TIBA-TIBA saya sekeluarga menjadi susah hendak membeli barang keperluan asas seperti minyak masak dan tepung. Anak saya mengingatkan jenama yang didakwa mengandungi bahan yang haram dimakan oleh muslim. Dari satu pasar raya beralih ke kedai runcit biasa, tidak dapat mencari jenama yang tidak disyaki itu.
Saya yakin jika setiap muslim hendak menjadi teliti mengelakkan bahan makanan yang bebas unsur daging haram (misalnya babi atau haiwan lain yang tidak disembelih mengikut cara Islam), bahan kimia dan pelbagai bahan pengawet yang didakwa membawa kesan sampingan, maka wajiblah kembali ke zaman Jepun (1942-45). Pada zaman Jepun hampir semua barang makanan diproses sendiri daripada bahan mentah tempatan seperti ubi kayu, beras, keledek, pisang, tebu dan kelapa (sekadar menyatakan beberapa jenis bahan mentah). Nenek atau moyang kita yang muslim tidak akan mencampurkan bahan yang haram atau yang bukan-bukan. Walaupun tidak ada cap ‘halal’, namun semua makanan produk hiliran waktu itu dimakan tanpa waswas.
Salah siapa jika hari ini hampir semua bahan makanan di pasaran diragui kesucian dan kehalalannya?
Sepatutnya, para pengeluar hukum mencermin dahulu pemikiran dan sikap mereka terhadap umah dan masalahnya. Walaupun benar yang halal dan haram tetap hukum, namun adakah orang yang kerjanya memperincikan produk yang diragui suci dan halalnya telah bertahun-tahun berkempen kepada anak-anak atau remaja supaya menceburi pelajaran yang berasaskan sains dan pemakanan? Jangan hanya tahu menyenaraikan produk yang wajib dihindari oleh umat Islam, tetapi tidak ada pemikiran langsung untuk mengubah paradigm muslim agar menghantar anak-anak muslim menjadi pengeluar makanan secara moden.
Awal tahun ini kerajaan telah mendedahkan kemerosotan 29 peratus pelajar yang mengambil aliran sains. Sehingga hari ini tidak ada respon daripada orang yang mendakwa pejuang umah bahawa kemerosotan pelajar-pelajar di aliran sains merupakan ancaman kemunduran umah pada masa depan. Semakin kecilnya kemampuan pelajar muslim dalam bidang sains bermakna umah pada masa depan semakin kuat bergantung kepada produk-produk Barat atau mereka yang berpemikiran Barat.
Kita kerap mendengar orang berceramah membanggakan keagungan tamadun Islam pada zaman lampau, dan terus menyalahkan umat Islam zaman sekarang kerana meninggalkan ajaran Islam. Sepatutnya dalam tempoh 30 tahun menyeru umah kembali kepada Islam, masalah produk makanan suci dan halal sudah selesai!
Apa tindakan kebanyakan orang berpendidikan agama selama ini? Saya minta maaf jika berselisih dengan mereka. Saya ingat salah seorang pemimpin sebuah pertubuhan politik Islam yang berpengaruh (ketua di sebuah negeri) mencadangkan supaya setiap keluarga hendaklah menjadikan seorang daripada anak-anak mereka sebagai ahli agama supaya menjadi pejuang agama. Maksudnya beliau mahu setiap keluarga muslim di negeri berkenaan akan melahirkan seorang ustaz atau ustazah. Jika dalam satu-satu kawasan ada 500 keluarga, maka akan lahirlah 500 ahli agama. Itu pemikiran beliau!
Begitulah pemimpin agama kita hanya melihat agama dari sudut pengenaan hukum halal dan haram, walhal umat Islam memerlukan kepakaran dalam sains dan teknologi dari sekecil-kecil perkara lagi. Pemikiran mereka ternyata benar apabila pelajar muslim terbaik yang mendapat 17A dalam peperiksaan SPM dikecam dan menjadi isu besar kerana tidak bertudung. Sekarang, pemikiran muslim kita lebih kepada soal bertudung dan ‘lupakan saja ahli sains dan teknologi yang tidak bertudung’.
Inilah akibat perpecahan masyarakat kita sehingga tidak pernah ada satu pertemuan antara parti-parti politik Islam, NGO-NGO Islam dan badan-badan Islam untuk memperincikan masalah semasa umah dan memutuskan tindakan bersepadu untuk kebaikan umah. Mereka boleh membuat kongres dan merancang tindakan bersama untuk pembangunan umah. Dengan ini mengurangkan kebocoran atau keciciran umah dalam mana-mana bidang khasnya sains dan teknologi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan