Halaman

Khamis, Januari 30, 2014

KATANYA sahabat Nabi juga melawan khalifah

KAGET apabila seorang yang tersohor dalam agama memberikan bukti ‘penentangan’ ummul mukminin Saidatina A’isyah binti Abu Bakr, dua sahabat Nabi s.a.w. yang dijamin syurga iaitu Zubir al-Awam dan Talhah bin Ubaidillah sebagai kewajaran umat Islam hari ini melakukan penentangan terhadap pemerintah muslim yang ada.  Umum tahu dalam sistem demokrasi membenarkan penentangan terhadap mana-mana pihak termasuk mengadakan demontrasi sambil menjerit-jerit di tengah khalayak.

Sangat dikesalkan apabila mereka hendak memuaskan nafsu bertelingkah dan menjerit-jerit, maka menggunakan peristiwa Perang Jamal sebagai dalil bahawa dalam Islam dibenarkan memberontak kepada penguasa. Apa ertinya mereka berhujah dengan perang sesama muslim yang telah mengorbankan sehingga 10 ribu jiwa, kalau bukan mereka juga berniat membakar emosi masyarakat agar melakukan perlawanan semaksimum mungkin.  Dalam Perang Jamal dua sahabat Nabi s.a.w. yang dijamin syurga terbunuh, seolah-oleh cuba memberi gambaran kerja mencela, mengejek dan menghasut masyarakat terhadap penguasa muslim dengan sebab ‘penguasa bobrok’ sebagai jalan mulia.

Bukan sahaja mereka yang berhujah dengan Perang Jamal telah merendah-rendahkan kedudukan para sahabat Nabi s.a.w., malah turut memperpanjangkan lidah kaum syiah dan munafik dalam merosakkan fakta sebenar peristiwa Perang Jamal.

Mereka mengambarkan sepert isteri Nabi s.a.w., Talhal dan Zubair mahu ‘mengajar’ Khalifah Ali, walhal para pengulas sejarah yang adil seperti Ibnu Taimiyah, Ibnu Hazm dan Ibnu Katsir telah memberikan keadilan dan penjelasan yang benar.  Bahawa tujuan Saiditina A’isyah dan dua sahabat Nabi s.a.w. ke Basrah bukan untuk berperang, melainkan untuk membentuk kesatuan umah setelah melihat perpecahan pendapat yang seru akibat pembunuhan Khalifah Usman.  Bahawa Khalifah Ali juga tidak berniat hendak membabat semua muslim yang berada dalam kem A’isyah, malah mahu meraikan sebagai gabungan.  Tetapi kaum munafik yang membunuh Khalifah Usmanlah yang menjadi punca tercetus pertempuran dua pasukan muslim itu.

Penjelasan pengulas sejarah yang adil itu sangat tepat kerana para sahabat Baginda Nabi s.a.w. merupakan golongan yang diredai Allah. Ayat 111 surah Ali Imran menyatakan bahawa ‘kamu’ adalah umat terbaik daripada kalangan manusia disebabkan menyuruh berbuat baik dan mencegah kejahatan serta beriman kepada Allah.


Sangatlah tidak sopan kepada para sahabat Nabi s.a.w. dikatakan mereka bersikap menentang Khalifah, menggambarkan demokrasi cara kita hari ini dengan mencela dan menghina pemerintah muslim dengan dalil para sahabat juga melakukannya.  Walhal sudah jelas Allah mengharamkan perpecahan dan peperangan antara muslim.

Rabu, Januari 22, 2014

ANTARA munafik dan khawarij

DALAM Rahiq al-Makhtum (Sirah Nabawiyyah) banyak diceritakan tentang pengkhianatan kaum munafik di Madinah terhadap Nabi s.a.w. dan kaum muslimin, namun Nabi s.a.w. melarang para sahabatnya melakukan tindak kekerasan seperti membunuhnya.  Surah At-Taubah seolah-olah perisytiharan perang terhadap kaum ‘talam dua muka’ itu.


hanya hiasan

Allah mengharamkan Nabi s.a.w. dan kaum muslimin mensolati jenazah kaum munafik!  Ayat 84 surah At-Taubah bermaksud: Dan janganlah engkau (Muhammad) melaksanakan solat untuk seseorang yang mati Antara mereka (orang-orangmunafik), selama-lamanya dan janganlah engkau berdiri (mendoakan) di atas kuburnya. Sesunguhnya mereka ingkar kepada Allah dan rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.

Jika golongan munafik ialah pihak yang berpura-pura dalam Islam, sebaliknya golongan khawarij merupakan golongan yang sangat hebat dalam amal ibadahnya.  Sekalipun mereka tidak berada di sisi Nabi s.a.w. dan para sahabatnya, namun mereka adalah ahli ibadah yang tidak ada bandingannya. Berbeda dengan kaum munafik yang menjadi kafir apabila di belakang Nabi dan orang beriman.

Khawarij merupakan golongan yang mendakwa paling patuh terhadap perintah Allah dan pihak selainnya dianggap sebagai tidak sempurna keislamannya.  Kerana mereka begitu kuat melakukan amal ibadah, ada sebagian mereka menganggap Nabi s.a.w. tidaklah sehebat keimanan mereka.

Sewaktu Nabi s.a.w. membuat pembahagian harga rampasan Perang Hunain, terserlah sikap mendabik dadanya mereka terhadap seorang Nabi yang dimuliakan Allah.  Jika kaum ‘khawarij’ mencela antara sahabat Nabi, mungkin boleh diterima akal sebab yang mencela juga sama-sama di sisi Nabi, namun kali ini mereka mendakwa seorang Nabi Allah melakukan kemungkaran!

‘Si Khawarij’ mencela Rasulullah dengan kata hina! Dia meminta Rasulullah berlaku adil, sehingga kelihatan kemarahan pada wajab Baginda Nabi s.a.w.  Maka Nabi berkata, (maksudnya):

“Celakalah engkau, siapa lagi yang dapat berlaku adil jika aku dikatakan tidak adil? Benar-benar celaka dan rugi jika aku tidak dapat berlaku adil.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/442, no. 3341)
Kemudian orang tersebut pun berlalu pergi. Dalam riwayat yang lain setelah orang ini pergi, Rasulullah pun bersabda (kepada para sahabatnya yang hadir ketika itu):
“Sesungguhnya daripada orang ini akan muncul sekumpulan manusia yang hebat membaca al-Qur’an tetapi bacaannya tidak melepasi kerongkongan. Mereka terlepas dari batas-batas Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya (buruannya). Mereka membunuh ahlul Islam dan membiarkan hidup ahlul Autsan (penyembah berhala). Jika aku sempat menemui mereka, nescaya akan aku perangi (bunuh) mereka sebagaimana dibunuhnya kaum ‘Aad.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/441, no. 6880)

Nabi menyebut golongan berkenaan sangat hebat membaca al-Quran. Mereka akhirnya menjadi pencela pemerintah muslim dan melakukan kritikan terbuka. Di tangan merekalah benih-benih pemberontahan berkembang subur.  Pada zaman Hassan bin Ali bin Abi Thalib, beliau telah membunuh seorang ‘khawarij’ bernama Al-Jarrah bin Sinan kerana sikapnya itu.

Selasa, Januari 14, 2014

INILAH dalil Maulidur Rasul

AHLI masyarakat dan kawan-kawan menyambut Maulidur Rasul. Maka kebetulan hari cuti ceramah Maulud Nabi terus diadakan dalam sebuah masjid, khas untuk anak-anak sekolah. Penceramah mestilah seorang ahli agama sebagai autoriti bercakap hal keagamaan, walaupun sebenarnya majlis Maulud Nabi bukanlah satu majlis agama atau salah satu ibadah khusus dalam Islam. Rasional saya mengatakan Maulud Nabi bukan hal keagamaan atau ibadah khusus sebab majlis seperti ini hanya diadakan oleh kalangan umah setelah 700 tahun baginda Nabi wafat.  Jika benar majlis itu adalah ibadah khusus dan berpahala besar atau barkahnya tinggi, rugi besarlah umat selama 700 tahun yang terdahulu!


Maka Maulud Nabi hanyalah salah satu adat dalam masyarakat. Adat yang dikaitkan dengan agama.  Sang Penceramah mengambil kesempatan untuk memberitahu khalayak di hadapan anak-anak sekolah mengenai dalil sambutan Maulud Nabi. Katanya sudah ada yang bertemu dirinya untuk memberitahu Maulud Nabi tidak ada asasnya dalam agama.

Beliau menjelaskan ‘dalil’ sambutan Maulud Nabi. Katanya dalil itu ada dalam kitab Rawi yang kelima.  Beliau pun membacakan Rawi Kelima berlagu dalam Bahasa Melayu yang disambut kalimah ‘Allah’ secara berlagu oleh khalayaknya.  Lagu yang dibawa ialah lagu dalam bacaan Barzanji.

Saya percaya yang dinamakan dalil beragama ialah firman Allah dalam al-Quran atau hadis sahih Nabi s.a.w.  Dalam rawi yang dibacakan itu bukanlah dalil ayat-ayat al-Quran ataupun hadis Nabi s.a.w.  Antaranya beliau membacakan bahawa Baginda Nabi dilahirkan terus tertiarap dan tidak dapat diangkat oleh bidan-bidan yang ada, kerna sangking beratnya bayi yang bernama Muhammad bin Abdullah. Sehinggalah apabila bayi itu ditutupi dengan kain barulah bayi Muhammad dapat diangkat, sebab katanya Muhammad malu untuk memperlihatkan auratnya (baca kemaluan) sebagaimana bayi biasa dilahirkan.  Dia juga membacakan yang ibu Nabi s.a.w. iaitu Aminah binti Abdul Wahhab tidak berasa sakit apabila saat melahirkan bayinya itu.  Kelahirannya tidak disertai setitik darahpun!  Itulah Antara dalil dalam Rawi Kelima

Saya boleh menerima Maulud Nabi sebagai salah satu adat resam Melayu, tetapi menyatakan tulisan buku sejarah sebagai dalil agama sangat keterlaluan. Berapa banyak orang termasuk anak-anak sekolah yang akan menerima pakai ‘dalil’ hanya berdasarkan tulisan dalam sesebuah buku. Malah dalam buku berkenaan tidak pun dinyatakan suruhan menjadikan hari lahirnya suatu yang istimewa. Di sana hanya cerita kelahiran. Adalah lebih baik Maulud Nabi dikatakan satu adat Melayu, bukan agama. Maka semua orang tidak terbeban memberikan hujah ‘agama’.

Yang kedua ialah keunikan kelahiran  dan bayi baginda Nabi s.a.w.  Oleh kerna digambarkan betapa luar biasanya kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. (tidak seperti kelahiran bayi manusia yang lain), maka sangat dituntut supaya pencerita kisah seperti itu menyertakan sumber sahihnya, berupa ayat-ayat al-Quran atau hadis sahih.  Jika tidak ada dalil autentik, kisah sebegitu akan sama taraf dengan kisah kelahiran anak raja dalam hikayat-hikayat lama. Misalnya dalam buku Sejarah Melayu diberitakan lahirnya tiga anak Raja Suran di dasar laut. Kemudian mereka membesar menjadi lelaki hebat, salah satunya bernama Sang Sapurba merupakan keturunan Raja-raja Melaka. Atau kisah-kisah kelahiran anak raja dalam hilayat lain seperti, apabila lahir maka patah gelegar lantai atau lahirnya bersama sebilah pedang! 

Bukan pelik kelahiran seorang Nab tidak seperti bayi manusia laini, sebagaimana kelahiran Nabi Isa.  Nabi Isa boleh bertutur memberitahu orang ramai bahawa beliau seorang utusan Allah sewaktu masih bayi lagi. Kita boleh membuka al-Quran surah Ali Imran dan Maryam, cerita Nabi Isa yang sama.

Apa susahnya penceramah sebagai orang yang mendalami agama bertahun-tahun memberikan dalil al-Quran atau hadis sahih (jika beliau percaya ada) supaya menjadi ilmu yang benar kepada anak-anak muda dan ahli masyarakat.

Ahad, Januari 12, 2014

BERTERUS-teranglah, Bible itu untuk orang Melayu

SELAMA enam tahun saya bekerja bergaul dengan masyarakat Cina  kawasan bandar, saya belum pernah mendengar ibu bapa mereka bertutur Bahasa Melayu kepada anak-anaknya. Jika tidak bertutur dalam Bahasa Mandarin, pasti mereka bertutur dalam Bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah lumrah dan terbawa-bawa pula di sekolah. Misalnya, apabila anak-anak sekolah menguruskan majlis untuk Pengawas sekolah di sebuah hotel, mereka tidak menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan walaupun majlis itu berkaitan tugas murid di sebuah sekolah kerajaan.


Juga tidak aneh, anak-anak muda masyarakat Cina menggunakan nama Inggeris di hadapan namanya, misalnya Raymond Tan Meng Hua.  Mungkin yang mempunyai nama Inggeris beragama Kristian, rupa-rupanya tidak. Sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat Cina di Bandar menjadikan Inggeris-Amerika sebagai budaya hidup, bukannya budaya Melayu.

Oleh itu apabila pihak gereja berkeras mahu mencetak kitab Bible mereka dalam Bahasa Melayu, semua yang berpengetahuan seperti saya akan kaget dan menduga pelbagai perkara. Persepsi pertama ialah  pihak gereja memang mahu mensasarkan Bible Bahasa Melayu kepada pembaca Melayu.  Untuk apa Bible Bahasa Melayu dibaca oleh masyarakat Melayu, tentulah untuk mendedahkan kandungan Bible kepada Orang Melayu.

Antara rakan saya dalam tempoh bekerja di sana ialah seorang lelaki yang sangat agresif menyebarkan ajaran Kristian. Hari pertama ditempatkan, tempat duduknya bersebelahan dengan tempat duduk saya. Barang pertama diletakkan di atas meja ialah majalah agama Kristian dan Bible, semuanya dalam Bahasa Inggeris.  Dia memang sangat berminat menjelaskan aktiviti keagamaannya kepada saya.  Termasuk juga menerangkan mengenai ajaran agama yang dianutnya.  Tidak beberapa lama ditemukan banyak kitab Bible saiz kecil di banyak kawasan sekolah, seolah-olah sesiapa saja boleh mengambilnya. Pihak atasan mengesyaki dia, tetapi saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku selepas itu.  Jika benar dia yang melakukanhya, ini menggambarkan betapa istiqamahnya beliau cuba menyebarkan ajaran agamanya.

Untuk rekod, sebelum saya bertemu lelaki berkenaan saya sudah pun membaca Bible.  Dengan modal pengetahuan itu, beranilah saya dan seorang rakan menduga-duga dan mengajak dia berbincang berkenaan Bible.  Memang dia suka, cuma apabila kami membuktikan cerita-cerita porno dan pertentangan antara satu ayat dengan ayat lain, dia memberi tempoh untuk menjelaskannya. Sejak itu dia mengelak apabila diajak berbincang mengenai Bible!


Jadi Bible Bahasa Melayu yang terdapat kalimah Allah untuk siapa?

Sabtu, Januari 11, 2014

Sempena Maulid Nabi: Ada hadis dipersoalkan kewajarannya?

Sambutan Maulidur Rasul di kota Solo, Indonesia
APA ertinya merayakan kelahiran Rasulullah s.a.w.? Selalunya kita diajak untuk mencintai baginda Rasulullah Nabi Muhammad s.a.w..  Cinta lawannya benci.  Cinta tentulah ada bukti yang jelas dan orang yang menyatakan cinta mestilah melakukan pengorbanan.  Tanyalah orang muda mengenai cinta dan kasih sayang!

Apa kenyataan Allah swt terhadap manusia bernama Muhammad yang dilantik sebagai rasul di muka bumi? Ini Antara ayat Allah yang menyatakan kedudukan baginda Nabi s.a.w.

Maksud ayat 1-4 surah an-Najm:  Demi bintang ketika terbenam.  Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak (pula) keliru. Dan tidaklah yang diucapkan itu (al-Quran) menurut keinginannya.  Tidak lain (al-Quran itu) adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Maksud ayat 65 surah an-Nisa’: Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa yang engkau berikan, dan mereka menerima sepenuhnya.

Maksud ayat 80 surah an-Nisa’:  Sesiapa yang mentaai Rasul (Muhammad) maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah.  Dan sesiapa berpaling (daripada ketaatan itu) maka (ketahuilah) Kami tidak mengutusmu (Muhammad) untuk menjadi pemelihara mereka.

Maksud ayat 20 surah al-Anfal: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya, padahal kamu mendengar (perintah-perintah-Nya).


Apabila kita tidak ada kepentingan yang berlawanan dengan al-Quran dan hadis Nabi, kita dengan mudah menerima peringatan daripada sabda Nabi s.a.w. Misalnya hadis ini.

Sabda Baginda s.a.w. bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (HR  Muslim)  

Kita  semua mahu mempunyai jiran-tetangga yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.  Bukan saja itu, malah kalau boleh, jiran kita itulah yang akan menolong kita jika kita ditimpa kesusahan.  Oleh itu mudah kita menerima sabda Nabi yang ini.

Namun apabila kita ada kepentingan iaitu hal yang berlawanan dengan keinginan dan pendirian yang dipegang dan diperjuangkan selama ini, jadi keberatan pula menerimanya.  Maka mudah pula muncul ayat-ayat yang mempersoalkan kewajarannya (kewajaran hadis) itu untuk diterima pakai.

Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”. (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Hadis di atas jelas menerangkan rakyat muslim wajib mentaati pemerintah dan Rasulullah menghalang rakyat daripada melawan atau memberontak pemerintah sekalipun pada anggapan rakyat pemerintah muslim itu melakukan banyak kesalahan.  Saranan baginda Rasulullah ini sukar diterima oleh golongan yang terlibat dalam politik demokrasi sebagai pembangkang.  Banyak soal-jawabnya apabila dinyatakan hadis yang ini.

Namun bagi golongan pemerintah, hadis ini menjadi kesukaannya dan dibacakan di mana-mana khasnya dalam khutbah Jumaat.  Tentulah disebabkan sabda Nabi itu bakal menyelamatkan kedudukannya sebagai pemimpin atau pemerintah daripada diganggu-gugat oleh rakyat.  Apa sekalipun niat pemerintah terhadap hadis berkenaan, rakyat wajib mentaati pemerintah muslim.

Bagaimana jika tidak suka dengan hadis-hadis yang mewajibkan mentaati pemerintah sedangkan selama ini dia bergitu gigih berjuang dalam sistem demokrasi melawan pemerintah? Jawabnya, jika benar cintakan Nabi, patuhilah nasihat Nabi yang kita cintai itu. Jika perasaannya masih rusuh untuk menerimanya, tetapi menerimanya juga disebabkan itu sabda Nabi, maka itulah namanya ‘pengorbanan demi cinta’, demi cinta Nabi!

Bagaimana pula dengan larangan Nabi s.a.w. yang berlawanan dengan kepentingan kita? Elok ditinggalkanlah sebagai tanda cinta dan kesanggupan berkorban untuk Nabi.

Rabu, Januari 08, 2014

MUDAH menipu atas nama agama

JIKA seorang petani atau peguam melakukan penipuan untuk supaya orang lebih menghormati dirinya tidaklah dikira sangat teruk berbanding orang agama melakukan penipuan yang sama.

Jika akhbar harian yang tidak dikaitkan dengan suara Islam melakukan penipuan fakta, tidaklah seburuk akhbar yang mendakwa bertemakan Islam melakukan penipuan.
 
Gaya penerbitan seorang 'ulama' terkenal

ambil foto 2009 untuk peristiwa tahun 2013

bukan akhbar Islam, tak apalah agaknya...

Jika orang bukan berimej agama melakukan perbuatan keji seperti mencuri, dengan mudah dia mengakuinya kerna sejahat-jahat orang tetap mengakui mencuri adalah perbuatan salah dari sudut agama.  Namun apabila orang agama melakukan penipuan agama sukar dikesan kesalahannya. Pertama disebabkan masyarakat tidak mengesyaki orang agama akan menipu dengan mencipta satu amalan agama cara baru.  Kedua, orang berimej agama sendiri dengan mudah mempertahankan diri dengan imej agama yang dipegangnya selama ini.

amalan tanpa sandaran hadis
 Yang dilakukan oleh orang agama kecil di desa tidak terkecuali, semua mudah atas nama agama atau serban di kepala.


Sebenarnya itulah yang telah berlaku.

Sabtu, Januari 04, 2014

APA yang Islam dapat dengan demontrasi?

PERHIMPUNAN yang dinamakan TURUN tamat sudah.  Mereka berdemo mendesak kerajaan menurunkan semua kos sara hidup rakyat. Tidak tahulah sama ada kerajaan akan melayan semua atau beberapa perkara yang diminta.  Saya yakin, jika semua desakan mereka dipenuhi oleh kerajaan yg berkuasa di Putrajaya pun, para pemimpin dan semua pendemo masih tidak puas hati.  Ini keyakinan saya lebih 100 peratus.  Nafsu tidak pernah puas!


Sejak tahun 1988, Malaysia kerap sangat diwarnai dengan demontrasi, dan yang paling terlibat dalam semua demontrasi ini adalah orang Melayu yang berakidah Islam.  Mungkin benar, apa yang dituntut dalam siri demontrasi itu terhasil, tetapi apakah hasil yang diterima oleh Islam sebagai agama yang sejahtera?

Demontrasi adalah antara siri kemuncak pertelagahan antara dua pihak (seterusnya ialah peperangan atau pembunuhan).  Oleh kerana yang melakukan demontrasi kebanyakannya adalah muslim, malah antara yang menjadi kepala demontrasi adalah orang yang dikenali sebagai ulama atau ustaz, maka patut ditanya dan dijawab dengan jujur oleh semua muslim mengenai kesan siri demontrasi di negara kita.

Apakah dengan demontrasi, telah meningkatkan imej Islam sebagai agama yang sejahtara dan menawarkan keamanan?

Apakah dengan demontrasi telah meningkatkan tahap pemahaman  muslim bahawa Islam adalah Islam adalah agama  yang  toleran dan mementingkan musyawarah dalam urusan umah?

Apakah dengan demontrasi telah berjaya menguatkan kesatuan umah yang didakwa bahawa Islam merupakan penyatu manusia, apa lagi kepada orang Melayu?

Cukuplah kepada tiga persoalan itu, hakikatnya Islam sebagai agama yang sejahtara, mengutamakan musyawarah dan perpaduan terjejas teruk.  Memang tidak ada statistik sebagai satu indeks ‘terjejasnya’ imej Islam, tetapi indikator-indikator yang ditunjukkan oleh segelintir penentang Islam adalah antara  yang terserlah. Tanpa merujuk wahyu Allah pun, akal manusia dapat membuat kesimpulan: Apabila tahap pertelagahan antara sesama muslim semakin teruk, maka musuh Islam semakin garang terhadap Islam!

Pemerintah adalah muslim, mengapa sebagian muslim menjadi penentang kepada pemerintah muslim? Jika penentang mahu menjadi pemerintah juga, janganlah keluar daripada kelompok pemerintah. Duduklah dalam kelompok pemerintah, berpakat sesama pemimpin bagaimana memerintah negara.  Jika keluar daripada kelompok pemerintah, maka peluang memberi sumbang-saran dengan lebih berkesan semakin kecil.  Mudah cakap, siapa hendak dengar cakap musuh!

Allah telah merakamkan kewajiban taat kepada pemerintah dalam ayat 59 surah An-Nisa.  Di Malaysia, pemerintah sebenar adalah eksekutif, sementara Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang menerima nasihat daripada ketua eksekutif.  Jika banyak tidak setuju dengan pemerintah pun, Islam tidak membenarkan menentang pemerintah, memperolok-olok, menghina atau membuat kekacauan dengan maksud menyusahkan pemerintah muslim.

Antara hadis nabi berkenaan rasa benci terhadap pemerintah dan sikap yang sepatutnya dalam kalangan umah ialah:
عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول الله أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال ( لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا تكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة )
Maksudnya: Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”. (HR Muslim dan Ahmad)

Kemudian kepada pemimpin organisasi massa atau orang yang bijak dalam kalangan umah hendak menasihati pemimpin, bukanlah dengan membuat ‘nasihat’ di hadapan khalayak sebagaimana sekarang. Mereka hendaklah melakukan secara tertutup, supaya maruah pemimpin terhadap rakyat terjaga.

Nabi sudah bersabda:
من أراد أن ينصح لذى سلطان بأمر فلا يبدله علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فان قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه
Maksudnya: “sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia (penasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya”. (HR Ahmad)

Ambil iktibar terhadap kedudukan Raja-raja Melayu yang tidak boleh dikritik secara terbuka, walhal semua baginda adalah manusia, keturunan Nabi Adam sebagaimana rakyat lain.  Sebagai manusia seperti rakyat, tugasnya sebagai Ketua Negeri  dan peribadinya juga terdedah kepada kesalahan. Undang-undang yang menghalang rakyat daripada mempersoalkan apa juga berkaitan baginda Raja-raja supaya maruahnya tidak tercemar di mata rakyat.  Sesiapa yang hendak menasihati baginda Raja-raja, mestilah secara tertutup atau istilah dalam hadis ‘peganglah tangannya’.

Ambil iktibar juga peraturan dalam semua parti politik yang tidak membenarkan ahli-ahlinya mengkritik kesalahan pemimpin-pemimpin parti berkenaan secara terbuka.  Pemimpin kecil atau ahli masih boleh mengkritik atau menasihati pemimpin besar mereka, tetapi mestilah secara dalaman atau istilah dalam hadis ‘pegang tangannya’.  Tujuan peraturan dalam parti sebegitu rupa, supaya maruah pemimpin besar mereka tidak tercemar dan menjadi bahan ejek ahli-ahli lain.


Mengapa pemimpin-pemimpin negara yang nyata muslim tidak diberikan hak itu oleh sebagian pemimpin di luar kerajaan?