BERAPA banyak orang telah memberi hujah, “amalan
yang baik adalah ajaran agama dan diterima Allah”. Hujah seperti ini selalu diberikan apabila
sesetengah orang menyeru supaya ditinggalkan ‘amal ibadah’ yang tidak ada dalam
sunah nabi s.a.w. Terdapat satu hadis
nabi yang sangat tepat menjelaskan maklum balas nabi s.a.w. terhadap beberapa
orang sahabat baginda yang berusaha
melakukan amal salih berdasarkan hujah ‘amalan baik’.
Maksud hadis: “Sekelompok orang berkumpul
membicarakan sesuatu. Lelaki pertama berkata, saya akan shalat malam dan tidak
tidur. Yang lain berkata, saya akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga
berkata, saya tidak akan menikah dengan wanita. Perkataan mereka ini sampai kepada
Rasulullah SAW. Maka baginda berkata, kenapa ada orang-orang yang begini dan
begitu?! Aku shalat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku
menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada
kalanganku.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sahabat-sahabat nabi itu sebenarnya sangat
mencintai kehidupan akhirat dan sangat mahu masuk syurga bersama nabi
s.a.w.. Lalu mereka melihat amalan nabi
untuk mencontohinya. Namun ada tambahan akal dan nafsunya di sana iaitu mereka
beranggapan “Semua amalan itu dilakukan oleh nabi yang dijamin syurga,
tetapi kita tidak dijamin syurga, maka tentulah kita wajib melakukan amalan
lebih banyak daripada baginda nabi s.a.w.” Lalu
mereka solat tanpa henti dan puasa siang malam, sehingga ahli keluarga
rasa keciwa kerna sahabat-sahabat itu mengabaikan tanggung jawabnya terhadap
seisi keluarganya. Akhirnya diketahui
oleh baginda nabi s.a.w.
Jika diperhalusi, amalan sahabat nabi s.a.w. itu
bukanlah suatu yang tidak ditunjukkan oleh nabi s.a.w. Mereka melakukan solat
persis atau tepat sebagaimana yang dilakukan oleh baginda nabi s.a.w. Mereka
bukan menggantikan lafaz al-Fatihah dengan syair-syair Arab! Mereka rukuk dan sujud pun mengikuti cara
nabi s.a.w. rukuk dan sujud! Mengapa amal mereka dikritik oleh nabi s.a.w.?
Yang berpuasa pun menepati seperti nabi s.a.w.
berpuasa, iaitu tidak makan dan minum serta menjaga anggotanya daripada
perbuatan yang boleh mengurangkan pahala puasa.
Cuma, akalnya digunakan sebagai hujah, iaitu lebih banyak berpuasa lebih
baik kerna dirinya bukan seorang nabi.
Jawabnya, mereka melakukan amal yang tepat seperti
nabi pun, tetapi masanya tidak seperti yang ditunjukkan oleh nabi s.a.w., maka
itulah yang menyalahi sunah baginda s.a.w.
Bahawa baginda nabi s.a.w. solat malam tetapi baginda juga tidur, bukan solat
sepanjang malam. Begitu juga baginda
nabi s.a.w. berpuasa, pada malamnya menunaikan tanggung jawab terhadap
isterinya.
Ertinya, suatu amalan ibadah yang tepat di sisi sunah ialah yang
menepati petunjuk nabi s.a.w., bukanlah mengikut pendapat ‘asalkan baik
itulah amalan yang diterima Allah’.
Bagaimana pula suatu yang didakwa amal ibadah dalam Islam, yang jelas
terdapat susunan ayat-ayat al-Quran tetapi tidak ada dalam sunah nabi
s.a.w.? Berdasarkan pemahaman hadis di
atas sahaja, pembaca sudah tahu bahawa hal itu pasti dikritik oleh nabi. Sedangkan sahabat yang melakukan solat
sepertinya tetapi tidak henti-henti pun dikritik atau tidak disukai oleh nabi,
inikan pula ibadah yang disusun sendiri atas alasan ayat-ayat al-Quran adalah
baik dan yang baik adalah agama!
Sungguh benar bahawa nabi s.a.w. telah wafat dan
tidak mungkin baginda akan datang mengkritik ‘amal ibadah’ kita yang tidak
diajarkan oleh baginda dahulu, namun baginda telah meninggalkan pusaka iaitu
al-Quran dan sunah baginda yang berupa hadis-hadis sahih. Generasi sahabat dan tabi’in (Salafus salih) pula
merupakan generasi terbaik selepas zaman nabi s.a.w. Mereka menjaga agama dengan tepat sebagaimana
yang dilakukan oleh nabi s.a.w. Sangat
pantas bahawa generasi Salafus Salih selepas nabi itu menjadi
ikutan kita yang saban tahun merayakan kelahiran nabi sebagai tanda sangat
mencintai nabi s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan