Pengikut

Jumaat, April 04, 2008

BUKAN mudah kerja guru

DUNIA pekerjaan yang sering dianggap mudah dan cuba diteroka oleh banyak pihak ialah perguruan. Hal ini mungkin kerana mewariskan ilmu adalah melalui proses berguru dan digurui. Dalam dunia kehidupan sosial, ibu dan bapa akan mengajar anak-anak perihal budaya dan kelangsungan hidup. Kerana dekatnya ilmu dengan keguruan, maka seolah-olah dunia keguruan adalah hak sejagat yang tiada batas sempadan.
Sebagaimana secara mudah seorang tokoh korporat pergi ke laut dan memancing ikan, maka umumnya secara mudah sesiapa saja boleh menjadi guru dan mengajarkan ilmunya kepada sesiapa juga. Percayakah jika dikatakan mengajarkan sesuatu ilmu kepada orang sebenarnya lebih sukar daripada membina sebatang jalan raya atau membina sebuah jambatan.

Seorang jurutera telah menyiapkan segala bahan untuk membina sebuah jambatan. Dengan bantuan jentera berat, jentera ringan serta sejumlah buruh, sebuah jambatan dapat disiapkan. Kesempurnaan jambatan ini dapat disahkan apabila jambatan ini digunakan dan tidak runtuh atau retak dalam tempoh tertentu, katakan saja dalam jaminan setahun. Jarang benar sebuah jambatan besi atau batu boleh runtuh hanya enam bulan sesudah siapnya.

Seorang guru, katakan guru fardu ain telah menyiapkan semua bahan pengajarannya hendak mengajarkan amalan solat kepada 10 orang remaja 12 tahun yang sebelumnya tidak mempunyai apa-apa asas pengetahuan berkenaan solat. Guru ini diberi tempoh mendedahkan amalan solat kepada semua remaja ini dalam masa tiga bulan. Objektifnya, setelah tamat tempoh pengajian itu semua remaja ini dapat menunaikan solat sebagaimana muslim yang lain.

Setelah tamat tempoh tiga bulan: Jika semua 10 remaja berkenaan tahu dan faham semua bacaan dan rukun solat belum dikira guru berkenaan berjaya. Guru berkenaan disahkan berjaya mengajarkan solat kepada 10 remaja berkenaan setelah semua remaja berkenaan menunaikan solat setiap waktu dengan sah. Mereka tahu dan menyempurnakan amalan solat ketika bersafar, sakit, sibuk dan dalam ketakutan. Pendek kata, dalam apa juga keadaan 10 remaja berkenaan tetap teguh menunaikan solat yang sah. Inilah guru yang berjaya.

Bagaimana sekiranya ada seorang saja yang gagal menunaikan solat atau ada antara mereka yang dalam keadaan seperti sakit di hospital kemudian tidak menunaikan solat? Jawabannya kembali kepada objektif guru berkenaan sebelum memulakan sesi pengajaran solat kepada 10 remaja berkenaan. Oleh itu jawaban kepada persoalan ada muridnya yang tidak menunaikan solat kerana sakit atau dalam keadaan sibuk, maka guru fardu ain berkenaan gagal!

Oleh itu jangan anggap mudah kerja mengajarkan sesuatu ilmu kepada khalayaknya. Kalau sekadar bercakap di hadapan pembesar suara seperti di masjid dan surau antara waktu maghrib dan isyak, itu bukan guru dan khalayak yang mendengar bicara ustaz itu pula bukan berguru. Wacana itu hanya mengisi masa santai. Maaf, itu bukan proses pengajaran dan pemelajaran. Keadaan itu tersasar jauh daripada profesionalisme guru yang mengajarkan ilmu.

Antara prinsip proses pengajaran dan pemelajaran ialah:
Pertama: Ada sukatan tertentu untuk disiapkan dalam masa yang ditetapkan, misalnya enam bulan.
Kedua: Ada kaedah pengajaran yang menuntut guru memahami psikologi, pengetahuan sedia ada khalayak dan kaedah menyampaikan ilmu yang disesuaikan kepada khalayaknya.
Ketiga: Ada kaedah menguji sesuatu ilmu itu sudah berjaya difahami oleh khalayaknya atau tidak.

Lantaran itulah kerajaan menetapkan standard guru dengan latihan ikhtisas tertentu. Guru yang mengajarkan apa juga ilmu kepada khalayak mempunyai prinsip khas dan profesionalisme yang kukuh, bukan asal bercakap kepada khalayak seperti para ustaz di masjid.

Oleh itu jangan terkejut jika kuliah maghrib di surau dan masjid kelihatan hambar. Ini tidak lain kerana pengajarnya tidak berdisiplin keguruan. Mereka menganggap mudah teori menyampaikan ilmu. Teori mudahnya ialah “saya sudah sampaikan ilmu, kamu hendak amalkan atau tidak, terpulanglah”. Kerana teori inilah kebanyakan ustaz yang konon mengajar sekali seminggu di masjid tidak pernah tamat kitab yang dibicarakannya.

Lebih malang apabila yang dianggap tahu tetapi mengajar secara membaca kitab saja. Selepas membaca dua tiga baris ayat, dia akan mengulas isinya. Kemudian membaca lagi dan mengulas semula. Ini memperbodohkan khalayak yang datang untuk mendapat ilmu yang baru. Ini bukan zamannya mengajar secara begitu. Dan ini bukan generasi manusianya yang boleh diajar secara lawak begitu.

Yang hadir di masjid dan surau telah mempunyai pelbagai disiplin ilmu, ada sijil, diploma dan ijazah. Walaupun mereka tidak ada ijazah dalam ‘agama’ tetapi cara mereka mendapat ilmu yang tercatat dalam sijilnya telah menempuh pelbagai kaedah termasuk pembentangan tugasan, perdebatan, rujukan dan kajian di lapangan. Apabila mereka hendak belajar agama di masjid, caranya seperti cara mengajar main guli! Mengeciwakan!

Sekali lagi dunia agama sedang dicabar oleh sekitaran, dan menuntut perubahan supaya terus relevan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan