ABDUL Rahman Abdullah, Pensyarah di USM dalam salah satu siri kajiannya mengatakan pengaruh aliran Syiah mendahului aliran Sunnah di Nusantara. Sekurang-kurangnya sehingga hari ini sambutan 10 Muharram menjadi rutin tahunan walaupun sekadar membuat bubur assyura. Kepada kaum Syiah Hari Assyura ialah hari kesedihan mengenang kematian curu Rasulullah dalam Peristiwa Karballa.
Prof Dr Hamka (foto) dalam siri bab ‘Dongeng Kaum Tasawuf mendewakan Raja’ mendedahkan penulis aliran tasawuf mereka-reka sejarah keturunan raja-raja di Maluku daripada salah satu Imam 12 kaum Syiah. Menurutnya, dalam penulisan ‘sejarah’ itu empat sultan di Tidore, Ternate, Bacan dan Jailolo adalah saudara kandung, berayahkan Tuan Syeikh Jaafar Shadiq! Dikatakan Syeikh Jaafar Syadiq ini datang ke Maluku pada 10 Muharram 471 Hijriyah (1080 Masehi) dan berkahwin dengan seorang puteri dari kahyangan (berketurunan dewa-dewa) bernama Puteri Nurush Shafaa.
Berdasarkan sejarah, Imam Syeikh Jaafar Syadiq ialah putera Syeikh Muhammad al-Baqir (Imam Syiah ke-5), putera Ali Asyghar Zainul Abidin (Imam Syiah ke-4), putera Hassan bin Ali Abi Talib. Ali Abi Talib itu merupakan Sahabat Rasulullah, menantu baginda Rasulullah dan Khalifah keempat selepas kewafatan baginda Nabi. Dan kepada kaum Syiah Saiyyidina Ali merupakan Imam pertama. Imam Syeikh Jaafar Syadiq pula sebenarnya wafat pada 148 Hijriyah (765 Masehi) di Madinah dan makamnya ada di Baqi.
Maka jelas penulis sejarah kesultanan Maluku secara sedar menipu pembaca dan rakyat sana mengatakan raja-raja di empat negeri itu berjalur keturunan jelas daripada Rasulullah dan menggunakan nasab Imam Syiah. Buya Hamka menurunkan catatan silsilah Raja-raja Maluku seperti beikut: Pertama, Sayyidina awal wal akhir zaman, Nabiyuna Muhammad. Kedua, Siti Fatimah Az-Zahrah. Ketiga, Sayid Imanul Hussein. Keempat, Sayih Zainul ‘Abidin. Kelima, Sayyidina Ali. Keenam, Sayyid Muhammad al-Baqir dan ketujuh Sayyidina Syeikh Jaafar Shadiq.
Kepercayaan pra-Islam iaitu kewujudan alam dewa telah disatukan dengan ajaran Syiah untuk memerangkap ketaatan rakyat terhadap raja. Pada zaman feudal rakyat masih percayakan ajaran kuno dan tasawuf Insan Kamil oleh Syeikh Abdulkadir Jilani. Maka tujuan penulis mendakwa Raja-raja Maluku berketurunan Nabi Muhammad tentulah untuk mendewakan raja-raja berkenaan agar dipandang mulia dan diberi ketaatan sepenuhnya sebagai keturunan manusia agung akhir zaman. Oleh kerana pengaruh aliran Syiah yang kuat maka tentulah penulis menyusur-galurkan silsilah raja-raja itu melalui salah satu Imam 12 Syiah itu.
Bagi mendewakan keturunan Sunan (raja) Kudus di Tanah Jawa, Sunan Kudus pertama sendiri didakwa oleh penulis aliran Syiah sebagai Imam ke-12 Syiah iaitu Syeikh Jaafar Shadiq. Mula-mula disebut berasal daripada Nabi Muhammad, kedua Ali suami Fatimah binti Nabi Muhammad, ketiga sayyid Hussein, keempat Zainul Abidin, kelima Zainul Alim, keenam Zaini al-Kubra, ketujuh Zaini al-Hussein, kelapan Maulana Muhammad Dumadal Kubra, kesembilan Ibrahim Asmarakandi, ke-10 Raja Pandita, ke-11 Usman Haji dank e-12 ialah Syeikh Jaafar Shadiq.
Dalam ajaran kaum Syiah, imam-imam mereka merupakan titisan Nur Muhammad. Konsep Nur Muhammad yang merupakan segala-gala atau kemuncak dalam penciptaan oleh Tuhan juga adalah sebagian ajaran kaum tasawuf. Demikianlah penulis-penulis kaum tasawuf sengaja mereka-reka jalan silsilah Raja-raja Melayu Nusantara berdasarkan prinsip aliran Syiah dan tasawuf untuk mendewa-dewakan raja.
Dengan di Indonesia raja-raja kian ruyup kerana tidak dilembagakan oleh undang-undang, dan di Malaysia raja-rajanya menjadi Raja Berperlembagaan, kepercayaan kuno dan salah yang dipaksakan kepada rakyat kian luntur. Maka ketaatan dan penghormatan rakyat kepada raja-raja dan keturunannya juga sudah ditapis supaya tidak menyalahi ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan