Pengikut

Ahad, September 07, 2008

FENOMENA Tarawih kita

TELAH seminggu kita berpuasa dan malam-malamnya ditempuhi sebagaimana biasa malam Ramadan yang lalu. Penulis telah memerhatikan budaya sebenar orang-orang kita menempuh Ramadan yang setahun sekali ini. Benarlah dikatakan Ramadan ini istimewa yang tidak ditemui pada bulan-bulan lain. Kepada pembaca yang penulis sangat hargai, ada tiga minggu lagi untuk kita bersama-sama menempuh Ramadan dan memerhati sekeliling dalam masyarakat kita. Moga-moga akan diperoleh pelajaran dan pengajaran sebagai mengenali diri.

Melihat manusia berbondong-bondong ke masjid sebelum masuknya waktu Isyak, teringat pada buku-buku hikayat lama mengenai ketaatan rakyat kepada sang raja. Misalnya apabila raja mengadakan perayaan perkahwinan mesti dilakukan dengan besar-besaran dan meriah. Rakyat dari segenap pelosok negeri berduyun-duyun mendatangi majlis diraja itu. Penulis hikayat akan menggambarkan: Yang buta datang dipimpin, yang capek datang bertongkat, yang kecil datang digendong, yang lumpuh datang mengesot, yang kuat datang berlari dan yang lemah datang berjalan! Hebat, hebat!

Takdirnya semalam hujan deras di kawasan penulis tinggal, bermula sebelum maghrib dan kemudian menjadi kurang deras apabila menghampiri Isyak. Tetapi kalau tidak berpayung pasti lencun basah kuyup. Penulis antara yang keluar ke masjid.

Wah, bolehlah dikatakan hebat sungguh tarikan Solat Tarawih kepada orang-orang kita. Maka yang dekat rumahnnya dengan masjid datang berlari, yang kaya datang berkereta , yang miskin berpayung senget, Yang kanak-kanak kuyup berbasikal, yang perempuan datang bersingsing kain, yang lelaki datang dengan rokok basah dan macam-macam. Semua itu untuk tidak ketinggalan solat sunat Tarawih!

Masjid penuh juga kendatipun di luar masih gerimis. Sengaja selepas solat Isyak penulis keluar untuk pulang, memang hendak solat Tarawih sendiri di rumah. Wah, masih ada lagi insan berpayung ke masjid, sedangkan penulis berpayung untuk pulang ke rumah. Mengapa mereka nekad mendatangi masjid sekalipun telah tamat solat Isya berjemaah? Jawabnya ada solat Tarawih lagi!

Walhal selama bukan Ramadan ini, sekalipun tidak hujan: Yang lelaki sedap berhisap-hisapan rokok, yang muda menyuap mesra suami, yang anak-anak mata melotot di depan TV, yang capek kehilangan tongkat, yang buta hilang pembimbing dan macam-macam sebab untuk tidak hadir ke masjid. Mengapa jadi begitu? Jawabnya tidak ada solat sunat Tarawih!

Kebetulan pula waktu Zuhurnya penulis berada di sebuah surau di kawasan perumahan dan bersebelahan pula kawasan desa. Suraunya tidaklah besar, namun kalau mood Tarawih seperti masa kini pasti jemaah Tarawihnya melimpah-ruah ke tepi-tepi longkang. Penulislah yang membuka pintu dan setelah berwudhu terus azan kerana tidak ada lagi ahli kariah yang sampai. Sehabis salam solat jemaah Zuhur pun masih tidak sampai 10 orang. Mengapa sedikit sangat ya? Jawabnya tidak ada solat sunat Tarawih selepas solat fardu Zuhur!

Kok begitu? Yalah..,mahu jawaban apa lagi.

Inilah budaya, trend atau kebiasaan. Nanti selepas tamat Ramadan, masjid dan surau akan kembali normal seperti sebelum Ramadan. Lalu, masjid akan dianggap kelab ekslusif orang-orang tua pencen tidak punya pekerjaan. Merekalah yang setia saban waktu solat menunaikan hukum fardu kifayah: Satu buat yang lain tidak payah buat. Orang-orang di rumah mendengar azan, tetapi dalam mindanya berhukum sudah ada orang solat di masjid, maka tanggung jawab dalam mukim atau kariah selesai. “Selamat aku daripada dosa tidak berjemaah.”

Oh ya ada satu lagi musim orang kita berbondong-bondong ke masjid selepas idulfitri, iaitu majlis Solat Sunat Hajat Menjelang Peperiksaan. Akan berulanglah tarikan ke masjid kerana solat sunat hajat ini (solat sunat yang tidak kukuh syariatnya) sebagaimana tarikan solat Tarawih. Inilah budaya dan cermin orang kita beragama.

Yang dalam sunah tidak ada pertikaian ialah solat fardu itu berjemaah di masjid, solat sunat itu afdal di rumah. Orang-orang kita berfikir terbalik daripada pengajaran sunah. Kalaulah mereka yang kerap mengatakan “kami bermazhab Syafie, semua ikut cara Syafie” akan kecut apabila mengetahui Imam Syafie mengatakan solat fardu wajib dilakukan berjemaan di masjdi atau musalla.

Dalam Tafsir al Azhar, Buya Hamka (surah Taubah) merakam kata seorang atsar dan mufassir agung Ibnu Abbas. Sahabat Nabi ini mengatakan jika seorang mendengar azan dan masih bersolat sendirian di rumah atau bukan berjemaah di masjid, maka solatnya tidak sah. Tidak sah! Tidak sah ertinya seperti tidak solat.

Tapi orang kita apa perduli semua itu. Ikut rakanlah, trend masyarakatlah, sudah adatnya begitulah dan mujur ada kami buat. Kesimpulannya masih terlalu banyak ruang kosong pemahaman beragama dalam kalangan orang kita. Namun selagi mencari ilmu belum menjadi satu budaya hidup, selama itulah orang kita dalam kejahilan tetapi menyangka segala-galanya sudah beres. Inilah penyakit utamanya, jahil tapi menyangka alim dan sempurna.

wa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan