Halaman

Khamis, Januari 30, 2014

KATANYA sahabat Nabi juga melawan khalifah

KAGET apabila seorang yang tersohor dalam agama memberikan bukti ‘penentangan’ ummul mukminin Saidatina A’isyah binti Abu Bakr, dua sahabat Nabi s.a.w. yang dijamin syurga iaitu Zubir al-Awam dan Talhah bin Ubaidillah sebagai kewajaran umat Islam hari ini melakukan penentangan terhadap pemerintah muslim yang ada.  Umum tahu dalam sistem demokrasi membenarkan penentangan terhadap mana-mana pihak termasuk mengadakan demontrasi sambil menjerit-jerit di tengah khalayak.

Sangat dikesalkan apabila mereka hendak memuaskan nafsu bertelingkah dan menjerit-jerit, maka menggunakan peristiwa Perang Jamal sebagai dalil bahawa dalam Islam dibenarkan memberontak kepada penguasa. Apa ertinya mereka berhujah dengan perang sesama muslim yang telah mengorbankan sehingga 10 ribu jiwa, kalau bukan mereka juga berniat membakar emosi masyarakat agar melakukan perlawanan semaksimum mungkin.  Dalam Perang Jamal dua sahabat Nabi s.a.w. yang dijamin syurga terbunuh, seolah-oleh cuba memberi gambaran kerja mencela, mengejek dan menghasut masyarakat terhadap penguasa muslim dengan sebab ‘penguasa bobrok’ sebagai jalan mulia.

Bukan sahaja mereka yang berhujah dengan Perang Jamal telah merendah-rendahkan kedudukan para sahabat Nabi s.a.w., malah turut memperpanjangkan lidah kaum syiah dan munafik dalam merosakkan fakta sebenar peristiwa Perang Jamal.

Mereka mengambarkan sepert isteri Nabi s.a.w., Talhal dan Zubair mahu ‘mengajar’ Khalifah Ali, walhal para pengulas sejarah yang adil seperti Ibnu Taimiyah, Ibnu Hazm dan Ibnu Katsir telah memberikan keadilan dan penjelasan yang benar.  Bahawa tujuan Saiditina A’isyah dan dua sahabat Nabi s.a.w. ke Basrah bukan untuk berperang, melainkan untuk membentuk kesatuan umah setelah melihat perpecahan pendapat yang seru akibat pembunuhan Khalifah Usman.  Bahawa Khalifah Ali juga tidak berniat hendak membabat semua muslim yang berada dalam kem A’isyah, malah mahu meraikan sebagai gabungan.  Tetapi kaum munafik yang membunuh Khalifah Usmanlah yang menjadi punca tercetus pertempuran dua pasukan muslim itu.

Penjelasan pengulas sejarah yang adil itu sangat tepat kerana para sahabat Baginda Nabi s.a.w. merupakan golongan yang diredai Allah. Ayat 111 surah Ali Imran menyatakan bahawa ‘kamu’ adalah umat terbaik daripada kalangan manusia disebabkan menyuruh berbuat baik dan mencegah kejahatan serta beriman kepada Allah.


Sangatlah tidak sopan kepada para sahabat Nabi s.a.w. dikatakan mereka bersikap menentang Khalifah, menggambarkan demokrasi cara kita hari ini dengan mencela dan menghina pemerintah muslim dengan dalil para sahabat juga melakukannya.  Walhal sudah jelas Allah mengharamkan perpecahan dan peperangan antara muslim.

1 ulasan: