AHLI masyarakat dan kawan-kawan menyambut Maulidur
Rasul. Maka kebetulan hari cuti ceramah Maulud Nabi terus diadakan dalam sebuah
masjid, khas untuk anak-anak sekolah. Penceramah mestilah seorang ahli agama
sebagai autoriti bercakap hal keagamaan, walaupun sebenarnya majlis Maulud Nabi
bukanlah satu majlis agama atau salah satu ibadah khusus dalam Islam. Rasional
saya mengatakan Maulud Nabi bukan hal keagamaan atau ibadah khusus sebab majlis
seperti ini hanya diadakan oleh kalangan umah setelah 700 tahun baginda Nabi
wafat. Jika benar majlis itu adalah
ibadah khusus dan berpahala besar atau barkahnya tinggi, rugi besarlah umat
selama 700 tahun yang terdahulu!
Maka Maulud Nabi hanyalah salah satu adat dalam
masyarakat. Adat yang dikaitkan dengan agama. Sang Penceramah mengambil kesempatan untuk memberitahu khalayak di hadapan
anak-anak sekolah mengenai dalil sambutan Maulud Nabi. Katanya sudah ada yang
bertemu dirinya untuk memberitahu Maulud Nabi tidak ada asasnya dalam agama.
Beliau menjelaskan ‘dalil’ sambutan Maulud Nabi.
Katanya dalil itu ada dalam kitab Rawi yang kelima. Beliau pun membacakan Rawi Kelima berlagu
dalam Bahasa Melayu yang disambut kalimah ‘Allah’ secara berlagu oleh
khalayaknya. Lagu yang dibawa ialah lagu
dalam bacaan Barzanji.
Saya percaya yang dinamakan dalil beragama ialah
firman Allah dalam al-Quran atau hadis sahih Nabi s.a.w. Dalam rawi yang dibacakan itu bukanlah dalil
ayat-ayat al-Quran ataupun hadis Nabi s.a.w.
Antaranya beliau membacakan bahawa Baginda Nabi dilahirkan terus
tertiarap dan tidak dapat diangkat oleh bidan-bidan yang ada, kerna sangking
beratnya bayi yang bernama Muhammad bin Abdullah. Sehinggalah apabila bayi itu
ditutupi dengan kain barulah bayi Muhammad dapat diangkat, sebab katanya
Muhammad malu untuk memperlihatkan auratnya (baca kemaluan) sebagaimana bayi
biasa dilahirkan. Dia juga membacakan
yang ibu Nabi s.a.w. iaitu Aminah binti Abdul Wahhab tidak berasa sakit apabila
saat melahirkan bayinya itu.
Kelahirannya tidak disertai setitik darahpun! Itulah Antara dalil dalam Rawi Kelima
Saya boleh menerima Maulud Nabi sebagai salah satu
adat resam Melayu, tetapi menyatakan tulisan buku sejarah sebagai dalil agama
sangat keterlaluan. Berapa banyak orang termasuk anak-anak sekolah yang akan
menerima pakai ‘dalil’ hanya berdasarkan tulisan dalam sesebuah buku. Malah
dalam buku berkenaan tidak pun dinyatakan suruhan menjadikan hari lahirnya
suatu yang istimewa. Di sana hanya cerita kelahiran. Adalah lebih baik Maulud
Nabi dikatakan satu adat Melayu, bukan agama. Maka semua orang tidak terbeban
memberikan hujah ‘agama’.
Yang kedua ialah keunikan kelahiran dan bayi baginda Nabi s.a.w. Oleh kerna digambarkan betapa luar biasanya
kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. (tidak seperti kelahiran bayi manusia yang
lain), maka sangat dituntut supaya pencerita kisah seperti itu menyertakan
sumber sahihnya, berupa ayat-ayat al-Quran atau hadis sahih. Jika tidak ada dalil autentik, kisah sebegitu
akan sama taraf dengan kisah kelahiran anak raja dalam hikayat-hikayat lama.
Misalnya dalam buku Sejarah Melayu diberitakan lahirnya tiga anak Raja
Suran di dasar laut. Kemudian mereka membesar menjadi lelaki hebat, salah
satunya bernama Sang Sapurba merupakan keturunan Raja-raja Melaka. Atau
kisah-kisah kelahiran anak raja dalam hilayat lain seperti, apabila lahir maka
patah gelegar lantai atau lahirnya bersama sebilah pedang!
Bukan pelik kelahiran seorang Nab tidak seperti
bayi manusia laini, sebagaimana kelahiran Nabi Isa. Nabi Isa boleh bertutur memberitahu orang
ramai bahawa beliau seorang utusan Allah sewaktu masih bayi lagi. Kita boleh
membuka al-Quran surah Ali Imran dan Maryam, cerita Nabi Isa yang
sama.
Apa susahnya penceramah sebagai orang yang
mendalami agama bertahun-tahun memberikan dalil al-Quran atau hadis sahih (jika
beliau percaya ada) supaya menjadi ilmu yang benar kepada anak-anak muda dan
ahli masyarakat.
kita soal kenapa masyarakat islam tidak puashati dengan had ilmu yang telah diajar oleh nabi sallalah hu'alai hiwasallam. petunjuk nabi muhammad itu adalah sebaik-baik petunjuk.nabi x buat maulid, sahabat xbuat maulid sehingga 300tahun hijrah xada maulid.
BalasPadam