Pengikut

Ahad, November 25, 2012

ORANG-orang politik, bolehkah saling memaafkan?


AL-QUR’AN terlebih dahulu diwahyukan kepada manusia, berbanding gara-gara pemikiran demokrasi dan hak asasi manusia zaman Renaissance Eropah dahulu.  Oleh itu al-Quran tetap sebagai satu rujukan besar apabila berlaku apa juga aktiviti atau perubahan semua bidang manusia. Revolusi Perancis kurun ke-18 dikatakan asas pemikiran demokrasi, itu pun wajib dilihat kepada al-Quran, apakah pemikiran-pemikiran dari Eropah itu sesuai dengan dasar al-Quran.

foto sekadar hiasan

Hari ini pemikiran demokrasi dan hak asasi manusia nampaknya sangat subur, sehingga dengan mudah kita mendengar kalimah atau ayat “ini  hak kami dalam demokrasi” atau “ini hak-hak saya sebagai manusia merdeka”.  Kalau saja hak-hak yang baik memang sejajar dengan wahyu Allah, namun sudah biasa pula kedengaran orang berkata “hak kami membalas perbuatan mereka zaman lampau” atau “Jika mereka melakukannya dahulu, mengapa kami dilarang”. Ayat-ayat demikian lebih kepada balas dendam yang menghancurkan kerukunan yang menjadi keutamaan hidup bersandar wahyu.  Bukan Allah tidak tahu semua masalah manusia, tetapi Allah tetap memberi pilihan yang terbalik daripada kerakusan hawa nafsu.

Memang orang bersalah, dan perbuatan itu sangat merugikan pihak yang satu lagi.  Hari ini ayat “kami dizalimi” sangat meriah kerna lumrah sifat manusia hanya melihat apa keburukan orang dan keinginan-keinginan dirinya yang tidak tertunai.  Mudah orang mengatakan “dia zalim sebab hak saya tidak diberikan”.  Dengan meluasnya pasaran tidak puas hati, maka meluas juga perasaan merasa dizalimi dan tidak akan memberi maaf.  Akibatnya banyak aksi buruk manusia semata-mata kerna membelakangkan anjuran memberi maaf sekalipun dirinya sangat dirugikan.  Gejala membalas dendam (tidak memberi maaf) merupakan satu fitnah dalam masyarakat kerna membawa kehancuran kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.

Lihat beberapa ayat al-Quran yang menjelaskan keutamaan memberi maaf sekalipun nafsu manusia asalnya mahu membalas dendam terhadap pihak lain.

Maksud ayat 22 surah an-Nuur, “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kerabatnya, (iaitu) orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada.  Apakah kamu tidak suka Allah mengampunimu?  Dan Allah maha pengampun lagi maha penyayang.”

Ayat di atas turun sebagai respon sahabat Nabi s.a.w. iaitu Abu Bakr yang berjanji tidak akan memberi nahkah kepada Mitshah yang telah menyebarkan berita dusta berkenaan isteri Nabi s.a.w. iaitu A’isyah.  Bukan kepalang derita akibat berita dusta sehingga orang yang kuat iman seperti Abu Bakr mahu menghukum (membalas dendam) terhadap Mitshah.  Biarpun terbukti Mitshah itu bersalah, tetapi anjuran Allah ialah memaafkan, dan sebagai ganjaran di akhirat sana ialah keampunan Allah.  Jadi, soal memaafkan akibat dirugikan sangat berkait dengan keimanan terhadap balasan Hari Akhirat.  Di dunia, si pemaaf tidak mendapat keuntungan apa-apa, tetapi balasan baik yang besar di akhirat. Dan Abu Bakr berkata, “Demi Allah, sungguh aku mengharap keampunan Allah” (sumber hadis riwayat at-Tabarani).

Maksud ayat 126 surah an-Nahl, “Dan jika kamu membalas, balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan (kerugian) yang ditimpakan kepada kamu.  Tetapi jika kamu bersabar, sungguh itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang bersabar.”

Ayat itu Allah membenarkan juga untuk membalas kejahatan orang asalkan sama atau setimpal.  Namun Allah lebih menyukai ‘bersabar’ atau memberi maaf, tidak mengambil tindakan balas.  Bukan Allah tidak tahu orang yang dizalimi itu rugi, tetapi Allah membimbing manusia ke jalan damai.  Ada sifat manusia yang suka berlebih-lebih dalam mengambil tindakan, konon hendak membalas kejahatan tetapi nanti kerna amarah dan dendam lama, maka terjadilah berlebih-lebihkan dalam membalas kejahatan itu.  Maka itulah Allah lebih suka orang yang memberi maaf dan bersabar.

Ada satu lagi ayat, iaitu 149 surah an-Nisa, “Jika kamu menyatakan sesuatu kebajikan, menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sungguh Allah sangat pemaaf dan maha kuasa.”

Moga orang yang sedang berjuang dalam politik zaman demokrasi ini, yang sering menghalalkan tindakannya atas nama melawan kezaliman dapatlah merenung kembali ayat-ayat di atas dan jaminan Allah di akhirat kelak.  Ternyata, selama ini telah banyak fitnah dan marak api permusuhan gara-gara membalas kejahatan sesama muslim.

Selasa, November 20, 2012

MENGAMALKAN satu hadis abaikan hadis lain


TANPA disedari antara kita amat menjaga pengertian satu maksud hadis nabi dan menganggap hadis-hadis lain sebagai tidak begitu bernilai.  Hadis melarang berkata-kata ketika khatib berkhutbah sangat diingat-ingatkan kepada khalayak.  Hadis larangan melintasi orang solat dan solat dengan berhadangan (sutrah) bagai tidak diketahui, sebab banyak berlaku perlanggaran larangan Nabi s.a.w.  Walhal, semua aturan sunah itu untuk setempat iaitu masjid!

foto hiasan 

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda (artinya),

 “Barangsiapa yang berwudhu, lalu memperbagus wudhunya kemudian ia mendatangi (solat) Jumaat, kemudian (saat khutbah) ia betul-betul mendengarkan dan diam, maka dosanya antara Jum’at saat ini dan Jum’at sebelumnya ditambah tiga hari akan diampuni. Dan barangsiapa yang bermain-main dengan tongkat, maka ia benar-benar melakukan hal yang batil (lagi tercela) ” (HR. Muslim no. 857)

Daripada Abu Darda' r.a. dia berkata: "Nabi s.a.w. sedang berkhutbah kepada manusia, kemudian baginda membacakan sepotong ayat. Ketika itu aku berada di samping Ubay bin Kaab, maka bertanyakan kepadanya:"Wahai Ubay, bilakah ayat ini diturunkan?" Akan tetapi dia enggan berbicara denganku, maka aku mengulangi pertanyaanku dan dia masih enggan berbicara denganku, sehinggalah Nabi s.a.w. turun (dari mimbar). Kemudian Ubay mengatakan kepadaku: Engkau tidak memperoleh apa-apa pun dari (solat) Juma'atmu melainkan perkataan-perkataan yang sia-sia.  Selepas solat, aku menemui Nabi s.a.w. dan mengadukan kepadanya tentang peristiwa tadi. Lantas Baginda bersabda: Ubay benar, apabila engkau mendengar imam berkhutbah maka dengarlah dan diamlah sehingga habis dia khutbahnya" (HR Ahmad no 20780, Ibn Majah no 1111)

Begitu banyak orang melakukan solat sendirian (solat sunat) di masjid tanpa sutrah atau hadangan di depannya.  Tahu-tahu mereka berdiri dan bertakbir, walhal jelas Nabi s.a.w. melarang solat tanpa sutrah atau hadangan di hadapannya.  Kalau tidak mahu membawa hadangan seperti kayu atau kotak, carilah tempat yang berhadangan seperti tiang, dinding atau langsir. 

Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) berkata, Nabi s.a.w. bersabda (artinya):

“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah.”

An-Nabi s.a.w. telah melarang seseorang yang hendak melaksanakan solat melainkan dengan menghadap sutrah. Oleh itu, mana mungkin beliau melakukan sesuatu yang beliau sendiri larang?” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/27 -Al-Maktab al-Islami)

Nabi s.a.w. juga melarang sesiapa melintasi orang solat.  Jangan melewati di hadapan orang solat, hukumnya haram!

Ini maksud sabda Nabi s.a.w.

“Sekiranya seorang yang melalui di hdapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini”. Berkata perawi: “aku tidak tahu samada Nabi menyebut 40 hari atau bulan atau tahun" ( HR al-Bukhari)

Maksud sabda  Nabi s.a.w.  yang lain pula,

“Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah syaitan" ( HR al-Bukhari)

Kesimpulannya, jika beriman dengan hadis larangan berkata-kata sewaktu khatib berkhutbah, maka beriman juga dengan larangan bersolat tanpa sutrah.  Apa lagi larangan melintasi orang solat!

Isnin, November 12, 2012

Maahad Ittiba' us-Sunah kenangan buat saya


KATA orang: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.  Salah satu tempat yang penting dalam hidup saya ialah Maahad Ittiba’ us-Sunnah di Kampung Parit Kuala Pilah Negeri Sembilan.  Ditubuhkan sejak tahun 1952, tetapi saya bukanlah antara pelajar sepenuh masa di maahad itu.  Namun pengembaraan saya ke sana sekitar tahun 1987 hingga 1990 secara berkala untuk mencari titisan ilmu agama, sangat bererti.  Dari sana pemikiran saya mengenai Islam sebagai agama dan sistem hidup sebagai titik tolak yang baru.


Maahad ini menawarkan sistem penterjemahan al-Quran secara harfiah yang diusahakan oleh Ust Hashim Abd Ghani.  Melalui sistem penterjemahan ini, seseorang dapat memahami al-Quran tanpa merujuk kepada tulisan-tulisan terjemahan bahasa Melayu.  Mudah bicara, pelajar yang berjaya, dia faham terus ayat-ayat al-Quran dalam bahasa Melayu.

Di samping itu, maahad ini juga memberikan pengajian berkenaan sunah dalam ibadah.  Semasa saya mula hadir, ternyata kaget kerna imam solat memulakan lafaz bacaan al-fatihah tanpa menyaringkan kalimah basmalah.  Kemudian pada akhir solat tidak ada bacaan wirid atau zikir bersama para makmum, melainkan dilakukan sendiri-sendiri.  Apabila saya tanya salah seorang pelajar senior yang ada, jawabnya mudah: Kami mengikuti sunah Nabi!  Lalu saya kaget, ‘apakah yang di luar madrasah ini tidak mengikuti sunah nabi?’  Maka saya terus belajar di sana.

Sebenarnya sejak keuzuran Ustaz Hashim, maahad ini semakin kekurangan pelajar. Dan kini, maahad tidak mempunyai seorang pun pelajar sepenuh masa.  Maahad bertukar fungsi sebagai pusat pengajian berkala dalam arena mengembangkan sunah nabi.

Ada faktor luar dan dalam yang menyebabkan kemerosotan pengajian di maahad ini.  Faktor dalaman utama ialah tiadanya guru yang bertugas sepenuh masa di sana.  Selama ini guru-gurunya bertugas secara suka rela dengan sumber ekonominya secara berniaga atau bertani.  Apabila guru itu meninggal dunia atau penggantinya tidak lagi sanggup tinggal di desa itu, maka murid terpaksa keluar.

Faktor kedua ialah sistem pengajian yang tidak terancang.  Maahad ini menerima pelajar pada setiap masa, iaitu  tanpa ada permulaan dan akhiran sesi pengajian. Ini menyebabkan pelajar dan guru tidak dapat membuat analisa pencapaian yang sistematik.  Keadaan ini menyebabkan ibu bapa tidak yakin pelajar daripada sistem pengajian ini dapat diteruskan ke tempat yang lebih jauh lagi.

Faktor luar ialah kepesatan pusat pengajian di luar seiring dengan perkembangan dunia internet.  Diakui bahawa kemajuan dunia internet telah menyebabkan cara orang belajar (termasuk bab agama) berubah dengan pantas.  Maka untuk mendapat pengajian as-sunah, dengan melayari internet jauh lebih berkesan berbanding tinggal di mana-mana maahad.  Tambahan pula maahad tidak mempunyai senarai ustaz sebagai penal bab agama seperti hadis, tafsir, sirah dan sebagainya.

Apa pun Maahad Ittiba us-Sunah telah memberi sumbangan besar dalam pendidikan ilmu Islam.  Entah berapa banyak orang yang telah mendapat manfaat daripada maahad ini sama ada secara langsung atau yang hadir secara eceran seperti saya.  Nampaknya maahad tidak mempunyai rekod pelajar-pelajar ini. 

Pengalaman naik dan turunnya maahad ini wajar dijadikan iktibar kepada mana-mana institusi agama untuk terus bertahan dan berkembang seiring dengan perubahan zaman.

Selasa, November 06, 2012

BAGAIMANA MCA menerima Hudud


MENJADI kebiasaan seseorang ahli parti politik hanya mengatakan program partinya yang baik sementara menafikan semua program parti lawannya.  Jika seseorang aktivis parti X menerima juga kebaikan program parti Y, maka dia dianggap tidak punya komitmen terhadap partinya.  Namun seseorang yang mempunyai kekuatan ideologi boleh mengakui kebaikan parti lawannya. 

Sekalipun dalam Umno, Ustaz fathul Bari tetap mempunyai kewarasan dalam kerjanya membela Islam.  Baginya, bukan membela parti tetapi Islam.  Sikap ini sangat asing kepada mana-mana aktivis politik termasuk yang sangat aktif dalam politik parti yang berjenama Islam

Dalam isu Hudud yang dimulakan oleh Pas sejak sekian lama, kejayaan Ustaz fathul Bari ialah:
Pertama  : Menerima Hudud sebagai satu undang-undang syariah.
Kedua      : Menerima Hudud yang digubal di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu sebagai Undang-undang Syariah Islam walaupun ada sedikit kelemahan.  Beliau masih mengakui mana sisi yang benar dalam Hudud (yg dikatakan Hudud Pas) di depan Presiden MCA.
Ketiga   : Berjaya menerangkan Hudud sebagai undang-undang Islam yang membawa keadilan sehingga Presiden MCA dapat menerima Hudud (sama ada yang dibuat oleh Pas atau mana-mana pihak lain) jika majoriti rakyat mahukan undang-undang berkenaan.

Berikut petikan akbar yang melaporkan berita besar dalam isu Hudud terhadap orang bukan Islam.

SHAH ALAM – Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebelum ini yang mengecam pelaksanaan hudud adalah berdasarkan kajian dan analisis ke atas enakmen hudud yang mahu dilaksanakan Pas di Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sebagai bukan Islam, rujukan Soi Lek adalah berbeza kerana beliau merujuk kepada ekonomi, keamanan dan pendapatan negara jika hudud dilaksanakan.

Menurutnya, oleh sebab maklumat yang tidak tepat itu, Soi Lek sering mengeluarkan kenyataan yang keras mengenai hudud.

Menurutnya, atas inisiatif sendiri, Ilmu mengadakan pertemuan dengan Soi Lek dan beberapa pemimpin MCA lain bagi menerangkan isu ini.

“Beliau (Soi Lek) faham dan menghormati bahawa hudud adalah undang-undang Islam dan seluruh umat Islam patut menerima hudud. Beliau juga faham Islam adalah agama Persekutuan.


“Apa yang beliau tentang adalah hudud versi Pas yang dilihat berat sebelah, beliau risau berlaku diskriminasi contohnya jika berlaku kecurian. Pencurinya seorang Islam dan bukan Islam. Jika cukup bukti, seorang dipotong tangan dan seorang lagi tidak, ini memberi implikasi besar kepada rakyat dan negara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ditanya sama ada Soi Lek menerima hudud dilaksanakan ke atas semua rakyat, Fathul menjelaskan Soi Lek mendukung prinsip demokrasi.

“Jika majoriti rakyat mahukan hudud untuk semua, maka beliau terima, jika majoriti mahu hudud versi Pas juga beliau terima, negara kita negara demokrasi,” katanya.

Selain itu, Fathul turut menegaskan bahawa tidak adil untuk menyatakan keseluruhan enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu tidak tepat kerana banyak perkara yang menepati syarat dan al-Quran.

“Undang-undang yang dibuat manusia terdedah kepada kelemahan dan tidak maksum, apa yang maksum adalah undang-undang ALLAH sahaja. Maka pembetulan perlu dilakukan,” katanya.

Fathul turut mengucapkan terima kasih kepada MCA yang menyambut baik kedatangan rombongannya dan sudi berbincang mengenai hudud.

“Perbincangan ini berjalan dengan amat baik sekali, semua pihak menerima pandangan masing-masing. Walaupun isu hudud ini sensitif, tetapi mereka mendengar dengan baik,” katanya.


Kelmarin, Soi Lek menegaskan beliau tidak pernah menghina undang-undang Islam, hanya mempersoalkan hudud versi Pas.

Ahad, November 04, 2012

SEKULARISME cubaan Barat cetus huru-hara di kalangan ummah


Oleh: Wan Roslili Majid

Fahaman sekular atau sekularisme pada umumnya dimaksudkan sebagai doktrin yang menolak agama atau dengan kata lain, pendekatan yang menafikan kedudukan agama dalam hal ehwal sivil.  Pendukung gerakan pensekularan seperti Harvey Cox yang menghasilkan karya The Secular City (1965) misalnya, menegaskan bahawa gagasan pensekularan didukung oleh ajaran Bible. Menurut beliau, terdapat tiga komponen penting dalam Bible yang menjadi kerangka asas pensekularan. 

“Adalah ganjil untuk mengatakan bahawa negara ini sekular sedangkan pada masa sama terdapat peruntukan agama dalam Perlembagaan seperti dijelaskan dalam Perkara 3 (1) yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.”

Komponen itu ialah pembebasan alam tabii atau dunia daripada nilai rohani serta agama, penyingkiran nilai agama daripada politik dan penafian kesucian serta sifat kekal nilai dalam kehidupan. 

Doktrin atau ideologi yang dibawa Cox ini disangkal keras ilmuwan terbilang Islam seperti Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam and Secularism (1978) dan Risalah untuk Kaum Muslimin (1973). 

Antara lain beliau menegaskan pensekularan terhasil daripada konflik lama antara akal dengan Bible dalam pandangan hidup orang barat. Beliau juga menekankan makna yang bersifat rohani bagi alam dan insan.

Doktrin pensekularan akan terus diperjuangkan dan dikembangkan oleh masyarakat Barat kepada seluruh masyarakat dunia termasuk umat Islam. Justeru, tidak hairan jika terdapat kumpulan dalam masyarakat Islam yang menerimanya dengan tangan terbuka.  Malah ada pula yang cuba mewajarkannya dengan berusaha menemukan dasar kefahamannya daripada ajaran Islam dan dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali. 

Malang sekali hal ini berlaku kerana hakikatnya, sejarah dan umat Islam tidak pernah mengalami ketegangan dalam persoalan antara agama dengan negara, atau pertentangan sains dengan agama, seperti dialami masyarakat Barat.

Tolak ketuanan Islam

Seterusnya, di negara ini juga penolakan terhadap ketuanan Islam dan cadangan supaya sekularisme dijadikan dasar perpaduan kebangsaan dinyatakan tanpa berselindung oleh segelintir kumpulan bukan Islam.

Dalam nada dan semangat yang sama, gesaan turut dibuat dari masa ke semasa supaya mengesahkan status negara ini sebagai negara sekular. Hujah yang dijadikan sandaran ialah dokumen tertentu dan sejarah Malaysia yang dikatakan hanya bermula pada 1957.

Sedangkan sejarah kita sudah bermula ratusan tahun dulu iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Islam. Jika disandarkan pada Batu Bersurat Terengganu, kedaulatan Kerajaan Melayu berteraskan ajaran Islam telah bertapak kukuh sebelum kurun ke-14 lagi. 

Fakta ini diteguhkan lagi melalui pemakaian undang-undang kanun-kanun Negeri-Negeri Melayu berlandaskan hukum syarak. Selain itu, pandangan hakim dalam kes tertentu juga digunakan bagi menyokong dakwaan bahawa Malaysia bukan negara Islam. 

Dari sudut falsafahnya, adalah ganjil untuk mengatakan bahawa negara ini sekular sedangkan pada masa sama terdapat peruntukan agama dalam Perlembagaan seperti dijelaskan dalam Perkara 3 (1) yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan. 

Sesebuah negara sekular menurut beliau, tidak membenarkan kepemimpinannya untuk turut serta dalam membantu menegakkan agama atau mengizinkan wang pembayar cukai digunakan untuk tujuan keagamaan seperti Perkara 12 (2).

Kedudukan tinggi Islam dalam Perlembagaan yang menjadi penentu agama negara ini harus disyukuri segenap lapisan masyarakat Islam. Ia selanjutnya harus dimanfaatkan untuk menggerakkan usaha memastikan dasar dan sistem yang mahu dibentuk serta dilaksanakan kerajaan berpaksikan ajaran Islam.

Tan Sri Prof Ahmad Mohamed Ibrahim pernah menegaskan supaya Perlembagaan negara dilihat secara positif dan dimanfaatkan agar usaha melaksanakan prinsip Islam akhirnya menjadi kenyataan dan pada masa sama, kepentingan semua kaum di Malaysia diambil kira.

Dedah kepada kepincangan

Masyarakat umum harus menyedari sebarang usaha memberikan laluan kepada gerakan pensekularan hanya akan mendedahkan negara terhadap kepincangan dan kehancuran seperti yang dialami masyarakat serta kebudayaan barat.

Pendukung gerakan itu tidak pernah berhenti menggunakan pelbagai mekanisme yang ada walaupun terhad sifatnya bagi mencapai impian mereka. Lihat bagaimana mereka berusaha memperjuangkan prinsip hak asasi manusia yang mencabar dan menghina agama Islam sedangkan hak asasi manusia tidak diperuntukkan dengan jelas dalam perlembagaan. 

Ketinggian dan ketuanan Islam dalam negara ini tidak menimbulkan kegerunan dalam hati mereka malah dianggap cabaran bagi menjayakan segala rencana. Justeru, umat Islam harus bijak mengatur strategi rapi bagi memastikan segala yang dicita-citakan menjadi kenyataan. 

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Jumaat, November 02, 2012

TAAT pemerintah: Antara UFB dan Maza


BUKAN rahsia, ustaz atau ulama muda yang berjuang atas manhaj sunah dan menyelisihi bid’ah rupa-rupanya sedang berselisih faham.  Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) mewakili satu pihak dengan Ustaz Fathul Bari (UFB)- foto kiri, di satu pihak lain.  Perselisihan mereka sebenarnya hanya aplikasi Islam dalam politik.  Umum sedia maklum UFB antara mereka yang disebut 40 ulama muda dalam Umno, manakala Dr Maza pula cenderung kepada politik Pakatan Rakyat (PR).  Di situlah gelanggang perbedaan pendapat mereka.

Golongan UFB mendakwa Dr Maza seorang rasionalis apabila mendakwa Islam membenarkan pemerintah dikritik secara terbuka seperti sekarang ini, dalam bentuk ceramah awam dan debat di institusi Perundang-undangan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri).  Bagi UFB dan sahabat-sahabat ulama mudanya itu, pemerintah muslim tidak boleh ditegur atau dikritik di depan khalayak ramai.  Kumpulan ini bukan suka-suka berpegang kepada pendirian berkenaan, yang kepada pihak Dr Maza (foto bawah) pemahaman itu memandulkan pemikiran umah dan menjadikan pemerintah memerintah ‘beraja di mata bersultan di hati’.

UFB meletakkan dalil al-Quran dan hadis sahih, seperti wajib mentaati pemerintah dalam surah an-Nisa ayat 59. Kemudian beberapa hadis lain yang jelas bermaksud muslim dilarang menentang pemerintah.

Hadis ‘Irbadh bin Sariyah, (maksud sabda nabi s.a.w.): “Suatu hari Rasulullah s.a.w. solat bersama kami. Selesai solat, beliau menghadap kami lalu memberikan peringatan yang sangat mendalam, membuat berlinangan air mata dan menggetarkan hati. Hingga ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, seakan-akan ini nasihat dari orang yang akan pergi. Lalu apakah yang engkau wasiatkan kepada kami?’. Beliau bersabda: ‘Aku wasiatkan kalian untuk bertaqwa kepada Allah, serta mendengar dan taat kepada pemimpin, walaupun dia adalah seorang hamba Habsyi…’” (HR Abu Daud 4607, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Abi Dawud)

Maksud sabda  nabi s.a.w.: “Mendengar dan taatlah kalian (kepada pemerintah kalian), kecuali bila kalian melihat kekafiran yang nyata dan kalian memiliki buktinya di hadapan Allah” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

Maksud sabda nabi s.a.w.: "Barangsiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah, barangsiapa yang bermaksiat kepadaku maka ia telah bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa yang mentaati amir/pemimpin maka ia telah mentaatiku, barangsiapa yang bermaksiat kepada amir/pemimpin maka ia telah bermaksiat kepadaku."  (HR. al-Bukhari dan Muslim)

Kepada UFB, pemerntah adalah pihak berkuasa bermula daripada Yang Dipertuan Agung sebagai Ketua Negara dan Badan Pelaksana atau Eksekutif. Eksekutif itu bermaksud kerajaan yang memerintah, yang kebetulan adalah Umno/Barisan Nasional.  Dr Maza juga mengakui pemerintah sebagaimana pemahaman UFB tetapi pemerintah masih boleh ditegur oleh muslim lain di depan khalayak terbuka.  Beliau juga memberikan dalil sahabat nabi s.a.w. iaitu Salman al-Farisi yang menegur Khalifah Umar secara terbuka.  Kepada Dr Maza ini adalah dalil generasi sahabat yang boleh diteladani dalam menegur pemerintah.  Namun pihak yang sefahaman dengan UFB pantas menyatakan bahawa kisah sahabat itu tidak mempunyai sanad, yang dalam pengkajian ilmu hadis, hadis tidak bersanad tidak boleh dijadikan dalil atau hujah!

Pada saya, UFB telah membawa satu pemahaman Islam berdasarkan amalan generasi salaf (terdahulu) yang cuba diaplikasikan dalam sistem demokrasi moden Malaysia.  Oleh itu manhaj UFB dan sahabat-sahabatnya sangat berlawanan dengan fikrah demokrasi yang dibawa oleh mana-mana ahli politik kepartaian termasuk ulama-ulama dalam Pas.  Maka tidak hairan, mereka yang berfikrah Islam alademokrasi (seperti zaman sekarang) pasti memberi gelar buruk seperti ‘kaki ampu dan penjilat pemerintah’ kepada UFB dan sahabat-sahabatnya.

Dr Maza dan kalangan sefikrahnya dalam Pas (misalnya) mahu membawa Islam dalam demokrasi berparti politik, maka mereka terpaksa menerima juga ayat 59 surah an-Nisa dan semua hadis bab ketaatan kepada pemerintah, tetapi difahami dalam ‘konteks semasa’.  Maknanya, semua dalil al-Quran dan sunah tidak boleh difahami secara harfiah atau literal, melainkan difahami berdasarkan zamannya.  Oleh kerna zaman sekarang sistem politiknya berasaskan demokrasi yang membenarkan teguran atau kritikan terbuka kepada pemerintah, maka sesiapa yang memahami dalil secara harfiah digolongkan sebagai ‘literalis’ atau jumud (kaku), tidak dapat memahami hal keduniaan yang sentaiasa berubah.

Saya pernah bertanya kepada salah seorang sahabat UFB, “bagaimana sekiranya Pas berjaya memerintah negara?” dan jawaban daripadanya ialah “wajib memberi ketaatan kepada pemerintah waktu itu (Pas)”.  Nampaknya UFB dan sahabat-sahabatnya berjalan atas prinsip.

Begitulah adanya di negara kita.

Sabtu, Oktober 27, 2012

HADIS palsu dalam khutbah eid


PADA solat eiduladha yang baru ini, khatib di desa membacakan teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).   Di pertengahan, khatib membacakan hadis (didakwa sabda nabi s.a.w.) yang bermaksud “Perselisihan dalam kalangan umatku adalah rahmat”.  Opps, saya tersentak kerna sedia maklum bahawa hadis itu ternyata palsu, bukan sabda nabi s.a.w. Hadis ini pun sedia terakam dalam buku 40 Hadis palsu Popular yang disusun oleh Abdul Razak Muthalib, terbitan PTS (2011).

foto hiasan

Saya turunkan sedikit komentar dalam buku berkenaan yang memetik hujahan sarjana hadis.  Al-Munawi dalam bukunya Faidh al-Qadir menukilkan kata-kata al-Subki tentang hadis ini, ‘Hadis ini tidak dikenali dalam kalangan para sarjana hadis dan aku tidak menemui sanad yang sahih bagi hadis ini, tidak juga yang daif mahupun yang maudhu’.

Al-AlBani juga menyatakan perkara yang hampir sama dalam bukunya silsilah Alhadis al-Dhaifah, “para sarjana ahli hadis sudah mengerah segala daya upaya mereka bagi mencari sanad (yang sahih) bagi hadis ini, namun mereka tidak menemuinya”.

Namun masih banyak juga orang menggunakan hadis palsu ini sebagai hujah membenarkan umat berselisih pendapat.  Berselisih pendapat bermakna berpecah, dan perkara seperti ini sangat berlawanan dengan seruan supaya umat bersatu.

Mengatakan perselisihan pendapat sebagai rahmat bermakna meraikan pendapat yang berbeda-beda termasuk dalam tafsiran agama.  Kalau diguna pakai hadis palsu ini maka jabatan agama pun tidak boleh mengatakan mana-mana kumpulan agama didakwa membawa ajaran sesat.  Mereka akan menggunakan juga hadis palsu ini sebagai hak untuk berselisih pendapat!

Kesimpulannya, hadis itu palsu daripada sudut teknikal untuk mengesahkan sesuatu hadis, malah matan hadis juga sudah tempang dalam pemahaman umah yang bersatu menuju kejayaan.

Sabtu, Oktober 20, 2012

WAJIB patuh undang-undang jalan raya


TIDAK berapa lama dahulu seorang pemimpin (bukan Islam) menyindir kumpulan yang mahukan al-Quran dijadikan teras pentadbiran negara dengan mengatakan, “mana ada ayat al-Quran tentang pembinaan jalan raya?”  Malah ada juga dalam kalangan orang Islam yang dianggap cerdik sebab telah bersekolah mengatakan, “undang-undang Allah pun dilanggar, inikan pula undang-undang manusia.”


Memang tidak ada ayat al-Quran mengenai cara-cara memecahkan batu, memasak minyak menjadi tar hitam dan cara-cara mengelek batu supaya menjadi rata. Al-Quran mengeluarkan dasar tanggung jawab, ketelusan dan macam-macam yang sangat profesional. Juga, tidak semua peraturan yang ada dicatat dalam al-Quran. Bab jalan raya dan undang-undangnya tidak diwahyukan dari langit.  Ini hal keduniaan yang sentiasa berubah berdasarkan keperluan zaman manusia, teknologi, iklim, sejarah, geografi dan penemuan-penemuan baru semasa.  Oleh itu yang membuat jalan raya dan undang-undang penggunaannya ialah manusia.  Oh, sebab itu orang macam diberi tawaran untuk melanggar undang-undang jalan raya sebab itu undang-undang manusia!

Mengapa pemikiran sesetengah orang jadi begitu? Undang-undang jalan raya yang dibuat oleh pemerintah merupakan undang-undang yang sah dan wajib diikuti oleh rakyat, khasnya muslim sebab pemerintah telah disahkan oleh Allah untuk mengeluarkan arahan!

Maksud ayat 59 surah an-Nisa’  “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Menjadi tanggung  jawab pemerintah menjaga kerukunan dalam negara. Maka pemerintah membuat undang-undang jalan raya supaya kerukunan dan keselamatan di jalan raya dapat dinikmati.  Kecualilah jika undang-undang jalan raya itu tidak adil, seperti membeda-bedakan hak penggunaannya berdasarkan taraf sosial atau keturunan.  Jika undang-undang seperti had laju 90/kmj, tidak boleh memintas di garisan kembar, berhenti apabila lampu trafik berwarna merah, memintas mengikut sebelah kanan (hanya beberapa contoh), mengapa hendak dibantah atau tidak dihiraukan semua undang-undang ini? Membantah pemerintah menguatkuasakan undang-undang ini bermakna membantah undang-undang ini.  Apa gunanya ada undang-undang jika tidak dikenakan tindakan jika ada orang yang mengingkarinya?

Jika muslim tahu bahawa undang-undang ini jelas membawa kebaikan, dan muslim mentaatinya, maka ini dikira termasuk sifat orang-orang beriman.  Allah sudah menyatakan supaya orang beriman taat kepada pemerintah, maka sesiapa yang sengaja ingkar undang-undang jalan raya (sebab memang melawan atau sombong), dirinya termasuk golongan tidak beriman. Jangan kata ini hanya undang-undang buatan manusia, maka suka hati sahaja sama ada hendak patuh atau tidak.

Undang-undang jalan raya termasuk bab keduniaan yang tidak diwahyukan sebagaimana urusan agama (termasuk akidah).  Rasulullah s.a.w. pun mengakui bahawa kita sebagai manusia lebih mengetahui urusan keduniaan berbanding dirinya.  Maksudnya, bab akidah dan ibadah (agama) itu wajib mendengar firman Allah san sabda nabi s.a.w., tetapi urusan membina kemajuan kebendaan dunia termasuk membuat teknomogi baru, itu kemahiran manusia yang senantiasa berubah.  Hal ini jelas daripada hadis di bawah.

Dari Anas bahwa Nabi s.a.w.  pernah melewati suatu kaum yang sedang mengahwinkan pohon kurma lalu beliau bersabda: "Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik." Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rusak. Hingga suatu saat Nabi s.a.w. melewati mereka lagi dan melihat hal itu beliau bertanya: 'Ada apa dengan pohon kurma kalian? Mereka menjawab; Bukankah anda (nabi) telah mengatakan hal ini dan hal itu? Beliau lalu bersabda: 'Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.' (HR Muslim, no. 4358)

Penerangan hadis, bahawa sebelumnya nabi s.a.w. pernah mencadangkan satu teknik pencantuman benih kurma untuk menghasilkan buah yang lebih baik. Oleh kerna yang mencadangkan ialah nabi s.a.w., maka orang patuh.  Setelah dicuba teknik itu ternyata hasilnya tidak seperti yang diharapkan.  Maka orang berkenaan pun seperti merungut. Maka itu yang nabi s.a.w. berkata “kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian”.

Oleh itu dapat difahami bahawa cara membuat jalan raya dan undang-undang berkaitannya bukan hal agama, tetapi hal dunia.  Allah telah memberi hak sah untuk pemerintah mengatur siri kebijaksanaan dalam melakukan pembangunan jalan raya.  Maka sebagai muslim wajiblah mematuhi apa saja kebaikan berkenaan jalan raya.

Selasa, Oktober 16, 2012

KURBAN: Tidak menggunting rambut dan kuku


KEPADA yang akan berkurban haiwan pada Hari Raya Haji (Idul Adha) nanti, silakan  membaca maklumat  sunah di bawah.  


Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Nabi SAW: Jika telah masuk 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1977).

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.  Menurut Imam al-Nawawi r.a: "Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain". (Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Dinukil dari kitab Ahkaam al-'Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh 'Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98).

Bagi mereka yang sengaja atau tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Isnin, Oktober 15, 2012

AIR MUSOFFA di sisi fatwa


AIR MUSOFFA ialah air yang dikatakan sebagai penawar penyakit. Cara pembuatan air ini ialah dengan menghasilkan penulisan pada piring yang kemudian ditaruh air.  Semua penulisan ayat al-Quran pada piring akan luntur dalam air, dan air itu dimimum sebagai penawar.


BERIKUT merupakan petikan daripada penulisan seorang pegawai Jakim dalam bab akidah mengenai air musoffa.

Antaranya contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musofa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk akan menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk kepercayaan khurafat seperti mengatakan perbuatan merenjiskan Air Musoffa ke atas kenderaan, akan mengelakkan kenderaan tersebut daripada bala bencana.

Dalam segmen tajaan tersebut juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberi testimoni terbaik. Kebanyakan testimoni yang diberikan menjuruskan kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama.

Perbuatan yang melampau dalam mengkomersialkan ini akhirnya telah menyebabkan syarikat Air Musoffa telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-64 telah diadakan pada 4 Disember 2004 yang membuat keputusan bahawa : “Air Musoffa adalah air rawatan yang dihasilkan dengan kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan pemasaran air ini boleh membuka pintu khurafat dalam masyarakat”.

Mesyuarat Panel Kajian Akidah (PKA) kali ke 29 pada 24  Mei 2005 juga telah bersetuju membuat keputusan bahawa penjualan Air Musoffa secara komersial adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, penipuan dan kepercayaan khurafat.

Seterusnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-72 pada 23 Januari 2006 memutuskan bahawa: “Penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan”.


Selasa, Oktober 09, 2012

BENARKAH siang malam semakin singkat?


BIASA saya mendengar keluhan seperti ini, “terasa cepatnya hari berlalu, esok dah hari Jumaat” atau “sekarang siang dan malam cepat saja banding dulu…”  Maksud mereka yang mengucapkan ayat itu sebagai perasan bahawa peredaran hari demi hari bertambah cepat berbanding masa-masa lalu.  Benarkah begitu atau hanya perasaannya sahaja.

Suka atau tidak, kita mesti menggunakan kaedah sains untuk mengetahui peredaran hari siang dan malam.  Ini pengajaran (iktibar) besar bahawa Islam mewajibkan umatnya mengetahui ilmu sains dan teknologi. 


Putaran bumi selama sehari selama 24 jam atau 86,400 saat. Di situlah ada pertukaran siang dan malam.  Zaman sekarang putaran bumi bukan diukur berdasarkan putaran bumi pada paksinya, tetapi dengan menggunakan Jam Atom yang lebih tepat.  Ketepatan Jam Atom tidak berubah sehingga 20 juta tahun. Jam Atom menyukat satu saat berdasarkan ayunan atom sesium.  Setiap satu saat, atom sesium berayun sebanyak 1,192,631,770 kali.

Daripada pencerapan ahli sains terhadap putaran bumi, dibuktikan ada waktunya bumi lewat berputar selama satu saat pada setiap setahun setengah.  Ini bererti berdasarkan ukuran Jam Atom, masa perlu ditambah satu saat pada setiap setahun setengah.  Kajian ahli sains menunjukkan sejak 30 Jun 1972 hingga 30 Jun 2012 terdapat 25 kali pertambahan saat kerna bumi lewat sesaat bergerak.  Ini bermakna selama 25 kali itu bumi menerima pertambahan masa 25 saat.

Berikut contoh tarikh-tarikh pertambahan satu saat pada hujung hari berkenaan yang dicatat pukul 23:59:60 bukannya pukul 23:59:59.

Antara tarikh-tarikhnya:
30 Jun 1992
30 Jun 1993
30 Jun 1994
31 Dis 1995
30 Jun 1997
31 Dis 1998
31 Dis 2005
31 Dis 2008
30 Jun 2012
(sumber: Majalah Dewan Kosmik, September 2012)

Kesimpulannya orang yang mengatakan peredaran hari iaitu siang dan malam zaman sekarang semakin pantas merupakan perasaan atau tanggapan yang bukan berasaskan kajian saintifik.  Hakikatnya pula peredaran bumi semakin perlahan walaupun lewat sesaat.

Islam tidak menolak sains, malah menggalakannya sesuai dengan banyaknya ayat al-Quran menerangkan maklumat sains.  Sebaliknya sejarah Eropah menyaksikan agama Kristian memusuhi ahli sains.  Pada zaman Renaissance dahulu ahli sains Nicholas Copernicus (1473-1543) dan Galilie Galilei (1564-1642) membuat kesimpulan bahawa bumi mengelilingi matahari sedangkan pihak gereja Kristian mengatakan matahari mengelilingi bumi. Oleh sebab itu ahli-ahli sains berkenaan difatwakan sebagai murtad kerna mengatakan berlawanan dengan ajaran Kristian.

Jumaat, Oktober 05, 2012

KENDURI tahlil 7, 40, 100 hari itu pusaka Hindu!


ADAT pengantin bersanding dikatakan adat Hindu, ya orang tidak banyak membantah.  Adat mandi safar juga dikatakan berasal daripada Hindu, ya orang pun mudah melupakannya.  Adat kenduri arwah berdasarkan hari-hari tertentu dikatakan daripada amalan Hindu kuno?  Ohhh, ada orang agama mengatakan “Janganlah suka mempertikaikan amalan yang sudah mantap dalam agama (Islam). ”Sebenarnya iblis sudah membelit kepercayaannya dan menjadikan kenduri arwah itu indah.  Mari kita temukan sumber atau sejarahnya.

Bismillah,
Kita mengenal sebuah ritual keagamaan di dalam masyarakat muslim ketika terjadi kematian adalah menyelenggarakan selamatan kematian/kenduri kematian/tahlilan/yasinan (karena yang biasa dibaca adalah surat Yasin) di hari ke 7, 40, 100, dan 1000 harinya. Di sini kami mengajak anda untuk mengkaji permasalahan ini secara praktis dan ilmiah.

Setelah diteliti ternyata amalan selamatan kematian / kenduri  kematian/tahlilan/yasinan (karena yang biasa dibaca adalah surat Yasin) di hari ke 7, 40, 100, dan 1000 hari, bukan berasal dari Al Quran, Hadits (sunah rasul) dan juga Ijma Sahabat, malah kita bisa melacaknya (mencarinya) di kitab-kitab agama hindu.

Disebutkan bahwa kepercayaan yang ada pada sebagian ummat Islam, orang yang meninggal jika tidak diadakan selamatan (kenduri: 1 hari, 3 hari, 7 hari, 40 hari dan seterusnya /red. ) maka rohnya akan gentayangan adalah jelas-jelas berasal dari ajaran agama Hindu. Dalam agama Hindu ada syahadat yang dikenal dengan Panca Sradha (Lima Keyakinan). Lima keyakinan itu meliputi percaya kepada Sang Hyang Widhi, Roh leluhur, Karma Pala, Samskara, dan Moksa. Dalam keyakinan Hindu roh leluhur (orang mati) harus dihormati karena bisa menjadi dewa terdekat dari manusia [Kitab Weda Smerti Hal. 99 No. 192]. Selain itu dikenal juga dalam Hindu adanya Samskara  (menitis/reinkarnasi)].

Dalam Kitab Manawa Dharma Sastra Weda Smerti hal. 99, 192, 193 yang berbunyi: “Termashurlah selamatan yang diadakan pada hari pertama, ketujuh, empat puluh, seratus dan seribu”.

Dalam buku media Hindu yang berjudul : “Nilai-nilai Hindu dalam budaya Jawa, serpihan yang tertinggal” karya: Ida Bedande Adi Suripto, ia mengatakan: “Upacara selamatan untuk memperingati hari kematian orang Jawa hari ke 1, 7, 40, 100, dan 1000 hari, jelas adalah ajaran Hindu”.

Telah jelas bagi kita pada awalnya ajaran ini berasal dari agama Hindu, selanjutnya umat islam mulai memasukkan ajaran-ajaran islam dicampur kedalam ritual ini. Disusunlah rangkaian wirid-wirid dan doa-doa serta pembacaan Surat Yasin kepada si mayit dan dipadukan dengan ritual-ritual selamatan pada hari ke 7, 40, 100, dan 1000 yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi dan para sahabatnya. Apakah mencampur-campur ajaran seperti ini diperbolehkan?

Iya, campur mencampur ajaran ini tanpa sadar sudah diajarkan dan menjadi keyakinan nenek moyang kita dulu yang ternyata sebagian dari kaum muslimin pun telah mewarisinya dan gigih mempertahankannya.

Lalu apakah kita lebih memegang perkataan nenek moyang kita daripada apa-apa yang di turunkan Allah kepada RasulNya?

Allah berfirman :
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ
”Dan apabila dikatakan kepada mereka :”Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah”. Mereka menjawab :”(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. Apakah mereka akan mengikuti juga, walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?” (QS Al Baqoroh ayat 170)

Allah berfirman :
وَلا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dan janganlah kamu mencampuradukkan Kebenaran dengan Kebatilan dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya”(QS Al Baqarah 42)

Allah subhanahu wa ta’ala menyuruh kita untuk tidak boleh mencampuradukkan ajaran agama islam (kebenaran) dengan ajaran agama Hindu (kebatilan) tetapi kita malah ikut perkataan manusia bahwa mencampuradukkan agama itu boleh, Apa manusia itu lebih pintar dari Allah?

Selanjutnya Allah berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu”.[QS. Albaqoroh : 208].

Allah menyuruh kita dalam berislam MENYELURUH, tidak setengah-setengah…
TIDAK SETENGAH HINDU…SETENGAH ISLAM…
Allahul musta’an

Sumber: Catatan Al Akh Aris Diansah dengan judul asli “Ajaran Gado-gado (Hindu-Islam)” http://www.facebook.com/notes/aris-diansah/ajaran-gado-gado-hindu-islam/439464374660