Pengikut

Selasa, Julai 20, 2010

SUSAHkah memulakan solat?

SEPERTI biasa, setiap Selasa malam ada pengajian fikah atau tauhid di masjid kampung saya.  Terbaru, ustaz mengajarkan solat jamak. Agak panjang penerangan mengenai solat jamak ini meliputi yang ta’khir dan ta’dim, termasuk keadaan-keadaan yang menyebabkan kita menjamak solat.  Saya perhatikan yang susah daripada mempelajarinya ialah bab melafazkan niat kemudian menterjemah lafaz Arab ke dalam bahasa Melayu sewaktu mengucapkan takbir ‘Allahu Akbar’.  Aduh, ustaz pun mengakui susahnya untuk memasukkan niat seperti ini: sahaja aku bersolat jamak ta’dim Maghrib tiga rakaat diikuti Isyak mengikuti imam  kerana Allah taala!

Saya ada pengalaman melihat seorang ustaz di Jengka, Pahang,  yang setiap kali bersolat akan takbir berulang-ulang seperti: Allah…, Allah, Allaaahh, Allahu…, Allahu ak,  Allahu Akbar… begitulah berulang-ulang. Kadang-kadang sudah sedakap tangan pun boleh membatalkan solat dan bertakbir lagi.  Biasalah kalau imam sudah habis membaca fatihah barulah dia dapat solat dengan aman.  Yang saya rasa pelik, apabila ustaz ini ‘terpaksa’ menjadi imam…, tidak pula tergagap-gagap dalam takbirnya. Sekali takbir saja sudah masuk solat! Siapalah tok gurunya dulu, siksa betul nampaknya!


Urusan solat ini adalah ibadah khusus dan Rasulullah telah memberikan pesanan yang sangat mudah difahami. Maksud hadis Nabi: Solatlah kalian (kamu) sebagaimana kalian melihat aku solat. (HR Bukhari dan Muslim).  Maka ikutlah saja bagaimana nabi bersolat dari permulaan hingga akhirnya.  Jika Nabi memulakan solatnya dengan membaca “Usalli….” maka bacalah “usali sekian-sekian…..” kerana itulah cara Nabi bersolat. Jika tidak ditemui hadis yang Nabi membaca lafaz niat itu dan ini, maka patuhlah pesanan asal baginda, tak perlu lafaz apa-apa.  Yang sahih Rasulullah memulakan solat dengan takbir “Allahu Akbar”, maka kita pun ikutlah. Alahai, siapalah kita hendak mengatasi Nabi, kan!

Jika ditemui dalam sunah yang Rasulullah berkali-kali membaca takbir  atau panjang takbirnya seperti “Alllllaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaahu akbar” mungkin sampai 30 saat, maka ikutlah baginda sebab nabi itulah ikutan kita.  Begitu Rasulullah solat, begitulah laku solat kita.  Kalau sebenarnya tidak ditemui begitu cara Rasulullah memulakan solat, eloklah jangan mengada-ngada membentuk cara baru membaca takbir atau membina identiti sendiri dalam solat. 

Maksud hadis: Daripada Ibn Umar katanya Rasulullah apabila telah berdiri untuk solat, beliau mengangkat kedua-dua tangannya, kemudian baru bertakbir. (HR Muslim).  Begitulah permulaan Rasulullah bersolat: Berdiri kemudian bertakbir.  Ada pula orang bertanya (dulu masa belajar): Mungkin masa Rasulullah berdiri itu dia membaca lafaz niat “Usalli…” dan semasa takbir dalam fikirannya membayangkan solat apa yang dikerjakan dan bilangan rakaatnya.  Ya tak ya juga, tetapi kawan ini guna perkataan ‘mungkin’, tak pasti juga namanya.  Tak mengapa, carilah hadis-hadis sahih untuk kepastian yang Nabi ada melafazkan niat dan membayangkan niatnya dalam masa bertakbir.  Cuma, kalau sudah penat kerana  bertahun-tahun dan jauh kembaranya masih tidak ditemui hadis itu, eloklah ikut pesanan Nabi: Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.  Kalau Nabi tak ada menceritakan apa yang digambarkan sewaktu takbir, maka mudahnya tak adalah.  Cuma kita orang Melayu kena faham maksud takbir: Allah maha besar.

Alahai mudahnya hendak memulakan solat ya. Solatlah sayang….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan