Pengikut

Sabtu, Januari 20, 2018

DZUL Khawashirah bapa khawarij

Foto hiasan

Kata Abu Sa’id al-Khudriyy radiyallahu anhu:

“Ali radiyallahu anhu telah menghantar ketulan emas yang belum dibersihkan dari tanah, hasil kemenanganya dari Yaman kepada Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam lalu baginda membahagikannya kepada al-Aqra’ Ibn Habis al-Hanzhaliy, ‘Uyainah Ibn Badr al-Fazariy, ‘Alqamah Ibn ‘Ulathah al-‘Amiriyy dan Zaid al-Khariththoiyy.

Tetapi pembahagian itu telah membangkitkan kemarahan Quraisy kerana mereka menganggap baginda sallallahu alaihi wa sallam lebih mengutamakan pembesar-pembesar Najd daripada mereka.

Mengetahui hal itu, Baginda sallallahu alaihi wa sallam menegur mereka:
“Kenapa kamu tidak mempercayai kejujuranku, sedangkan aku adalah pemegang amanah (agama) bagi pihak langit, wahyu datang kepadaku pagi dan petang, sesungguhnya hanya sanya aku lakukan itu untuk menjinakkan (hati) mereka.”

Tiba-tiba bangun seorang lelaki dari Bani Tamim yang dikenali sebagai Zu al-Khuwaisirah, berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol, berkepala botak, berkain singkat, seraya berkata:
“Bertaqwalah kamu kepada Allah wahai Muhammad!”

Lalu Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam menjawab:
“Celakalah kamu! Bukankah aku orang yang paling berhak untuk bertaqwa? Siapakah lagi yang taat kepada Allah jika aku menderhakaiNya? Kenapa Dia boleh mempercayaiku atas sekalian penduduk bumi sedangkan kamu tidak percaya kepadaku, siapakah lagi yang adil jika aku tidak adil, sesungguhnya rugilah aku jika aku tidak berlaku adil?”

Kemudian lelaki itupun beredar dan Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) radiyallahu anhu berkata:
“Izinkan aku memenggal lehernya”.

Baginda sallallahu alaihi wa sallam menjawab:
“Jangan, boleh jadi dia bersolat, (aku) minta dilindungi Allah daripada orang bercakap-cakap bahawa aku telah membunuh sahabatku, biarkan dia kerana dia ada pengikut."

Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) radiyallahu anhu berkata:
“Berapa ramai orang bersolat tetapi dia bercakap apa yang tidak dicakap oleh hatinya?"

Baginda sallallahu alaihi wa sallam menjawab:
“Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk membelah perut manusia dan menebuk hati mereka.”

Kemudian baginda sallallahu alaihi wa sallam memandang kepada lelaki yang sedang beredar itu seraya bersabda;
“Sesungguhnya akan lahir daripada keturunan lelaki ini golongan yang berumur muda dan berakal pendek, mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya), bacaan al-quran, solat dan puasa kamu tidak setanding bacaan, solat dan puasa mereka, kamu akan rasa solat kamu lekeh berbanding solat mereka.

"Mereka sangka al-quran yang mereka baca adalah hujah untuk mereka tetapi sebaliknya ia adalah hujah ke atas mereka, mereka membaca al-quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka, mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala.
Mereka terkeluar daripada Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya, dilihat pada mata panah, pengikat mata panah, kayu panah dan sirip panah tiada sebarang kesan darah dan bulunya.

"Sekiranya aku sempat bertemu mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti kaum ‘Ad, sekiranya kamu bertemu mereka maka perangilah mereka kerana memerangi mereka menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah subhana wa ta’ala pada Hari Kiamat.

"Petanda hal itu ialah di kalangan mereka ada seorang lelaki hitam bertangan pendek tanpa lengan, di hujung labu lengannya terdapat lebihan daging seperti payu dara perempuan yang ada beberapa helai bulu putih dan bergerak-gerak.

"Tanda pengenalan mereka ialah at-tahliq (bercukur kepala)¹, mereka adalah sejahat-jahat makhluk, mereka akan diperangi oleh salah satu daripada dua kumpulan yang lebih dekat kepada kebenaran. MEREKA KELUAR (MENENTANG PEMERINTAH) KETIKA ORANG RAMAI DALAM KEADAAN BERPECAH BELAH”.

Kata ‘Ali radiyallahu anhu:
“Jika tidak kerana bimbangkan kamu mengurangkan amalan, nescaya aku akan beritahu apa (ganjaran) yang Allah telah janjikan untuk orang yang memerangi mereka melalui lidah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam”.
Kata Abu Sa’id radiyallahu anhu:
“Aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku mendengar (hadis) ini daripada Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku bersama (Khalifah) ‘Ali Ibn Abi Talib radiyallahu anhu telah membunuh mereka, lalu beliau perintahkan agar dicari (mayat) lelaki tersebut sehingga dia djumpai dan dibawa kepadanya, sesungguhnya aku telah melihat tanda-tandanya betul sebagaimana yang telah disifatkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam”
______________
¹ – Kata al-Kirmani: “Golongan salaf tidak mencukur rambut mereka kecuali untuk ibadat haji dan umrah atau kerana keperluan, sedangkan puak khawarij menjadikannya suatu tabiat sehingga ia menjadi syiar dan identiti bagi mereka” Lihat: Al-‘Asqalaniyy, Ahmad Ibn ‘Ali Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Sharah Sahih al-Bukhari, Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 13:537.

² – HR. Bukhari No: 3166, 3414, 3415, 4094, 4770, 6531, 6532, 6533, 6995, 7121, 7122, 7123 dan Muslim, No: 1064-1066.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan