Halaman

Sabtu, Januari 04, 2014

APA yang Islam dapat dengan demontrasi?

PERHIMPUNAN yang dinamakan TURUN tamat sudah.  Mereka berdemo mendesak kerajaan menurunkan semua kos sara hidup rakyat. Tidak tahulah sama ada kerajaan akan melayan semua atau beberapa perkara yang diminta.  Saya yakin, jika semua desakan mereka dipenuhi oleh kerajaan yg berkuasa di Putrajaya pun, para pemimpin dan semua pendemo masih tidak puas hati.  Ini keyakinan saya lebih 100 peratus.  Nafsu tidak pernah puas!


Sejak tahun 1988, Malaysia kerap sangat diwarnai dengan demontrasi, dan yang paling terlibat dalam semua demontrasi ini adalah orang Melayu yang berakidah Islam.  Mungkin benar, apa yang dituntut dalam siri demontrasi itu terhasil, tetapi apakah hasil yang diterima oleh Islam sebagai agama yang sejahtera?

Demontrasi adalah antara siri kemuncak pertelagahan antara dua pihak (seterusnya ialah peperangan atau pembunuhan).  Oleh kerana yang melakukan demontrasi kebanyakannya adalah muslim, malah antara yang menjadi kepala demontrasi adalah orang yang dikenali sebagai ulama atau ustaz, maka patut ditanya dan dijawab dengan jujur oleh semua muslim mengenai kesan siri demontrasi di negara kita.

Apakah dengan demontrasi, telah meningkatkan imej Islam sebagai agama yang sejahtara dan menawarkan keamanan?

Apakah dengan demontrasi telah meningkatkan tahap pemahaman  muslim bahawa Islam adalah Islam adalah agama  yang  toleran dan mementingkan musyawarah dalam urusan umah?

Apakah dengan demontrasi telah berjaya menguatkan kesatuan umah yang didakwa bahawa Islam merupakan penyatu manusia, apa lagi kepada orang Melayu?

Cukuplah kepada tiga persoalan itu, hakikatnya Islam sebagai agama yang sejahtara, mengutamakan musyawarah dan perpaduan terjejas teruk.  Memang tidak ada statistik sebagai satu indeks ‘terjejasnya’ imej Islam, tetapi indikator-indikator yang ditunjukkan oleh segelintir penentang Islam adalah antara  yang terserlah. Tanpa merujuk wahyu Allah pun, akal manusia dapat membuat kesimpulan: Apabila tahap pertelagahan antara sesama muslim semakin teruk, maka musuh Islam semakin garang terhadap Islam!

Pemerintah adalah muslim, mengapa sebagian muslim menjadi penentang kepada pemerintah muslim? Jika penentang mahu menjadi pemerintah juga, janganlah keluar daripada kelompok pemerintah. Duduklah dalam kelompok pemerintah, berpakat sesama pemimpin bagaimana memerintah negara.  Jika keluar daripada kelompok pemerintah, maka peluang memberi sumbang-saran dengan lebih berkesan semakin kecil.  Mudah cakap, siapa hendak dengar cakap musuh!

Allah telah merakamkan kewajiban taat kepada pemerintah dalam ayat 59 surah An-Nisa.  Di Malaysia, pemerintah sebenar adalah eksekutif, sementara Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang menerima nasihat daripada ketua eksekutif.  Jika banyak tidak setuju dengan pemerintah pun, Islam tidak membenarkan menentang pemerintah, memperolok-olok, menghina atau membuat kekacauan dengan maksud menyusahkan pemerintah muslim.

Antara hadis nabi berkenaan rasa benci terhadap pemerintah dan sikap yang sepatutnya dalam kalangan umah ialah:
عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول الله أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال ( لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا تكم شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة )
Maksudnya: Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”. (HR Muslim dan Ahmad)

Kemudian kepada pemimpin organisasi massa atau orang yang bijak dalam kalangan umah hendak menasihati pemimpin, bukanlah dengan membuat ‘nasihat’ di hadapan khalayak sebagaimana sekarang. Mereka hendaklah melakukan secara tertutup, supaya maruah pemimpin terhadap rakyat terjaga.

Nabi sudah bersabda:
من أراد أن ينصح لذى سلطان بأمر فلا يبدله علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فان قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه
Maksudnya: “sesiapa yang hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya terang-terangan tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki, jika tidak maka dia (penasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya”. (HR Ahmad)

Ambil iktibar terhadap kedudukan Raja-raja Melayu yang tidak boleh dikritik secara terbuka, walhal semua baginda adalah manusia, keturunan Nabi Adam sebagaimana rakyat lain.  Sebagai manusia seperti rakyat, tugasnya sebagai Ketua Negeri  dan peribadinya juga terdedah kepada kesalahan. Undang-undang yang menghalang rakyat daripada mempersoalkan apa juga berkaitan baginda Raja-raja supaya maruahnya tidak tercemar di mata rakyat.  Sesiapa yang hendak menasihati baginda Raja-raja, mestilah secara tertutup atau istilah dalam hadis ‘peganglah tangannya’.

Ambil iktibar juga peraturan dalam semua parti politik yang tidak membenarkan ahli-ahlinya mengkritik kesalahan pemimpin-pemimpin parti berkenaan secara terbuka.  Pemimpin kecil atau ahli masih boleh mengkritik atau menasihati pemimpin besar mereka, tetapi mestilah secara dalaman atau istilah dalam hadis ‘pegang tangannya’.  Tujuan peraturan dalam parti sebegitu rupa, supaya maruah pemimpin besar mereka tidak tercemar dan menjadi bahan ejek ahli-ahli lain.


Mengapa pemimpin-pemimpin negara yang nyata muslim tidak diberikan hak itu oleh sebagian pemimpin di luar kerajaan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan