Pengikut

Ahad, Jun 21, 2015

TARAWIH di masjid, witir di rumah?

 
foto hiasan
Mahu Qiamullail di rumah. Perlukah meninggalkan imam ketika solat witir?

Jawapan: (oleh Dr Abu Anas Madani)

Pertama: Sewajarnya solat bersama imam sehingga selesai, jadi tidak perlu balik ketika imam solat witir. Ini kerana nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya sesiapa yang solat bersama imam hingga selesai, ditulis untuknya (ganjaran) menghidupkan keseluruhan malam.”  [Imam an-Nasaie dalam as-Sunan al-Kubra, Kitab Qiyamillail Wa Tathowu’ an-Nahar, hadis no : 1281]

Kedua: Perlu diingatkan bahawa witir hanya boleh dilakukan sekali sahaja dalam 1 malam.

Thalaq radiallahu 'anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “ Tiada dua witir dalam satu malam.”
[Sunan at-Tirmizi, Kitab as-Solat, Abwab al-Witr, hadis no: 432, hasan gharib]

Ketiga: Oleh sebab itu, jika anda mahu mendirikan Qiamullail, ada 2 cara:

A- Solat witir bersama imam di masjid. Ketika bangun Qiamullail tidak perlu lagi solat witir. Tiada masalah mendirikan solat sunat walau sudah mendirikan solat witir.

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: “Baginda Nabi s.a.w. solat sebanyak tiga belas rakaat. Baginda melakukan solat sebanyak lapan rakaat, kemudian melakukan witir (sebanyak lima rakaat), kemudian solat dua rakaat dalam keadaan duduk.”
[Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha, Bab Solat al-Lail Wa ‘Adadi Raka’ati, hadis no: 1226]

B- Solat bersama imam, tetapi ketika imam solat witir, kita berniat untuk solat sunat 2 rakaat. Jadi apabila imam memberi salam, kita menambah satu rakaat lagi. Dengan ini, kita dapat melaksanakan witir di hujung malam selepas qiamullail.

‘Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jadikanlan witir sebagai akhir solat kalian di waktu malam.”
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jumu’ah, Abwab al-Witr, hadis no: 948]

Wallahua'lam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan