Pengikut

Khamis, Januari 24, 2008

SUSAHNYA mahu solat

MENGAPA mesti seorang muslim menunaikan solat? Pertanyaan lain yang sama maksud mungkin ialah, apa salahnya muslim tidak bersolat? Pertanyaan ini bukan sahaja ditanya oleh orang bukan Islam, malah di kalangan muslim pun muncul persoalan ini. Baguslah bertanya, kerana bertanya menandakan keperihatinan terhadap sesuatu.

Solat adalah tanda seorang itu muslim atau sebaliknya. Hal ini sebagai satu mercu tanda akidah yang disandangnya. Sama seperti pengenalan sesuatu bangsa dilihat pada bahasanya, sehingga kekal ungkapan ‘bahasa jiwa bangsa’. Bahasa menggambarkan identiti bangsa, seperti juga solat indentiti muslim di mana-mana juga.

Solat juga pelengkap akidah muslim. Setelah pengakuan rububiyah, mengakui Allah sebagai penguasa segala-galanya yang tidak dapat diingkari atau disyirikkan dengan apa-apa, maka uluhiyahnya ialah membuktikan kepatuhannya dengan melakukan ibadah penyembahan kepada-Nya. Justeru, solat tidak dapat dipisahkan dengan kesempurnaan akidah. Lantaran itu di mana-mana juga para pendakwah akan menekankan amalan solat kepada khalayak setelah penekanan terhadap tauhid rububiyah.

Soalnya mengapa tampak di mana-mana sebagian muslim bagai tidak perduli mengenai solat. Dalam temasya perhimpunan banyak manusia yang melanggar beberapa waktu solat, jarang dimaklumkan mengenai waktu-waktu solat dan di mana ibadah itu mahu dilaksanakan. Mengurus pertualangan atau musafir ke tempat jauh, soal solat bukan dalam agenda utama, malah makan dan tempat tidur sentiasa menjadi perhatian. Di hospital yang pesakit sudah di pintu maut juga terus tidak perduli solat, malah ada yang berfatwa sendiri bolehnya melupakan atau menangguhkan solat kerana sakit! Kaum keluarga pun ‘sporting’ tidak bertanya tentang solat si pesakit. Aduhai…!

Saya ada pengalaman menemu bual pelajar-pelajar menengah yang tidak bersolat. Antara alasan mereka ialah: Tidak sempat, bangun lewat, pakaian kotor, tidak tahu melaksanakannya, tidak hafal bacaannya, tidak tahu nak baca niat, tidak hafal bacaan qunut dan malas!

Bagaimana mahu mengatasi masalah ini? Hemat saya ialah menyelesai masalah ini sangat berkait dengan punca solat tidak dilaksanakan oleh seseorang. Misal, jika alasannya tidak tahu bacaan fatihah, tentulah kita mengajarkan bacaan fatihahnya. Kalau alasan meninggalkan solat kerana pakaian kotor, wajib pula diterangkan jenis kekotoran yang tidak boleh terkena diri atau pakaian semasa solat. Barangkali beres begitu. Mungkin ya, atau masih perlu lanjutan.

Hemat saya lagi, akidah seseorang muslim mestilah jelas dan kukuh dalam menangani masalah ini. Ini hal pembuktian ketauhidan kepada Allah, maka hal tauhid mesti diselesaikan. Mungkin seseorang tidak solat kerana merasakan sudah selesa, mewah dan berakhlak baik. Maka jawabnya yang sesuai mungkin, menunaikan solat sebagai tanda terima kasih kepada Yang Maha Kuasa pemberi nikmat kekayaan itu.

Mungkin seseorang tidak bersolat kerana keciwa, gagal dan menderita miskin. Maka pendekatannya mungkin memberitahu di mana-mana juga orang gagal dan menderita, kemudian mati. Mungkin jiwanya tersentuh jika digambarkan kekayaan Allah yang akan dinikmatinya di alam akhirat kerana menjadi manusia taat sekalipun semasa hidup tidak mewah seperti jiran-jirannya.

Lagi, pendakwah mestilah memberi jalan dengan 1001 sebab supaya khalayak muslim melihat solat sebagai mudah saja dilaksanakan. Solat juga harus dilihat sebagai kembalinya manusia muslim kepada fitrah kehidupan. Solat akan meredakan kekacauan dalam perjalanan hidup.

Sebaik-baik penjelasan adalah solat sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. dan dalam alquran. Kita diajak menjadi jujur bahawa melafazkan niat dan membayangkan semua rukun solat dalam takbir pertama bukanlah daripada sunah Nabi. Hal-hal yang bukan sunah Nabi tetapi menjadi beban kepada muslim menunaikan solat wajar diasingkan ke tepi. Seperti juga menekankan bacaan qunut subuh, sedangkan menurut hukum mazhab hanyalah sunat. Perkara hukum sunat dijadikan alasan tidak solat, satu pengajaran kurang tepat.

Banyak yang beranggapan solat jamak hanya untuk para musafir, sehingga melupai tujuan solat jamak. Wajib benar dipecahkan kebuntuan minda itu dengan memberi contoh para pesakit juga mendapat hak menjamak solat. Begitu juga kaedah bertayamum yang selama ini hanya tercatat dalam buku dan bayangan minda. Set minda ini wajib dirungkai, bahawa tayamum adalah juga hak pesakit dan musafir selain kerana masalah ketiadaan air. Dan cara bertayamum yang dicontohkan oleh Nabi dengan menepuk telapak tangan pada dinding, meniup debu di telapak tangan dan kemudian menyapu ke muka dan dua tangan hingga ke pergelangan saja. Ya, mudah sekali.

Tidak kurang memberi alasan takut tertinggal kenderaan, maka solat dinyahkan. Surah al Baqarah: 239 memberi kelonggaran bersolat dalam keadaan seadanya kerana ketakutan ini. Takut apa? Penulis Tafsir al Azhar, Buya Hamka menafsir dengan pengalaman peribadinya semasa menaiki kereta api di Perancis. Kerana takut ketinggalan kereta api, maka dia terus duduk saja dalam gerabak, lalu bertayamum dengan menepuk dinding gerabak, kemudian solat dalam keadaan duduk. Dia melakukan semua pergerakan solat seadanya sebagai penumpang kereta api. Nah beres begitu!

Apa pun, harap segala kegiatan mendakwahi muslim supaya solat masih dalam orbit nas-nas alquran dan sunah Nabi. Anjuran dibenarkan mengkadha semua solat dan solat menghormati waktu yang tiada dalam aturan sunah bukanlah keutamaan, malah hal itu boleh menyebabkan pengabaian solat atau memandang enteng saja.

Wallahu’aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan