Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh isu keganasan. Persoalan saya, apakah
hukumnya dalam Islam jika ada pihak yang membantah kerajaan orang islam yang
zalim secara kekerasan. Apakah ini termasuk dalam jihad yang diperintahkan
agama atau tidak. Tidakkah menentang kerajaan itu diharamkan oleh Islam?
Imran,
Kuala Terengganu.
Jawapan
DR MAZA:
Saudara,
banyak isu keganasan yang cuba dikaitkan dengan umat Islam atau tokoh-tokoh
Islam adalah mainan jahat pihak-pihak tertentu. Mereka ini samada mempunyai
agenda politik tertentu, ataupun berkerja bagi pihak musuh umat Islam bagi
mencemarkan imej Islam. Sebahagian pihak menggunakan isu ini untuk tujuan
politik seperti menghapuskan gerakan Islam yang dilihat mengancam kedudukan
politik mereka. Namun begitu, tidak dinafikan kemungkinan ada sesetengah
kelompok yang telah salah tindakan dalam hal ini sehingga mencetuskan
keganasan. Berhubung dengan pendekatan keras terhadap pemerintah yang zalim dan
menyeleweng, maka ini fahami perkara berikut;
1.
Perkara asas dalam hal ini boleh difahami daripada ingatan Nabi s.a.w.:
“Akan
dilantik para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka)
dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang
membenci (perbuatan munkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang
membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha
dan menuruti (perbuatan munkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami
perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak! selagi mana mereka bersolat”(Riwayat
Muslim).
2.
Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa bertegas dalam membenci dan
membantah kemungkaran dan kezaliman pemerintah itu adalah tuntutan agama.
Namun, Nabi s.a.w tidak membenarkan rakyat memerangi pemerintah muslim dengan
senjata selagi mereka itu bersolat. Solat menjadi petunjuk bahawa pemerintah
tersebut masih berpegang dengan ajaran Islam dalam kehidupan. Keluar memerangi
pemerintah dengan senjata hanya akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar.
3.
Juga, perhitungan tindakan dalam Islam adalah di sudut kadar manfaat dan
mudarat. Menumpaskan pemerintah zalim dengan senjata biasanya mengundang
mudarat yang jauh lebih bahaya dibandingkan manfaat yang hendak dicapai. Sebab
itu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) menyebut:
“kata
ulama: alasan seseorang pemerintah tidak dipecat, atau pengharaman memeranginya
kerana menyebab fitnah, penumpahan darah dan kerosakan yang nyata” (al-Nawawi,
Syarah Sahih Muslim 12/40)
4.
Juga, kebencian atau bantahan terhadap kemungkaran pemerintah tidak membolehkan
rakyat menderhakai mereka dalam perkara yang baik atau makruf. Ini seperti yang
ditegaskan oleh hadis. Sabda Nabi:
“Pemimpin
yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu,
kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah
pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat
mereka, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami
perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka
mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang seseorang penguasa berkuasa ke
atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka
hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari
ketaatan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
5.
Ini kerana setiap pemerintah mungkin akan ada kesilapan atau dosa yang
dilakukan. Jika setiap kali pemerintah bersalah atau melakukan dosa diperangi
dengan senjata, maka hancurlah keamanan masyarakat dan negara. Maka justeru
itu, kita menentang kemungkaran pemerintah, tetapi tidak akan memeranginya
dengan senjata.
6.
Ini kerana antara tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan keadilan,
keamanan dan hak rakyat. Peperangan saudara dalam negara hanya akan
menghancurkan perkara-perkara tersebut.
7.
Arahan pemerintah yang zalim atau mungkar dalam perkara-perkara kebaikan tetap
wajib ditaati. Kata al-Khattabi (meninggal 388H):
“Sesungguhnya
jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ia
wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan
kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara
kebaikan yang lain yang menyamainya” (al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/ 357.)
Pendapat
ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w :
“Dengar
dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam
perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara
maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar
dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
8.
Sekalipun kita dilarang memerang pemerintah dengan senjata, tetapi kita tetap
disuruh untuk menasihati mereka dan mencegah kemunkaran mereka dengan perkataan
atau perbuatan yang tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti undi dalam
pilihanraya. RasuluLah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya
Allah meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai
kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun,
(kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu
menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai
kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak
bertanya (Riwayat Malik).
Juga
sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik
jihad ialah perkataan yang adil –dalam riwayat yang lain: yang benar- di sisi
pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim”. (Riwayat al-Nasai, al-Tirmizi,
Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).
9.
Nabi s.a.w juga memberi amaran kepada sesiapa yang mengampu atau mengiyakan
kezaliman pemerintah dengan sabda baginda:
“Sesungguhnya
selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan
pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka
dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan
dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar
pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari
kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga).
Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadith ini sahih seperti yang dinilai
oleh al-Albani.
10.
Pengkaji politik Islam tidak boleh terlalu literalist. Politik bukanlah ibadah
khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah tambah. Politik soal
pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan keadilan dan keamanan dalam kehidupan
rakyat berdasarkan prinsip-prinsip umum Islam. Kaedah membantah atau menukar
pemerintahan berbeza-beza berdasarkan sistem yang dipakai. Para ulama dahulu
mengharamkan menumbangkan sesuatu pemerintah atas alasan bimbangkan penumpahan
darah.
Namun,
dalam dunia hari ini sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar,
atau ditumbang tanpa memerlukan penumpahan darah seperti dalam sistem demokrasi
pilihanraya. Maka dengan itu penyertaan parti-parti politik dalam demokrasi
pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai melanggar kaedah Islam atau sebagai
keganasan kerana sistem tersebut tidak sepatutnya menumpahkan darah.