SUDAH biasa orang berkata begini,
"Saya tidak reda wang cukai yang dibayar digunakan untuk keperluan peribadi pemimpin."
"Mereka tidak agihkan wang zakat dengan adil, mungkin saya tidak lagi membayar zakat melalui pemerintah negeri."
Manusia bekerja untuk mendapatkan wang, kemudian wang itu dibelanjakan pula untuk keperluan hidup dunia dan akhiratnya. Antaranya, membeli sandang-pangan, pelajaran anak-anak, sedekah, cukai kepada negara, zakat sebagai rukun Islam dan pelbagai lagi.
Oleh kerna Allah subhanallahu taala menyatakan hidup manusia sebagai ibadah, setelah tauhidnya benar, ibadah wajibnya beres, maka urusan muamalat adalah dalam rangka ibadah kepada-Nya. Ibadah, sama ada yang khusus atau umum wajib ikhlas untuk mendapat reda Allah. Ikhlas itu rela hati, tidak ada sesal, menagih baladan atau mencari megah diri. Orang reda tidak menyebut amal untuk dinilai kepada umum. Tidak ada syarat itu dan ini, melainkan terus diserah sepenuhnya kepada Allah.
Bagi yang kepleset dan menunjuk ajar kepada penerima sedekahnya, itu termasuk tidak reda. Dia berpikir wang yang diberikan itu, masih miliknya. Maka dia pun ngomel wang yang dibayar patut dibuat itu dan ini.
Firman Allah subhanallahu taala yang bermaksud, "Hai orang yang beriman, jangan kamu batalkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan mengungkit-ungkit (perasaan si penerima) seperti orang yang menafkahkan bertanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat" (Surah al-Baqarah ayat 264).
Maka, setelah wang dibayar untuk pembelian, sedekah, zakat, cukai atau apa juga...., lupakan terus. Itu bukan milik kita lagi. Insya Allah ada ganjaran baik di hari akhirat. Dan rugi besar kelak apabila kita masih menaruh dendam terhadap wang yang sudah dibelanjakan.
Pihak atau orang yang menerima wang kita itu, bukan urusan kita. Dia berurusan dengan Allah dalam soal wang yang dipegang, seperti kita berurusan dengan Allah bagi wang yang di tangan sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan