Pengikut

Ahad, April 03, 2011

RASUAH berbilion ringgit, potong saja tangan mereka!


HARI ini dipaparkan mengenai lelaki dan perempuan yang mencuri wang berbilion-bilion ringgit.  Mereka disyaki, dan sedang dalam proses pembuktian.  Kelak daripada 62 orang, mustahil tidak satu orang pun yang akan didapati bersalah mencuri wang dalam bentuk rasuah!

Suka saya bertanya, siapakah mereka?  Adakah mereka orang lelaki dan perempuan yang bukan muslim?  Jika selama ini kebanyakan  anggota kakitangan awam adalah Melayu, sekalipun nama-nama mereka belum disiarkan, kemungkinan besar mereka (dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia)  adalah  Melayu muslim! 

Kemudiaan, apa ertinya mereka muslim?  Mereka adalah yang berwatakan sebagai orang Islam, yang namanya pun daripada istilah Arab.  Kalau perempuan, bertudung kepala kerana mengikut kecenderungan wanita muslim yang mematuhi ayat 31 surah an-Nuur.  Yang lelaki, setiap Jumaat mereka solat Jumaat yang pasti mendengar seruan khatib supaya bertakwa, mematuhi perintah dan larangan Allah.  Anak-anak mereka pun diajar supaya membaca al-Quran dan bersolat.  Pada bulan Ramadan, mereka pun berpuasa dan bertarawih sebagaimana orang yang tidak pun mengambil wang haram!  Barangkali daripada mereka itu ada yang sudah menunaikan fardu haji atau ibadah umrah.

Semua keindahan hidup sebagai muslim bersama masyarakat muslim lain tidak berjaya menghalang kegiatan dosa besar di sisi Allah.  Semua kerna wang!  Saya yakin amat, jika yang disogok itu seketul daging babi, sekalipun diupah RM satu juta, mereka tidak akan memakannya atas sebab hukumnya haram!  Demikianlah wang hasil curi tidak dipandang hina  dan jijik, tetapi seketul daging babi dianggap sehabis-habis kesalahan besar.

Jika mereka didapati bersalah, mahu dihukum apa?  Mereka punya banyak wang, yang tujuh keturunan pun tidak habis buat kos makan di kedai nasi kandar.

Ada analogi yang pantas difikirkan.  Mereka itu, tidak sanggup memakan secebis daging babi biar berapa bayarannya.  Saya percaya, sebaliknya mereka sanggup membayar berapa saja asalkan tangannya tidak dipotong!

Potonglah tangan mereka.  Katakan ada 50 orang yang bersalah itu, potonglah semua tangan mereka.  Biar mereka menjadi OKU dan dipandang oleh masyarakat sebagai bahan pendidikan.  Membanteras kejahatan mencuri sudah tidak boleh disurahkan dalam puisi, cerpen atau ceramah agama.  Masyarakat perlu diajar dengan kesan fizikal akibat mencuri.  Apa lagi potonglah tangan mereka dan sewaktu tangan-tangan mereka akan dipotong, siarkan secara lanusung dalam mana-mana siaran televisyen.

Amerika marah? Apa peduli negara lain. Bukankah negara kita merdeka yang semua pemimpin mengatakan boleh menentukan apa yang terbaik untuk negara sendiri. 

Potonglah, sebab Allah yang menjadikan manusia termasuk tangannya sekali. Kalau Allah sudah mahu tangan itu dipotong, potong saja.

Maksud surah al-Ma’idah ayat 38: Orang lelaki atau perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya (sebagai)  balasan atas perbuatan yang mereka lakukan dan sebagai siksaan daripada Allah.  Dan Allah maha perkasa lagi maha bijaksana.

Jumaat, April 01, 2011

"AKU masih bermanja-manja..."

Cerita pertama: Sejak lima hari yang lalu ibu jari kanan saya membengkak, dan setiap kali saya pulang ke rumah ibu, pasti dia mahu melihat jari saya. Oh, untuk pengetahuan, hari-hari saya pulang ke rumah ibubapa walaupun kadang-kadang hanya untuk bertanya mengenai telur itik atau anak-anak ayamnya.  Kadang-kadang dalam sehari pernah sampai tiga kali saya ulang alik ke rumahnya.

Cerita kedua: Saya sedang menemukan sepasang suami isteri yang tua renta, punya banyak anak tetapi tak satu antara anak-anak itu yang meladeni seharian hidup masa tua mereka.  Yang menjadikan aneh kehidupan  sepasang suami-isteri itu ialah tahap komunikasinya yang sangat teruk.  Dalam sebuah rumah, tinggal berdua tetapi mereka tak bertegur sapa berlama-lama, entah sudah berapa tahun.  Saya pasti episod kehidupan hari tua begini bukanlah suatu yang mereka bayangkan semasa mudanya.


Sepasang suami isteri dengan anak yang banyak dan sebagian anak-anak punya pendidikan tinggi, tentulah menggambarkan masa hidup yang rukun dan aman damai sekian lama. Apabila anak-anak memisah kerna keperluan hidup dan kerjaya, si ibu yang paling terasa kehilangan.  Pemikiran dan perasaan orang yang renta tidaklah segagah semasa muda.  Entah, apakah anak-anaknya tidak berjaya menyelami pemikiran dan perasaan mereka atau semua mereka sudah terpaksa membiarkan kehidupan ibu bapanya begitu.

Rupa-rupanya, manusia pabila semakin renta, masanya adalah untuk bercerita dengan anak-anak serta saudara-mara yang terdekat.  Seperti ibu saya, dia akan duduk bercerita panjang banyak perkara dan saya mesti melayaninya.  Mungkin ada jurang pemikiran dan perasaan antara ibu dengan saya, tetapi dengan mendengari dan melayani sepatah dua kata, tampak keceriaan pada wajahnya!

Sesiapa pun akan rasa nelangsa melihat dan mengetahui keadaan ibu tua yang saya temui.  Bayangkan, hari-hari sudah tidak boleh berkomunikasi dengan baik terhadap suaminya, tidak ada anak-anak untuk dia menceritakan apa-apa.  Berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan dan mungkin sudah bertahun-tahun, menjadikan semua ruang perasaan dan pemikirannya terjejas teruk.  Akibat tekanan minda dan perasaan, dia dihidapi masalah sakit mental pula!

Yang boleh mengubati kesakitannya adalah suara anak-anaknya.  Dia mahu bercerita perihal masa dahulu, mengenai desanya yang sudah jauh berubah dan mengenai sanak saudara yang sudah bercucu-cicit.  Kalaulah ada seorang saja anak yang sanggup mendengar ceritanya sambil sedikit meladeni dengan suara kemanjaan, itulah penawar kedukaan ibu tua itu.

Seorang ibu, sampai ke usia berapa pun tetap mahu merasa anak-anak bermanja dengannya seperti masa-masa lalu.  Saya tak malu mendedahkan perangai saya yang lebih mengadu pening kepala dan jeri terseliuh pun kepada ibu berbanding isteri! Saat itu, saya merasa seperti anak kecil dan terbayang pula bagaimana layanan ibu sewaktu tenaganya masih gagah.  Dia tak banyak berubah melayani anak-anaknya!

Apa yang saya rasai dengan ibubapa, suatu yang pernah saya luahkan kepada seorang tua semasa saya masih muda.  Dia mendoakan agar saya menemukan apa yang dihajati terhadap kedua-dua ibu bapa.  Agaknya doa orang itu (sudah lama meninggal dunia) dimakbulkan Allah.

Selasa, Mac 29, 2011

ORANG tak beriman adalah pendusta besar!


Rencana ini dimulakan dengan rakaman wahyu Allah dalam al-Quran.  Saban waktu kita diperingatkan mengenai al-Quran sebagai panduan hidup.  Moga-moga dengan peringatan antara sesama kita, bertambahlah rasa takwa kepada Allah.

Maksud firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 70-71: Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalan-amalan kamu dan mengampuni dosa-dosamu.  Dan sesiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya, sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.

Orang kerap mengatakan masalah kebobrokan sosial manusia adalah hal biasa pada akhir zaman, beberapa ketika dunia sebelum kiamat.  Oleh itu kerap didengar orang beralasan ‘inilah keadaan akhir zaman’ untuk menggambarkan rasa putus asanya.  Hal ini menggambarkan apabila berlaku keburukan yang luar biasa, orang banyak diajak menerima situasi itu sebagai ‘keadaan biasa akhir zaman’.  Mujur orang yang pandai berkata-kata itu tidak menyeru kita untuk menyertai pesta keburukan atas alasan ‘akhir zaman’.

Media massa kerap kali menyiarkan kenyataan orang-orang besar dan ternama.  Yang menjegilkan mata orang biasa adalah apabila orang saling naïf-menafi sesuatu isu atau perkara untuk menggambarkan dirinya tidak terbabit dalam hal kebobrokan.  Dalam satu isu besar,  misalnya si A mengatakan si B yang melakukan.  Kemudian si B menafikan tuduhan itu.  Dalam hal lain, ada perkara benar telah berlaku dan amat memalukan.  Misalnya si C mengaku tahu hal itu melibatkan si D, namun si D menafikan pula.  Banyaklah perkara bersimpang siur, diperkatakan banyak orang sedangkan tidak pasti apa sebenarnya.

Oleh itu kembalilah kepada ayat di atas, namun itu untuk orang-orang yang beriman.  Kalau tidak beriman….ya silakan untuk menambah pendustaan di merata-rata.   Kepada yang beriman, yang mengaku dan mahu taat sebagai muslim, tentu mahu berkata benar!  Berkata benarlah walau pahit, mungkin selepas itu kita mati. Titik!

Ahad, Mac 27, 2011

DR Asri ajak berhimpun bertemakan antipolitik lucah!


ADAKAN PERHIMPUNAN ANTI POLITIK LUCAH
Saya mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor. Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek dalam kalangan politikus dan media di negara ini. Kita menentang POLITIK LUCAH dan POLITIK SELAK KAIN. Semua rakyat Malaysia yang bermaruah dan mempunyai harga diri sebagai manusia bertamadun menuntut perkara-perkara berikut;

1. Semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat. Ia adalah amalan jijik dan kotor. Samada dalam UMNO, PKR, PAS, DAP dan lain-lain, amalan ini hendaklah dihentikan segera. Ia dosa dan jijik; samada kerana memfitnah, ataupun mendedah aib peribadi orang. Ia bukan lambang kekuatan minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang lain.

2. Bahasa, perbuatan dan isyarat lucah dan kotor hendaklah tidak disebarkan kepada masyarakat awam negara ini. Ini akan menyebabkan generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif. Maka orang politik hendaklah bersopan dalam bahasa dan pertuturan. Mereka hendaklah bersih dari unsur-unsur kotor yang merupakan lambang pemikiran yang selekeh dan peribadi yang rendah. Mereka menjadi contoh kepada rakyat. Namun, sopan tidak menafikan ketegasan.

3. Media hendaklah menjadi wacana yang bermaruah, bukan penyumbang atau penggalak kepada budaya lucah dan kotor dalam politik. Media yang menggalakkan fitnah, atau pendedahan unsur lucah hendaklah dipulau oleh masyarakat bermaruah.

4. Ahli politik yang kita mahu ialah mereka yang mampu mencetuskan idea ke arah kebaikan negara, mampu memimpin rakyat dengan pemikiran yang bernas dan menzahirkan nilai-nilai diri yang positif. Mereka yang kontang idea, tiada nilai karismik dalam kepimpinan, gersang nilai budi dan adab hendaklah diusir dari pentas politik kita. Mereka yang sebeginilah yang akan cenderung mencari kelemahan peribadi musuh disebabkan gagal membina kekuatan diri.

5. Rakyat hendaklah bangkit menentang semua bentuk kezaliman dan penindasan hak, tanpa mengira agama, kaum dan parti. Bebas dari fanatik kepartian, tetapi menjadi manusia yang berprinsip dalam menegakkan kebenaran.

- Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Khamis, Mac 24, 2011

CERITA seks: Membiak prasangka dan dosa


Rencana ini dimulai dengan maksud catatan dalam al-Quran

Surah al-Hujurat ayat 6: Wahai orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa satu berita, maka telitilah kebenarannya agar kamu tidak mencelakakan satu kaum kerna kebodohan (kecerobohan) yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu.

Surah al-Hujurat ayat 12: Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka.  Sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah antara kamu yang mengumpat sebagian yang lain.  Apakah ada antara  kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik.  Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi maha penyayang.

 Anwar Ibrahim terpaksa menafikan beraksi lucah 
kerana prasangka sudah membiak ganas

Apa gunanya Allah menurunkan wahyu kepada manusia, kalau bukan untuk dijadikan panduan?  Demikianlah dua ayat Allah yang jelas, tidak perlu ditakwil pelbagai rupa untuk difahami artinya.  Hari-hari khabar atau berita menerjah masuk dalam minda, sama ada daripada orang sekeliling, media cetak atau media elektronik.  Bukan semua yang menyampaikan berita adalah orang yang berwaspada antara iman dan kufur, malah banyak yang tidak perdulikan anjuran dan amaran Allah.  Maka berlaku tukang-tukang bawa berita yang sengaja menyampaikan berita palsu, bentuk fitnah atau berita yang ditokok-tambah.

Entah berapa juta kali para ulama, ustaz, ilmuan, cerdik pandai, pendakwah dan para pengingat antara kita agar menjadikan al-Quran sebagai panduan.  Nah, dua ayat di atas sebagai panduan apabila mendengar berita.  Itupun jika kita merasakan ada iman kepada Allah, maka waspada dengan berita yang disampaikan oleh orang yang kita ketahui akhlaknya.  Jaga-jaga, kerna kita tahu dia ada rekod sebagai penipu dan penyebar fitnah!

Dalam politik, perjalanannya adalah berita dan suara.  Oleh itu politik sangat terdedah pada kepalsuan dan cerita yang ditambahkurangkan.  Orang-orang yang berpolitik, saling berebut mendapatkan sokongan orang banyak, maka banyaklah suara berita dan cerita dihambur untuk mendapatkan sokongan.  Teringat hadis nabi kira-kira berarti: Banyak bercakap, banyaklah dustanya. Banyak dustanya, banyaklah dosanya.  Dosa itu membawa ke neraka!

Kemudian, hal-hal yang tabu, selama boleh ditutup, tidak didedahkan kerana memalukan.  Seks itu selalu disembunyikan daripada bualan kerana hal itu menjadi rahsia peribadi.  Tanpa membaca nas agama pun Allah telah menjadikan fitrah manusia begitu.  Apabila hal seks difilemkan, tentulah amat mengaibkan.  Kalau tujuan difilemkan untuk memalukan seseorang, lagilah menjadi kegusaran banyak pihak.  Sampai ke tahap itukah orang yang mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat menggunakan filem seks yang masih samar-samar untuk menghancur-luluhkan peribadi dan kerjaya seseorang?

Dengan tersebarnya filem seks yang asalnya tabu, maka membuaklah prasangka dalam masyarakat.  Bukankah itu dosa besar?  Kemudian, bertambah pula dengan kerja-kerja mengumpat sebelah sana dan sini.  Itu pun bertambah lagi dosa besar!

Bagaimana anak-anak yang polos akan membesar dengan ketulusan jiwa dalam suasana masyarakat yang bobrok ini?  Ya Rabb….

Isnin, Mac 21, 2011

BANDINGKAN penjagaan akal agama sesat itu


BEBERAPA hari lepas di sebuah pekan kecil saya ditakdirkan melihat satu upacara ritual agama penyembah berhala.  Ritual agama ini merupakan satu cara mereka mendekatkan diri dengan tuhan dan menjadi sebaik-baik penganut agama berkenaan. Dalam upacara yang aman tetapi agak bising dengan paluan gendang, ada ikon yang berpakaian hanya menutupi bahagian paling dimalui dan  pipinya ditembusi besi panjang.  Ada grup pemain gendang, seorang penyanyi dan dua orang pembawa berhala yang dijunjung di atas kepala.  Yang lain sebagai pengikut dalam kemeriahan berkenaan.

Yang menjadi ikon itu tampak tidak siuman lagi, termasuk seorang yang menjunjung sebuah berhala!


Mereka itu semua adalah keturunan  Nabi Adam dan Hawa.  Mereka adalah manusia yang kejadiannya dimuliakan oleh pencipta agung iaitu Allah. Keperluan hidup mereka yang menyembah berhala adalah sama dengan yang muslim dan beriman kepada Allah.  Tetapi demikianlah, iblis telah menyesatkan mereka dalam beragama dan mereka berkeyakinan pula untuk menjadi hamba Tuhan mestilah melalui kepayahan yang pelbagai itu.

Marilah kita berfikir dengan rasional sahaja mengenai hal-hal sebegini.  Dalam amalan budaya hidup manusia bertamadun, pakaian merupakan unsur penting yang menaikkan martabat manusia.  Namun penganut agama itu memilih untuk mendedahkan tubuh badannya yang menjelekkan martabat tamadun sosial manusia. Akal rasional manusia mudah mengerti pekerti mulia melalui pakaian, anehnya ada ajaran agama yang menyarankan sebaliknya. Berdasarkan akal rasional yanag sihat, adakah kepercayaan seperti itu satu kebenaran?

Dalam ilmu kesihatan, sebaik-baik manusia ialah yang sempurna fizikal dan mindanya.  Mudahnya, orang yang fizikalnya sihat tetapi tidak siuman bukanlah manusia yang sempurna.  Dalam kehidupan biasa, semua orang mahu sentiasa sihat mentalnya, tidak dalam kelupaan apa lagi jika menjadi gila, tidak siuman.  Jika ada yang berkeadaan demikian, orang berkenaan akan dirawat.  Sepanjang dirinya menjadi ‘gila’ maruahnya runtuh sama sekali.

Tidakkah orang berfikir soal benar atau salah dengan kepercayaan agama yang memuliakan orang yang tidak siuman?  Rugilah orang-orang itu memilih agama yang memuliakan orang tidak siuman, yang sepatutnya dimasukkan dalam hospital sakit mental.

Adakah jalan pencerahan terhadap kepalsuan beragama ini?  Jawabnya ada dan Islam adalah pilihan yang menjaga segala hak, maruah, kesihatan mental dan fizikal.

Jika penganut agama itu memilih untuk menjadi tidak siuman agar diampunkan dosanya, penganut Islam ditawarkan kemuliaan dan kesihatan zahir batin orang-orang yang bertaubat.  Untuk bertaubat dalam Islam, cukup dengan meninggalkan perlakuan dosa dan berazam tidak mahu mengulanginya.

Islam begitu menjaga kemurnian akal manusia, bukan memusnahkannya! Malah dalam al-Quran Allah meminta manusia menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kejadian-kejadian di alam ini.  Ini amat berlawanan sekali dengan penganut agama berkenaan yang memuliakan orang tidak berakal.

Maksud firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 190-191: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, pertukaran siang dan malam ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.  Itulah orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah sewaktu mereka berdiri, duduk, berbaring, mengiring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata) ‘wahai Tuhan kami, Engkau tidak menjadikan semua benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab api neraka!

Harap-harap orang-orang yang tersesat dalam memilih jalan agama, berfikir dengan akal yang waras, membandingkan tawaran Islam yang mudah ditemui di sekitaran mereka.  Sesungguhnya, untuk menjadi hamba Tuhan yang baik atau merasa dekat dengan Tuhan bukanlah boleh dilakukan dengan mengikut kehendak perasaan, sebaliknya mesti menurut peraturan atau disiplin yang ditetapkan oleh Tuhan melalui utusan-utusan-Nya.

Kepada umat Islam, jangan bermegah dengan perbandingan ini kerana jika tidak waspada iblis juga akan menyesatkan amalan beragama yang disangka amalan terbaik untuk menjadi hamba Allah yang mulia.  Bid’ah dalam beragama merupakan jalan iblis yang menampakkan keindahan beribadah, walhal amalan itu palsu dan tidak berguna di sisi Allah.

Jumaat, Mac 18, 2011

MATI akal nak hentikan tabiat merokok


KHUTBAH Jumaat minggu ini di Selangor mengenai haramnya rokok!  Khutbah ini menerangkan haramnya merokok melalui fatwa kerajaan negeri Selangor, Majlis Fatwa Kebangsaan 1995, fatwa Dr Yusof Qardawi dan beberapa ulama kontemporari yang besar.  Seperti biasa, ayat quran diberikan.  Haramnya merokok juga tidak lari dari sudut sains, ekonomi dan sosial.  Yang belum dijelaskan haramnya rokok ialah dari sudut politik!



Berdasarkan isi khutbah memang menggerunkan pendengar. Rokok dan merokok adalah haram! Berapa banyak perkara haram dalam Islam.  Islam haramkan babi, habis semua yang berkaitan dengan babi dinyahkan, sampaikan direka hukum sentuh babi pula kena samak.  Sehelai bulu babi yang melekat di tayar kereta seorang imam masjid pasti boleh menjadi isu besar.  Tetapi seorang imam menghisap rokok, orang lain tumpang tersengih-sengih.

Ya, sebaik sahaja jemaah keluar masjid, sebagian yang memang sudah mencandui rokok tidak perduli apa-apa isi khutbah. Sama ada terus mengambil belakan dalam poket atau singgah di kedai mencari barang haram itu.  Haramnya rokok tidak seperti masyarakat menerima haramnya babi. Haramnya rokok seperti haramnya mengumpat, judi, rasuah dan beberapa perkara lain.  Maksudnya orang Islam yang berkopiah dan berjanggut yang melambangkan watak lelaki muslim yang warak juga masih boleh menghisap rokok, mengumpat, membeli nombor ekor, memberi dan menerima rasuah atau mencuri harta orang lain.

Haramnya rokok juga dianggap sama seperti haramnya meninggalkan solat dan berzina!  Berapa banyak muslim yang meninggalkan solat dan berzina tanpa rasa berdosa?  Haramnya rokok kepada muslim sama seperti rasa haramnnya wanita muslim mendedahkan auratnya.

Sekali lagi dingatkan, yang merokok, berjudi, rasuah, berzina, mengumpat, tidak solat dan bermacam-macam perbuatan haram dan berdosa, tidak dapat menandingi kehebatan haramnya babi! Haramnya babi menurut kitab adat Melayu, sampai terdengar jatuh hukum haram menyentuh babi!  Oleh itu kalau hendak mengharamkan rokok, pastikan penapis pada rokok itu adalah gumpalan bulu babi.


Cis, babi betul!

Rabu, Mac 16, 2011

MAAF, tiada bomoh di masjid!


USTAZ  dan ulama manakah yang menganjurkan seseorang muslim menemui bomoh untuk menyelesaikan masalahnya?  Tidak ada!  Malah ulama tidak pernah kering air liur dalam menasihati dan memperingatkan tentang keburukan menemui bomoh atau dukun.


Namun lihatlah budaya masyarakat Melayu Islam yang dikatakan kuat pegangan agamanya.  Untuk mengetahui tasawur Melayu mengenai perbomohan ini lihatlah pada imej yang dipaparkan dalam sasteranya. Maaf, sastera bukan hanya novel, cerpen dan puisi, malah drama dan filem adalah produk sastera.  Oleh itu lihatlah kebanjiran drama dan filem tempatan yang bertemakan perbomohan dan persepsi hantu.  Tidak cukup dengan hasil seni tempatan, diimport pula drama dari seberang yang di sana memang tema hantu dan misteri diterima secara normal.

Tidak kira sama ada seseorang itu berpendidikan tinggi atau tidak, kebanyakan mereka akan dipukau untuk menonton dan menghayati drama  dan filem hantu.  Mereka inilah pasaran yang luas kepada bomoh untuk melariskan produknya.  Seseorang bomoh tidak perlu mengiklankan khidmat sosialnya dalam media, cukuplah dia pernah membomohi seseorang dan yang seorang itu akan menjadi ejen iklan percuma di merata-rata. Iklan percuma ini disambung oleh pihak kedua dan seterusnya.  Bomoh ini pun terkenal terutama di luar mukimnya.

Sakit perut jumpa bomoh. Sakit gigi minta air penawar bomoh. Bayi menangis memang akan dipakaikan benang keramat. Demam minta dijampi oleh bomoh.  Kalau ada anak dara lewat tak bertemu jodoh, sahlah ibu bapanya disaran oleh jiran tetangga untuk dimandi bunga oleh bomoh.  Ada yang pasti mereka akan mencari bomoh sekalipun dia berpendidikan moden. Ya, kalau dia kehilangan barang, maka bomohlah dianggap Tuhan yang serba tahu alam ghaib!

Kehidupan seseorang bomoh memang pelik.  Semakin pelik, masyarakat semakin menerima dia adalah bomoh jempolan.  Semakin dia tidak mandi, semakin tidak pernah menjejak kaki ke masjid, maka itulah ciri keabsahan seseorang bomoh.  Kalau ada orang mengaku bomoh tetapi kerap solat berjemaah di masjid, pasti orang tidak percaya dia bomoh.  Maka jangan cari bomoh dalam masjid, tetapi carilah bomoh di hujung kampung, tepi hutan, dalam gua, yang cakapnya tidak tentu hala, giginya tidak bergosok dan pakaiannya kumal.  Hairan, manusia sebegitu dipercayai cakapnya!

Mungkin ada manusia bomoh yang mula sedar dirinya dikritik kerana berwatak menyeramkan dan dikatakan menyesatkan akidah para muslim.  Maka, bomoh tadi mula menukar penampilannya dan bergaul seperti orang biasa dalam masyarakat. Ya, dia boleh berlakon untuk menjadi manusia biasa dalam sosial masyarakat, tetapi percayalah dia tidak akan dapat berwatak seperti hamba-hamba Allah sejati.  Maka dia tidak berani pun menjadikan masjid sebagai rumah keduanya.  Oleh itu, pasti juga tidak ditemui bomoh dalam masjid!

Jangan pula orang yang kaki masjid mencari bomoh.

Khamis, Mac 10, 2011

LAGI orang selewengkan akidah mantan pelajar saya


SEORANG mantan pelajar saya mengadu kekeliruannya beragama.  Saya tidak menduga sama sekali yang dia sedang mengalami kekeliruan status keimanan dan keislaman dirinya.  Sebenarnya, pendidikan Islam yang diterima di sekolah sejak Darjah Satu hingga Tingkatan Lima, sudah boleh menjadikan sesiapa sahaja faham urusan akidah dan ibadah. Islam itu mudah dan pendakwah diseru oleh Rasulullah untuk mempermudahkan pemahaman agama ini.

 foto hanya hiasan

Lihatlah maksud dalil-dalil yang Allah dan rasul-Nya menyatakan Islam itu mudah dan pendakwah diseru mempermudah pengajaran agama.

Surah al-Baqarah: 185:  Allah mengkehendaki kamu mendapat kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu merasa susah.

Surah an-Nisa: 28:  Allah hendak meringankan (beban hukuman) daripada kamu kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

Sabda Rasulullah: Agama itu mudah.  Tiada seorang yang memberatkannya melainkan dia menjadi susah.  Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka. (riwayat Bukhari)

Mantan pelajar saya keliru nasibnya di akhirat, kerana difahamkan oleh ‘beberapa orang ustaz’ bahawa dirinya masih belum Islam!  Malah saya difahamkan bahawa dia dimaklumkan peng-Islaman Nabi Muhammad juga mengambil masa (agaknya berapa tahun ya, barulah Nabi Muhammad menjadi muslim!).  Oleh kerana yang mengatakan hal itu ‘ustaz’ maka dia mempercayainya dan mula bimbang dirinya yang percaya masih belum Islam.  Ajaran apa ini?  Selama ini dengan melafazkan ‘la ilaha illallah’ (tiada Tuhan melainkan Allah), faham benar-benar sehingga meninggalkan perkara syirik, muslimlah dia. Mahu apa lagi?

Inilah kali kedua pelajar saya diajar oleh orang yang mendakwa ustaz, yang akhirnya daripada telah faham agama (akidah dan ibadah)  begitu mudah dan menggembirakan bertukar kepada pemahaman yang rumit dan berada dalam dilema pula.

Apa lagi agaknya perkara-perkara pelik yang diajar ‘atas nama agama’ dan didakwa konon itulah sesempurna agama? 

Selasa, Mac 08, 2011

BAGAIMANA pelajar sekolah di sisi Allah?


DI daerah saya, Sabak Bernam dan negeri Selangor amnya kecenderungan ibu bapa muslim ialah menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama.  Oleh kerana Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berperanan dalam pendidikan agama, maka banyaklah sekolah agama menengah dibina.  Oleh itu banyaklah cuba ibu bapa tidak memilih sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang diurustadbir oleh kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebaliknya memilih pendidikan di sekolah agama menengah (SAM).

 foto hanya hiasan

Mengapa begitu?  Jawabnya ialah harapan tinggi ibu bapa terhadap pendidikan agama dan kurang percaya pula terhadap SMK.  Paling tidak kalau di desa, ibu bapa berkenaan akan berkata, “kalau pelajaran akademiknya tidak maju, pelajaran agamanya berguna untuk hidup”.

Sisi lain, persepsi mereka ialah SMK tidak Islamik berbanding SAM.  Pertumbuhan sekolah-sekolah rendah dan menengah agama swasta pula ada kaitan dengan persepsi yang sekolah kendalian kerajaan gagal memenuhi pendidikan Islam. Itu persepsi dan dakwaan mereka. Maka mereka bergotong-royong membina sekolah agama swasta.  Yang swasta ini kelihatan lebih mewah berbanding sekolah-sekolah agama pondok.

Bagaimana nasib anak-anak yang bersekolah di sekolah kebangsaan (SK) dan SMK?  Tidak menepati ajaran agamakah? Dan bagaimana pula guru-gurunya yang sebagian besar pemikiran dan tenaganya dicurahkan untuk mendidik anak-anak di sana, adakah mereka bersekongkol melaksanakan pendidikan yang dikatakan ‘tidak islamik’ itu?

Tafsiran saya mengenai hal ini ialah persepsi, yang dimasukkan dengan sentimen politik.  Pengaruh politik sangat kuat mempengaruhi persepsi seseorang dan kelompok masyarakat.  Oleh kerana SK dan SMK dikendalikan oleh KPM, maka dibaca sebagai sekolah sekular (baca sekolah itu sebagai pusat latihan Barisan Nasional).

Kadang-kadang, apabila kita berada dalam sesuatu skop pemikiran atau kelompok organisasi, ada kecenderungan untuk melihat di luar kandangnya sebagai tidak berguna.  Sama juga dengan orang ateis (tidak beragama) yang percaya tanpa agama pun akhlak manusia boleh dibina dengan baik. Para ateis membuktikan akhlak mereka untuk menidakkan ajaran agama.  Para ateis itu tidak sadar bahawa majoriti manusia yang beragama itu telah membina akhkak mulia sehingga sedikit yang ateis dapat menikmati keamanan dalam sosialisasinya.

Analogi ateis dan beragama itulah yang saya cuba fahamkan di sini.  Pihak pejuang agama membina sekolah agama, sekolah tahfiz dan sebagainya di samping memandang ‘senget’ SK dan SMK yang dikatakan tidak Islamik.  Tanpa disedari, kejayaan sekolah-sekolah ‘pure’ agama termasuk sekolah pondok adalah hasil juga kejayaan pelajar-pelajar keluaran SK dan SMK.  Yang banyak menjadi pakar dalam kejuruteraan, perubatan, kedoktoran, Fizik, Kimia, Seni reka, seni bina, pertanian, pertahanan, dan segala macam hal-ehwal hidup yang tidak dijuruskan oleh pendidikan agama begitu banyak diisi oleh lepasan SK dan SMK.

Habis, apakah keluaran SK dan SMK di sisi Allah?
Dalam satu hadis Rasulullah (maksudnya) ditanya, “seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah antara mereka yang berada di jalan Allah?  Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak) maka dia berada di jalan Allah.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam itu sering dikatakan bersifat alami, sejagat, meliputi segenap ruang dan pelbagai yang membawa erti keseluruhan.  Oleh itu semua pengetahuan termasuk yang keduniaan (kursus-kursus kemahiran tahap sijil, diploma dan ijazah) termasuk memenuhi keperluan hidup manusia (muslim). Dengan kemudahan peralatan kehidupan (yang juga dinikmati oleh pelajar-pelajar agama) juga termasuk menegakkan kalimah Allah.  Maka sesiapa sahaja yang ikhlas dalam kerjanya (termasuk yang mengali parit dan mengutip sampah!) termasuk mereka yang berada di jalan Allah.

Isnin, Mac 07, 2011

LEMBAPNYA pemikiran berdemokrasi


PILIHAN RAYA, sama ada yang besar-besaran atau yang kecil-kecilan sering disebut penanda aras amalan demokrasi.  Banyak negara mengamalkan pilihan raya, tetapi versinya berbeda-beda.  Sebenarnya, pilihan raya itu adalah untuk memilih wakil ke dewan perundang-undangan, bukan memilih ketua kawasan yang akan menjaga kebajikan masyarakat di kawasan kerkenaan.

 foto hanya hiasan

Lupakan pilihan raya di luar negara, lihat semula di dalam tanah air Malaysia.  Semakin lama, maksud pilihan raya sudah tersasar jauh daripada matlamat menghantar seorang ahli ke dewan perundang-undangan.  Pilihan raya sudah dilihat sebagai satu medan menurunkan janji pembangunan, melaksanakan pembangunan segera dan sejuta janji indah sebagai wakil rakyat.  Perhatikan, tidak ada janji calon pilihan raya untuk menjadi ahli dewan perundang-undangan yang berkesan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat (baca Parlimen) merupakan institusi yang menggubal undang-undang negeri dan negara.  Sepatutnya, semua calon yang terpilih untuk dipertandingkan dalam pilihan raya mestilah sudah mahir mengenai asas perundangan-undangan negara, prosedur mesyuarat dewan dan mempunyai kematangan berhujah.  Masyarakat sepatutnya dididik agar melihat demokrasi berpilihan raya merupakan penghantaran wakil yang berkesan untuk membawa pentadbiran negeri dan negara.

Sepanjang kempen pilihan raya untuk seseorang dipilih menjadi ahli dewan perundang-undangan, semua berfokus kepada janji untuk kemudahan sosial dan ekonomi masyarakat yang dipujuk mengundinya.  Walaupun itu cara untuk mendapatkan sokongan, tetapi cara itu merosakkan matlamat pilihan raya dan memesongkan pemikiran rakyat mengenai demokrasi.  Jika itulah yang mahu terus diamalkan dalam demokrasi pilihan raya kita,  terus kekalkah pemikiran kita dalam dunia ketiga yang tidak bergerak seinci pun ke arah kematangan dan ilmiah.  Semua ini dengan sengaja atau tidak sengaja dilakukan oleh ahli-ahli politik kita!

Lihatlah setiap diadakan pilihan raya, terutama yang kecil (PRK), pasti berlaku penaburan janji setempat, caci-mencaci dan pelbagai amalan tidak bertamadun.  Lihatlah berapa banyak laporan polis kerana kerja-kerja tidak senonoh itu.  Itulah yang berulang-ulang, maka tahap pemikiran demokrasi dan teori demokrasi berparlimen langsung tidak difahami oleh masyarakat.

Perkara ini memang sukar diubah kerana system berpilihan raya kita mendorong ke  arah berkenaan.  Maka dalam gegak gempita mendakwa amalan demokrasi, tidak lebih daripada sorak gempita peenyokong pasukan bola sepak yang memenangi perlawanan mereka!