Pengikut

Khamis, Ogos 28, 2008

JEJAK merdeka (i)

Hari kemerdekaan Indonesia 17 Ogos, Singapura 16 Ogos dan Malaysia 31 Ogos! Jika negara tidak dijajah oleh bangsa atau negara luar, maka tidak ada hari kemerdekaannya. Malah negara kuasa besar Amerika Syarikat juga dahulunya tanah jajahan British. Negara kita juga merdeka daripada British. Jika Indonesia berperang dengan Belanda untuk merdeka, begitu juga Amerika berperang dengan British, Malaysia ditakdir tidak menempuh medan perang untuk menurunkan bendera British.

Tidak ada kuasa penjajah yang baik hati menyerahkan kuasa pentadbiran negara dengan percuma! British mula menjajah di Pulau Pinang pada tahun 1786 kemudian merebak sehingga ke seluruh wilayah yang hari ini bernama Malaysia. Penjajah ini datang bukan untuk memberi khidmat bakti membimbing penduduk tempatan, tetapi datang dari jauh untuk mengambil kekayaan dan menyebarkan kebudayaannya.

Maka apabila difahami negara merdeka tidak dengan cara berperang, bukan bererti British penjajah yang budiman. Perjanjian London 1956 yang diterima oleh Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakannya jelas membawa maksud segala kekayaan dan kepentingan British tidak akan terjejas sekalipun selepas 31 Ogos 1957 mereka tidak menguasai pentadbiran. Kalau pemimpin kita dahulu tidak mahu menerima syarat itu, maka tidak ada harapan merdeka secara rundingan sahaja.

Nah, ertinya kemerdekaan ini dahulu bersyarat. Boleh merdeka, asalkan kepentingan yang membawa maksud kekayaan milik kerajaan, syarikat dan orang perseorangan dari British tidak diusik. Diingatkan sekali lagi, British datang bukan untuk menabur bakti mulia.

Kita merdeka, dikatakan bebas dan boleh menentukan apa yang kita mahukan. Untuk menambah nikmat dan meriah merdeka, digambarkan baiknya negara merdeka dan buruknya dalam penjajahan British. Kita merdeka kerana bencikan British. Eh, tentulah begitu sebab kalau cintakan British tentu kita tidak mahu British pulang ke Eropah sana.

Jika kita bencikan British, maka sepatutnya apa yang dibawa oleh British dalam negara ini dibuang saja ke dalam longkang. Namun tidak begitu. Kita meneruskan sistem yang diperkenalkan oleh British sekalipun kita berkata dalam negara merdeka, kita bebas memilih dan menentukan hala negara. Sebenarnya kita bebas untuk meneruskan legasi British!

Negara ini meneruskan banyak legasi British seperti dalam dasar luar negara yang sangat memihak kepada Barat waktu itu. Sistem pendidikan, undang-undang dan kebudayaan dari British tidak semudah itu untuk dibuang seperti membuang bendera Union Jack. Oleh kerana negara merdeka masih muda dan tidak mampu berdikari maka meneruskan sistem tinggalan penjajah adalah pilihan utama. Atau sebenarnya dalam kerangka pemikiran pemimpin waktu itu tidak ternampak model lain, selain apa yang diajar oleh British.


Namun kita juga wajib percaya sepanjang 51 tahun merdeka perubahan telah berlaku, daripada sebuah negara kecil berjiwa kecil kepada negara kecil berjiwa besar. Memang Malaysia tidak boleh menjadi kuasa besar seperti China dan Russia, tetapi menentukan pendirian yang jelas sudah dikira berjiwa besar. Semua bergantung kepada siapa yang memimpin dan sejauh mana pemimpin itu sanggup menjerit di persada dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan