Halaman

Isnin, Julai 20, 2015

KALI ini Solat Hari Raya di Dataran Merdeka

20 TAHUN dahulu banyak yang rasa  ganjil dengan berita orang Solat Eid atau Solat Hari Raya (Idul fitri dan Idul Adha) di lapangan terbuka. Foto-fotonya pun sukar ditemukan sebagai bukti, apa lagi hendak memberitahu di seluruh dunia termasuk negara ‘komunis’ umat Islam melakukan Solat Eid di lapangan terbuka.

Solat Eid  di sebuah negara di Eropah

Maka di Malaysia, kebanyakan yang menolak Solat Eid di lapangan memberi alasan takut hujan, tidak ada masalah solat di masjid, boleh solat di surau-surau atau  tidak ada dalil melarang Solat Eid di masjid.  Oleh kerna yang menyatakan alasan-alasan itu adalah yang berwewenang dalam penggurusan agama, maka orang awam atau sipil menerima begitu sahaja.  Jika kata pepatah mengatakan ‘Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih’, dalam hal ini kebanykan birokrat agama memilih seribu dalih!

Solat Eid di lapangan adalah sunah Nabi s.a.w., bukan satu gerakan ideologi zaman globalisasi. Bohonglah para agamawan yang bertahun-tahun menekuni kitab dan bertalaqi tidak menemui hadis-hadis Rasulullah membawa umah Solat Eid di lapangan. Yang hadir bukan sahaja mereka yang akan menunaikan Solat Eid, malah kaum perempuan yang tidak boleh menunaikan solat juga diseru keluar dan berhimpun sama. Ini adalah hari kemenangan setelah melalui satu perjuangan.

Bayangnya di negara yang paling banyak Mufti dan Jabatan Agama, seluruh Malaysia kumpulan yang melakukan Solat Eid  di lapangan boleh dibilang dengan jari. Itu pun kuantiti mereka yang hadir tidak mencapai angka ribuan. Rasa  malu dengan 200 ribu hadir solat Eid di negara China yang komunis atau di England ada kehadiran 70 ribu di satu kawasan. Di Hong Kong mereka berkumpul, di Albania, di negara-negara Afrika yang dikatakan tidak aman pun sama. Apa masalah di Malaysia?

Fikirlah jika Dataran Merdeka dipenuhi orang Solat Eid, satu perhimpunan yang jelas bertujuan keamanan.  Satu tempat yang selama ini menjadi pertikaian untuk dihimpunkan sekian banyak manusia bermotifkan perasaan marah dan dendam!  Fikirlah di mana-mana dataran luas dan terbuka berjaya mengumpulkan lautan muslim tanpa mengira ideologi politik dan kaum, bersama-sama membesar Allah, melakukan pergerakan yang sama menuruti seorang imam (pemimpin).  Mereka mendengar khutbah  yang menaikkan semangat persaudaraan dan saling maaf-memaafi.  Tidakkah ini bukan satu syiar dan medium dakwah terhada bukan Islam yang melihat secara langsung?


Tolonglah wahai para agamawan dan mereka yang berwewenang, berfikirlah.  Selama ini ada pihak boleh membawa sekian banyak perhimpunan hanya untuk menunjukkan marah dan protes, yang berdepan dengan amaran-amaran pihak berkuasa, tentulah lebih mudah menyusun perhimpunan aman yang jelas bertujuan menambah kasih sayang sesama umat, dan perhimpunan keamanan sebagai ibadah kepada Allah juga berlaku di serata dunia.  Perhimpunan Solat Eid di serata dunia selama ini berakhir dengan kemesraan dan kasih sayang, bukan mala petaka rusuhan dan kemusnahan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan