Pengikut

Khamis, Oktober 19, 2017

AKIDAH Sifat 20 Cara falsafah Yunani


Di sekolah murid diajarkan tamadun Yunani purba. Telah dihafal beberapa tokoh ahli falsafahnya seperti Socrates,  Aristotle dan Plato. Digambarkan pemikirannya mereka menyumbang kemajuan intelektual dunia. Murid juga diajarkan sumbangan tamadun Islam zaman wangsa Abasiyyah. Pada Zaman inilah dibina Baitul Hikmah, pusat penterjemahan karya asing ke dalam bahasa Arab. Nah,  hasilnya pemikiran ahli falsafah Yunani diterima pakai oleh ahli akademik Islam zaman Abasiyyah, melahirkan ahli ilmu kalam. Mereka menggunakan metodologi falsafah Yunani untuk memahami sifat Allah dalam agama Islam.

Maka muncul pendapat bahawa alquran itu makhluk, bukannya kalamullah. Imam Ahmad bin Hanbal yang mempertahankan bahawa alquran itu kalamullah, bukannya makhluk menerima padah yang dahsyat daripada khalifah Abasiyyah waktu itu.

Muncul Imam Abul Hassan al Asy'ari (mati tahun 324H) menyanggah ideologi ahli kalam Muktazilah, tapi sebagiannya pemikirannya masih terperangkap dalam ilmu kalam, sehingga pada akhir usianya barulah Imam Abul Hassan kembali kepada manhaj Imam Ahmad bin Hanbal iaitu Ahlus sunnah. Namun para pengikut Imam Abul Hassan sekarang mengambil metodologi ahli kalam Imam Abul Hassan (Zaman Imam Abul Hassan menekuni ilmu Ibnu Kullab,  disebut Kullabiyah) sebelum imam itu mengikuti manhaj ahlus sunnah. Bagi kaum Asya'irah kini, ilmu kalam itulah manhaj ahlus sunnah dan orang yg  bermanhaj seperti para sahabat dan salafus salih dikata bukan ahlus sunnah. Ekstrimis Asya'irah terbuka menuduh pengguna manhaj salafus salih sebagai sesat akidah kerna tidak sama faham mereka yang menggunakan ilmu kalam pusaka dari Yunani. Sambil mengajarkan akidah Sifat 20, para ektrimis Asya'irah menuduh pendukung manhaj salafus salih sebagai wahabi dan mujasimah,  iaitu menyatakan Allah seperti makhluk yang bertubuh!

Sama ada mereka tahu kecelaruan manhaj Asya'irah sebagai ilmu kalam Yunani atau salah faham yang dianggap satu kebenaran berakidah, mereka sendiri yang tahu. 

asya'irah pilih ahli kalam

Foto hiasan
Imam Abul Hassan al Asy'ari (260-324H) adalah tokoh ulama Ahlus sunnah wal jamaah  pada abad ketiga Hijrah.

Sejak berusia 10 tahun sehingga 40 tahun,  beliau berfahaman Muktazilah. Beliau adalah ulama ahli kalam atau Muktazilah selain bapa tirinya yang juga guru beliau. Bapa tirinya ialah Abul Ali al Juba'i.

Pada usia 40 itu, Imam Abul Hassan al Asy'ari sangat berfikir tentang fahaman Muktazilah,  dan mengisytiharkan keluar daripada fahaman tersebut. Beliau mendakwa berfahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah, tetapi mengikuti pendirian Abdullah bin Saad bin Kullab. Pengikutnya dikenali sebagai Kullabiyah.  Pada waktu inilah Imam Abul Hassan al Asy'ari menetapkan tujuh sifat dzatiyah Allah iaitu Hayat, Ilmu, Qudrah,  Iradah,  Sam'a, Basyar  dan Kalam.

Menurut Sheikh Ibnu Taimiyyah,  Ibnu al Qayyim al Jauziyyah dan Sheikh Muhibuddin al Khatib bahawa Imam Abul Hassan al Asy'ari meninggalkan manhaj ahli kalam dan mengikuti aliran ahli hadis setelah berhijrah ke Baghdad. Pada peringkat ini beliau dikatakan menerima semua sifat  Allah tanpa tasybih, tamtsil,  takyif, dan tahrif. Inilah yang menjadi perbedaan antara ahli kalam dengan ahli hadis. Kitab "al Ibanah an Ushul ad Diyanah" dianggap kitab beliau yang terakhir,  yang menjelaskan pegangan akidahnya menyamai para sahabat Nabi Shallallahu alaihi wasallam.

Imam Abul Hassan al Asy'ari menjadi patokan ahli mazhab akidah Ahlus sunnah wal jamaah versi Asya'irah. Namun kebanyakan ahli Asya'irah memilih manhaj ahli kalam dan menolak manhaj ahli hadis. Mereka menggabungkan ajaran Imam Abul Hassan al Asy'ari yang tujuh dengan 13 lagi sifat Allah daripada Imam al  Mauturidi. Sebab itulah golongan ini menisbahkan Mazhab akidah mereka sebagai Asya'irah dan Mauturidiyah terkenal dengan pegangan Sifat 20.