Pengikut

Jumaat, Mei 06, 2011

MASJID al-Mujahidin pekan Bagan Terap


Pekan Bagan Terap merupakan satu kawasan di daerah Sabak Bernam Selangor.  Terdapat sebuah masjid yang merupakan pusat kegiatan agama Islam dan komuniti masyarakat setempat.  Masjid al-Mujahidin telah dibuka dengan rasminya oleh Tuanku Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Haj ibni almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah al-Haj Atiqillah pada hari Jumaat 10 Syaaban 1412H bersamaan 14 Februari 1992.


Masjid al-Mujahidin boleh menampung hampir 1000 jemaah pada satu masa menjadi tumpuan umat Islam melakukan solat berjamaah setiap solat fardu.  Jumlah jemaah solat Jumaat dan sewaktu solat sunat Tarawih menjadi berpuluh-puluh kali ganda berbanding solat fardu lima waktu.

Menurut Setiausaha masjid En Khasmawai bin Saidon, sumber kewangan masjid yang utama ialah daripada sumbangan orang ramai.  Berdasarkan rekod kutipan bulanan, sumbangan ini melebihi RM1000.00 pada setiap bulan, selain mempunyai beberapa ekar tanah wakaf yang ditanam kelapa sawit.

Masjid ini mencatat sejarahnya sendiri pada bulan Ramadan tahun lepas (2010), dikunjungi oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj ibn almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Haj.  Baginda telah mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat jelata dan menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin.

Dari sudut pentadbiran, Masjid al-Mujahidin diterajui oleh Ustaz Ahmad bin Abdul selaku Pemangku Nadzir untuk sesi 2011/12.



Jumaat, April 29, 2011

MENYESAL kerna menjadi manusia!


AL-QURAN terkandung sejarah zaman lampau, juga gambaran masa depan di negeri akhirat kelak.  Untuk apa semua ini kepada umat Islam?  Tidak lain sebagai peringatan daripada sejarah dan ancaman nasib masa depan!

Mari kita perhatikan gambaran masa depan yang dinyatakan oleh Allah.  Gambaran ini suatu yang pasti berlaku dan satu ancaman paling besar kepada setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Maksud surah al-Hijr ayat 2:  Orang-orang kafir itu seringkali (kelak di akhirat) menginginkan sekiranya mereka dahulu (sewaktu di dunia) menjadi muslim.

Maksud surah  an-Naba ayat 40:  sesungguhnya Kami telah memberi peringatan kepada kamu (orang kafir) azab yanag dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua-dua tangannya, dan orang kafir berkata  “Alangkah baiknya andai dahulu (sewaktu di dunia) aku menjadi tanah (sahaja).”

Maksud surah as-sajadah ayat 12: Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhannya (mereka merayu) “Ya Tuhan kami, (sekarang di akhirat) kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah (ke dunia) nescaya kami akan mengerjakan kebajikan.  Sesungguhnya kami sekarang telah yakin.”

Allah memaparkan imej manusia pada masa depan di akhirat semata-mata sebagai ancaman kepada kita yang membaca al-Quran, yang beriman pasti berlakunya hari akhirat sebagai medan pembalasan baik dan buruk.  Tentulah Allah mahukan mereka yang muslim (beriman kepada Allah dan rasul-Nya) bersiap sedia sewaktu di dunia ini lagi supaya tidak menjadi seperti orang-orang kafir dan ahli maksiat.  Orang-orang kafir dan ahli maksiat sebenarnya telah mendapat peringatan di dunia ini mengenai zaman pembalasan di akhirat, tetapi mereka memperolok-olok adanya zaman itu, atau mereka merasakan zaman pembalasan itu sebagai tidak sungguh-sungguh!

Lihatlah penyesalan mereka: Kalaulah mereka dahulu (di dunia) menjadi muslim.  Alanglah baiknya (di dunia) dahulu kami dijadikan tanah saja (bukan manusia yang dipertanggungjawabkan). Ya Tuhan, kembalikan kami ke dunia untuk melakukan kebajikan (kerja-kerja baik atau tidak melakukan dosa)!

Namun begitulah, al-Quran sudah beratus-ratus tahun memberi peringatan kepada manusia, khasnya yang muslim mengenai zaman pembalasan dan penyesalan orang-orang yang ingkar.  Sekalipun jelas ancaman dan nasihat ini namun  banyak yang muslim pun bagai tidak ada bedanya dengan mereka yang nyata ingkar atau kafir terhadap Allah.

Jika diperhalusi, nyata Allah juga menyatakan mereka yang berfikir untuk beriman dan bersedia mengenai zaman pembalasan itu merupakan golongan minoriti!  Ya, beruntunglah jika kita berada dalam kelompok minoriti yang akan mendapat sebaik-baik kelegaan di akhirat sana.

Isnin, April 25, 2011

MENGAPA melantangkan suara berdoa?

DALAM banyak situasi kita disajikan dengan program bacaan doa yang lantang dengan suara yang terpancar keluar bangunan, didengar oleh sekian banyak manusia. Begitukah caranya Allah mengatur hamba-Nya berdoa?  Doa itu ialah ibadah khusus terhadap Allah.  Lihatlah apa panduan berdoa dalam al-Quran, surah al-Araf ayat 55 dan 56. maksudnya:

"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut.  Sungguh Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.  

"Dan janganlah kamu berbuat kerusakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik.  Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap.  Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan."

Apa yang banyak berlaku, doa sudah seperti upacara membaca sajak atau cerita. Tidak ada langsung rasa hiba dan penuh harap melainkan seperti suara pemaksaan. Tidak ada pelafazan doa yang menggambarkan rasa takut terhadap Allah.  Mungkin saja sebab doa hanya sebagai satu bacaan rasmi yang tidak diketahui apa-apa isinya.  Akhirnya doa jadi kaku dan tidak memberi apa-apa perasaan kepada si pelafaz.

Maka, apabila kita padankan amalan kita dengan al-Quran dan sunah nabi, terasa janggalnya.  Beruntunglah kepada yang sedar dan mahu kembali ke jalan Allah. Eloklah kita berdoa sebagai hubungan peribadi dengan Allah, yang tidak ditunjukkan kepada orang ramai. Dengan demikian lafaz doa menjadi perlahan, penuh harap dan jiwa yang takut kepada Allah. 

wallahu'aklam

Jumaat, April 22, 2011

PESANAN Imam Masjidil Haram di Malaysia


KEPADA mereka yang pernah solat di Masjidil Haram pasti tidak melupakan suara imam solat yang agak sengau.  Beliau adalah Imam As Sudais yang telah berkunjung ke Malaysia.  Semua pihak menghormati ketokohan beliau dengan memberikan ruang berkhutbah dan memberi ceramah.  Kepada segelintir mereka yang mabuk dengan istilah 'wahabi' tentu perasaan hatinya luka dengan sambutan terhadap imam ini.  Alahai, jelasnya isu wahabi hanya cakap-cakap kedai kopi untuk menonjolkan diri, supaya ada orang memandang yang berkata itu sebagai orang yang membela agama. kononnya!


Imam Besar Masjidil Haram Gesa Umat Islam Kekalkan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais menggesa umat Islam agar berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah demi memastikan mereka kekal bersatu padu.

Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian. "Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah S.A.W. mengenai pentingnya berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam)," katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.

Khutbah beliau bertajuk "Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa" diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia Datuk Mahamud Abdul. Sheikh Abdul Rahman turut berpesan kepada umat Islam di negara ini supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Imam itu berkata, perpaduan juga boleh dicapai menerusi peningkatan ilmu pengetahuan serta memahami Al-Quran serta hadis Rasulullah S.A.W. "Dengan itu, saya menggalakkan anda semua supaya meningkatkan penguasaan Bahasa Arab kerana kesatuan umat ini satu tiangnya iaitu menguasai Bahasa Arab itu sendiri," katanya.

Katanya, umat Islam harus mengakui mereka adalah umat pertengahan di dunia iaitu bersifat sederhana dalam kehidupan seharian. "Oleh itu, janganlah kita menjadi pelampau dan jangan pula merendah diri sampai kita ditindas oleh bangsa lain," katanya.

Beliau menambah, umat Islam juga harus mempunyai keseimbangan dari segi ilmu dan amal kerana kedua-duanya saling melengkapi. Sheikh Abdul Rahman yang sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Malaysia turut mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya petang ini. -BERNAMA

Isnin, April 18, 2011

SUKARnya menemukan syahadah dalam kehidupan hari-hari


ENTAH  berapa banyak kali kita mendengar bahawa akidah merupakan pintu masuk ke dalam Islam. Apabila seseorang telah melalui pintu masuk Islam ini, sepatutnya berlaku perubahan hidup seseorang, berbeda sewaktu belum memasuki pintu ini.  Sebab itu ada kita mendengar seseorang yang telah memeluk Islam berkata bahawa hidupnya berbeda berbanding sewaktu sebelum menganut Islam.

 foto hanya hiasan

Apabila seseorang memeluk Islam, dia akan melafazkan (sebenarnya berikrar) bahawa Tidak ada Tuhan melainkan Allah (laa ilaha illallaah), dan tatkala sedang nazak akan berakhirnya hidup dia juga wajib mengikrarkan ayat yang sama seperti dia mula memeluk Islam dahulu.  Kisah seseorang memeluk Islam mengikrarkan syahadah bukan hanya untuk seseorang yang asalnya bukan Islam, malah sesiapa juga yang sedar mengapa dirinya berada dalam Islam, dia wajib terlebih dahulu mengikrarkan syahadah!

Dalam tempoh terdekat ini telah dua kali saya berkesempatan bercakap dan berdialog dengan remaja untuk saya menduga apakah erti  laa ilaaha illallaah dan apakah kaitan dengan kehidupan sehari-harian, misalnya pakaian seseorang yang kemas atau selekeh.  Ya, kira-kira separuh daripada mereka tahu erti lafaz syahadah dalam Bahasa Melayu, tetapi semua tidak tahu apa-apa kaitan syahadah itu dalam kehidupan sehari-harian, termasuk soal makan minum, berpakaian atau dalam pergaulan.  Jika mereka tidak mengerti hendak mengaitkan syahadah dengan kehidupan, bolehkah berlaku perubahan hidup atau membawa imej Islam?

Tidak keterlaluan jika sesiapa juga membuat kaji selidik terhadap masyarakat awam muslim, akan menemui kesimpulan seperti yang saya temui.

Remaja-remaja berkenaan seolah-oleh menemui  satu pengetahuan yang asing apabila saya memberitahu semua ruang kehidupan peribadi atau bermasyarakat (dalam dunia mereka sebagai anak dan bersama rakan sebaya) sepatutnya dalam lingkungan ikrar Tiada Tuhan melainkan Allah.  Mereka bagai tidak percaya dapat dikaitkan situasi berkenaan dengan ikrar itu:

1         Berpakaian kemas atau selekeh
2         Cara-cara menunggang motorsikal yang sebagiannya tidak memakai topi keledar
3         Bergaul sesama teman sama ada yang sejenis atau berlawanan jenis
4         Menyediakan bilik yang kemas atau berselerak (demikian beberapa contoh)

Tidak mudah untuk membina keyakinan baru dalam kehidupan yang selama ini dianggap terpisah dengan ikrar Tiada Tuhan melainkan Allah.  Kepada yang mengetahui psikologi seseorang dan metodologi pengajaran dan pemelajaran (P&P), untuk membina keyakinan baru yang besar sebagaimana kesan akidah dalam hidup sebenarnya perlu kembali memulakan dari anak tangga pertama.

Begitulah sukarnya mahu mengubah paradigm seseorang, bukan dengan cara  merentas di mana-mana ada kesempatan. 

Berapa banyak peribadi yang begitu teruja dengan sedikit ilmu yang baru diterima sehingga beremosi terhadap sekitarannya!  Itulah kesan dakwah secara merentas di mana ada kesempatan.  Ertinya peribadi itu tidak ditemukan titik mulanya untuk memahami ikrar Tiada Tuhan melainkan Allah, tetapi terus diajarkan soal fikah atau perdebatan aliran-aliran pemikiran dalam Islam.  Kasihanlah peribadi yang menerima dakwah rentas ini, mereka menderita tanpa mereka sedari.

Khamis, April 14, 2011

TIDAK ada silibus menterjemah al-Quran


CATATAN sebagian pengalaman hidup.  Baru-baru ini saya berkesempatan menyantuni  kumpulan pelajar menengah.  Ada satu kumpulan  18 orang yang belajar akademik biasa dan ditambah Bahasa Arab. 

Dalam kumpulan berkenaan saya mendapati kesemua mereka merupakan pelajar yang telah bersekolah agama rendah selama enam tahun.  Apabila berada di sekolah menengah dengan keputusan USPRnya yang baik mereka dikumpulkan dalam satu kelas khas.


Saya hanya menguji sama ada mereka memahami semua maksud ayat surah al-Fatihah dalam Bahasa Melayu.  Malangnya semua tidak dapat menterjemah sama ada secara harfiah atau terjemahan sejadi seperti yang kedapatan pada semua al-Quran terjemahan.

Kesimpulannya, bukan salah pelajar-pelajar berkenaan, kerana tidak ada silibus atau topik dalam sekolah agama rendah atau subjek Bahasa Arab untuk menterjemah al-Quran.  Saya selalu mengandaikan bahawa selama enam tahun di sekolah agama rendah pasti telah diajar apa erti bacaan-bacaan dalam solat dan doa dalam bahasa Melayu supaya mereka mengerti apa yang dilafazkan dalam solat.  Itu tidak terjadi sama sekali.

Mengapa begitu akhirnya?  Budaya beragama di negara kita tidak merasa satu tanggung jawab untuk memahami dan beramal berdasarkan al-Quran, melainkan menceduk sedikit sebanyak yang bersesuaian dengan adat beragama sekian lama.  Sebab itulah peranan ustaz sangat penting dalam mengajarkan agama, kerana kebanyakan orang awam tidak mengetahui langsung apa yang terkandung dalam al-Quran.

Budaya orang-orang beragama (yang diikuti oleh orang banyak) ialah membaca berlagu dengan tajwid yang betul.  Tanpa menafikan kepentingan bacaan bertajwid, tetapi akhirnya melupakan tujuan al-Quran diturunkan untuk panduan semua manusia.  Mana ada slot di TV atau radio berkenaan menterjemah al-Quran dalam Bahasa Melayu?  Mana ada ustaz membuka pusat fardu ain (swasta) untuk menterjemah al-Quran?  Mana ada pegawai agama dalam jabatan pelajaran atau jabatan agama negeri berfikir perlunya ada sistem menterjemah al-Quran dalam Bahasa Melayu supaya orang Melayu dapat mengamalkan ajaran al-Quran?

Jaga-jaga, akibat lain apabila ada orang yang mengetahui isi al-Quran yang berlawanan dengan kebiasaan beragama para agamawan (dan pengikut mereka), akan disyaki belajar agama iaitu memahami al-Quran tanpa berguru!  Itulah ayat benteng untuk menunjukkan orang yang mengetahui isi kandungan al-Quran sebagai lemah, tidak ada kelayakan atau tidak boleh dipercayai.  Semua ini dengan satu harapan, tidak ada pendedahan bahawa amalan beragamanya selama ini berlawanan dengan maksud mana-mana ayat dalam al-Quran.

BAPA Francisca mati dalam Islam


DUNGUN - Jenazah Muhammad Gaberial Peter, bapa Francisca, penyanyi evergreen era 80-an yang popular dengan lagu Sekadar di Pinggiran yang ditemui mati di rumahnya dekat Taman Sri Dungun kira-kira jam 10 malam kelmarin selamat disolatkankan di Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura, jam 2.30 petang semalam.


Penemuan dokumen memeluk agama Islam oleh sepasukan polis yang melakukan siasatan di rumah Peter mengungkai tanda tanya bahawa dia kini berstatus beragama Islam.

Biarpun perkara terbabit difahamkan tidak diketahui sebahagian ahli keluarganya yang beragama Kristian, namun dokumen yang menjadi status identiti agama Islam itu menjawab segala pertanyaan seterusnya membuka jalan untuk pihak berkaitan menyelesaikan segala kerumitan dihadapi.

Pegawai Agama Daerah Dungun, Mohd Adnan Abdullah mengesahkan, selepas merujuk kepada pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Peter disahkan memeluk agama Islam pada 10 April 2007 lalu.

“Sehubungan itu ia menjadi tanggungjawab pihak Pejabat Agama Daerah Dungun untuk menguruskan jenazah berkenaan sebelum dikebumikan mengikut cara orang Islam,” katanya.

Anak lelaki arwah, John Joseph Peter, 40-an yang beragama Kristian ketika ditemui selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sura berkata, arwah bapanya itu tinggal bersamanya sejak dua tahun lalu.

Katanya, biarpun tidak sempat menemui arwah pada saat akhir, namun dia menerima kehendak takdir dengan pemergian bapanya itu dengan hati yang terbuka bahawa bapanya itu meninggal dalam Islam.

Sementara itu, solat jenazah Muhammad Peter diimamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hassan Mohd Ramli.

Wan Hassan yang ditemui berkata, urusan menguruskan jenazah itu dilakukan pihaknya bukan atas dasar untuk mencari publisiti demi kepentingan politik, sebaliknya ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul masyarakat Islam, apatah lagi arwah merupakan saudara baru yang tidak mempunyai ahli keluarga terdekat yang beragama Islam bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Kita melihat kepada kepentingan menjaga rakyat, apabila rakyat yang ada dalam keadaan kesulitan melibatkan kematian, kita perlu bantu apatah lagi dia merupakan saudara baru,” katanya. -SH

Ahad, April 10, 2011

VIDEO Lucah: Jaga-jaga hal zalim sesama insan

oleh Abdullah Yassin


Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): Zalim ada tiga jenis: Zalim yang Allah tidak akan ampunkan; Zalim yang Allah akan ampunkan; Zalim yang Allah tidak akan tinggalkan. Adapun zalim yang Allah tidak akan ampunkan adalah syirik. Allah berfirman : Sesungguhnya syirik adalah zalim yang amat besar (Luqman: 13); Adapun zalim yang Allah akan ampunkan ialah kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri dengan melakukan dosa-dosa antara dia dengan Tuhannya; Adapun zalim yang Allah tidak akan meninggalkannya adalah zalim insan kepada sesama insan sehingga mereka diadili kelak (di akhirat) – ( HR Al-Taualisiy dan Abu Na’im dari Anas Bin Malik – Menurut Syeikh Nasiruddin Albaniy – Hadis Hasan - Lihat Sahih Al-Jaami’ – No 3961 )

Pengajaran Hadis :
1. Berdasarkan hadis sahih di atas bahawa zalim yang dilakukan oleh manusia ada tiga jenis. Ada zalim yang Allah SWT enggan mengampuninya iaitu dosa syirik. Adapun zalim yang Allah bersedia mengampuninya ialah perbuatan dosa-dosa besar kepada Allah selain syirik. Kedua-dua jenis zalim ini termaktub di dalam firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. (Al-Nisa’/4 : 48 )

2. Yang dimaksudkan bahawa dosa syirik tidak akan diampuni Allah ialah jika seseorang mati dalam keadaan syirik, sedangkan dia tidak sempat memohon ampunan atau bertaubat kepada Allah sebelum kematiannya. Orang ini di akhirat kelak tidak akan mendapat ampunan Allah. Berbeza halnya dengan dosa-dosanya kepada Allah selain syirik, seperti minum arak, berjudi, berzina, liwat, semuanya boleh diampuni oleh Allah jika Allah SWT berkehendak, walaupun sebelum mati dia tidak sempat bertaubat kepada Allah. Orang seperti ini menurut Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dinamakan sebagai  ‘Ala MasyiatilLaah yakni terserah nasibnya kepada Allah. Maksudnya: Terhadap dosa-dosa tersebut kita serahkan kepada Allah, sama ada Allah akan menyiksanya atau sebaliknya, iaitu mengampuninya. Itu semua urusan Allah, bukan urusan manusia untuk menilai atau menentukannya.

3. Adapun zalim jenis ketiga iaitu kezaliman yang manusia lakukan terhadap sesama manusia, seperti: menuduh orang yang baik-baik melakukan zina tanpa mendatangkan empat orang saksi, memfitnah, mencuri harta orang lain, rasuah, menghukum seseorang secara tidak adil, mendedahkan ke‘aiban seseorang di khalayak ramai dan lain-lain. Sesungguhnya Allah SWT akan meninggalkannya, yakni Allah enggan masuk campur dalam zalim jenis ini, dan Allah enggan mengampuni dosanya, sebab zalim jenis ini berlaku antara insan dengan sesama insan. Orang yang melakukan zalim jenis ini perlu memohon ampunan kepada orang yang dizalimi, bukan memohon ampunan kepada Allah.

4. Itulah sebabnya, syarat taubat terhadap dosa-dosa kepada Allah, hatta dosa yang paling besar seperti syirik dan dosa-dosa besar lainnya seperti berzina dan liwat, cukuplah dengan memenuhi tiga syarat saja, iaitu: 1. Meninggalkan dosa tersebut serta-merta; 2. Menyesali dosa tersebut; 3. Ber’azam (bercita-cita kuat) tidak akan melakukannya lagi pada masa hadapan. Tetapi jika zalim jenis ketiga dilakukan, iaitu  zalim manusia kepada manusia lain, maka syaratnya ada empat, selain tiga syarat di atas, juga ditambah satu lagi syarat yang keempat, iaitu : 4. Mesti mengembalikan hak orang dizalimi atau paling kurang mohon kemaafan kepada orang yang dizalimi.

5. Jika ditinjau dari satu sudut, zalim jenis ketiga adalah lebih berbahaya dari dua jenis zalim terdahulu hatta terhadap dosa syirik. Sebab kedua-dua jenis zalim tersebut kita boleh berhubungan langsung dengan SWT. Allah SWT bersedia mengampuni segala jenis dosa walaupun dosa syirik. Allah SWT berfirman: Katakanlah, ‘Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Zumar: 53). Tetapi lain halnya dengan zalim jenis ketiga. Orang yang zalim mesti memohon kemaafan kepada orang yang dizaliminya. Bagaimana jika orang yang zalim ini enggan memohon kemaafan kepada orang yang dizaliminya hingga mati ?

6. Untuk menjawap soalan ini, sila renung hadis sahih berikut: Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat, “ Siapakah muflis yang hakiki?” Para sahabat menjawab, “Muflis dalam kalangan kami ialah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak memilki harta.” Rasul SAW bersabda, “Sesungguhnya muflis dalam kalangan umatku pada Hari Kiamat ialah orang yang banyak melakukan solat, puasa, zakat tetapi dia (semasa di dunia) suka mencaci, suka qazf (menuduh orang baik-baik berzina tanpa empat saksi), suka makan harta milik orang lain, membunuh, dan memukul.  Lalu Allah SWT akan ambil (pada hari berhisab nanti) kebaikan-kebaikannya itu lalu diagih-agihkan kepada orang yang dia zalimi. Jika tiada lagi baki kebaikannya, lalu Allah SWT akan pindahkan dosa-doa orang yang dizaliminya itu ke atasnya dan selanjutnya dia dilemparkan ke dalam api neraka. ( HR Imam Muslim daripada Abu Hurairah ).

7. Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa muflis yang paling ditakuti adalah muflis di akhirat nanti, bukan muflis sebagaimana istilah manusia hari ini yang diisytiharkan oleh bank-bank tertentu kerana banyak hutang. Semua amalan kebaikannya akan dibagi-bagi oleh Allah kepada orang yang dia pernah zalimi – itupun jika dia orang yang banyak beramal saleh? – Oleh itu, harapan kita kepada saudara kita yang sedang dizalimi: Bersabarlah ! Allah bersama orang-orang yang sabar ( Al-Baqarah :153 ). Jangan bimbang, Allah Yang Maha Adil akan membuat anda gembira kelak di akhirat nanti dengan mengambil amal soleh orang yang menzalimimu. Dan anda akan bergembira melihat musuhmu di dunia dulu yang kerjanya suka menzalimimu dihumban ke dalam api neraka Jahanam dalam keadaan yang sangat mengerikan.

8. Bagaimana sikap kita sebagai rakyat biasa bila menghetahui kezaliman jenis ketiga ini benar-benar berlaku? Apakah kita semua membisu? Ataukan mesti bangkit membantu? Dan siapakah yang patut dibantu? Jawabannya, kita wajib membantu orang yang menzalimi dan orang yang dizalimi! Bagaimana caranya? Sebagai jawabannya, sila renung hadis sahih berikut:
Rasulullah SAW bersabda: Tolonglah saudaramu yang menzalimi dan yang sedang dizalimi. Lalu seorang sahabat bertanya: Aku akan menolong orang yang dizalimi, bagaimana pula aku menolong orang yang menzalimi? Jawab Nabi SAW : Engkau halang dia atau engkau cegah dia daripada terus menzalimi, itulah cara untuk menolongnya. ( HR Bukhari dan Ahmad dan Tarmidzi daripada Anas Bin Malik. )

9. Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang dengan berani menegor kepincangan yang berlaku di dalam masyarat hari ini. Sama ada mereka dari barisan Umara’ ataupun Ulama’. Akhir-akhir ini beberapa orang Mufti telah menyatakan pendirian mereka bahawa pertuduhan zina ke atas seseorang hanya melalui tayangan video lucah sebagai karakter insan yang rendah akhlak dan menjijikkan. Demikian juga beberapa politikus terkemuka dengan lantang menyatakan pendiriannya bahawa itu budaya insan yang tidak bertamadun. Syabas kepada semua! Kita sebagai rakyat biasa masih menunggu-nunggu teguran terbuka lebih ramai lagi daripada para Umara’ dan Ulama’. Ikutilah kehendak hadis di atas. Kita wajib menolong mereka, bukan sahaja orang yang sedang dizalimi, tetapi kita juga disuruh menolong saudara kita yang sedang giat merangcang untuk menzalimi orang lain. Bagaimana cara menolong mereka? Saya yakin anda semua lebih mengetahui bagaimana caranya yang terbaik.

Wallahu ‘Alam.

Sabtu, April 09, 2011

BACA surah al-Kahfi pada malam Jumaat


UMAT Islam di Nusantara melayani malam Jumaat dengan bacaan surah Yasin.  Sudah menjadi seakan satu ketetapan khusus, sehingga dimasukkan dalam jadual mingguan masjid untuk acara membaca surah itu pada setiap Khamis malam Jumaat.


Terdapat satu hadis bertaraf marfu (iaitu hadis yang tidak sampai kepada Rasulullah) yang menjadi pegangan orang-orang dahulu.  Orang-orang zaman sekarang sebenarnya tak banyak yang tahu mengenai hadis marfu ini, apa lagi nilaian hadis ini sama ada sahih atau daif.

Dalam buku Bid’ah Hasanah Tokok Tambah Amalan Rasulullah oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus (Karya Bestari, 2008) dalam muka surat 39-41 diterangkan mengenai kedudukan hadis ini.

Maksud hadis ini ialah: Sesiapa yang membaca Yasin pada malam Jumaat akan diampunkan dosa-dosanya.

Mohd Yaakub Mohd Yunus mengambil huraian Syeikh Nasiruddin al-Bani mengenai kedudukan hadis ini.  Dicatatkan bahawa ‘hadis ini sangat lemah (dhaif jiddan). Hadis ini turut diriwayatkan oleh al-Asfahani dalam al-Targhib wa al-Tarhib melalui jalan periwayatan daripada Zaid bin al-Haris,  daripada al-Aghlab bin Tamim, daripada Ayyub dan Yunus daripada al-Hassan dan daripada Abu Hurairah.

“Hadis ini sangat lemah.  Masalah dalam sanad ini melibatkan al-Aghlab bin Tamim yang menurut Ibn Hibban bahawa al-Aghlab adalah munkarul hadis.  Al-Aghlab meriwayatkan daripada orang-orang yang tidak dipercayai kebenaran hadis-hadisnya. Cara beliau meriwayatkan hadis ini dianggap salah sehingga hadis itu tidak boleh dijadikan hujah. Tambah beliau tentang perawi bernama Zaid bin al-Haris, barangkali dia (Zaid bin al-Haris) tersilap dalam meriwayatkan hadis.

“Hadis ini juga diriwayatkan dalam kitab Amal al-Yaum wal Laylah, hadis bernombor 668 dan turut diriwayatkan oleh Ibn Adi dalam al-Kaamil Jilid 1, muka surat 416 tanpa disebut tentang malam Jumaat (maksud yang terlulis ialah: (Sesiapa yang membaca surah Yasin) setiap hari dan setiap malam semata-mata mencari keredaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya.”

Apakah pilihan lain setelah mengetahui hadis membaca Yasin malam Jumaat sebagai tidak sah? Ada satu hadis menganjurkan umat membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat yang sahih.

Maksud sabda Rasulullah:  Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat maka dia diberi cahaya yang menerangi antara dua Jumaat.  (Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim).

Selain sudah menjadi adat membaca Yasin, surah ini agak pendek jika dibandingkan dengan surah al-Kahfi. Itu agaknya yang menyusahkan masyarakat kita beralih kepada surah al-Kahfi.

Khamis, April 07, 2011

ORANG tua tidak percaya bahan pelik dalam rokok


MINGGU lepas saya  tersua dan berbicara dengan seorang lelaki berumur lewat 70-an tetapi  fizikalnya masih kukuh.  Sambil melihat-lihat kebun sawitnya, dia menghabiskan rokoknya.  Dia suakan juga rokok kepada pakcik saya yang agak sebaya dengannya.  Dia tidak pun mempelawa saya, kerna mungkin dalam  sangkaan fikirannya, dahi saya memang tidak ada tanda penghisap rokok.


Dia meluahkan marahnya terhadap khutbah Jumaat beberapa minggu lalu yang menyatakan ‘keharaman’ menghisap rokok.  Dia menolak hukum haram terhadap rokok kerana selama ini (tentulah sejak dia remaja) difahami merokok hukumnya makruh!  Menurutnya lagi, selepas itu dia berjumpa dengan seorang ustaz untuk mendapatkan penjelasan maksud haram merokok.  Entah betul atau tidak, dia memaklumkan yang ustaz berkenaan tidak berkata banyak pun.  Jika begitu, saya faham tujuan ustaz itu lebih mendiamkan diri memandangkan tujuan lelaki warga emas itu berjumpanya hanya mahu membantah fatwa  haram rokok!

Ada falsafah yang berjaya saya kesan daripada peristiwa itu.  Apa yang utama sebenarnya adalah maklumat dan penerimaannya.  Memang tidak ada ayat Allah  yang jelas bab haramnya rokok seperti jelas haramnya daging babi.  Sementelahan pula aktiviti merokok sudah menjadi budaya sejak zaman-berzaman, sekalipun sejak itu juga dikatakan hukumnya makruh.  Pada kebiasaannya, orang agama akan meninggalkan perkara yang makruh tetapi tidak dapat meninggalkan rokok.  Jika orang agama yang sudah tua (hari ini) masih menghisap rokok, tidak lain kerana dahulu merokok lebih kepada amalan budaya.

Maklumat mengenai haramnya rokok sangat asing terhadap warga tua sekalipun  punya asas agama yang kuat.   Jika merokok dikaitkan dengan perbuatan membazir (amalan syaitan) dan dikatakan haram (surah al-Isra’ :2), tidaklah sekuat mana hendak meninggalkan tabiat yang sudah berkarat itu.  Penceramah menduga perokok muslim akan terus akur dengan hujah ayat al-Quran (surah a-Ahzab:36).  Oleh kerana dalam budaya masyarakat terdapat contoh-contoh pembaziran seperti pembaziran masa dan makanan, maka hujah haram merokok sebagai membazir tidak berkesan.

Kemudian dalam khutbah juga diserukan mengenai kandungan dalam rokok yang sangat asing kepada budaya Melayu.  Perkataan nikotin, tar, arsenik, karbon monoksida, bahan bakar roket, racun serangga, bahan pencuci lantai dan sebagainya dianggap tidak betul.  Mereka tidak percaya dan menganggap semua itu sebagai diada-adakan.  Penemuan darah babi dalam puntung rokok juga membawa bahan tawa baru. “Bodohlah yang buat rokok kalau meletakkan semua benda itu,” kata mereka yang tua-tua.

Hujah tidak merokok akan menguntungkan kewangan, juga satu hujah yang sangat tidak dipercayai.  Katakan dianalisakan sebulan RM250.00 atau setahun RM3000.00 atau 20 tahun yang tidak merokok boleh ada simpanan RM60,000.00, tidak diterima.  Mereka menerima teori menyimpan wang itu, tetapi bukan rahsia bahawa yang tidak merokok pun tidak ada simpanan bulanan RM250.00 itu!

Mahu apa lagi? Setakat ini sekotak rokok (24 batang) berharga RM10.00 masih mampu mereka beli. Oleh itu tabiat merokok masih bertahan dan ada penganut barunya.  Barangkali kalau secara drastik harganya menjadi RM100.00 dan kerajaan bersedia menanggung risiko tidak popular dalam pilihan raya, maka perokok mula berfikir akibat ekonominya.