Pengikut

Rabu, Ogos 10, 2011

MUJUR nenek-moyang masuk Islam

HARI ini negara India mempunyai 1000 juta penduduk dengan 900 juta daripadanya adalah penganut Hindu dan 100 juta lagi muslim.  Sejarah Hindu di India dan seluruh dunia mempunyai rekod sejarah yang panjang.  Hindu bukanlah agama dari langit yang diselewengkan manusia, sebaliknya satu sistem kepercayaan ketuhanan yang terhasil daripada proses evolusi dan adaptasi.  Kemunculan tamadun di lembah Indus di India ribuan tahun dahulu menyebabkan kedatangan bangsa Aryan yang memuja lembu.  Bangsa Aryan menyerapkan kepercayaan ketuhanan mereka ke dalam masyarakat Indus, akhirnya secara beransur-ansur dipercayai sebagai satu ajaran agama: Hindu.

Daripada Hindu muncul pula kepercayaan Buddha.  Kepercayaan Buddha pula berkembang ke wilayah Asia yang lain kerana kurang berjaya menukar kepercayaan Hindu yang tegar di India.  Sejak kurun ke-7, ajaran Buddha disebar dan dianuti oleh sebagian besar penduduk Asia Tenggara seperti di Myanmar, Thailand, Indo-China, Tanah Melayu, Sumatera dan Jawa.  Kerajaan-kerajaan yang wujud seperti Sriwijaya dan Sailendra menjadi penaung dan pusat ajaran Buddha di kepulauan Melayu.  Kemudian datang pula ajaran Hindu menggantikan Buddha. Maka masyarakat Melayu Nusantara menganut Hindu.

kuil atau candi Hindu kuno yang masih utuh di Jawa Indonesia

Melihat kesan-kesan budaya Hindu-Buddha di Asia Tenggara seperti di Thailand, Myanmar dan Pulau Jawa jelaslah menggambarkan betapa tegar dan kukuhnya pegangan masyarakat dahulu terhadap ajaran dua agama itu.  Kuil Hindu Angkor di Kemboja, ratusan candi atau pura Hindu di Bali dan Jawa serta candi Buddha Borobudur  menjelaskan kukuhnya ikatan masyarakat terhadap Hindu Buddha.  Tidak sukar membayangkan kesungguhan masyarakat zaman kerajaan Srivijaya, Sailendra dan Majapahit terhadap agama Hindu-Buddha, kerana contoh kesungguhan itu boleh dilihat bagaimana tegarnya pegangan rakyat India terhadap agama Hindu!  Maknanya, ketegaran penganut Hindu di India moden menggambarkan suasana yang sama di Nusantara pada kurun ke-7 hingga ke-13.

Dengan memahami sejarah dan budaya bangsa  Melayu ini, sebesar syukur kepada Allah kerana bangsa Melayu Nusantara hari ini majoritinya sudah menjadi muslim.  Perkara ini harus dalam pemahaman orang Melayu bahawa sebenarnya bukan suatu yang mudah nenek moyang bangsa Melayu dahulu hendak mengubah pegangan agama Hindu-Buddha kepada akidah Islam. 

Sebenarnya kedudukan hari ini yang tergambar betapa sukarnya penganut Hindu dan Buddha mahu meninggalkan ajaran agama-agama itu untuk memilih Islam, begitulah sukarnya orang Melayu dahulu hendak memilih Islam.  Ada yang membuat tafsiran bahawa bangsa Melayu tidak kuat berpegang kepada ajaran Hindu-Buddha, tidak seperti kuatnya bangsa India menganut Hindu.  Pandangan ini disangkal dengan kewujudan kuil-kuil purba di serata Asia Tenggara sebagai gambaran kukuh dan tegarnya pegangan bangsa Melayu dahulu terhadap Hindu-Buddha.

Lantaran itu sebesar-besar syukur kerana dalam sejarah bangsa Melayu, nenek moyangnya sanggup menukar pegangan agama kepada Islam.  Dengan nenek-moyang memilih Islam, hari ini bangsa Melayu Nusantara menjadi muslim.  Menjadi muslim merupakan satu nikmat di sisi Allah kerana berada dalam jalan yang disahkan oleh Allah.

Faktor utama yang menyebabkan seseorang sangat sukar menukar akidah agama sesat kepada akidah Islam ialah nenek-moyang atau ikatan budaya kaum. Al-Quran sendiri telah merakamkan bagaimana manusia berpaut kepada alasan mewarisi nenek-moyang atau mempertahankan ‘kebenaran’ nenek-moyang untuk menolak kebenaran Islam.

Maksud firman Allah dalam surah al-Zukhruf:23 “Dan demikian juga ketika Kami mengutus seorang pemberi peringatan sebelum engkau (Muhammad) dalam satu negeri, orang-orang yang hidup mewah (di negeri itu) berkata ‘sesungguhnya kami mendapati nenek-moyang kami menganut suatu (agama) dan sesungguhnya kami sekadar pengikut jejak-jejak mereka’.”

Al-Zukhruf: 24 “(Rasul itu) berkata, ‘Apakah (kamu akan mengikutinya juga) sekalipun aku membawa untukmu (agama) yang lebih baik daripada apa yang kamu perolehi daripada (agama) yang dianuti oleh nenek-moyangmu?’  Mereka menjawab ‘sesungguhnya kami menolak (agama) yang kamu diperintahkan untuk menyampaikannya’.”

Al-Maidah:104 “Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Marilah (mengikuti) apa yang diturunkan Allah dan (mengikuti) Rasul.’  Mereka menjawab, ‘Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati nenek-moyang kami (mengerjakannnya).’  Apakah (mereka akan mengikuti) juga nenek-moyang mereka walaupun nenek-moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?”

Demikianlah rakaman dalam al-Quran mengenai  kesukaran  sesuatu golongan mahu menerima Islam demi mempertahankan ajaran budaya zaman-berzaman.  Dalam fikiran mereka tergambar persoalan, ‘Tidak mungkin nenek-moyang kami melakukan kesalahan beragama’.  Faktor nenek-moyang jugalah yang kita dapati jiran tetangga atau kenalan daripada kaum Cina dan India yang sukar menerima akidah Islam.

Di balik faktor nenek-moyang untuk menolak akidah Islam, faktor nenek-moyang juga sering digunakan untuk seseorang atau segolongan dalam masyarakat Islam mengekalkan tradisi beradat yang salah dan merugikan.  Diberikan hujah dan dalil kebenaran bagaimana pun, kerana nenek-moyangnya dahulu telah melakukan perkara itu maka mereka tidak akan meninggalkannya sekalipun menyalahi prinsip Islam.  Begitu juga jika ada seruan terhadap amalan Islam, berapa banyak yang bergantung kepada faktor nenek-moyang untuk tidak melakukannya atas alasan nenek-moyangnya dahulu tidak melakukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan