Halaman

Khamis, Disember 06, 2012

ANGAN-angan beribadah ketika sakit


CATATAN peribadi saya.  Baru-baru ini saya menziarahi seorang rakan yang terkena serangan sakit angin ahmar.  Sudah sebulan dia hanya terbaring dan hanya bergantung kepada bantuan isteri dan anak-anak untuk makan, minum dan semua urusan hidup.  Meskipun mindanya masih berfungsi seperti sebelumnya, tetapi kudrat tenaganya ternyata membatasi apa kemahuan dalam mindanya.  Mulutnya berzikir kalimah-kalimah yang biasa.

Saya sebenarnya pernah berfikir untuk diri sendiri, misalnya apa yang akan dilakukan jika saya terbaring kerna sakit atau demam.  Bolehkah mengisi masa dengan membaca ayat-ayat al-Quran. Ketika saya dimasukkan dalam wad dahulu, tidaklah sebagaimana yang disangka. Dalam beg sebelum ke hospital, saya bawa sekali senashkah al-Quran untuk dibaca ketika baring sendirian.  Namun apabila sudah terbaring, walaupun waktu-waktu yang sakitnya tidak memeritkan, sudah juga hendak membaca al-Quran seperti biasa.  Tambahan pula, membaca al-Quran sambil berbaring sangat tidak menyelesakan.

Apabila saya melihat rakan saya itu agak sukar untuk berzikir ketika terlantar sakit di rumahnya, saya mencuba untuk menghafal ayat-ayat al-Quran sambil berbaring di atas tilam.  Walaupun ayat-ayat itu selama ini sudah lancar dalam hafalan, namun dalam kedudukan berbaring tidaklah sebaik halafan ketika duduk.  Jadi bagaimana dalam keadaan sakit atau demam dan terbaring, dapatkah hafalan al-Quran dilakukan dengan baik seperti biasa?

Nampaknya saya seperti perlu berlatih membaca al-Quran atau melafazkan hafalan dalam keadaan berbaring untuk menghadapi situasi yang tidak menyenangkan (jika ditakdirkan berlaku).  Ini termasuk saya membayangkan perlunya alat sokongan yang boleh diletakkan al-Quran (umpama rehal) yang boleh terbuka menghadap saya yang terbaring!

Manusia hanya merancang apa yang sepatutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan