Halaman

Rabu, September 19, 2012

APABILA ahli politik bersedekah...


HADIS berkenaan dengan niat dalam amal merupakan hadis pertama dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam Nawawi.  Sungguh, pengajarannya amat penting dalam kehidupan beribadah kepada Allah kerna pemahamannya membawa arti sebenar sama ada amalan itu kerna Allah atau selain-Nya.

foto hanya untuk hiasan

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kemudian, tidak dapat disangkal lagi bahwa pemikiran orang kita sudah sangat kepada politik kepartaian.  Tidak mengira sama ada musim pilihan raya atau tidak, ada sahaja pergerakan bersifat politik.  Seakan-akan semua mahu dilihat untuk mendapatkan keuntungan politik dan melemahkan politik lawannya.  Sampai-sampai dipesankan kepada orang yang bakal dicalonkan dalam pilihan raya agar sentiasa menyantuni masyarakat, tidak lain agar dirinya dilihat dekat dan dikenali oleh ahli masyarakatnya.  Di sinilah kita hendak memakai maksud hadis bab niat itu.



Bayangkan saja, amal-amal salih yang asalnya dilaksanakan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah sudah diselewengkan untuk mendapat keuntungan politik pilihan raya.  Banyak amal yang baik seperti hadir kenduri-kendara, ziarah orang mati dan member sedekah yang diwar-warkan atau digembar-gemburkan, tidak lain bertujuan untuk memberitahu umum bahawa si pulan itu sangat prihatin kepada masyarakat.  Maka, diharap masyarakat akan memilih beliau sebagai Wakil Rakyat pada masa depan!

Jadi, apakah bedanya dengan maksud sabda nabi s.a.w. “Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

.......Barangsiapa yang memberi bantuan kepada orang miskin semata-mata untuk memancing undi pilihan raya, maka itulah yang diperoleh!  Inilah perangkap syaitan kepada para dermawan yang berdiri atas nama politik. Hubaya-hubaya!

Kata guru agama saya di sekolah dahulu berkenaan bab keikhlasan.  Maaf saya catatkan agak kurang enak.  Kata beliau, “ikhlas ialah seperti kita membuang air besar, yang tidak lagi diingat-ingat atau disebut-sebut pada masa lain.  Diam dan berahsia tapi telah berlaku.”  Agak sukar orang-orang politik melakukan amal kepada masyarakat tanpa mengharap satu balasan sokongan dalam pemilihan jawatan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan