SEBAGAI muslim tentu gembira apabila mengetahui
peraturan-peraturan hidup manusia berlandaskan ajaran Islam. Jika muslim faham bahawa Islam merupakan system
hidup manusia, yang mensejahterakan semua manusia tanpa mengira agamanya,
tentulah gembira jika ada mana-mana pihak berjaya melaksanakan peraturan Islam
itu. Sebab itulah, apabila membaca
berita pesalah judi dihukum sebat di depan khalayak di Acheh, saya suka sebab
itu akan mendidik orang agar jangan berjudi.
Tahun 2004, Dewan Bandaraya KL (DBKL) telah menyaman dua remaja yang
melakukan sumbang moral di taman KLCC (dua remaja itu keturunan Cina), saya
suka sebab undang-undang kecil DBKL itu untuk mengawal akhlak buruk manusia. Oleh itu saya juga menyokong usaha
pentadbiran Pas di Kelantan yang menguatkuasakan peraturan wanita tidak boleh
mendandan atau menggunting rambut lelaki, bertujuan sama seperti undang-undang
kecl DBKL. Sebutlah usaha Exco kerajaan Selangor
dahulu cuba mengawal penjualan arak secara terbuka di Selangor, juga saya
setuju.
Apa yang saya mahu catatkan ialah Islam semakin
dicabar oleh musuhnya di Malaysia, kerana kelemahan umat Islam sendiri. Kelemahan umah pula akibat sangat ‘beriman’ dengan
politik kepartaian atau semangat asabiyah yang sangat kukuh!
Lihat kes tahun 2004 apabila DBKL menyaman
sepasang remaja Cina yang berpelukan di taman awam. Orang bukan Islam khasnya daripada DAP
membalas dengan membuat demontrasi ‘berpelukan’ depan pejabat DBKL. Apa tujuannya, kalau bukan mencabar
pelaksanaan undang-undang DBKL. Oleh kerana DBKL di bawah pentadbiran yang
dikuasai Umno, maka Pas hanya melihat peristiwa itu dan ‘suka’ sebab Umno
sedang ditekan-tekan. Harapan Pas ialah imej DBKL yang ditadbir Umno akan rosak
dan rakyat marah kepada Umno atau Barisan Nasional.
Sekarang peristiwa yang sama berlaku di Kota Bharu
apabila pelaksanaan larangan wanita menggunting rambut lelaki dicabar, seperti
kes di KL tahun 2004. Lelaki-lelaki Cina
parti Gerakan dari Negeri Sembilan ke Kota Bharu semata-mata mahu rambutnya
digunting oleh perempuan. Tujuannya
tidak lain, satu cabaran atau bantahan terbuka.
Misalnya, apa pihak berkuasa MBKB boleh buat! Dalam kes ini Umno pun suka (lihat tulisan Dr
Fuad Zarkashi) sebab Pas sedang ditekan-tekan dengan harapan orang akan melihat
Pas lemah dan gagal mentadbir negeri.
Itulah dia, apabila umat Islam sudah mengamalkan
asabiyah dalam politik, Islam dijadikan bahan untuk disalahkan sana-sini. Kedua-dua parti, kerana hendak menjadi hero
dalam masyarakat Melayu Islam sanggup membiarkan syiar Islam dilanyak oleh
musuh-musuh Islam. Dalam kes di Kota Bharu, sepatutnya Umno menasihatkan ahli
Gerakan itu agar tidak mencabar peraturan itu sebab pasti menyentuh sentimen umat
Islam. Peraturan di Kota Bharu itu pun
dibuat tahun 1986, zaman Kelantan diperintah Barisan Nasional. Kerajaan sekarang (Pas) hanya
melaksanakannya.
Kesan kes-kes pelaksanaan Islam walaupun kecil yang
ditangguhkan atau dibatalkan atas desakan orang bukan Islam sebagai petunjuk
lemahnya umat Islam walaupun secara populasi ada hampir 70 peratus daripada
jumlah 28 juta penduduk. Ini juga menunjukkan apa juga pentadbiran bercirikan
Islam mesti mendapat restu orang bukan Islam.
Keadaan ini satu pengalaman yang sangat teruk dan memalukan, jika kita
masih mengatakan Islam adalah satu sistem hidup manusia!
Jika orang Islam, khasnya yang berkuasa seperti
Umno dan Pas tidak mahu kembali bersatu seperti yang diwajibkan dalam al-Quran,
kita pasti akan melihat banyak lagi ‘nilai atau ciri Islam’ dalam masyarakat
yang terpaksa ditinggalkan atau dihapuskan kerana memenuhi kehendak orang bukan
Islam. Sudah ada yang mencabar suara
azan pada subuh hari atas alasan menganggu orang tidur. Sudah kedengaran juga pekerja Islam tidak
dibenarkan solat Jumaat kerna mengambil waktu yang lebih daripada masa rehat
biasa.
Peliknya, apabila orang hendak membela kes-kes
ajaran Islam yang dicabar, orang melihat dahulu dari sudut politik Umno dan
Pas. Kalau yang kena Umno, pihak Pas
membiarkannya sambil berharap Umno terus dalam kepayahan. Begitu juga jika yang kena ialah Pas, Umno
akan membalas sebagaimana Pas melakukannya.
Akhirnya, yang semakin susut ialah Islam itu sendiri. Islam menjadi semakin sempit dalam masyarakat
sehingga tulisan jawi pun sudah dianggap tulisan Islam dan menjadi ‘sulit’
kepada orang bukan Melayu Islam. Dahulu,
tidak ada masalah apa pun berkenaan tulisan jawi. Dahulu banyak bayi orang bukan Islam dibela
oleh orang Melayu, sekarang mana ada lagi?
Tunggu apa lagi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan