat kedua saya
cuplik terus dariapda satu rencana dalam akhbar Berita Harian (masa lepas) oleh
Yaakub Mohd Yunus: Menerusi hadis ini dapat kita fahami bahawa dilarang
menjadikan rumah seperti kuburan yang tidak dibaca al-Quran. Secara tidak
langsung ia menunjukkan bahawa kawasan perkuburan bukanlah tempat untuk
beribadah seperti membaca al-Quran sebagaimana di rumah. Majoriti ulama salaf
seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi'i, Imam Ahmad dan imam lain
melarang membaca al-Quran di kawasan perkuburan. Sebagai contoh Imam Abu Dawud
berkata dalam kitab Masaa'il Imam Ahmad: "Aku mendengar Imam Ahmad ketika
beliau ditanya mengenai membaca al-Quran di pemakaman? Beliau menjawab:
"Tidak boleh". Menurut Ibnu Taimiyah di dalam Iqtidhaa' Shirathal
Mustaqim: "Daripada al-Syafie sendiri tidak terdapat perkataan mengenai
masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahawa (baca al-Quran di perkuburan)
menurut beliau adalah bidaah. Imam Malik berkata: "Tidak aku dapati
seorang pun daripada sahabat dan tabi'in yang melakukan hal itu."
Maka hadis itu
bermaksud bisa atau tidak al-Quran dibacakan di permukaan kubur? Saya memilih pendapat kedua kerna yakin
itulah pendapat yang lebih kuat dari segi hujah, penerimaan akal dan mendekati petunjuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan