Halaman

Jumaat, September 07, 2012

SHALAT apa lagi selepas tarawih?


RAMADAN telah berlalu, dan muslim menjalani kehidupan biasa iaitu makan dan minum pada siang hari selama sebelas bulan akan datang.  Insya Allah, jika diizinkan bertemulah dengan Ramadan akan datang.  Apa yang dilalui pada Ramadan lalu selain berpuasa selama sebulan? Jawabnya ialah solat tarawih.  Masyarakat kita membedakan antara solat tarawih dan solat malam (qiamullail), walhal petunjuk sunah tidak ada perbedaan antara kedua-duanya.  Solat tarawih itu ialah solat malam.  Perhatikan apa yang dikhabarkan oleh isteri nabi s.a.w. 


Daripada Abi Salamah bin Abd Rahman, bahawa dia bertanya kepada Aisyah (semoga Allah meredainya) bagaimanakah solat Rasulullah s.a.w. pada malam Ramadan? Maka berkatalah Aisyah: “Baginda tidak menambah lebih daripada sebelas rakaat, sama ada pada bulan Ramadhan atau bulan-bulan lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ini berarti solat malam itulah solat yang disebut tarawih pada bulan Ramadan.  Oleh kerna pemahaman masyarakat bahwa solat malam dan tarawih itu berbeda, maka sebagian yang melazimi solat tarawih telah meninggalkan solat tarawih kerna Ramadan telah tamat.  Bagi mereka yang memahami bahwa solat tarawih itu adalah solat malam, mereka meneruskan solat malam (tarawih) itu 11 rakaat pada setiap malam.

Allah tidak membedakan seruan untuk solat malam itu untuk bulan Ramadan atau selainnya.  Sangat jelas dalam firmannya itu.

Maksud surah Al-Isra’:79  “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” 

Maksud surah As-Sajadah:15 “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.” 

Maksud surah As-Sajadah: 16  “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka."

Maksud sabda-sabda  nabi s.a.w. yang lain ialah:

“Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat (tahajud) pada tengah malam.” (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Abi Hurairah (semoga Allah meredhainya), beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: “Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)”, sehinggalah terbit fajar.” (Hadis riwayat Muslim).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan