Halaman

Selasa, Mac 24, 2015

LARISNYA hudud dalam agama dan politik

HUDUD memang pasaran paling laris dalam agama dan politik. Terlalu lama didebatkan sama ada untuk mendapat keuntungan status sosial atau politik, atau sebagai bahan membenamkan nama seseorang. Abdul Naser Tun Rahman mempunyai nilaiannya sendiri, dan tentulah pandangannya itu disenangi sebelah pihak dan menjengkelkan bagi pihak satu lagi. Ini memang hukum dikotomi yang sudah puluhan tahun, malah sudah menjadi hukum fikah agama pula.

BILA Nabi SAW melaksanakan hudud, semua termasuk bukan Muslim setuju. Tetapi cadangan hudud Pas berlaku dalam keadaan caci mencaci, ugutan bunuh dan rogol, pengkhianatan terhadap rakan politik sendiri.

Bahkan seorang ulama Pas menggunakan alasan banjir sebagai bala Tuhan ke atas rakyat yang tidak sokong hudud! Perlukah ulama Pas muhasabah diri? Mengapa hanya ulama sahaja dibenarkan memimpin Pas? Murshidul Aam adalah ulama. Presiden pun ulama. Mengapa tidak Presiden seorang profesional yang cekap mentadbir masyarakat multikultural? Islam agama multikultural, maka secara rasionalnya kepimpinan pun perlu bersifat multikultural. Tetapi adakah bersifat rasional dan multikultural dilihat sebagai risiko bagi ulama Pas?

Perpecahan dalaman Pas tenat. Dr Hatta Ramli mempersoalkan mengapa ulama Pas berdiam diri apabila YB punya kereta dibakar dan YB dipukul bila mereka kritik ulama.  Sebenarnya ugutan-ugutan ini mudah ditepiskan jika ulama-ulama Pas sendiri turun padang dan membuka ruangan yang luas untuk rakyat multikultural berhujah tentang keadilan hudud.

Tunjukkan contoh akhlak ilmuwan. Bekas MB Perak Pas iaitu Datuk Seri Nizar berkata bahawa “bila Pas berkeseorangan, kita tak dapat tempat di hati pengundi bukan Melayu.”

Kalau hudud lebih hebat daripada sivil, bagi hujah. Jangan sekadar bagi amaran bahawa ini undang-undang Tuhan. Tak rasional. Maka dengar dan patuh sahaja. Kalau Islam bukan agama hujah, maka jangan menyesatkan agama lain yang menggunakan alasan yang sama bahawa jangan mempersoalkan Triniti atau mengapa paderi katolik tak boleh kahwin. Ini undang-undang Tuhan. Tak rasional. Dengar dan patuh sahaja. 

Sekularisme lahir akibat seorang saintis bernama Galileo yang berhujah berdasarkan fakta sains bahawa bumi dan planet-planet lain sepatutnya mengelilingi matahari (heliocentric), bukan sebaliknya.
Malangnya, gereja berkeras berpegang bahawa Tuhan sudah menetapkan matahari dan planet-planet lain yang mengelilingi bumi (geocentric). Ini undang-undang Tuhan. Tak rasional. Dengar dan patuh sahaja. Akhirnya, Galileo dikenakan hukuman ‘hudud’ iaitu dipenjara seumur hidup sehingga mati.

Adakah Islam sama seperti agama-agama lain? Kalau disamakan, jangan marah kalau sebahagian pihak pluralis mendakwa bahawa semua agama adalah sama kerana semua agama, ulama dan paderi tidak terbuka untuk hujah. Hanya guna pengaruh agama untuk memaksa rakyat agar dengar dan patuh.

Akhlak yang tidak rasional seperti ini sudah tentu akan memberi justifikasi kepada rakyat untuk juga bertindak secara tidak rasional. Akhlak yang tidak rasional tak kena hukuman hudud!

Pelbagai dalil dihafal ulama semasa PRU13 tentang halalnya tahaaluf siyaasi dengan DAP walaupun pelbagai pihak memberi amaran termasuk saudara seagama daripada Umno. Tetapi label ‘ABU’  (Asalkan Bukan Umno) tetap dilontarkan kepada Umno yang dilihat berusaha memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Sokonglah tak kisah sama ada liberalkah, ateiskah, asalkan bukan Umno. Melabel ABU tak kena hukuman hudud.

Sekarang yang sokong hudud ialah Umno Kelantan. Dicaci sebagai parti anti-Islam selama ini tetapi tetap sokong hudud Pas.  Syabas kepada Umno kerana membuka wacana kesatuan yang jauh lebih luas dari wacana ulama Pas yang bersifat tidak rasional. Jelas hanya Umno sahaja yang mampu menyatukan bangsa Melayu kerana bersifat tolak ansur yang tinggi walaupun terhadap parti yang mencacinya. Ulama Pas bersifat bermusuhan hatta pada rakan pakatannya sendiri!


Sebelum Nabi SAW melaksanakan hudud, beliau dikenali sebagai al-Amin (yang amanah). Adakah ulama Pas bersifat al-Amin atau bersifat terroris terhadap sesiapa yang mencabar kepimpinan ulama? Mengapa ramai yang tidak membenarkan calon lain mencabar Hj Hadi sebagai presiden? Ulama haram dicabar?

Mampukah ulama Pas meyakinkan rakyat tentang keadilan hudud melalui sifat keadilan dalam diri mereka?

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan