Pengikut

Sabtu, September 27, 2008

SALAM lebaran

SELAMAT Hari Raya atau salam lebaran untuk semua. Setelah sebulan berpuasa mendidik peribadi supaya lunak dan kian mendekat kepada Allah swt, maka sambutlah kemenangan mengharungi ranjau sepanjang Ramadan. Memang hari lebaran adalah hari untuk merasa nikmat kemenangan dan bergembira.

Hari Raya adalah ibadah kepada Allah, maka wajiblah kita semua menjaga keikhlasan sambutan hari lebaran dengan menjaga batas-batas supaya ibadah Lebaran ini tidak rosal atau batal.

Hari Lebaran ini juga dikenali saat bermaaf-maafan antara sesame insan. Hal ini sebenarnya satu lagi ujian Hari Lebaran untuk melunturkan keegoan peribadi dan menerima salam maaf. Maaf bukan hanya retorik sebagai penghias senyuman, tetapi merupakan pengakuan yang disaksikan Allah.

Kalaulah seseorang bisa menyatakan segenap kesalahan dan dosanya kepada seseorang lain dengan harapan keikhlasan itu akan membawa penerimaan maaf, alangkah besarnya jiwa seseorang pertama itu. Hal ini timbul kerana rasa sesal, taubat dan rasa benci dengan kesalahan yang telah dilakukan. Lantaran itu seseorang berkesanggupan menyatakan kesalahan yang dilakukan. Alangkah indahnya apabila rasa keinsafan itu disambut kemaafan oleh insan lain. Subhanallah.

SUNAH pada satu Syawal

BERIKUT merupakan sunah ketika hari raya pertama. Semoga mendapat manfaat daripada amalan sunah ini.

1. Mandi sunat Hari Raya

Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadis di dalam al-Muwatta'
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari raya idulfitri sebelum beliau keluar ke tempat solat eid di pagi hari raya.”

2. Memakai pakaian indah

Pakaian tidak semestinya baru pada hari raya, tetapi tampak perbedaan daripada biasa dan keindahannya.

Daripada Jabir r.a. katanya (bermaksud): “Bagi Nabi saw ada satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (Sahih Ibn Khuzaimah : no. 1765)

3. Makan sebelum solat eid.

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari raya idulfiitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (riwayat Bukhari : no. 953)


4. Mengajak ahli keluarga ke lapangan solat eid.

Menurut sunah, solat eid itu dilaksanakan di lapangan luas, atau tempat terbuka. Hal ini bermaksud kawasan yang luas dan dapat menampung jumlah yang banyak melebihi jumlah yang mampu ditampung oleh masjid. Namun bukanlah menjadi kesalahan jika menunaikan eid dalam masjid, kerana Rasulullah juga pernah melaksanakan dalam masjid kerana hujan.

Ummu ‘Athiyah radhiallahu’ anha telah berkata: أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ. قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: أَوْ الْعَوَاتِقَ ذَوَاتِ الْخُدُورِ, فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلَّاهُمْ.
Maksudnya: Kami telah diperintahkan (oleh nabi saw) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (oleh nabi saw) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat.
(Hadis riwayat Bukhari dalam Shahihnya, no: 981)

5. Bertakbir

Firman Allah (bermaksud), “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185)

6. Menunaikan solat eid

Musnad Ahmad daripada Ibn ‘Abbas r.a. : أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ فِي الْعِيدِ ثُمَّ خَطَبَ Maksudnya : “Aku menyaksikan Rasulullah saw menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”

Hal ini menunjukkan solat eid dilaksanakan terdahulu daripada khutbah. Namun hadirlah mendengar khutbah kerana itu adalah sunah nabi.

Ada sesetengah masjid mengadakan malis tahlil kirim arwah sebaik sahaja selesai khutbah Eid. Perbuatan ini tidak ada kaitan dengan sunah, hanya adatnya sesetengah orang-orang Melayu berbuat demikian.

Jumaat, September 26, 2008

KEPERCAYAAN kuno yang syirik

HASRAT adik penulis untuk berumah tangga yang asalnya dilihat sangat mudah tiba-tiba diganggu adat yang menjadi kayu halang. Ini bukan soal menabur beras kunyit atau bersanding dua hari malam, tapi ini sudah menyangkut syirik kepada Allah.

Dahulu semasa penulis hendak berkahwin juga berhadapan hal yang sama tetapi dengan penjelasan penulis, kedua-dua orang tua akur dengan keimanan kepada Allah. Asalnya adat ini penulis sangka hanya ada kepercayaan orang-orang Jawa, tetapi dengan kes adik penulis rupa-rupanya adat syirik ini juga wujud dalam etnik Melayu lain.

Menurut kepercayaan sesetengah orang berkenaan, tidak bisa dua orang adik beradik berkahwin dalam tempoh setahun. Misalnya kalau si abang sudah berkahwin pada bulan Muharam, tidak boleh ada mana-mana adiknya yang berkahwin dalam mana-mana bulan sehingga tamat bulan Zulhijah. Oleh itu si adik kenalah menunggu datangnya bulan Muharam tahun hadapan.

Apa jadi jika dilanggar? Mereka percaya sama ada anak-anak yang berkahwin atau orang tua mereka bakal mendapat musibah seperti penyakit atau maut dalam tempoh terdekat.

Itulah yang penulis hadapi dahulu apabila adik perempuan penulis berkahwin dahulu dan lapan bulan kemudian penulis hendak berkahwin. Maka orang-orang tua memberi peringatan tentang ancaman adat jahiliyah ini. Sokongan keluarga kepada penulis berjaya melanggar adat ini dan hiduplah penulis dengan isteri, ayah dan ibu pun masih ada sehingga sekarang. Bagi penulis, sia-sialah jika belajar sampai masuk universiti kemudian dalam perkara paling tolol begitu, penulis masih hendak menjadi candu syirik.

Adat ini sudah beratus-ratus tahun dan diketahui oleh pemimpin agama dalam kampung. Masalahnya ialah yang bergelar ustaz di kampung pun menerima adat jahiliyah ini, sebab itu orang awam naik tocang mempertahankan kepercayaan karut ini. Inilah akibatnya apabila hanya menghafal kalimah ‘laa ilaaha illallaah’ beribu-ribu kali tanpa mengetahui tuntutan dalam hidupnya.

Mereka membaca alquran tetapi buta ertinya. Maka kepercayaan kuno juga yang diutamakan, meminggirkan ayat alquran. Perhatikan salah satu antara akidah yang Allah ajarkan kepada manusia melalui para nabi dan rasul, yang merupakan inti utama akidah manusia kepada Allah.


Maksud surah al-Anbiya: 24 “Apakah mereka mengambil tuhan-tuhan selain-Nya? Katakanlah (wahai nabi saw.): Tunjukkan hujahmu! Alquran ini adalah peringatan bagi orang-orang yang bersamaku (Nabi saw), dan peringatan bagi orang-orang yang sebelumku. Sebenarnya kebanyakan mereka tidak mengetahui yang benar, kerana itu mereka berpaling."


Ayat 25 pula surah yang sama: "Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya. Bahawa tidak ada tuhan melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.”

Cukuplah peringatan Allah bahawa yang berkuasa hanya Allah, bukan tunggul kayu, adat atau kepercayaan angan-angan manusia zaman sebelum Islam lagi. Kalau percaya adat akan membawa keburukan, itu yang Allah nyatakan mereka percaya ada tuhan-tuhan lain. Muslim telah berikrar: Tiada Tuhan selain Allah, ertinya tidak ada apa-apa kuasa yang menyamai kuasa dan kehebatan Allah. Tinggalkan segala bisikan iblis yang menyuruh manusia syirik dan akan menjadi penghuni neraka.

Selasa, September 23, 2008

TRAGEDI duka sewaktu musim tawa?

"Bukan kerna ledakan bom, namun diduga 200 jiwa akan maut berdarah dalam tempoh dua minggu, sebelum dan dalam idulfitri! Innalillahi wa inna ilaihi raa ji'uun....."



RUTIN pada setiap menjelang hari raya selain lagu-lagu hari raya, ialah peringatan pihak berkuasa mengenai nahas kecelakaan di jalan raya. Termasuk tahun ini sudah ada 17 operasi atau ops yang dilakukan oleh polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengurangkan kadar kecelakaan dan kematian di jalan raya.

Sejak beberapa tahun, satu minggu sebelum dan sesudah hari lebaran merupakan musim pembunuhan ngeri pada saat umah bergembira. Ertinya, pada saat sanak saudara bergembira menyambut hari raya, semua sedang diintai oleh duka nestapa kehilangan orang tersayang yang tiba-tiba. Untuk rekod, jumlah kematian dalam tempoh dua minggu akibat kecelakaan di jalan raya kerana musim perayaan ialah antara 210-250 orang. Pada musim idulfitri tahun lepas sebanyak 225 jiwa terkorban akibat nasib buruk ini. Di negara kita, tanpa musim perayaan pun jumlah kematian akibat nahas di jalan raya ialah antara 13 hingga 15 orang sehari. Jumlah ini besar kerana jumlah penduduk di negara kita hanya 27 juta orang, bukan 270 juta!

Penulis pun antara yang dalam kekhuatiran mengenai nasib buruk pada musim ini pula. Bayangkan sahaja, berdasarkan rekod lalu, maka akan terjadi lagi kecelakaan maut dan bakal manarik sekurang-kurangnya 200 jiwa! Siapakah mereka kali ini?

Menurut laporan pihak berkuasa, 94 sebab peratus kecelakaan berkenaan berpunca daripada sikap para pemandu atau penguna jalan raya. Para pakar telah mengakui bahawa peraturan di jalan raya sudah mencukupi dan dalam pengetahuan pengguna. Jika 94 peratus merupakan sebab daripada pengguna, maka kesalahan terpikul di pundak para pengguna jalan raya.

Antara yang kerap diabaikan oleh pengguna ialah memandu melebihi had laju yang dibenarkan, memintas kenderaan di tempat larangan selain hanya mementingkan diri sendiri dalam pemanduan. Daripada sekian banyak pengguna jalan raya, penunggang motorsikal merupakan mangsa terbesar, dan barangkali pada tahun ini juga punya kecenderungan yang sama.

Orang muda, darah muda dan serba mahu keseronokan. Maka jalan raya mudah sangat dijadikan medan mempertontonkan aksi luar biasa ketika menunggang motorsikal. Imej begini ada di seluruh negara. Maka benar, kelak penunggang motorsikal akan punya data terbanyak dalam rangking kematian dalam tempoh dua minggu mulai hari ini. Yang sedih, mereka itu semua Melayu dan telah mengaku muslim!

Tulisan ini sebagai peringatan bersama, hubaya-hubaya dengan nasib buruk yang dibenci tetapi sentiasa rakus menunggu mangsa. Senantiasa beringat mengenai nasib buruk dapat membantu kita lebih berhati-hati menggunakan jalan raya. Kalaulah sudah senantiasa cermat dan beralah, kemudian terkena juga barulah benar dikatakan nasib yang tertakdir. Hendak buat apa lagi, tidaklah sesal sangat.

Harus diingat bahawa memandu kenderaan juga dalam beribadah kepada Allah. Moga-moga dengan mengingat diri dalam ibadah dan berhubung dengan Allah, akan mengurangkan lagi nafsu buruk yang wajib dibuang itu. Harap Allah menolong hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa sekalipun sewaktu di atas jalan raya. Insya Allah.

MUSIM penyusutan dari masjid

SEKARANG tanggal 24 Ramadan, ertinya dalam tempoh 10 malam terakhir umat berpuasa. Sepatutnya sekarang dalam zon umah melakukan pecutan terakhir dalam beribadah kepada Allah. Ertinya membanyakkan ibadah khusus. 10 hari terakhir ini jugalah waktu untuk beriktikaf kepada mana-mana lelaki yang berkemampuan. Janganlah ke mana-mana, duduklah di masjid sehingga fajar hari raya kelak.

Yang tidak mahu beriktikaf, sepatutnya berulang-alik antara rumah dan masjid. Sepatutnya semakin banyak muslim menjadikan masjid sebagai pangkalan beribadah. Ohh..., penulis telah menemui pemandangan yang berbeda. Di masjid yang kerap penulis kunjungi, jumlah yang hadir ke masjid sudah jatuh 60 peratus! Jika pada awal Ramadan lebih 1000 manusia yang bersesak-sesak Solat Isyak dan Solat Tarawih, tadi sudah terbuka ruang di masjid. Ada kira-kira 300 lelaki dan 100 jemaah wanita.

Bagaimana menunggu enam malam mendatang? Jawabnya seperti biasalah…, kerna akhirnya selepas tamat Ramadan dan kembali tidak ada Tarawih, maka tinggalah mereka yang setia dengan masjid seperti sebelum hadirnya Ramadan.

Oleh itu difahami bahawa sekarang sehingga berakhir Ramadan adalah waktu penyusutan di masjid kami supaya kelak apabila Solat Maghrib dan Isyak jumlahnya dalam lingkungan 100 orang sahaja!

Ke mana mereka? Ya, mereka solat di rumah sahaja. Titik!

Ahad, September 21, 2008

MEREBUT laungan azan subuh

DALAM tidak sedar, isu laungan azan telah menjadi isu dalam masyarakat yang berkongsi tempat tinggal. Di mana-mana ada masyarakat bukan Islam yang memang tidak memerlukan laungan azan, mereka akan berasa kurang selesa dengan azan itu. Sebab itu di sebagian negara Eropah, ada pemerintah melalui kerajaan tempatan yang melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara.

Di negara kita lantaran pemerintahnya muslim dan penduduk muslim menjadi majoriti, perasaan tidak enak penduduk bukan muslim kurang disuarakan. Sebenarnya mereka juga sedar bahawa azan sudah menjadi satu rutin hidup beragama masyarakat muslim sejak ratusan tahun. Namun sejak manusia mula mengenal yang dinamakan hak-hak asasi, mulalah mereka berfikir akan hak untuk tidak diganggu masa tidurnya dengan laungan azan subuh itu.

Masyarakat muslim perlu melihat dengan jujur dalam isu ini. Penulis masih ingat catatan yang diberikan oleh Datuk Ismail Ibrahim sewaktu masih menjadi Pengarah IKIM dalam kolumnya di akhbar hujung minggu. Beliau menceritakan telah dihubungi oleh oleh seorang bukan Islam yang mengadu keluarganya rasa terganggu dengan bunyi bacaan alquran yang kuat dan lama dari sebuah masjid. Kemudian Datuk Ismail menghubungi jabatan agama negeri berkenaan untuk memaklumkan hal itu. Tentulah jabatan agama itu menyampaikan pandangan Datuk Ismail kepada pengurusan masjid berkenaan. Datuk Ismail menambah catatannya bahawa tidak lama kemudian dia dihubungi semula oleh orang yang mengadu hal itu dahulu, dan kini dia mengucapkan terima kasih kerana sudah selesa dan berpuas hati tanpa gangguan berkenaan.

Cerita yang kedua: Pada bulan Ramadan lebih 10 tahun lalu di sebuah perkampungan Felda, ada anak muda yang membaca alquran sebagai tadarus Ramadan menggunakan pembesar suara. Suara mengajinya menjadi lantang dan lama pula sehingga larut malam. Penduduk sekitar akhirnya merungut dan menjadi kesal. Mereka bukan kesal orang bertadarus, tetapi suara yang dipancarkan ke luar surau sehingga mengganggu masa istirahat waktu malam.

Cerita ketiga: Suatu waktu penulis menziarahi keluarga yang baru menerima kelahiran bayi. Kebetulan hari itu khamis malam Jumaat. Rumahnya betul-betul dihadap surau perumahan berkenaan. Selepas habis solat Maghrib, bacaan yassin dan tahlil yang dibaca dalam surau sangat bising dan tidak menyelesakan kepada kami dalam rumah kerana pembesar suaranya betul-betul menghadap rumah keluarga ini. Rupa-rupanya hal ini rutin, termasuk kalau ada apa-apa ceramah agama yang mesti suara ceramah itu akan diumbarkan ke udara, bukan hanya dalam surau berkenaan.

Cerita keempat: Dua tahun lalu penulis mendengar ceramah agama dalam sebuah surau. Salah seorang antara kami menanyakan hal masjid-masjid yang menguatkan bacaan alquran sama ada daripada CD atau bacaan langsung qari sebelum azan hari Jumaat. Rupa-rupanya ustaz berkenaan serba salah untuk menjawab boleh atau tidak. Ustaz itu mengakui bacaan yang dikuatkan telah mengganggu jemaah yang beriktikaf seperti solat sunat dan berzikir, tetapi dia juga merasakan perlunya suara membaca alquran dikuatkan sebagai tanda kemeriahan sebelum solat Jumaat! (Penulis geleng kepala dengan jawaban ustaz ini).

Penulis menurunkan sahaja pandangan Datuk Ismail Ibrahim dalam hal ini yang menepati sunah.

Pertama: Azan mesti dilaungkan dengan menggunakan pembesar suara sekalipun dari masjid yang ada jiran-jiran bukan Islam.

Kedua: Apa-apa juga suara seperti bacaan solat, bacaan alquran, tahlil dan ceramah tidak boleh dikeraskan ke udara kerana akan membawa gangguan kepada penduduk setempat. Tambahan pula bacaan-bacaan itu bukan suatu yang diperintahkan untuk dilaungkan dengan kuat.

Sebenarnya beberapa tahun lalu isu bacaan alquran dan ceramah dari masjid yang dikeraskan sudah disuarakan oleh penduduk muslim sendiri dalam media. Memang masyarakat muslim pun resah dengan situasi ini, namun serba salah untuk menyuarakan. Kalau mereka menyuarakan keresahan ini, kelak akan dianggap sebagai antibacaan alquran. Isu ini sangat sensitif dan bisa dipergunakan untuk membangkitkan emosi sesetengah pihak.

Sebab itu penulis mengajak semua pihak khasnya pengurusan masjid dan surau jujur dan ikhlas dalam melihat isu laungan azan dan bacaan alquran. Pengurusan masjid tidak perlu sama sekali dalam syok sendiri dan menganggap apa yang dilaksanakan sangat betul dan orang lain wajib menerimanya atas nama agama. Soal laungan azan dengan pembesar suara memang jelas, tetapi melaungkan ceramah, bacaan alquran, yasin dan tahlil bukan suruhan mana-mana nas atau pentadbiran agama. Maka apabila sudah ada rungutan masyarakat, perkara yang tidak menjadi perintah agama mesti dinilai semula baik buruknya.

Islam itu menandakan sejahtera, maka para aktivisnya wajib memberikan bukti bahawa semua ruang lingkup hidup sama ada beribadah dan bermasyarakat akan membawa maksud sejahtera termasuk kepada masyarakat bukan Islam.

Jumaat, September 19, 2008

SEJARAH alquran terjemahan Melayu

BATU Bersurat yang ditemui di Kuala Brang Terenganu ada catatan tahun 1303 Masehi. Batu bersurat yang menceritakan pemerintahan dan peraturan Islam ini membawa maksud tahun berkenaan Islam sudah diamalkan dalam pantadbiran di Terengganu.

Catatan ini mendahului pengislaman di Melaka. Ahli sejarah sepakat mengatakan tahun 1400 barulah Putera Raja Palembang bernama Parameswara yang beragama Hindu sampai ke Melaka. Kemudian dicatat pada tahun 1414 barulah pemerintah Melaka memeluk Islam. Secara rasmi bermulalah Melaka sebagai kota yang berketuakan muslim.

Jika dilihat sejarah Islam di Perlak (Acheh) sendiri, Islam telah ada di sana awal abad ke-13, maksudnya seratus tahun lebih awal daripada catatan di Batu Bersurat Kuala Brang. Soalnya, sejak tahun-tahun berkenaan Islam berkembang di Nusantara ini adakah masyarakat Melayu Nusantara mempunyai alquran yang ditulis dalam Bahasa Melayu sebagai panduan hakiki.

Sebelum Islam diterima oleh Melayu Nusantara bangsa Eropah terdahulu mengetahui kandungan alquran dengan proses terjemahan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1143, beratus tahun sebelum Islamnya Terengganu dan Melaka. Kemudian pada zaman Renaissance di Eropah, alquran diterjemah dalam bahasa Latin dan dicetak dengan banyak pada tahun 1530 di Venice Itali.

Alquran diterjemah ke dalam Bahasa Perancis oleh Du Ryer tahun 1647. Kemudian pada tahun 1734 George Sales langsung menterjemah daripada bahasa Arab ke bahasa Inggeris. Terjemahan alquran dalam Bahasa Inggeris moden dan diterima banyak ialah yang dilakukan oleh Abdullah Yusuf Ali (1934) dan telah diulang cetak beberapa kali.

Jika seawal kurun ke-13 Islam sudah diterima di Nusantara, bilakah alquran terjemahan Bahasa Melayu dilakukan? Ilmuan Melayu di Acheh Abdul Rauf Fansuri, pertengahan kurun ke-17 (1650-an) telah menterjemah alquran ke dalam Bahasa Melayu. Namun terjemahan ini tidaklah menepati tatabahasa Melayu sebagaimana yang digunakan di Malaysia dan Indonesia hari ini.

Kemudian terjemahan alquran dalam Bahasa Melayu yang dikira sejadi dalam budaya Melayu ialah Al Furqan (1928) oleh A. Hassan seorang pejuang salafi di Bangil. Kemudian menyusul Tafsir Quran Indonesia oleh Mahmud Junus tahun 1935.

Demikianlah sejarah awal usaha penterjemahan alquran ke dalam Bahasa Ibunda Nusantara yang hari ini sudah mudah ditemui di mana-mana terjemahan alquran dalam Bahasa Melayu, sama ada yang dihasilkan di Malaysia atau Indonesia.

Sekalipun terjemahan alquran dalam Bahasa Melayu ini satu usaha penting untuk mengelak buta panduan alquran (yang asalnya dalam Bahasa Arab), namun pemilikan oleh setiap individu muslim tidak memberangsangkan. Kebanyakan muslim memiliki naskhah asal dalam Bahasa Arab dan membacanya tanpa mengetahui maksudnya.

Oleh kerana alquran sebagai petunjuk atau panduan hidup, maka wajiblah memiliki alquran yang diketahui isi kandungannya. Kepada lembaga atau jabatan yang sangat berkaitan dengan pembangunan minda umah, moga dapat diusahakan pelajaran menterjemah alquran secara praktikal dan mudah supaya tumbuh pusat-pusat pelajaran menterjemah alquran secara harfiah. Ini sangat membantu pemahaman alquran dalam hidup, berbanding sekarang yang lebih banyak pusat pelajaran membaca atau qiraat alquran.

Rabu, September 17, 2008

TURUNNYA alquran yang unggul

BULAN Ramadan ini dalam sejarahnya ialah bermulanya alquran diwahyukan melalui Rasulullah, untuk umat manusia. Dalam surah albaqarah ayat 2-5 (maksudnya) “Kitab ini tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada kitab (alquran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin adanya kehidupan akhirat. Mereka itulah yang mendapat petunjuk daripada Tuhan dan beruntung.”

Rupa-rupanya Allah telah memberi penjelasan mengenai mereka yang bersedia menerima dan menjadikan alquran sebagai panduan hidup. Walaupun alquran berada di tengah-tengah medan hidup sebagaimana banyaknya tulisan dan buku (kitab) lain, bukan semua manusia menerima alquran sebagaimana yang Allah terangkan.

Dengan turunya alquran bererti semua pengajaran Allah yang terkandung dalam kitab-kitab terdahulu termansuh, sebaliknya semua manusia berkenaan wajib menerima alquran sahaja sebagai panduan. Segala ajaran atau syariat nabi-nabi terdahulu sama ada yang diceritakan dalam alquran atau tidak diceritakan, semuanya wajib dilepaskan sebaliknya hanya menerima alquran itu sahaja sebagai petunjuk baru.

Alquran itu syariat yang terakhir dan semua manusia mesti hidup menerima syariat terbaru ini. Jelasnya alquran atau syariat mesti diterima oleh masyarakat sama ada asalnya mereka telah berpegang kepada ajaran kitab wahyu atau mereka yang tidak berpegang apa-apa syariat wahyu.

Kalaulah yang berupa kitab seperti Zabur, Taurat dan Injil pun dimansuhkan dan wajib hanya diterima alquran sahaja, maka tentulah ajaran atau pegangan adat resam yang berlawanan dengan alquran wajib dilepaskan demi menerima alquran sebagai satu-satunya petunjuk.

Jika mereka yang bergelar ahli kitab terpaksa melepaskan pegangan daripada kitab-kitab yang pernah diajarkan oleh nabi dan rasul Allah demi menerima alquran, maka tentulah manusia yang hanya beragama secara angan-angan atau andaian semata-mata juga wajib melepaskan anutan berdasarkan hawa nafsunya itu.

Prinsip penerimaan alquran dengan melepaskan apa juga pegangan kepercayaan atau ibadah lain berlaku sejak zaman Rasulullah Muhammad bin Abdullah hinggalah hari kiamat kelak. Jelasnya syariat yang ada dalam alquran tidak boleh disesuaikan kepada kehendak masyarakat, tetapi masyarakatlah yang wajib melepaskan mana yang berlawanan dengan alquran demi penerimaan alquran ini. Ini sangat jelas dan tidak ada apa-apa perdebatan lagi.

Oleh itu menjadi kewajiban kepada manusia beriman untuk memahami prinsip asas berupa akidah, ibadah dan syariat lain dalam alquran supaya pegangan ibadah dan kehidupan tidak lari daripada kitab wahyu ini. Selagi manusia buta atau tidak tahu prinsip-prinsip asas alquran, selagi itulah mereka tidak bersedia menerima alquran dan membuang mana yang berlawanan dengan alquran.

Akhirnya dalam kalangan mereka ada ruang kosong apa yang sepatutnya sebagai ajaran alquran. Keadaan ini sebenarnya membuka peluang besar kepada musuh Allah menyusup masuk dan berpura-pura sebagai ahli agama lalu menyampaikan pandangan yang menggambarkan Islam, namun tidak secocok dengan ajaran asas alquran dan sunah.

Dalam masyarakat kita ini, selagi alquran masih dikurung dalam almari atau ‘dimuliakan’ dengana cara tidak berani menyentuhnya atau meletakkan di tempat yang sukar dibaca, selama itulah buta alquran merajalela. Namun masyarakat tidak disedarkan oleh ahli-ahli agama secara praktikal. Seruan hanya secara lisan yang sambil lewa.

Jadi begitulah berpuluh-puluh dan beratus tahun masyarakat kita tersisih jauh daripada alquran dan sunah sekalipun khusuk beribadah kepada Allah. Kalangan mereka berasa lebih selamat dan aman hanya bergantung pemahaman Islam hasil pertanyaan dengan mereka yang ahli, bukan meneroka sendiri kandungan alquran dan sunah sebagaimana mereka meneroka ilmu kemahiran dalam kerjaya hidup.

Penulis suka mengambil contoh nyata bagaimana masyarakat hanya diasuh agar membaca alquran tanpa tahu apa isinya. Pergilah ke Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 Kuantan, dan akan ditemui beratus-ratus alquran yang mudah dicapai oleh pengunjung. Namun pengunjung seperti mencari sebatang jarum dalam hutan jika mencari sebuah alquran ada terjemahan bahasa Melayu.

Kalau situasi ini di negara Arab yang bahasa ibundanya adalah sama seperti bahasa alquran, wajarlah. Ini wilayah yang bahasa ibundanya bukan bahasa alquran, dan memang sah lebih 95 peratus masyarakat muslimnya tidak faham bahasa Arab, namun masyarakat hanya ditawarkan membaca alquran untuk faedah di akhirat sahaja.

Itulah imej alquran dalam wilayah Melayu ini dan contoh citra pemahaman bagaimana mereka menerima alquran yang dikatakan sebagai petunjuk hidup.

Isnin, September 15, 2008

MEMAHAMI falsafah bahasa alquran

MARI kita perhatikan pengalaman dan pengajaran alquran diturunkan oleh Allah kepada manusia dalam Bahasa Arab pada kurun ke tujuh masehi. Pada saat Allah menobatkan Muhammad bin Abdullah sebagai Rasul-Nya, bangsa Arab iaitu bangsa Muhammad sebagai Rasulullah bukanlah bangsa yang disegani dan digeruni oleh bangsa-bangsa yang ada.

Naik turunnya bahasa dalam arus perdana bergantung sangat kepada kegagahan bangsa itu. Misalnya pada abad ini (hari ini) bangsa Amerika-Inggeris atau Anglo-American yang berbahasa Inggeris begitu dominan dan berpengaruh besar, maka bahasa Inggeris menjadi keutamaan di seluruh dunia.

Pada saat wahyu atau alquran diturunkan, dua kuasa besar dunia ialah Rom dan Parsi atau Sasan. Maka sebenarnya bahasa yang berpengaruh waktu ialah bahasa orang Rom dengan tulisan rumi (seperti tulisan ini) yang asalnya daripada bangsa Phunecia (Negara Syria sekarang). Di sebelah timur, bahasa yang besar ialah bahasa Parsi. Dalam keadaan bangsa Arab berpecah-pecah dan penduduknya banyak yang buta huruf, jelaslah jika dibanding dengan bahasa Rom dan Parsi, bahasa Arab waktu bukan bahasa pilihan.

Namun apabila Allah menurunkan wahyu melalui bangsa Arab, maka bahasa yang dipilih oleh Allah ialah bahasa Arab. Jadilah alquran itu dalam bahasa Arab. Mudah sangat untuk difahami, bahawa untuk menyampaikan ilmu atau maklumat kepada sesuatu bangsa, gunakanlah bahasa yang difahami oleh bangsa berkenaan.

Kemudian kita perhatikan bagaimana negara-negara penjajah dari Eropah menjajah bangsa-bangsa di Asia termasuk wilayah Melayu Nusantara kita. Bangsa dari Eropah umpama Inggeris dan Belanda terlebih dahulu menubuhkan Fakulti Kajian Timur atau oriental di universiti-universiti negara mereka. Pegawai-pegawai yang akan dihantar bertugas ke Nusantara terlebih dahulu memahami bahasa dan budaya Melayu.

Akhirnya orang seperti Stamford Raffles, Andrew Clarrk, R O Winsted, Frank Swettenham, Snouck Huroendje (sekadar beberapa nama) berjaya membuat hubungan yang baik dengan raja-raja Melayu di Nusantara. Malah para orientalis ini telah berjaya menyediakan teks perjanjian antara British atau Belanda dengan raja-raja Melayu dalam tulisan jawi. Nah, dengan kepakaran bangsa Barat menyampaikan maklumat, seluruh bangsa Melayu di Nusantara berjaya dikuasainya. Akhirnya agama, adat dan budaya dari Eropah diterima pakai oleh Melayu Nusantara Malaysia dan Indonesia.

Sekarang di negara kita sedang berembukan atau diskusi meja bulat sama ada mahu meneruskan pengajaran ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau kembali menggunakan bahasa ibunda anak-anak Nusantara. Kalaulah para birokrat pendidikan faham pengajaran alquran diturunkan kepada bangsa Arab dalam bahasa Arab, tentu akal mereka mula jernih. Kalau pula akal yang jernih itu ditambahi dengan pengetahuan dan pengalaman kejayaan bangsa Eropah menguasai Nusantara dahulu, tentulah satu keputusan yang betul memang sudah bisa diambil.

Pelajaran dan pendidikan adalah proses pemindahan maklumat atau ilmu. Sama juga turunnya wahyu beransur-ansur selama 23 tahun kepada bangsa Arab sebagai proses pelajaran dan pendidikan. Untuk memberikan maklumat dan kemahiran kepada orang-orang yang bahasa ibundanya Melayu, maka tidak syak lagi bahasa yang terbaik ialah bahasa Melayu. Kalaulah orang berhujah bahawa banyak ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, maka perhatikan juga hal-hal yang tidak diketahui oleh bangsa Arab kurun ke tujuh juga dicatat dalam bahasa Arab (alquran).

Sejarah unggulnya tamadun Islam di kota Baghdad pada zaman Abasiyyah salah satunya kerana terbina Baitul Hikmah, iaitu pusat penterjemahan karya asing ke dalam bahasa Arab. Negara sudah punya Institut Terjemahan Negara yang ditanggung beres oleh pemerintah selain Dewan Bahasa dan Pustaka. Telah banyak pula pakar dalam banyak bidang yang dahulunya terdidik dalam sistem bahasa ibunda. Merekalah salah satu aset dalam program penterjemahan karya asing.

Sesungguhnya jika keadaan yang sekarang kian goyang dan masih diteruskan juga, banyak manusia yang tidak faham. Entah, penulis pun tidak faham apa falsafah di balik itu.

Ahad, September 14, 2008

DILEMA pelaksanaan ISA

AKTA Keselamatan Dalam Negeri atau ISA menerkam mangsanya lagi. Sekali lagi ISA menjadi perdebatan antara relevan atau tidak relevan. Bagi pengkritik kerajaan dan individu yang pernah ditahan mengikut ISA, mereka tidak menoleh lagi untuk mengatakan tidak kepada ISA. ISA ini sudah lama berlegar-legar memantau setiap manusia yang tinggal di Malaysia. Mangsanya bukan sahaja warga Negara, malah termasuk dari Sri Lanka iaitu BSA Tahir yang dikaitkan dengan penjualan komponen pembuatan senjata nuclear. Yang lain warga luar tetapi menjadi Penduduk Tetap juga banyak, terutama kes yang dikaitkan dengan Jamaah Islamiyah (JI).

Mengapa ISA digeruni? Jawaban paling mudah ialah seseorang yang ditahan berdasarkan ISA Seksyen 73 (1) tidak tahu bilakan akan dibebaskan. Seseorang itu akan disoal siasat selama enam puluh hari tanpa berhak mendapat khidmat peguam. Kemudian hasil soal siasat itu, seseorang boleh ditahan seterusnya untuk tempoh dua tahun.

Kemudian setelah dua tahun ditahan, pihak kerajaan boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk dua tahun lagi, tentulah dengan alasannya. Maka begitulah setiap dua tahun hati berdebar-debar, bebas atau tidak. Bebas atau tidak benar-benar bergantung kepada keputusan pihak kerajaan, bukan keputusan setelah debat di mahkamah.

Oleh itu seseorang yang ditahan mengikut ISA tidak tahu kapankah nasib baiknya akan bebas. Semua yang ditahan itu pula tidak dapat membela dirinya daripada tuduhan yang diacukan kepadanya. Tidak sekadar itu. Semua wajib faham, semasa sesi soal jawab, telah didedahkan begitu banyak tekanan dan nasib buruk para sandera atau tahanan ini.

Kerajaan bagai berterima kasih kepada sekian banyak buku pendedahan kisah tahanan ISA seperti yang dihasilkan oleh Kassim Ahmad, Said Zahari, Ahmad Boestamam, Saari Sungib (sekadar beberapa nama). Pendedahan kepada awam ini bagai satu kesahan apa yanag selalunya dialami oleh para sandera ini. Kisah-kisah ini pasti menambah kegerunan bahawa ISA bukan sekadar satu episod pengalaman biasa dalam kehidupan seseorang.

Berdasarkan sejarah itu, maka kepada yang ahli keluarganya pernah dicengkam ISA memang tidak akan memaafkan keserakahan ISA.

Namun bagi pihak kerajaan masih mempunyai alasan tersendiri sebagai pihak yang menjaga keamanan dan ketenteraman negara. Kerajaan masih bermazhab ISA yang bermanhaj pencegahan. Misalnya kasus terbaru yang dikatakan individu terdakwa melakukan gerakan antiazan menggunakan pembesar suara. Ini bermakna yang terdakwa sebagai pemimpin sedang mengobarkan pandapat umum dalam kalangan satu pihak, mendesak agar azan tidak dilaungkan secara kuat.

Katakan sahaja orang itu didakwa di mahkamah terbuka. Maka mahkamah akan menjadi medan perdebatan antara pendakwa dan pembela terdakwa. Malangnya subjeknya adalah azan itu sendiri. Azan yang sebenarnya satu seruan suci untuk manusia menunaikan solat agar menjadi manusia patuh sebagai hamba Allah akan dimasukkan dalam kandang debat, seperti bulu tangkis yang akan dipukul supaya mengenai lantai atau diangkat untuk diselamatkan. Soalnya adakah umat Islam sudah bersedia dan terbuka untuk menerima keadaan itu?

Penulis yakin kerajaan tidak akan membawa kasus laungan azan dalam kandang debat kerana hal ini akan menimbulkan keresahan dan kemarahan baru. Kita wajib belajar bagaimana keadaan yang berlaku di India, muslim dan Hindu bertarung atas nama mempertahankan isu agama. Ambil contoh haiwan sapi atau lembu adalah haiwan suci kepada penganut Hindu, malah menjadi satu kesalahan di India jika membunuh lembu. Dalam keadaan yang sama muslim menyembelih lembu sebagai makanan dan ibadah kurban.

Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, tidak ada kebebasan tanpa batasan. Malah dalam alquran dan sunah sendiri sekalipun Allah memberikan beberapa hak, namun hakikatnya sebagai hamba Allah prinsipnya ialah wajib menerima suruhan atau tegahan Allah swt.

Bagi pemerintah yang di pundaknya digalas amanah besar, para pemimpinnya terpaksa melakukan tindakan yang tidak bagus semata-mata untuk memberi kebaikan kepada manusia terbanyak. Namun keberadaan sebagai pemerintah sukar difahami oleh orang yang di luar lingkaran pemerintahan.

Kesimpulannya, inilah persimpangan pelaksanaan ISA: Antara memberi hak asasi pembelaan kepada terdakwa atau menyimpan isu besar daripada terus menggelojak dalam masyarakat.

Sabtu, September 13, 2008

BAGAIMANA melupuskan mercun dan bunga api?

MEDIA mencatatkan Kastam diraja Malaysia merampas mercun (di Indonesia disebut petasan) dan bunga api sebert 25.5 tan bernilai hampir setengah juta ringgit. Itu berlaku di Perak. Rampasan benda yang sama juga berlaku di Kelantan dengan nilai 90 juta ringgit. Di balik kejayaan besar itu, saban malam telinga mendengar dentuman mercun di mana-mana. Hal ini bererti ada sahaja mercun dan bunga api yang sampai ke tangan pengguna sekalipun ada halangan undang-undang.

Di Malaysia memang menjadi satu kesalahan memiliki dan memainkan bunga api atau mercun berdasarkan Akta Bahan Letupan. Namun jika pihak tertentu atau individu mendapat permit atau kebenaran kerajaan, bolehlah bunga api itu dimainkan dengan syarat-syarat tertentu seperti kawalan oleh pihak keselamatan dan pasukan bomba. Sebab itu rakyat dilarang bermain bunga api tetapi pihak yang dizin oleh kerajaan membuat pertunjukan atau pertandingan bunga api. Namun ada rekod pertunjukan bunga api yang katanya dalam kawalan rapi telah mencederakan banyak orang seperti yang berlaku di Sarawak dahulu. Kalau api sudah dimuntahkan dan menuju ke satu arah, apa yang dapat menahannya!

Mengapa mahu bermain bunga api dan mercun pada bulan Ramadan dan awal Syawal? Memang sukar meneliti sejarah permainan ini dengan kewajiban muslim berpuasa. Kalaupun mencari sebab, jawabannya ialah mencari keseronokan. Penulis pernah menempuh permainan bunga api sebelum diharamkan oleh undang-undang. Memang sebagai anak-anak seronok amat kalau bermain bunga api ini. Penulis yakin juga bahawa pihak yang mendapat kebenaran membuat permainan bunga api secara besar-besaran kerana majlis besar juga atas alasan keseronokan. Ada siapa dapat memberi bukti orang bermain bunga api untuk menzahirkan kesedihan dan kepiluan kerana sesuatu musibah?

Dahulu semasa zaman anak-anak, jiran penulis yang sudah menjadi bapa orang juga bermain mercun dan bunga api. Malah pada pagi hari raya laman rumahnya penuh merah kerana kertas mercun! Dia sering memberitahu alasannya ialah setahun sekali. Ayah penulis kata, membakar wang.

Alquran dan sunah tidak pernah menawarkan rasa keseronokan dizahirkan dengan pembakaran mercun dan bunga api. Gembira bagaimana pun, bersyukurlah kepada Allah, perbuatan yang modalnya sangat rendah. Bagi kerajaan pengharaman bunga api dan mercun lebih kepada bahaya kepada manusia dan harta benda, bukan atas faktor permainan itu tidak berdasarkan amalan sunah.

Dalam hal tegahan bermain bunga api ini, isunya sama dengan orang yang merokok. Orang bermain bunga api untuk keseronokan, orang merokok pun untuk keseronokan. Bahaya bunga api besar, bahaya meerokok juga besar. Modal membeli bunga api tinggi, sama juga untuk membeli rokok. Kalaulah pada bulan Ramadan ini diperuntukkan RM300 untuk membeli bunga api, biaya membeli rokok sebulan sahaja sudah antara RM150 hingga RM300! Maka untuk setahun sekurang-kurangnya RM1800 untuk membeli rokok! Yang ganas, setahun RM3600 untuk rokok, harga sebuah komputer riba yang berkualiti tinggi!

Bagaimanakah mercun dan bunga api dimusnahkan oleh pihak yang menyitanya? Ini persoalan besar yang masih menjadi misteri. Kalau kerajaan menyita rokok atau minuman keras, barangan ini masih bisa dilelong atau dijual kerana undang-undang membenarkan kedua-dua barang itu dijual. Mercun dan bunga api yang disita itu, tidak bisa dijual, itu larangan undang-undang.

Andai bunga api yang dikatakan 25.5 tan itu hendak dilupuskan, bagus amat. Namun bagaimana? Untuk dibuang ke laut, pasti mencemarkan air. Menanam mercun juga masih bahaya kemungkinan akan meledak bagai bom, selain ancaman pencemaran tanah pula. Hendak membakarnya, samalah bermain seperti anak-anak pula. Hendak disimpan sahaja di stor, menjadi satu tindakan tidak bijak dan mengancam keselamatan pula. Oleh itu bagaimanakah bahan terlarang ini dilupuskan?

Penulis telah menghantar mesej kepada Ahli Parlimen Kuantan Puan Hajah Fuziah Salleh untuk mendesak kerajaan mendedahkan bagaimana bahan terlarang ini dilupuskan. Weblog Fuziah ialah
http://fiziahsalleh2.wordpress.com .

Jumaat, September 12, 2008

WTC dan bom atom hanya mainan Amerika

DALAM rencana lepas penulis menyatakan tindakn terancang atau sengaja diatur demikian supaya WTC hancur musnah pada 11 september 2001. Kedurjanaan Amerika telah didedahkan oleh banyak pihak termasuk dalam kalangan rakyat Amerika sendiri.

Secara mudah dua bangunan yang dilanggar oleh pesawat tidak akan runtuh dengan begitu pantas dan menjadi debu halus jika bukan kerana ada ledakan bom di balik itu.

Mudah juga ditertawakan orang bagaimana bangunan terdekat WTC yang tidak terkena langgaran pesawat juga runtuh menjadi debu. Juga menjadi pengetahuan umum bahawa semua bangsa Yahudi tidak hadir bekerja di sana pada hari itu. Bagaimana mereka tahu akan berlaku serangan pesawat itu.

Pokoknya, WTC mesti musnah di tangan rakan-rakan Osama bin Laden, noktah!

Imbas kembali dalam Perang Dunia Kedua (1937-1945), Amerika mengebom Hiroshima dan Nagasaki menggunakan bom nuclear atau bom atom. Itulah pertama kali bom atom diledakkan betul-betul di atas kepala manusia untuk melihat secara semula jadi kesan yang akan dirasai. Kalau sekadar teori di atas kertas bahawa bom atom bisa menghancurkan bandar utama dan membunuh jutaan manusia, mana buktinya? Amerika membuktikan secara ilmiah di atas kepala manusia Jepun.

Oh bukan mudah untuk membuat ujikaji pembunuhan halal di Hiroshima dan Nagasaki. Bom atom telah direka oleh saintis Amerika sebelum perang bermula. Untuk menguji bom besar ini mesti dilakukan dalam iklim perang supaya pembunuhan ini menjadi sah. Oh tidak mungkin Amerika sengaja membuat percubaan dengan meledakkan bom atom di atas bandar New York, sekadar untuk melihat sejauh mana kemusnahan dan kematian. Oh, goblok amat.

Janganlah kaget kalau dikatakan Amerika sengaja membiarkan Jepun mengancurkan pelabuhan tenteranya yang paling kuat di Lautan Pasifik iaitu Pearl Habour pada 7 Disember 1941. Melucukan sebuah pelabuhan terkuat di Hawaii dapat dihancurkan oleh serangan udara Jepun secara konvensional. Namun biarlah Pearl Habour hancur dan menjadi tangisan warga Amerika. Nanti seluruh warga Amerika akan menyumpah Jepun. Nah, inilah saatnya bom atom diledakkan di Jepun. Sebenarnya, inilah kesempatan terbaik untuk menguji kekuatan maksimum bom atom ciptaan pertama.

Tanggal 6 Ogos 1945 hari malang Hiroshima kemudian 9 Ogos pula berlarutan malang kepada Nagasaki. Mengapa perlu dua bom? Jawabnya untuk mendapat jawaban mana cara terbaik dan kesan terbesar daripada dua cara meledakan bom. Pertama bom diledakkan di udara, dan kedua bom meledak benar-benar setelah mengenai bumi. Itu saja!

Bom diledakkan juga pada saat di mana-mana ketumbukan tentera Jepun berkali-kali menerima kekalahan kepada pasukan Bersekutu: Amerika, British dan Australia dalam perang di Asia Tenggara. Jawabnya senang, sengaja untuk uji kaji.

Mengapa bangsa Jepun menjadi sasaran pembunuhan oleh bom atom sedangkan yang memulakan perang itu bukan Jepun, tetapi Jerman. Malah sepatutnya bom atom dihadiahkan kepada penduduk Berlin yang menjadi punca kemusnahan besar Perang Dunia Kedua. Jawabnya, Jerman sama bangsa orang kulit putih dengan Amerika, dan Jepun hanya bangsa Asia.

Itulah perkauman Barat terhadap bangsa-bangsa lain. Ingatlah, bangsa kulit putih dari Barat memang mempunyai persepsi bangsa-bangsa lain adalah bodoh dan hina, sebab itulah proses penjajahan berlaku beratus tahun terhadap bangsa-bangsa Asia, Afrika dan Amerika Latin oleh bangsa kulit putih dari Eropah. Maka dalam perang pun kesempatan untuk membunuh melalui lesen ujian bom atom, sasarannya ialah bangsa bukan kulit putih.

Maka dalam perang Barat terhadap Islam, siri pembunuhan dan penghinaan terhadap Islam sedang berlaku. Oleh kerana Islam adalah agama dan ‘din’ maka ada pertembungan antara tamadun Kristian dan Islam. Namun sebagaimana Allah nyatakan dalam alquran bahawa musuh-musuh (yahudi dan nasrani) tidak akan senang sehingga kita (muslim) menjadi seperti mereka.

Amerika kononnya bermusuh dengan China, Korea Utara dan Venuzeula. Jangan terlalu mengharap permusuhan Amerika membawa serangan sebagaimana Amerika menyerang Iraq dan Afghanistan. Kalaulah penduduk Iraq dan Afghanistan bukan Islam, Amerika hanya bermain-main air liur saja untuk menghukum dua negara itu seperti yang dilakukan terhadap Korea Utara.

Itulah Amerika.

Rabu, September 10, 2008

APABILA Itali memohon maaf kepada Libya

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT (http://www.detikdaily.net/ )

Bagi kebanyakan peminat bola sepak, imej pemain lagenda Perancis Zinedine Zidane dilayangkan kad merah akibat membalas provokasi pemain tengah Itali dalam perlawanan Piala Dunia FIFA 2006 masih segar dalam ingatan.

Ia terlihat sebagai satu insiden dalam permainan tetapi sebenarnya berpunca dari sikap perkauman tebal yang terdapat di kalangan beberapa orang pemain Itali.

Golongan ini bukan sahaja tidak dapat menerima kehebatan orang lain tetapi turut membenci Islam. Semua ini mungkin bersumber dari impian menjadikan bangsa Itali sebagai bangsa agung sebagaimana diasaskan Benito Mussolini dan kebetulan pula pusat pentadbiran agama Kristian seluruh dunia terletak di Vatican City, di tengah-tengah kota Rome, Itali.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya pergaduhan tercetus beberapa bulan lalu di beberapa bandar Itali melibatkan remaja Itali dan kaum imigran Islam yang mengusahakan pelbagai perniagaan.
Menurut laporan, terdapat insiden di mana pihak berkuasa seolah-olah mengamalkan sikap berat sebelah tatkala menangani pergaduhah tersebut dan ada juga Menteri Itali yang secara langsung membuat kenyataan negatif terhadap penerimaan Itali ke atas kaum imgiran Islam itu.
Namun, pada 31 Ogos 2008, kerajaan Itali membuat keputusan mengejutkan apabila secara terbuka meminta maaf kepada kerajaan Islam Libya di atas segala kerosakan yang berlaku akibat penaklukan mereka terhadap negara Islam itu satu ketika dulu.



Dalam satu kenyataannya di Benghazi, Libya, Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi mengesahkan sebagai tanda apologi itu, kerajaan Itali bersetuju melabur USD5 bilion sebagai ganti rugi yang dialami rakyat dan kerajaan Libya.


Berlusconi yang mengadakan pertemuan dengan pemimpin Libya Muammar Gaddafi ketika melawat kota Mediterranean Benghazi menegaskan: "Adalah menjadi tanggungjawab saya melahirkan kepada anda atas nama rakyat Itali tentang rasa kesal kita dan apologi atas segala kesengsaraan yang telah kami lakukan terhadap anda."


Dalam pertemuannya dengan Gaddafi, Perdana Menteri Itali itu turut mengesahkan perjanjian pelaburan USD200 juta setahun untuk tempoh 25 tahun berikutnya. Keputusan Itali ini sudah tentulah akan diperhatikan Amerika Syarikat yang menerusi Presiden Ronald Reagan pernah menganggap Gaddafi sebagai ‘special demon’nya (majalah Newsweek).


Ekoran perkembangan terbaru ini rakyat Libya dan umat Islam sudah tentulah mengharapkan Amerika akan melakukan yang sama, setidak-tidaknya memulangkan semula harta dan wang rakyat dan kerajaan Libya dan Iran yang tersimpan di negara itu yang dibekukan buat sekian lamanya.


(Suparjo: Itali merupakan negara yang menjajah Libya dan menggantung mati pemimpin umah di sana, Umar Mukhtar)

ACARA selepas 11 September 2001

APA signifikannya tanggal 11 September pada saban tahun sejak 11 September 2001, kalau bukan titik tolak permusuhan Amerika dan Barat terhadap Islam. Permusuhan terancang ini sebenarnya telah diduga awal oleh banyak pihak. Bayangkana sahaja sejak 1945 Soviet Union menjadi musuh utama Amerika dalam Perang Dingin, tiba-tiba Amerika sendirian menjadi penguasa dunia. Logiknya Amerika akan duduk di kerusi empuk melihat perjalanan dunia. Tidak begitu!

Memang sesiapa yang sedia faham mengenai politik antara bangsa melihat lompong besar apabila gergasi komunis Soviet Union tiba-tiba lenyap pada tahun 1989. Kemudian satu persatu negara-negara komunis yang asalnya menjadi sekutu Soviet Union membuang komunisme dan mengambil kapitalisme yang dahulunya sangat dibenci. Hal ini yang menyebabkan Amerika kehilangan musuh.

Kehilangan musuh adalah suatu kerunsingan yang besar kepada sesiapa sahaja yang hidup dan kemegahannya disandarkan kepada permusuhan. Dunia mengenal Amerika sebagai kuasa besar kerana menyaingi Soviet Union, dan apabila seterunya sudah lenyap dunia tidak akan melihat Amerika sebagai satu kuasa.

Adikuasa! Betul begitu, tetapi sekadar mewar-warkan kepada dunia Amerika adalah adikuasa sangat membosankan. Samseng kecil-kecilan pun perlukan seteru atau musuh untuk memperlihatkan kehadirannya sebagai samseng. Samseng perlu ada musuh supaya imejnya kekal dalam minda orang banyak. Kalau tidak ada musuh, watak samseng lenyap, dia menjadi tidak samseng. Lalu jadilah dia seperti penjala ikan yang tidak memberi rasa gentar kepada orang ramai.

Lalu Amerika perlukan musuh untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Amerika masih kuasa dunia. Hutington telah awal-awal lagi mengatakan akan berlaku pertembungan antara Barat dengan Islam apabila lenyapnya komunisme. Dan itulah yang sedang berlaku.

Pertembungan Barat dan Islam tidak seronok didengar jika tidak dimulai dengan babak paling hebat. Bolehkah Amerika dengan suka-suka mengebom Afghanistan dan Iraq? Goblok, iblis dan syaitan pun akan marah kepada Presiden Amerika kerana kerja yang ‘betul’ tetapi dilakukan secara bodoh.

Maka Amerika mencipta isu besar untuk memulai pertembungan Barat dan Islam iaitu serangan di WTC pada 11 September 2001! Nah, buatlah plot terbaik untuk memusnahkan WTC asalkan dunia dapat membentuk pandangan bahawa pengganas Islam telah menyerang dan memusnahkan mercu tanda Amerika. Tiga ribu orang mati, tidak mengapa. Bangunan jutaan dolar musnah, lagilah tidak apa. Malulah Amerika kena serang, tidak apa juga. Ini semua modal untuk perjuangan yang lebih besar. Itulah yang sedang berlaku sehingga sekarang.

Rakyat Amerika pasti mendesak kerajaan Amerika membalas dendam kepada pengganas Islam. Sekutu-sekutu Amerika juga pasti akan bersama Amerika dalam peperangan menentang pengganas (sebenarnya Islam). Sebab itu atas alasan Osama Laden ada di Afghanistan, negara miskin itu diserang Amerika. Kemudian atas alasan Iraq menyimpan senjata pemusnah yang didakwa akan jatuh ke tangan pengganas, maka Iraq diserang. Jadilah Afghanistan dan Iraq tanah jajahan Amerika.

Kemudian di mana-mana pun setiap muslim dicurigai sebagai musuh orang-orang Barat. Asal sahaja nama berbau Arab, akan diselidik dan dicurigai. Imej-imej Islam seperti jilbab, janggut dan solat berjemaah menjadi subjek pemerhatian.

Sampai-sampai di Malaysia juga dengan penuh tolol ada orang ngeri dengan tulisan Jawi pada plat kereta dan papan tanda. Malaysia tidak ada rekod pelaksanaan diskriminasi terhadap bukan Islam tetapi Islamphobia yang berkembang seluruh dunia masuk dengan pantas ke dalam minda manusia yang ada asas tidak suka Islam.

Oleh itu jaringan Islamphobia telah dan sedang masuk kemudian meracun sesiapa juga. Kadang-kadang orang Islam sendiri tidak sedar bahawa pemikiran dan tindakannya sudah seperti minda Barat terhadap Islam. Musuh-musuh Islam sangat cekap menyusup dalam tubuh muslim atau organisasi Islam untuk melaksanakan misi peperangan terhadap Islam. Bolehlah ini dianggap zaman fitnah, zaman penuh panca roba Islam.

Kesimpulan ringkas ini ialah Islam itu sebenarnya sangat digeruni oleh Barat, lebih daripada komunisme. Sejak negara-negara komunis runtuh, mana ada sebuah negara Islam yang besar dan gagah teknologi persenjataannya yang mampu menandingi Amerika dan Eropah. Negara-negara Islam lebih dilihat kumpulan negara yang miskin dan mundur. Carilah statistik kemiskinan dunia, jawabnya negara-negara Islam. Catatlah negara-negara yang saling berperang dan bermasalah, jawabnya negara-negara yang penduduknya orang Islam. Dalam begitu Amerika dan Barat tetap melihat Islam sebagai ancaman.

Keadaan inilah yang menyebabkan penduduk yang cerdas di Amerika dan Eropah membuka alquran. Mereka sangat kepingin tahu apa yang diajarkan oleh alquran kepada umat Islam.

Selasa, September 09, 2008

TIADA had bilangan rakaat Tarawih

oleh Ustadz Khairol Amin http://kaminms.blogspot.com/


SETIAP tahun apabila tiba bulan Ramadhan, persoalan yang tidak terlepas dari perbincangan adalah berkenaan dengan bilangan rakaat didalam solat tarawih. Ada dikalangan mereka yang mengatakan bahawa orang yang solat 20 rakaat tidak mengikut sunnah Nabi saw. Berdasarkan dalil A’isyah ra. mereka mengatakan bahawa Nabi saw bersolat 10 rakaat diikuti dengan 3 witir. 




Nabi saw pernah memulakan solat malam Ramadhan di masjid dan baginda telah diikuti oleh beberapa sahabat yang melihatnya Peristiwa ini telah diperbincangkan oleh para sahabat pada keesokkan harinya. Maka para hari kemudiannya jemaah di masjid semakin bertambah. Pada malam keempat, baginda tidak kelihatan lagi di masjid sehinggalah baginda keluar untuk bersolat subuh. Setelah selesai solat, baginda mengatakan bahawa beliau tidak meneruskan solat tersebut kerana takut ia diwajibkan keatas mereka dan mereka tidak mampu melaksanakannya.

Selepas Nabi saw wafat, umat Islam masih menunaikan solat tarawih secara bersendirian, baik pada zaman Abu Bakar ra dan bahagian awal pemerintahan Umar ra. Umar ra apabila melihat umat Islam solat berasing-asingan, beliau telah mengarahkan Ubay bin Ka’ab mengimami solat tarawih tersebut yang dilakukan secara berjemaah. Imam Bukhari tidak pula meriwayatkan berapakah jumlah bilangan rakaat tarawih yang dilakukan, Di sanalah terdapat perselisihan bilangan rakaat, samada 11, 13 atau 21 termasuk witir. 





Sejarah telah mencatatkan bahawa para ulama salaf bersolat lebih dari 13 rakaat solat tarawih dan melakukan pelbagai aktiviti ibadat sebagai selingan. Jelas menunjukkan bahawa masyarakat Mekah pada zaman dulu melakukan tawaf pada masa rehat di antara 2 solat tarawih, dan mereka bersolat 20 rakaat. Masyarakat Madinah pada masa Umar bin Abdul Aziz menambah rakaat sampai kepada 36 rakaat dan 3 witir sebagai ganti ibadat tawaf. Begitu juga semasa selingan (rehat) di antara 2 rakaat atau 4 rakaat solat tarawih boleh diisi dengan bacaan al-Quran, berselawat, berdo'a dsb, yang jatuh kepada definasi luas ibadat zikir .




Mengenai solat tarawih 36 rakaat, Imam Malik rh menyatakan bahawa: “ini merupakan masalah lama bagi kami.” Imam Syafie rh juga menyebut bahawa: “aku melihat orang bersolat tarawih di Madinah 39 rakaat, di Mekah pula 23 rakaat, dan tidak sedikit pun menghadkan perkara ini.” Ibn Hajar rh dalam Fath al-bari menyatakan bahawa ada dalam kalangan para salaf yang melakukan solat tarawih 40 rakaat, dan tidak termasuk witir!

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa perkara yang paling penting adalah tidak perlu berbicara panjang mengenai berapakah jumlah rakaat tarawih, akan tetapi hendaklah menunaikan hak-hak tama’ninah dan kekhusyukkan solatnya. Al-Qaradhawi menegaskan bahawa apa yang perlu dihindari adalah seperti terdapat masjid yang melakukan solat tarawih ibarat punggung-punggung mereka yang kepanasan dan mereka ingin bebas darinya, yakni melakukan solat 20 rakaat dalam masa kurang dari 20 minit. 





Syiekh Ibn Taimiyah rh mempunyai penjelasan yang baik mengenai bilangan rakaat solat tarawih ini, Beliau menjelaskan bahawa terdapat kaum salaf yang bersolat 40 rakaat dan 3 rakaat witir, dan ada pula yang bersolat 39 rakaat bersama 3 rakaat witir. Kenyataan ini telah diketahui umum, dan bagi beliau, sesiapa yang ingin mengikuti amalan mereka ini adalah baik.

Berkata Syeikh Ibn Taimiyah lagi :
التراويح إن صلاها كمذهب أبي حنيفة ، والشافعي ، وأحمد : عشرين ركعة أو : كمذهب مالك ستا وثلاثين ، أو ثلاث عشرة ، أو إحدى عشرة فقد أحسن ، كما نص عليه الإمام أحمد لعدم التوقيف فيكون تكثير الركعات وتقليلها بحسب طول القيام وقصره .
"Jika seorang bersolat Tarawih sepertimana mazhab Abu Hanifah, Al-Syafie dan Ahmad : 20 rakaat atau : sebagaimana Mazhab Malik iaitu 36 rakaat, atau 13 rakaat, atau 11 rakaat, maka itu yang terbaik, sebagaimana Imam Ahmad berkata, kerana tidak dinyatakan mengenai bilangan rakaatnya, oleh itu lebih atau kurangnya bilangan rakaat bergantung kepada berapa panjang atau pendeknya qiamnya" - [Al-Ikhtiyaaraat ms 64] 



Syeikh menjelaskan bahawa bilangan rakaat ini terpulang kepada kemampuan seseorang. Jika seseorang itu mampu berdiri lama, maka solatlah sebagaimana Nabi saw lakukan, 10 rakaat dan 3 witir. Akan tetapi, jika seseorang itu tidak mampu berdiri lama, maka bersolatlah 20 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakkan orang Islam, kerana jumlah ini adalah yang pertengahan di antara 20 dan 40 rakaat.

Komentar Syiekh Ibn Tamiyah lagi :
ومن ظن أن قيام رمضان فيه عدد مؤقت عن النبي صلى الله عليه وسلم، لا يزاد ولا ينقص منه فقد أخطأ. “Barangsiapa yang beranggapan bahawa qiam Ramadhan merupakan jumlah yang telah ditentukan oleh Nabi saw, tidak boleh ditambah atau dikurangi, maka dia telah silap”.


Kesimpulan ini jelas menunjukkan bahawa solat tarawih merupakan sejenis solat sunat yang dilakukan pada waktu malam, sebagai sabda Nabi saw, "Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat" (صلاة الليل مَثْنَى مَثْنَى). Usahlah dipertikaikan siapa yang lebih sunnah, kerana mungkin kita sendiri tidak memahami bagaimana sunnah itu diaplikasikan oleh para ulama' salaf. Oleh itu, buatlah ikut kemampuan masing-masing. WA.

Sekian, wassalam
1. Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi. Fiqh al-Shiyam. Beirut : Muaasasah al-Risalah, 2001, ms 121-125.

p/s - tergerak hati untuk menulis setelah mendengar Ustaz Adlan (alitantawi) membacakan perkataan Syiekh Ibn Taimiyah yang dipetik oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi.

Ahad, September 07, 2008

FENOMENA Tarawih kita

TELAH seminggu kita berpuasa dan malam-malamnya ditempuhi sebagaimana biasa malam Ramadan yang lalu. Penulis telah memerhatikan budaya sebenar orang-orang kita menempuh Ramadan yang setahun sekali ini. Benarlah dikatakan Ramadan ini istimewa yang tidak ditemui pada bulan-bulan lain. Kepada pembaca yang penulis sangat hargai, ada tiga minggu lagi untuk kita bersama-sama menempuh Ramadan dan memerhati sekeliling dalam masyarakat kita. Moga-moga akan diperoleh pelajaran dan pengajaran sebagai mengenali diri.

Melihat manusia berbondong-bondong ke masjid sebelum masuknya waktu Isyak, teringat pada buku-buku hikayat lama mengenai ketaatan rakyat kepada sang raja. Misalnya apabila raja mengadakan perayaan perkahwinan mesti dilakukan dengan besar-besaran dan meriah. Rakyat dari segenap pelosok negeri berduyun-duyun mendatangi majlis diraja itu. Penulis hikayat akan menggambarkan: Yang buta datang dipimpin, yang capek datang bertongkat, yang kecil datang digendong, yang lumpuh datang mengesot, yang kuat datang berlari dan yang lemah datang berjalan! Hebat, hebat!

Takdirnya semalam hujan deras di kawasan penulis tinggal, bermula sebelum maghrib dan kemudian menjadi kurang deras apabila menghampiri Isyak. Tetapi kalau tidak berpayung pasti lencun basah kuyup. Penulis antara yang keluar ke masjid.

Wah, bolehlah dikatakan hebat sungguh tarikan Solat Tarawih kepada orang-orang kita. Maka yang dekat rumahnnya dengan masjid datang berlari, yang kaya datang berkereta , yang miskin berpayung senget, Yang kanak-kanak kuyup berbasikal, yang perempuan datang bersingsing kain, yang lelaki datang dengan rokok basah dan macam-macam. Semua itu untuk tidak ketinggalan solat sunat Tarawih!

Masjid penuh juga kendatipun di luar masih gerimis. Sengaja selepas solat Isyak penulis keluar untuk pulang, memang hendak solat Tarawih sendiri di rumah. Wah, masih ada lagi insan berpayung ke masjid, sedangkan penulis berpayung untuk pulang ke rumah. Mengapa mereka nekad mendatangi masjid sekalipun telah tamat solat Isya berjemaah? Jawabnya ada solat Tarawih lagi!

Walhal selama bukan Ramadan ini, sekalipun tidak hujan: Yang lelaki sedap berhisap-hisapan rokok, yang muda menyuap mesra suami, yang anak-anak mata melotot di depan TV, yang capek kehilangan tongkat, yang buta hilang pembimbing dan macam-macam sebab untuk tidak hadir ke masjid. Mengapa jadi begitu? Jawabnya tidak ada solat sunat Tarawih!

Kebetulan pula waktu Zuhurnya penulis berada di sebuah surau di kawasan perumahan dan bersebelahan pula kawasan desa. Suraunya tidaklah besar, namun kalau mood Tarawih seperti masa kini pasti jemaah Tarawihnya melimpah-ruah ke tepi-tepi longkang. Penulislah yang membuka pintu dan setelah berwudhu terus azan kerana tidak ada lagi ahli kariah yang sampai. Sehabis salam solat jemaah Zuhur pun masih tidak sampai 10 orang. Mengapa sedikit sangat ya? Jawabnya tidak ada solat sunat Tarawih selepas solat fardu Zuhur!

Kok begitu? Yalah..,mahu jawaban apa lagi.

Inilah budaya, trend atau kebiasaan. Nanti selepas tamat Ramadan, masjid dan surau akan kembali normal seperti sebelum Ramadan. Lalu, masjid akan dianggap kelab ekslusif orang-orang tua pencen tidak punya pekerjaan. Merekalah yang setia saban waktu solat menunaikan hukum fardu kifayah: Satu buat yang lain tidak payah buat. Orang-orang di rumah mendengar azan, tetapi dalam mindanya berhukum sudah ada orang solat di masjid, maka tanggung jawab dalam mukim atau kariah selesai. “Selamat aku daripada dosa tidak berjemaah.”

Oh ya ada satu lagi musim orang kita berbondong-bondong ke masjid selepas idulfitri, iaitu majlis Solat Sunat Hajat Menjelang Peperiksaan. Akan berulanglah tarikan ke masjid kerana solat sunat hajat ini (solat sunat yang tidak kukuh syariatnya) sebagaimana tarikan solat Tarawih. Inilah budaya dan cermin orang kita beragama.

Yang dalam sunah tidak ada pertikaian ialah solat fardu itu berjemaah di masjid, solat sunat itu afdal di rumah. Orang-orang kita berfikir terbalik daripada pengajaran sunah. Kalaulah mereka yang kerap mengatakan “kami bermazhab Syafie, semua ikut cara Syafie” akan kecut apabila mengetahui Imam Syafie mengatakan solat fardu wajib dilakukan berjemaan di masjdi atau musalla.

Dalam Tafsir al Azhar, Buya Hamka (surah Taubah) merakam kata seorang atsar dan mufassir agung Ibnu Abbas. Sahabat Nabi ini mengatakan jika seorang mendengar azan dan masih bersolat sendirian di rumah atau bukan berjemaah di masjid, maka solatnya tidak sah. Tidak sah! Tidak sah ertinya seperti tidak solat.

Tapi orang kita apa perduli semua itu. Ikut rakanlah, trend masyarakatlah, sudah adatnya begitulah dan mujur ada kami buat. Kesimpulannya masih terlalu banyak ruang kosong pemahaman beragama dalam kalangan orang kita. Namun selagi mencari ilmu belum menjadi satu budaya hidup, selama itulah orang kita dalam kejahilan tetapi menyangka segala-galanya sudah beres. Inilah penyakit utamanya, jahil tapi menyangka alim dan sempurna.

wa

Sabtu, September 06, 2008

MENEROKA jiwa manusia

PENULIS kepingin menulis yang menyangkut ilmu kejiwaan atau psikologi. Ilmu ini kurang diminati kecuali mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan. Sebab utamanya ialah para pendidik termasuklah ustaz, ustazah dan ulama mesti mengenal secara mendalam diri manusia yang hendak dibawa ke arah kebaikan.

Jika sesiapa pernah membaca sirah Rasulullah mendampingi kanak-kanak, tahulah babawa Rasulullah seorang dewasa yang memahami dunia kanak-kanak. Ertinya, kalau seorang yang dewasa seperti ayah, ibu, datuk dan nenek hendak memberi input kepada anak-anak atau remaja, mestilah yang dewasa tadi melenturkan peribadi dewasanya menjadi peribadi anak-anak agar bahasa penyampaiannya mudah masuk ke dalam jiwa anak-anak.

Cuba bayangkan seorang datuk dengan fizikal besar kerana hendak memujuk cucunya agar bersolat, maka si datuk akan berwatak seperti cucu yang usianya bawah 10 tahun. Nah memang itulah padanan untuk meneroka jiwa orang yang mahu disentuh.

Maknanya kejiwaan, kecenderungan, bakat, keupayaan dan pelbagai yang dalaman bagi seseorang itu tidak sama antara satu sama lain berdasarkan pendidikan, umur, jantina, lingkungan budaya malah juga berbeza pada waktu malam dan siang. Inilah yang perlu diteroka dan difahami oleh mereka yang berhasrat menyampaikan info atau dakwah kepada manusia sasaran.

Namun kebanyakan orang Melayu kita tidak terdidik dengan ilmu psikologi, sedangkan sesama manusia saling berhubungan antara satu sama lain. Tampak janggal banyak contoh kehidupan keluarga yang sepatutnya indah. Malah telah ada persepsi jika di tempat awam sepasang manusia berjalan dengan wajah biasa saja, maka itu adalah sepasang suami isteri. Jika sepasang manusia itu tampak ceria dan mesra, itu bukan suami isteri! Seorang isteri juga wajib memahami psikologi suaminya supaya mesej yang hendak disampaikan kepada suaminya berkesan. Begitu juga suami terhadap isteri.

Masalah lain ialah ego atau rasa megah yang ada pada setiap manusia. Ego bukan fitrah kejadian manusia. Ego merupakan unsur buruk seperti perasaan amarah. Lantaran ego, maka orang gagal melentur peribadinya standing dengan insan yang mahu didekati. Rupa-rupanya ego ini menjadi penyakit yang payah diubati. Tidak cukup begitu, malah ego akan banyak mempengaruhi perilaku manusia.

Penulis ingat kata-kata rakan sewaktu belajar, jika manusia dengan sengaja membangga-banggakan dirinya terhadap orang lain, sebenarnya dia sedang mengalami rasa rendah diri. Orang seperti ini sebenarnya sedang bergelut untuk dihargai oleh orang lain tetapi senantiasa gagal. Perasaan keciwanya kian parah melihat rakan-rakannya sudah mendapat apa yang dihajati, tetapi dirinya masih seperti dahulu juga. Maka pilihannya ialah mencipta kemegahan yang palsu. Itu mudah dikesan apabila dia senantiasa mempromosi dirinya tanpa diminta oleh sesiapa.

Solat, meskipun mendidik kerendahan jiwa terhadap Allah dan kesaksamaan tanpa batas sewaktu berjemaah, namun ada manusia yang mencampuri kesaksamaan darjat di sisi Allah dengan perbuatan tidak sopan. Misalnya pengurusan masjid sengaja menyediakan ruang solat di saf hadapan untuk seseorang atau sekumpulan manusia yang dianggap tinggi darjatnya dalam masyarakat. Tindakan ini sebenarnya melampau kerana hak untuk mendapatkan saf pertama bukan kerana darjat sosial, tetapi kesanggupan untuk berada awal sebelum sesuatu solat jemaah dilaksnakan. Jika seseorang berstatus tinggi seumpama raja-raja sekalipun mereka lewat hadir, wajiblah mereka sedar bahawa tempatnya di belakang. Inilah keindahan ibadah solat berjemaah yang dicemari oleh tangan manusia kerana memuja manusia lebih daripada apa yang dituntut oleh sunah.

Puasa satu contoh terbaik bagaimana jiwa manusia yang ego direndahkan dan dibuang jauh. Sama ada seseorang itu kaya, bangsawan, berpengaruh, miskin atau hanya anggota jembel dalam masyarakat, puasa mereka tidak dapat dilihat secara fizikal. Maka puasa telah dirasai kesannya seperti lapar dan dahaga oleh semua pihak di atas. Walaupun waktu iftar itu mungkin ada kelainan berdasar status sosial, tetapi sepanjang siang hari itu tanggungan puasa sama saja.

Sebab itulah prinsip alquran dan sunah mengenai manusia ialah ‘manusia adalah sama saja di sisi Allah, kecuali darjat keimanan’. Ayat-ayat alquran banyak sekali menceritakan kejadian manusia daripada air mani yang lemah. Manusia akhirnya akan kembali mati menjadi tanah juga, tidak kiralah apa kedudukan dan nilai kekayaannya. Semua akan kembli kepada Allah hanya berdasarkan modal amal bakti sewaktu hidup.

Mujurlah di negara kita setiap muslim tanpa mengira kedudukan masih menerima kain kafan putih sebagai pakaian terakhir di lubang kubur. Inilah salah satu pendidikan psikologi alquran dan sunah untuk meredakan keegoan manusia.

Jumaat, September 05, 2008

KENYATAAN tentang muzakarah

RASANYA inilah respon terakhir terhadap pelawaan muzakarah oleh seorang bergelar albaqani, yang kian agresif memaksa penulis memenuhi kehendaknya. Inilah kenyataan rasmi yang diguna pakai daripada penulis bernama NURUL MUBIN BIN SIRAJ atau nama pemilik blog ini Suparjo.

Penulis tidak antimuzakarah, malah telah melewati beberapa siri dialog dengan rakan beragama Hindu dan Kristian. Telah dinyatakan juga dahulu bahawa penulis kerap mentela’ah Alkitab yang menjadi bacaan Kristian Katolik. Malah perkataan muzakarah sangat indah. Jika ada yang mempelawa penulis untuk berbicara atau mendengar mengenai fasis, komunis, liberalisme dan pelbagai fahaman lain pun tiada halangan. Namun semua itu tentulah atas dasar ilmu dan dengan penuh hikmah, bukan atas tuntutan desakan perasaan dan mempunyai tujuan buruk.

Baqani tidak berminat dialog apa-apa tajuk kecuali 'Allah wujud tanpa bertempat'. Penulis memang hendak berjumpa dengan Baqani terutama hendak selesaikan tuduhannya terhadap penulis iaitu penulis terpesong akidah dan kafir! Tetapi baqani tidak perdulikan kehendak penulis malah tidak memberi apa-apa respon berkenaan isu ini. Isu ini besar kepada penulis. Penulis tidak ada locus standi untuk dialog Allah wujud tanpa bertempat, kerana itu bukan pegangan penulis dan tidak ada apa-apa yang hendak dipertahankan dalam mana-mana dialog. Baqani saja yang beria-ia dengan ayat itu tanpa penulis minta sesen pun.

Sesungguhnya Baqani tidak ada apa-apa hak untuk mengadakan dialog akidah dengan saya. Dia juga tidak ada keperluan apa-apa yang mungkin dengan niat hendak mempersoalkan pegangan akidah saya. Keyakinan akidah saya berasaskan alquran dan sunah dan bermanhaj salaf as-salih, yang diyakini bersih daripada apa-apa unsur pencemaran. Pegangan akidah ini tidak menyalahi Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan mana-mana Perlembagaan Negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia. Jika sesiapa meragui peganan akidah penulis, yang berhak untuk menemubual penulis ialah Jabatan Agama daripada mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Baiklah, asalnya penulis setuju untuk dialog, maka penulis mahu dialog secara profesional. Tetapkan formatnya seperti siapa moderatornya, skop perbincangan, set masa ucapan, jumlah pertanyaan, terbuka atau tertutup. Ini semua asas dalam apa juga wacana. Jika perkara asas ini penulis dan Baqani tidak dapat kata sepakat, penulis tidak ada minat untuk meneruskan apa-apa. Noktah!

Penulis memulakan dengan menghantar emel memberitahu nama sebenar dan nombor kad pengenalan dan meminta Baqani berbuat hal sama. Malangnya yang asas itu pun Baqani tidak menyambutnya.

Kemudian dalam cbox blog ini Baqani sendiri-sendiri hendak menetapkan tarikh, tempat dan tajuk. Tanpa malu dia mengatakan tajuk yang dikatakan saya setuju iaitu Allah wujud tanpa bertempat. Penulis mengatakan dalam emel yang penulis tidak akan meneruskan apa-apa perbincangan untuk muzakarah jika Baqani tidak menyatakan nama penuh dan nombor kad pengenalannya kepada penulis. Maka sebenarnya tidak berbangkit apa-apa untuk muzakarah atau dialog, sebab tiada apa-apa persetujuan asas tentang dialog. Penulis tidak mahu berdialog hal sensitif tanpa ada jaminan undang-undang. Sebagai guru yang mengajarkan prinsip asas undang-undang kepada pelajar-pelajar prauniversiti, penulis tahu tentang keperluan dan risiko sesuatu tindakan.

Berdasarkan tindakan bersifat provokasi dan tekanan, penulis menutup apa-apa ruang dialog dengan orang yang menggelarkan dirinya Baqani. Penulis katakan dia tidak layak berdialog dengan penulis kerana terlalu besar jurang matlamat dialog akidah ini hendak dilaksanakan.

Kenyataan tamat

Khamis, September 04, 2008

SISIPAN: mencari rakan dialog baru

TIBA-tiba penulis diajak bermuzakarah oleh insan yang baru saja mengakui bergelar Baqani. Sebenarnya penulis bisa bersahabat dan berdialog dengan siapa saja atas apa juga maudhuk. Namun dialog dan persahabatan biarlah atas kejujuran dan keikhlasan, dan dialog mestilah atas keterbukaan dan penuh ilmiah.

Penulis tidak meminta Baqani menghantar apa-apa kepada saya melalui emel. Dia sendiri yang bersungguh-sungguh mempromosikan ayat “Allah wujud tanpa bertempat”. Tak mengapalah, dan penulis menerimanya. Namun penulis sedar apa kehendaknya apabila dia menyertakan pula catatan berupa serangan sesat dan kafir kepada segolongan lain. Jika itu pilihannya dan diajukan kepada penulis, terpaksalah penulis membalas berupa pertanyaan untuk penjelasan lanjut. Seperti orang menjual barang, dia mestilah bersedia menjawab pertanyaan para pengguna. Amat buruk watak peniaga yang memaksa pengguna membeli barangnya tetapi tidak mahu menjelaskan kegunaan barang yang dipasarkannya. Itulah watak orang bergelar Baqani. Khabarnya dia bergelar ustaz. Ustaz?

Cara Baqani itu bukan rakan dialog yang berkesan dan boleh dipercayai. Sekurang-kurangnya inilah pengalaman berhubung dengan dia sejak Jun 2006 sehingga hari ini. Maka penulis tidak akan melayan cara tidak ilmiah itu. Membosankan dan membazir masa.

Penulis membuka ruang kepada pembaca untuk meneruskan dialog yang gagal dibawa oleh Baqani. Maudhuknya masih Allah wujud tak bertempat. Sebenarnya baru-baru ini saya membuat pertanyaan yang saya anggap mudah untuk dijawab, tetapi orang yang tidak amanah dan ilmiah gagal memberi apa-apa jawaban.

Soalan saya hanya begini. Jika difahami Allah tidak bertempat, tidak di langit, tidak di atas lalu ke manakah mikraj Rasulullah dalam peristiwa Isra dan Mikraj?

Rasulullah mikraj tetapi tidak ke langit kerana Allah tidak bertempat di atas, tidak pula difahami bersemayam (istiwa) di Arasy. Maka Rasulullah dianggap tidak ke mana-mana. Oleh itu tidak perlu orang-orang Makkah jadi geger dengan dakwan Rasulullah mikraj yang tidak ke mana-mana, dan Saidina Abu Bakr sepatutnya tidak digelar As-Sidiq kerana tidak ada apa-apa keperluan mendapat gelar istimewa itu. Pada penulis jika begitu kisahnya, tidak ada istimewanya Isra dan Mikraj.

Nah, siapa hendak memberi penjelasan ilmiah mengenai Isra dan Mikraj Rasulullah jika hendak dipadankan dengan fahaman Allah wujud tidak bertempat. Pembaca yang berminat boleh gunakan ruang komentar atau menulis dalam emel. Saya alu-alukan dialog bersih daripada kutukan dan sindiran. Cukuplah apa yang penulis terima selama ini.

Lembaran baru dibuka untuk pembaca yang budiman sahaja.

MENJENGAH puasa dan vegetarian

MINGGU-minggu sebelum bulan Ramadan, penulis beberapa kali menghadiri jamuan makan di hotel meraikan rakan-rakan dan pelajar-pelajar termasuk yang bukan muslim. Dan antara rakan-rakan yang nonmuslim itu ada yang vegetarian atau hanya memakan sayur-sayuran, tidak memakan daging. Dalam pemikiran penulis yang kurang faham sebab-sebab mereka yang vegetarian menganggap ruginya mereka tidak menikmati daging yang Allah sediakan untuk manusia. Namun tentulah pendirian mereka atas perintah agama yang dianut, ada sebab-sebab yang munasabah. Maka penulis menghormati mereka.

Kini giliran muslim berpuasa, tidak makan dan minum sepanjang siang hari. Bagi penulis tentulah berpuasa ini memenuhi perintah Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” Para muslim lain juga berpuasa kerana memenuhi perintah wajib Allah ini.

Seorang rakan penulis yang nonmuslim seperti tidak perduli apa-apa mengenai muslim yang berpuasa, walhal isu puasa ini besar kerana majoriti penduduk Malaysia sekarang dalam melaksanakan puasa. Lalu fikiran penulis menanggap rakan itu sedang menafsir sebagaimana asalnya penulis menafsir mereka yang vegetarian.

Seperti adil, asalnya penulis membuat persepsi terhadap vegetarian dan kemudian rakan penulis pula membuat persepsi terhadap muslim yang berpuasa. Mujurlah rasa saling hormat dan toleransi antara kami sangat tinggi, sehingga tidak berlaku apa-apa pertikaian amalan agama antara muslim dan nonmuslim. Malah sewaktu dalam jamuan yang kami sesama muslim rancang dan mengundang rakan yang vegetarian, kami menyediakan menu khas untuk mereka. Dan mereka pula tidak mengadakan apa-apa majlis jamuan pada bulan puasa kerana sedar tidak mengundang rakan-rakan muslim sekali.

Remaja nonmuslim tidak berani untuk mencuba puasa walau sehari, juga kerana persepsi. Mereka tahu kalau mencuba puasa bukan bererti telah menjadi muslim, cuma kalau ingin mencuba. Mereka membuat anggapan beratnya tanggungan orang berpuasa kerana tidak makan dan minum sepanjang siang hari. Dalam minda mereka, kalaulah dicuba juga dirasakan akan sangat terjejas kesihatan kerana rasa lapar dan dahaga. Inilah persepsi mereka di luar lingkungan agama Islam.

Puasa sebenarnya bukan luar biasa kepada manusia. Dari sudut kesihatan puasa diakui salah satu cara menentang serangan penyakit. Puasa juga menjadi pilihan untuk yang mahu mengurang berat badan. Puasa juga diamalkan oleh penganut agama lain seperti Hindu yang akan membawa kavadi untuk perayaan Thaipusam.

Dalam ayat alquran di atas, Allah perintahkan muslim berpuasa supaya bertakwa. Pilihan puasa yang utama untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Inilah yang membedakan kehendak berpuasa seseorang muslim dengan kehendak berpuasa nonmuslim. Kemudian kesan puasa pada muslim seperti kesihatan, kesabaran, keinsafan dan pelbagai adalah pilihan yang terhasil kerana puasa. Maka hendaklah para muslim yang berpuasa mendalami erti takwa supaya setiap hari berpuasa itu menepati matlamat ‘bertakwa’ yang diperintahkan oleh Allah.

Selasa, September 02, 2008

BUDAYA Tarawih kita

SEKONYONG-konyong hampir semua masjid dipenuhi manusia pada waktu malam sekarang bermula untuk solat Isyak dan solat sunat Tarawih. Pada waktu subuh juga angka yang hadir berganda-ganda juga pada bulan Ramadan ini. Sesiapa yang selama ini kerap mendatangi masjid dan surau pada setiap waktu tanpa mengira bulan Ramadan atau tidak, akan terasa kelainan dan kemeriahannya kini. Sesiapa yang hanya hadir ke masjid pada malam-malam bulan Ramadan, orang seperti ini tidak dapat merasa perbedaan ketara antara malam bulan puasa dan selainnya.

Saban tahun sejak berpuluh-puluh tahun begitulah, sehingga barangkali sudah menjadi budaya muslim. Mereka hadir ke masjid kerana mahu merebut pahala bersolat Tarawih. Oleh kerana solat sunat ini hanya ada pada bulan Ramadan maka sekaranglah waktunya muslim berduyun-duyun menghadiri masjid. Untuk rekod budaya ini, setelah 15 hari berpuasa di mana-mana juga masjid jumlah kehadiran kian berkurang walaupun jaminan Allah untuk menerima ibadah solat Tarawih untuk sebulan penuh.

Orang ke masjid kerana ikhlas hendak beribadah kepada Allah. Tetapi ada juga kerana naluri kebiasaan atau budaya masyarakat Melayu. Yang solat sunat Tarawih kerana Allah akan sentiasa atau langgeng sepanjang malam Ramadan. Mereka faham bahawa solat itu hukumnya hanya sunat dan bisa saja dikerjakan berjemaah di masjid atau di rumah saja. Orang sebegini tidak teruja dengan kemeriahan manusia awal Ramadan di masjid. Dia akan juga berjemaat solat Tarawih. Dia juga bisa saja pulang ke rumah selepas solat Isyak sebagaimana kebiasaannya (bukan pada bulan Ramadan). Di rumah dia akan melaksanakan solat Tarawih atau solat malam ini sempurna seperti orang lain melaksanakan di masjid-masjid.

Rasulullah sendiri tidak memenuhi solat malam bulan Ramadan itu hanya di masjid. Pengetahuan yang masyhur dalam kalangan kita bahawa asalnya Rasulullah mengerjakan solat sunat ini di masjid dan para sahabat sama solat di belakang Nabi (berjemaah), kemudian pada waktu lain Rasulullah pulang ke rumah setelah solat Isyak dan tidak hadir semula ke masjid. Rasulullah hanya hadir untuk solat subuh. Baginda tahu para sahabat menunggu di masjid seperti biasa, namun baginda Rasulullah menjelaskan solat itu hanya sunat dan bimbang ditafsir sebagai wajib jika baginda sebagai Nabi senantiasa mendirikan solat Tarawih di masjid (sebagaimana kita hari ini).

Hanya yang solat Tarawih kerana menyambut tawaran daripada Allah akan berterusan dan menjaga solat itu dengan baik. Tidak ada perbedaan darjat khusuk untuk solat sunat dengan solat wajib, namun ada beberapa tempat yang tampak berbeda bagaimana melaksanakan solat wajib dan solat sunat ini. Untuk solat Isyak, imam membaca ayat-ayat alquran dengan tartil dan jelas didengar oleh jemaah. Pergerakannya juga sesuai dan tidak tergesa-gesa. Namun apabila solat Tarawih, bacaan imam begitu pantas, termasuk pergerakannnya sekali. Tidak perdulilah untuk memilih lapan atau 20 rakaat, solat adalah ibadah khusus kepada Allah, Rasulullah tidak pernah memberi petanda bolehnya solat sunat dilakukan asal sah dari segi teknikalnya saja.

Memang perkara sebegini sudah kerap diperjelaskan atau yang tidak sesuai dengan sunah sudah dikritik oleh para ustaz dan ulama. Namun kebanyakan ahli masyarakat lebih menerima contoh daripada budaya masyarakat mengenai solat Tarawih. Inilah sebagian kebiasaan yang palsu yang bukan daripada syariat dan sudah menjadi budaya. Budaya itu adalah adat, maka sudah adatnya begitu pada setiap malam bulan Ramadan.

Kelak setelah 20 hari berpuasa kita akan melihat masjid semakin lapang pada saat tawaran Allah semakin besar. Maksud firman Allah dalam surah al-Qadr: 2-5 “Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan (lailatul-qadr) itu? Lailatul-qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhan untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (pada malam itu) sampai terbit fajar.” Budaya Melayu kita, pada saat Allah menawarkan malam terbaik berbanding 1000 bulan, malam-malam itulah masyarakat perlu menyiapkan segala kelengkapan untuk sambutan Hari Raya. Lantaran itulah masjid kian lapang dan tidak pula dikerjakan solat sunat di rumah-rumah. Inilah budaya atau kebiasaan yang palsu.

Benarlah segala jalan hidup adalah ujian daripada Allah. Apabila seseorang mengaku muslim dan mengharap balasan baik di akhirat kelak, Allah akan menguji (surah al-Baqarah:214, al-Kahfi: 7 dan at-taubah:24) sehingga tahulah di sisi Allah apakah lafaz keimanan itu sejati atau hanya satu permainan di bibir.


Isnin, September 01, 2008

JEJAK merdeka (iv) amanah tanah air

BANYAK telah berpendapat dengan mengibar bendera tanah air seseorang berjiwa cinta negara, semangat patriotik. Penulis setuju mengangkat bendera sebagai lambang berjiwa cinta tanah air, sekadar lambang bukan pengertian sebenar. Yang sebenarnya seseorang warga negara yang mencintai tanah airnya mestilah menunaikan amanah dan kehendak pertiwi itu kepadanya.

Mengibar bendera pada satu-satu masa tertentu mudah saja dilakukan, tetapi melaksanakan amanah tanah air suatu yang berat, tambahan pula lama iaitu sepanjang kehidupan.

Apa amanah tanah air kepada semua warganya? Sukar menjawabnya kerana terlalu banyak, maka melaksanakannya bertambah sukar. Yang mudah untuk dilihat berjiwa cinta negara ialah menjeritkan kalimat ‘merdeka’ pada detik menghampiri tanggal 31 Ogos saban tahun.

Amanah tanah air kepada warganya ialah ‘jadilah muslim yang hakiki’. Seseorang warga negara yang menunaikan arahan syahadah (Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah rasul-Nya), berpegang teguh dengan alquran dan sunah adalah citra warga yang mencintai tanah airnya. Tambahan pula negara Malaysia yang para pemimpin utama adalah muslim, Islam diberi naungan, perlindungan dan ruang yang luas dalam kehidupan masyarakatnya.

Jika semua pada faham apa yang dikehendaki oleh tanah air, maka mudah sahaja Islam membimbing warga negara itu. Katakan anda seorang lelaki yang punya keluarga, maka tanah air mahu anda membina keluarga yang mapan, yang harmoni dan cendikia. Untuk apa? Keluarga yang mapan tidak menjadi bebanan kepada tanah air. Tidak ada ahli keluarga yang menjadi buruan polis dan menyusahkan masyarakat. Ahli yang mapan bekerja atau belajar dengan tekun dan jujur. Tanah air tidak terbeban langsung dengan ahli-ahli keluarga yang mapan sebegini. Nantinya mereka akan berkhidmat dalam pekerjaan atau khidmat suka rela, yang semua itu sebagian daripada kehendak tanah air kepada warganya. Tidakkah ciri-ciri begini dianjurkan oleh alquran dan sunah? Tidakkah muslim sejati senantiasa menyenangkan semua pihak?

Atau cuba saja bayangkan anda mempunyai sebuah keluarga yang berantakan, anak-anak terbiar tanpa pendidikan. Anda sendiri adalah perokok tegar yang bersedia mengambil dana tanah air untuk pengubatan akibat asap rokok. Lebih dahsyat jika kecelaruan hidup keluarga telah merosakkan keharmonian hubungan sosial dalam masyarakat. Anak-anak yang tidak berpendidikan akan menjadi gelandangan, terperangkap dalam dunia jenayah dan kebejatan moral. Semua ini bukan kehendak atau amanah tanah air. Kebejatan manusia ini adalah beban tanah air. Kalau ada sejuta warga yang sebegini, berapa banyak kewangan tanah air dihanguskan demi menanggung beban tidak berkesudahan. Dengan menanggung masalah sejuta manusia bobrok begini, apa yang tanah air peroleh? Kosong!

Adakah alquran dan sunah menawarkan manusia supaya menjadi bobrok? Tidak sama sekali, malah dengan kekuatan akidah seseseorang senantiasa dalam kejujuran sebagai warga negara. Misalnya kalaupun pihak antikorupsi tidak ada, mereka yang akidahnya cukup kental tahu benar bahawa Allah senantiasa mengetahui perbuatan mereka. Rugikah negara punya 20 juta rakyat yang akidahnya cukup mantap seperti ini?

Seseorang muslim sejati tidak akan rasuah atau korupsi, maksiat, berjudi, menipu malah sebaliknya menjunjung kebenaran dan kebaikan di mana-mana. Sesungguhnya tanah air sangat memerlukan watak warga negara yang terbina daripada ajaran alquran dan sunah ini.

Ringkasnya, ajaran alquran dan sunah menuntut rakyat yang adil, jujur, sihat, kuat, cergas, cerdas, pintar, bekerjasama, bertolak ansur, berpengetahuan, berketrampilan tinggi, berkasih sayang, bekerja atau belajar dengan tekun dan cekap, mendapatkan kekayaan dan sebagainya yang sangat terpuji di sisi Allah dan fitrah manusia.

Ringkasnya juga alquran dan sunah menegah kezaliman, kemunafikan, penipuan, kelemahan, goblok, cuai, pembenci kebenaran, boros, korupsi, malas dan segala macam yang buruk-buruk dari peringkat tertinggi masyarakat sehingalah kepada manusia gembel.

Demikian pembuktian Islam sebagai jaminan keutuhan warga negara. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk kebenaran kepada semua 27 juta penduduk Malaysia pada setiap saat, pada setiap ruang kehidupan yang abstrak dan tidak abstrak.