Pengikut

Selasa, Mei 25, 2010

DOKTRIN abuya, bukan agama

MENURUT Kamus Dewan, perkataan doktrin ialah prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar, dan hanya itu yang diyakini benar. Doktrin pula bukanlah prinsip dogma agama, kerana dogma suatu yang sangat asas. Jika dogma merupakan hal yang sangat asas dalam agama, doktrin yang menjadi satu kepercayaan adalah hasil pemikiran atau pemahaman seseorang daripada dogma!

Daripada situ banyaklah doktrin yang muncul daripada agama. Pertikaian jawatan khalifah antara dua sahabat Nabi, Sayyidina Ali dan Sayyidina Muawiah telah melahirkan doktrin kekhalaifahan Ali dalam kalangan kumpulan Syiah. Doktrin kekhalifahan Ali ini membawa pembentukan akidah baru yang mengkultuskan Ali Abi Talib. Maka janganlah kaget jika dalam doktrin ini malaikat Jibril dikatakan tersalah pilih menyampaikan wahyu. Kata mereka, sepatutnya Jibril menyampaikan wahyu kepada Ali bukan kepada Muhammad bin Abdullah. Tidak cukup itu, ditambah pula bahawa berlaku penggabungan roh Ali terhadap Allah. Ini dinamakan hulul dalam jiwa tarekat tasawuf.

Bagi kumpulan tarekat aurad muhammadiyah yang dijaga dan dikembangkan oleh kumpulan al-arqam dahulu telah memuja Syeikh Suhaimi, orang yang memulakan ajaran tarekat ini. Dalam mana-mana ajaran tarekat, aspek Imam Mahdi merupakan isu besar dan menjadi ratib mereka. Oleh itu doktrin Imam Mahdi menjadi lagu popular dalam dunia tarekat. Kata arwah Abuya Asaari dahulu, Syeikh Suhaimi yang sudah meninggal dunia itu akan bangkit sebagai Imam Mahdi. Kelak sewaktu Imam Mahdi datang, dialah pembantu kanannya yang dikatakan Pemuda Bani Tamim. Sebab itu pengikut Abuya percaya Abuya Asaari tidak mati, kerana dialah yang akan menyambut kedatangan Imam Mahdi!

Dalam psikik masyarakat di Pulau Jawa dahulu, doktrin Imam Mahdi diterjemah sebagai Ratu Adil atau Gatotkaca. Maka untuk mendapat sokongan orang-orang Jawa melawan Belanda, Putera Diponegoro telah mengisytiharkan dirinya sebagai Ratu Adil yang ditunggu-tunggu orang Jawa. Dengan itu, mudah saja Diponegoro menggerakkan manusia Jawa melawan Belanda (1825-1830) demi kehidupan yang aman tenteram penuh keadilan! Namun Diponegoro tertawan Belanda juga! Doktrin Imam Mahdi ini tertanam kuat kerana kelancaran kaum tasawuf seperti Wali Songo (Wali Sembilan) dalam penyebaran Islam, Islam yang berorientasikan tasawuf.

Tidak mengejutkan jika pengikut Abuya Asaari mengatakan orang tua itu tidak mati, tetapi hanya ghaib. Ghaib ini mereka fahami sebagai pergi sementara ke alam sana dan akan pulang kemudian dengan kehebatan berpuluh ganda. Inilah doktrin kaum tarekat tasawuf dalam usaha pemujaan terhadap ketua-ketua mereka. Dalam sastera, pembaca akan menemui banyak cerita mitos seperti keturunan raja berasal dari buih mulut lembu atau keluar dari mayang pokok kelapa bali. Cerita-cerita mitos ini untuk menampakkan hebat raja-raja Melayu agar ditaati seratus persen oleh masyarakat. Kaum tarekat tasawuf juga menggunakan kaedah mitos suci untuk mendapatkan kepatuhan seratus persen pengikut.

Dalam dunia tarekat tasawuf tidak ada perkataan ilmiah dan demokrasi. Yang mereka pegang dan gigit ialah ikut membuta tuli atas nama keberkatan syeikh. Mereka menyerah diri sepenuhnya kepada syeikh seperti kanak-kanak enam tahun mengharap bimbingan guru sekolah! Sebab itulah ada yang berpendidikan tinggi tetapi berubah seperti lembu dicucuk hidung dalam dunia tarekat. Beberapa tahun sebelum ini, terbit satu video yang menceritakan kepandaian Abuya Asaari merundingkan tarikh kematian para pengikutnya. Penceramahnya ialah orang yang pandai ilmu komunikasi, tetapi mindanya sudah disihir oleh syeikh tarekat.

Bagi masyarakat luar tarekat akan tertawa apabila seorang manusia boleh merundingkan tarikh kematian orang lain, tetapi para pengikut syeikh tarekat itulah nikmat dalam beragama! Inilah dunia goblok kagak ketulungan!

Khamis, Mei 13, 2010

ADAKAH bertali leher menjadi kafir?

DAHULU sewaktu saya masih menjadi penuntut dan saban hari bertali leher, seorang rakan memberikan satu rencana berkenaan hukum memakai tali leher. Penulis (pemberi hukum) bukanlah penarik beca atau pemungut sarang burung walit, tetapi bergelar ustaz, tentulah dianggap pakar dalam hukum agama. Penulisnya menerangkan bahawa tali leher bukan daripada cara hidup orang Islam, tetapi dari bangsa Eropah yang beragama Kristian. Kemudian diturunkan satu hadis nabi iaitu: Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk salah seorang dari mereka.” [HR Muslim dan Ahmad].

Oleh kerana orang Melayu beragama Islam tentulah mesti berbeda dengan penganut lain. Daripada hadis nabi itu dikeluarkan hukum sebagai kafir kepada muslim yang pemakai tali leher kerana menyerupai suatu kaum. Maksud kaum itu ialah bangsa Eropah yang beragama kristian.

Daripada hadis itu juga sekarang ada sekumpulan yang menolak apa juga perkara yang dianggap sebagai identiti suatu kaum bukan Islam. Misalnya dalam hal perayaan, Islam hanya memperuntukkan dua sahaja iaitu Hari Raya Idulfitri dan Hari Raya Iduladha. Oleh itu mereka telah mengharamkan apa juga sambutan hari-hari tertentu seperti Hari Pekerja, Hari Bapa, Hari Ibu, termasuk Hari Kemerdekaan. Kepada mereka, semua ini berasal daripada budaya kaum bukan Islam. Jika mereka tidak menghukum ‘kafir’ kerana turut merayakan hari-hari istimewa berkenaan, dijatuhi hukum pengamal bid’ah yang tersesat daripada jalan Allah. Hadis nabi yang lain digunakan sebagai sandaran iaitu maksud sabda Rasulullah, “Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan tanpa didasari perintah dari kami maka perbuatan tersebut tertolak” [HR Bukhari & Muslim]. Hadis lain maksud sabda Nabi: Sesungguhnya sebaik-baik ucapan ialah Kitab Allah, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad dan kejahatan yang paling buruk ialah perkara-perkara rekaan dan setiap bid`ah itu sesat.” [HR Muslim]

Keadaan berkenaan terjadi kerana tersalah memahami antara erti agama dan adat (budaya hidup). Rasulullah memang diutus untuk membimbing manusia dalam hal akidah dan ibadah. Dalam satu peristiwa Rasulullah pernah memberi pendapat mengenai percantuman benih-benih kurma untuk menghasilkan buah yang lebih baik. Maka ada sahabat baginda yang melaksanakannya, namun tidak menghasilkan buah seperti yang dikatakan oleh baginda Rasulullah. Hal ini menjadi bualan, mereka keliru sama ada Rasulullah memberi teori pengklonan yang betul atau salah. Akhirnya apabila sampai kepada Rasulullah, baginda mengatakan: Dalam hal agama aku lebih tahu, dal hal dunia kamu lebih tahu!

Dari situ dapatlah difahami hadis menyerupai suatu kaum dan melakukan perbuatan tanpa didasari perintah nabi adalah dalam bab-bab agama, iaitu akidah dan ibadah khusus. Pakaian yang antaranya ialah tali leher, seluar dalam, jubah, topi keledar dan lain-lain adalah bab keduniaan atau adat sesuatu bangsa. Adat budaya ini senantiasa mengalami perubahan berdasarkan zaman, iklim, geografi, pengetahuan dan sebagainya. Jika diteliti, pakaian sebenarnya menjadi salah satu identiti pengenalan sesuatu kaum. Kewujudan pelbagai kaum jelas diiktiraf oleh Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13 maksudnya: “Hai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan wanita kemudian menjadikan berbangsa-bangsa supaya kamu saling kenal-mengenal (antara satu sama lain)…..”

Termasuk dalam budaya bangsa-bangsa di dunia ini ialah hari besar bangsanya seperti Tahun Baru Cina. Bangsa Barat misalnya membentuk budaya peringatan terhadap sesuatu perkara seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Lahir, Hari Buruh dan pelbagai lagi. Oleh kerana hari-hari khusus peringatan berkenaan bukan ajaran agama (agama bukan Islam), maka itu termasuk dalam hal adat atau budaya yang Islam boleh bertoleransi asal tidak melanggar batas-batas Islam. Namun, misalnya jika sambutan Hari Kemerdekaan itu dianggap satu ibadah khusus terhadap Allah dan sebagai satu kaedah bertaqarub (lebih mendekatkan diri) kepada Allah, barulah ini ditakrif sebagai bentuk ibadah baru yang tidak diajar oleh Baginda Rasulullah. Itulah yang menjadi bid’ah dan sesat di sisi Allah.

Dibalik itu memang benar ada jenis pakaian yang dikhaskan kepada penganut agama-agama berkenaan. Misalnya pakaian para sami Buddha, Hindu, Paderi Nasrani dan rahib-rahibnya tidak boleh ditiru oleh kaum muslimin. Oleh kerana pakaian itu identiti agama mereka, maka termasuk dalam amalan agamanya. Jika ada yang meniru dan memakainya barulah tepat hadis menyerupai suatu kaum itu.
Wallahu aklam

Ahad, Mei 09, 2010

HUKUM merayakan Hari Ibu

SABAN tahun tanggal 9 Mei sudah diterima sebagai Hari Ibu seantero dunia.  Kecuali Nabi Adam dan pasangan Hawa, semua manusia lain ada ibu yang mengandungkan dan melahirkannya ke dunia.  Kelahirannya sama ada secara normal, atau melalui pembedahan.  Kalau melalui pembedahan, maka perut ibu dipotong untuk mengeluarkan bayinya. Sakitnya ibu!

Saya dilahirkan secara normal oleh perempuan bernama Hunainah bt Idris (foto). Dialah ibu saya.  Apakah hukum saya lebih banyak mengenang jasa ibu pada hari ini 9 Mei 2010?
Soal: Apa hukum memuliakan ibu pada hari ibu? Apakah di sana terdapat tegahan dari syarak untuk merayakan perayaan ini?
Jawab (Syeikh Faisal Mawlawi): Memuliakan ibu adalah dituntut sepanjang tahun sepenuhnya. Menghormati ibu, menuntut keredhaannya, berkhidmat dan berbuat apa sahaja kebaikan kepadanya adalah dituntut dengan tuntutan yang tegas (wajib) sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Perkara ini sudah diketahui umum oleh mana-mana manusia.
Cuma, orang-orang Barat menjadikan sebagai adat dan budaya dengan menetapkan satu hari dalam setahun untuk dijadikan sebagai Hari Ibu. Di mana pada hari itu anak-anak menghulurkan hadiah kepada ibu mereka untuk memuliakan dan sebagai tanda penghormatan.
Orang Islam pula, dari sudut syarak, tidak ada perayaan/hariraya melainkan Idul Fitri dan Idul Adha. Selain perayaan/hariraya ini, iaitu yang mengambil sempena sesuatu perkara, maka ia tidaklah lebih dari hanya sekadar merayakan sempena sesuatu itu sahaja. Contohnya, seperti apa yang dinamakan sebagai hari ibu, atau perayaan untuk peringatan sesuatu peristiwa tertentu.
Jika kita menganggap bahawa apa yang dinamakan oleh orang-orang barat sebagai hari ibu itu sebagai hari memuliakan/menghormati ibu hanya sebagai tambahan sahaja (kewajipan menghormati ibu telahpun siap kita laksanakan), maka di sana syarak tidak menghalangnya. Yang ditegah oleh syarak ialah jika perayaan berkenaan dianggap sebagai ‘id/perayaan dengan maksud syar’i. Begitu juga ditegah jika pembatasan menghormati dan memuliakan ibu hanya pada hari berkenaan sahaja. Jadi, jika dua perkara ini ternafi, maka tidak ada halangan untuk memuliakan atau menghormati ibu pada hari ibu.
Dilarang juga merayakan hari ibu kerana bertaklid kepada non muslim dan bertasyabbuh/menyerupai/meniru2 mereka.
Kita berpegang bahawa meniru-niru non muslim dan menyerupai mereka adalah tidak dibenarkan pada perkara-perkara yang khusus untuk mereka sahaja serta tidak mempunyai asas di dalam syariat kita. Adapun memuliakan ibu sebagaimana diketahui umum memang mempunyai asasnya di dalam syariat. Oleh itu, perkara ini tidaklah dapat dianggap sebagai meniru-niru/menyerupai non muslim yang ditegah.
Sumber: http://www.islamonline.net/livefatwa/arabic/Browse.asp?hGuestID=uQ3lCv

PENGARUH syiah mendewakan raja

ABDUL Rahman Abdullah, Pensyarah di USM dalam salah satu siri kajiannya mengatakan pengaruh aliran Syiah mendahului aliran Sunnah di Nusantara. Sekurang-kurangnya sehingga hari ini sambutan 10 Muharram menjadi rutin tahunan walaupun sekadar membuat bubur assyura. Kepada kaum Syiah Hari Assyura ialah hari kesedihan mengenang kematian curu Rasulullah dalam Peristiwa Karballa.

Prof Dr Hamka (foto) dalam siri bab ‘Dongeng Kaum Tasawuf mendewakan Raja’ mendedahkan penulis aliran tasawuf mereka-reka sejarah keturunan raja-raja di Maluku daripada salah satu Imam 12 kaum Syiah. Menurutnya, dalam penulisan ‘sejarah’ itu empat sultan di Tidore, Ternate, Bacan dan Jailolo adalah saudara kandung, berayahkan Tuan Syeikh Jaafar Shadiq! Dikatakan Syeikh Jaafar Syadiq ini datang ke Maluku pada 10 Muharram 471 Hijriyah (1080 Masehi) dan berkahwin dengan seorang puteri dari kahyangan (berketurunan dewa-dewa) bernama Puteri Nurush Shafaa.

Berdasarkan sejarah, Imam Syeikh Jaafar Syadiq ialah putera Syeikh Muhammad al-Baqir (Imam Syiah ke-5), putera Ali Asyghar Zainul Abidin (Imam Syiah ke-4), putera Hassan bin Ali Abi Talib. Ali Abi Talib itu merupakan Sahabat Rasulullah, menantu baginda Rasulullah dan Khalifah keempat selepas kewafatan baginda Nabi. Dan kepada kaum Syiah Saiyyidina Ali merupakan Imam pertama. Imam Syeikh Jaafar Syadiq pula sebenarnya wafat pada 148 Hijriyah (765 Masehi) di Madinah dan makamnya ada di Baqi.

Maka jelas penulis sejarah kesultanan Maluku secara sedar menipu pembaca dan rakyat sana mengatakan raja-raja di empat negeri itu berjalur keturunan jelas daripada Rasulullah dan menggunakan nasab Imam Syiah. Buya Hamka menurunkan catatan silsilah Raja-raja Maluku seperti beikut: Pertama, Sayyidina awal wal akhir zaman, Nabiyuna Muhammad. Kedua, Siti Fatimah Az-Zahrah. Ketiga, Sayid Imanul Hussein. Keempat, Sayih Zainul ‘Abidin. Kelima, Sayyidina Ali. Keenam, Sayyid Muhammad al-Baqir dan ketujuh Sayyidina Syeikh Jaafar Shadiq.

Kepercayaan pra-Islam iaitu kewujudan alam dewa telah disatukan dengan ajaran Syiah untuk memerangkap ketaatan rakyat terhadap raja. Pada zaman feudal rakyat masih percayakan ajaran kuno dan tasawuf Insan Kamil oleh Syeikh Abdulkadir Jilani. Maka tujuan penulis mendakwa Raja-raja Maluku berketurunan Nabi Muhammad tentulah untuk mendewakan raja-raja berkenaan agar dipandang mulia dan diberi ketaatan sepenuhnya sebagai keturunan manusia agung akhir zaman. Oleh kerana pengaruh aliran Syiah yang kuat maka tentulah penulis menyusur-galurkan silsilah raja-raja itu melalui salah satu Imam 12 Syiah itu.

Bagi mendewakan keturunan Sunan (raja) Kudus di Tanah Jawa, Sunan Kudus pertama sendiri didakwa oleh penulis aliran Syiah sebagai Imam ke-12 Syiah iaitu Syeikh Jaafar Shadiq. Mula-mula disebut berasal daripada Nabi Muhammad, kedua Ali suami Fatimah binti Nabi Muhammad, ketiga sayyid Hussein, keempat Zainul Abidin, kelima Zainul Alim, keenam Zaini al-Kubra, ketujuh Zaini al-Hussein, kelapan Maulana Muhammad Dumadal Kubra, kesembilan Ibrahim Asmarakandi, ke-10 Raja Pandita, ke-11 Usman Haji dank e-12 ialah Syeikh Jaafar Shadiq.

Dalam ajaran kaum Syiah, imam-imam mereka merupakan titisan Nur Muhammad. Konsep Nur Muhammad yang merupakan segala-gala atau kemuncak dalam penciptaan oleh Tuhan juga adalah sebagian ajaran kaum tasawuf. Demikianlah penulis-penulis kaum tasawuf sengaja mereka-reka jalan silsilah Raja-raja Melayu Nusantara berdasarkan prinsip aliran Syiah dan tasawuf untuk mendewa-dewakan raja.

Dengan di Indonesia raja-raja kian ruyup kerana tidak dilembagakan oleh undang-undang, dan di Malaysia raja-rajanya menjadi Raja Berperlembagaan, kepercayaan kuno dan salah yang dipaksakan kepada rakyat kian luntur. Maka ketaatan dan penghormatan rakyat kepada raja-raja dan keturunannya juga sudah ditapis supaya tidak menyalahi ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi.

Selasa, Mei 04, 2010

USAP muka bukan Sunah Nabi

Persoalan Agama: Sapu muka selepas solat bukan sunnah Rasulullah
(Berita Minggu, 2 Mei 2010)
Amalan hanya ikut pendapat ulama mazhab Shafie

Soalan: SAYA pernah mendengar pelbagai pandangan mengenai menyapu muka sesudah memberi salam. Adakah ia diperintah atau sebaliknya? Boleh ustaz jelaskan dan berikan sumber hadis atau Quran.
Rohana, Ampang Selangor.

Ustaz Zahazan Mohamed menjawab: Saya suka memetik buku yang dikarang dan disusun Zaharuddin Abdul Ramhan iaitu Formula Solat Sempurna.

Imam al-Bukhari meletakkan tajuk yang memuatkan sebuah hadis berkaitan menyapu dahi dan hidung dalam ‘Bab sesiapa tidak menyapu dahinya dan hidungnya sehingga tamat sembahyang.’

Hadisnya iaitu daripada Abu Said al-Khudri berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW sujud di atas air dan tanah sehingga dapat dilihat debu dan kesan tanah di dahinya.” Riwayat al-Bukhari (dengan Syarah Fath al-Bari)
Beberapa kefahaman yang dapat diambil daripada hadis itu ialah:
• Nabi Muhammad SAW tidak menyapu dahi ketika solat walaupun dahi Baginda terdapat kesan tanah dan air.
• Nabi Muhammad SAW juga tidak menyapu dahi Baginda selepas solat dan kalaulah ada ihtimal selepas solat, maka ia kerana membuang kesan tanah dan air dan seumpamanya yang ada di dahi.
Oleh itu, keperluan menyapu dahi juga bukan daripada perbuatan solat yang mesti dibuat, malah yang sahihnya Nabi Muhammad SAW tidak melakukannya.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Syafi’I pula mengatakan, jika Nabi SAW melakukannya pun, maka ia bertindak menyapu habuk, debu dan kesan tanah di dahi Baginda yang termasuk dalam Bab Jibilliyah (perkara semula jadi kemanusiaan) dan bukan amalan untuk merapatkan diri kepada Allah SWT. (Fath al-Bari)
Namun, menurut ulama dalam mazhab Shafie, perbuatan menyapu dahi selepas solat digalakkan berdasarkan hadis:
“Rasulullah SAW apabila selesai daripada solatnya, maka Nabi menyapu dahinya dengan tangan kanannya sambil berdoa, ‘Ashadua an la ilaha illallah ar Rahmanar Rahiim. Allahumma azhib ‘annil hammi wal aza’ (Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Ya Allah jauhkan daripadaku kesakitan dan kedukacitaan), ” (Riwayat al-Tabarani).

Al-Haitami memberikan ulasannya mengenai hadis pertama dengan katanya: “Ia diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Bazzar dengan sanad yang ada Zaid al-‘Ama, beberapa ulama men’thiqah’inya (dipercayai) dan dianggap daif (lemah) oleh majoriti atau ramai orang.”

Baki perawi al-Tabarani pula dipercayai dan sebahagian yang lain diperdebatkan (Majma al-Zawaid).
Satu lagi hujah yang digunakan ialah (daripada Qatadah): “Sesungguhnya Baginda sudah menyapu dahinya apabila tamat daripada solat sebelum memberi salam.” (Musannaf Abd Razzaq).

Menurut ulama Syafie seperti dinyatakan dalam kitab I’anah al-Talibin walaupun hadis ini daif (lemah), ia masih digalakkan kerana termasuk dalam kategori fadhail al-‘amal iaitu kelebihan amalan.
Namun, amalan ini tidak ditemui dalam kitab muktamad Mazhab Shafie seperti al-Umm, Rawdah al-Talibin, Tuhfatul Muhtaj, Nihayatul Muhtaj dan Mughni Muhtaj.

Justeru, menisbahkan pendapat untuk menyapu muka selepas sembahyang kepada mazhab Shafie masih boleh dipertikaikan kerana ia mungkin pendapat peribadi beberapa ulama bermazhab Shafie dan bukan pendapat mazhab. Wallahua’lam

Sabtu, Mei 01, 2010

DONGENG tasauf mendewakan raja

BUYA Hamka, ilmuan Nusantara telah mendedahkan mengenai ‘Dongeng Kaum Tasawuf mendewakan raja (sebanyak Sembilan siri) dalam bukunya, Dari Perbendaharaan Lama (Jakarta, 1982). Hamka telah mendedahkan pengaruh kitab Al Insan Al Kamil karya Syeikh Abdulkarim Jilani (mati 1410M) dalam penulisan salasilah raja-raja Nusantara: Melaka, Bugis, Minangkabau dan Maluku. Hamka secara tegas mengatakan bahawa penulis buku Sejarah Melayu (Sulatus Salatin), Tuhfat al-Nafiz (Taman Raja-raja), Cindur Mato (Minangkabau) dan Sejarah (Tidore, Ternate, Bacan dan Jailolo) sengaja memasukkan cerita-cerita dalam kitab Al Insan Al Kamil untuk mendewa-dewakan raja.
Semua karya salasilah raja-raja Melayu Nusantara direka untuk membina kesucian peribadi raja. Tujuannya supaya rakyat sangat patuh kerana raja-raja mereka yang ‘sangat bertuah’. Keturunan mereka daripada raja besar seperti Raja Iskandar Zulkarnain, Nabi Sulaiman, Raja Suran, disabitkan pula dengan Nabi Khidir. Ada pula nenek moyang raja Melayu yang hidup dalam alam luar biasa seperti dalam laut dan kayangan di angkasa sana! Hamka mendedahkan bahawa penulis sejarah itu menggunakan ajaran tasauf yang jauh terpesong daripada ajaran Islam.
Dalam Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang, karya yang menceritakan pemerintahan raja-raja Melayu di Melaka. Supaya rakyat taat tanpa berbelah bagi kepada raja Melaka, dikisahkan nenek moyang baginda raja-raja Melaka berasal daripada Raja Iskandar Zulkarnain, raja besar dari Mekadonia. Raja Iskandar berkahwin dengan anak Raja Hindi (India) dan mendapat anak lelaki bernama Aristun Syah. Daripada keturunan Aristun Syah ini muncul Raja Suran yang masuk dalam laut, berkahwin dengan puteri dalam laut. Kemudian anak-anak lelaki Raja Suran di dalam laut turun di Gunung Mahameru Bukit Seguntang di Palembang. Kemunculan anak-anak raja ini ditandai dengan bertukarnya sawah padi menjadi emas dan perak! Daripada salah seorang anak raja itu, Bicitram Syah yang digelar Sang Sapurba. Daripada Sang Sapurba itulah lahir raja-raja Melaka!
Hamka tidak berselindung mendedahkan bahawa kitab tasauf Insan Kamil karangan Sheikh Abdulkarim Jilani menjadi panduan pengarang mendewa-dewakan raja. Dalam kitab itu, Syeikh Abdulkarim Jilani mengatakan setiap tujuh bumi ada kehidupan masyarakat dan di dasar lautan pun ada masyarakatnya. Maka pengarang pun berdongeng bahawa Raja Suran masuk ke laut dan berkahwin di sana sehingga mendapat tiga anak lelaki.
Dalam kalangan ahli tasauf (sufi) nama Nabi Khidir sangat popular. Oleh itu dikatakan pula yang menikahkan Raja Iskandar Zulkarnaen dengan puteri Raja Kida Hindi ialah Nabi Khidir, walhal nama Nabi Khidir tidak ada pun dalam al-Quran.
Dalam sejarah raja-raja Minangkabau pula digambarkan raja yang awal bukan bagai manusia (adalah berdiri sendirinya, sama tajalli dengan alam). Gambaran raja bagai Tuhan ini diambil daripada teks Al Insan al Kamil. Konsep Insan Kamil ajaran kaum tasauf ialah: Insan Kamil adalah khalifah daripada Allah. Padanyalah tajalli ketuhanan. Dan di setiap zaman ada saja insan tempat Allah mentajalli dirinya (ms 232).
Pengkritik sastera mengatakan pengarang salasilah sengaja membuat cerita dongeng untuk membentuk ‘kebesaran raja’ supaya raja (walaupun fizikalnya manusia) ditaati rakyat tanpa soal jawab. Dalam budaya Melayu: Pantang Melayu derhaka kepada rajanya. Lihat dalam Sejarah Melayu digambarkan Bendahara Seri Maharaja menerima saja hukuman mati walaupun sedar dirinya terfitnah.
Mesej Hamka jelas, kaum tasauf yang dikatakan golongan paling awal menyebarkan Islam di Nusantara telah membentuk persepsi yang salah terhadap raja atau sultan. Oleh kerana sumbernya daripada kitab ‘agama tasauf’ maka rakyat pun menerima dengan ‘benar’ cerita-cerita kehebatan asal keturunan raja mereka. Maka patut benar: Pantang Melayu derhaka. Lihat hikayat Laksamana Bentan, apabila raja dibunuh oleh pembesarnya sendiri, maka sumpahannya dikatakan benar walaupun tidak saintifik langsung.